Jumaat, 25 Julai 2014

Muhasabah Jumaat: Kisah mencari kebenaran Salman al-Farisi






Tahukah anda mengenai Perang Khandaq? Apakah maksud Khandaq itu sendiri? Peperangan yang cukup dikenali dengan strategi perang yang cukup bijak ini tercetus di kota Madinah, berlaku pada 31 Mac 627 dan berterusan selama hampir 27 hari. Strategi dan taktikal dalam peperangan ini adalah sesuatu yang baru, dan pihak musuh yang cuba menyerang kota Madinah iaitu tentera Quraisy tidak pernah sama sekali bersedia untuk menghadapi taktikal sedemikian.

Apakah taktikal itu?

Peperangan yang dikenali sebagai Battle of the Trench menjadi titik tolak kepada bermulanya kemaraan Islam ke kota Mekah dan menjadi titik permulaan kejatuhan tentera Quraisy. Secara istilahnya khandaq membawa maksud parit besar. Dalam peperangan ini, taktikal yang digunakan bagi mempertahankan kota Madinah adalah dengan menggali parit di sekitar kota Madinah sebagai benteng pertahanan dari serangan tentera musuh. Mengikut sejarah, walaupun tentera musuh mengepung kota Madinah selama berminggu-minggu, namun mereka tidak sama sekali berjaya untuk memasuki kota tersebut. Akhirnya, pihak musuh berundur setelah kekurangan bekalan makanan dan pada masa yang sama berlaku ribut besar yang membadai musuh.

Hakikatnya, strategi menggali parit bukanlah sesuatu yang biasa bagi orang Arab. Taktikal ini begitu asing dan sebenarnya datang dari taktikal perang bangsa lain. Maka di sebalik strategi itu, muncul nama salah seorang sahabat Radulullah yang mencadangkan idea taktikal perang itu. Salman al-Farisi atau Salman The Persian adalah individu yang bertanggungjawab merencanakan strategi menggali parit itu. Berasal dari Parsi, taktikal perang ini diambil dari taktikal perang bangsa Parsi.

Jadi, siapakah Salman al-Farisi ini?

Kisah mencari kebenaran Salman al-Farisi
Salman merupakan seorang pemuda berketurunan Parsi. Dilahirkan dalam keluarga yang menganuti agama Zoroastrianism atau agama Majusi, agama yang menyembah api dan menganggap api itu sesuatu yang suci. Menurut catatan, Salman dilahirkan di Parsi di bandar Isfahan atau Kazerun (tidak dapat dipastikan tempat lahir sebenar beliau). Beliau dibesarkan dalam keluarga paderi Majusi, yang mengamalkan dengan kuat ajaran Majusi dalam kehidupan sehariannya.

Namun tatkala Salman meningkat usianya, menjadi seorang remaja, maka fikiran dan hati beliau dilihat mula tidak tenteram. Salman mula merasakan suatu kekosongan dalam dirinya tatkala terus menjadi penganut agama Majusi. Sebagai anak kepada paderi Majusi, Salman telah ditugaskan untuk menjaga api suci dalam rumah ibadat Majusi. Tugasnya adalah untuk memastikan supaya api suci itu menyala dan tidak terpadam hatta sesaat. Disebabkan itu, Salman tidak pernah melihat dunia luar yang sebenar, dan terus terkepung dan seperti dikurung di rumah ibadat tersebut.

Suatu hari, bapa Salman yang memilki tanah perladangan telah meminta beliau untuk menjaga tanah kebunnya itu. Maka, Salman berpeluang untuk keluar dan melihat dunia luar tatkala dalam perjalanan menuju ke kebun itu. Dalam perjalanan itu, Salman melewati sebuah kawasan gereja. Di saat melalui kawasan itu, maka Salman terdengar suara orang sedang sembahyang. Lantas Salman tertarik dan terus memasuki gereja itu. Barulah Salman tahu bahawa itu ialah gereja Nasrani (Kristian). Di akhirnya, Salman menghabiskan seluruh harinya di gereja itu dan tidak pergi ke kebun bapanya.

Disebabkan telah tertarik dengan agama Nasrani, lantas Salman bertanya kepada paderi gereja itu akan asal usul agama Nasrani. Dinyatakan kepada Salman bahawa agama Nasrani itu berasal dari bumi Syam (Syria). Bermula di saat itu Salman berazam untuk pergi ke bumi Syam. Tatkala itu juga, Salman memberitahu bapanya bahawa dirinya telah tertarik dengan agama Nasrani. Risau dengan perkembangan itu, maka bapa Salman telah mengurung dan merantai Salman.

Dalam kurungan itu, Salman menulis sepucuk surat yang dikirimkan kepada orang Nasrani. Lantas tidak lama selepas itu, Salman berjaya melepaskan diri dengan bantuan orang-orang Nasrani dan seterusnya telah mengikut satu rombongan Nasrani ke bumi Syam. Setibanya di bumi Syam, Salman telah menetap bersama seorang ketua paderi di sana yang bernama Uskup. Pada waktu itulah, Salman mendalami dan mempelajari agama Nasrani.

Namun, di sebalik jawatannya sebagai ketua agama, hakikatnya Uskup bukanlah orang yang jujur. Uskup menganjurkan orang ramai menderma dan memberi sumbangan kepada gereja, namun hasil kutipan itu digunakan Uskup untuk kepentingan dirinya. Di akhirnya, Uskup meninggal dunia dan Salman menceritkan perihal sebenar perangai paderi itu. Orang ramai marah dan menyalib mayat Uskup.

Selepas itu, paderi lain diangkat sebagai ketua agama dan Salman mengabdikan dirinya pula bersama paderi itu. Paderi itu sangat zuhud san senantiasa beribadat tak kira siang dan malam. Salman sangat suka kepada paderi itu dan terus tinggal lama dengannya. Di akhir hayat paderi itu, Salman bertanya akan kepada siapakah lagi yang harus dipercayai untuk meneruskan pengajiannya? Lantas paderi itu menyatakan bahawa Salman perlu ke Mosul untuk menemui seorang pendeta di sana. Lantas, selepas kematian paderi itu, Salman berhijrah ke Mosul untuk bertemu dengan pendeta di sana.  Di Mosul, Salman mengabdikan dirinya terhadap pendeta itu sehinggalah pendeta itu meninggal dunia.

Pencarian kebenaran Salman diteruskan lagi. Sebelum ajal pendeta Mosul itu tiba, pendeta itu pernah berpesan supaya Salman berjumpa pendeta di Nasibin untuk menyambung pencarian kebenarannya.  Maka, Salman menuju pula ke Nasibin. Setelah beberapa ketika bersama pendeta itu, maka pendeta itu berpesan supaya Salman menuju pula ke Amuria sebelum pendeta itu meninggal dunia. Selepas itu, Salman menuju  ke Amuria untuk bertemu dengan pendeta di sana.

Di Amuria, Salman membantu pendeta itu mengembala kambing dan sapi. Seperti sebelumnya, Salman mengabdikan dirinya kepada pendeta itu dalam proses pencarian kebenaran. Sepanjang tempoh itulah, Salman setia mengembala kambing sampailah ke akhir hayat pendeta itu. Sebelum pendeta itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, Salman sempat bertanya akan arah tujunya selepas itu dalam pencarian kebenaran.

Menurut pendeta Amuria itu, tidak akan ada lagi manusia di muka bumi ini yang mengamalkan ajaran yang benar. Namun menurut pendeta itu, akan muncul seorang nabi dari keturunan Arab yang akan berhijrah ke sebuah kota yang dipenuhi dengan pohon-pohon tamar. Kota itu terletak di antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu tidak akan menerima sedekah, tetapi boleh menerima hadiah. Di antara bahu nabi itu terdapat tanda kenabian padanya. Kota itu ialah kota Yathrib atau Madinah.

Setelah pendeta itu meninggal dunia, Salman terus menetap di Amuria. Dia terus mengembala kambing dan sapi. Suatu hari, satu kabilah dari Arab singgah ke Amuria. Lantas Salman bertemu dengan kabilah itu dan telah menyatakan hasratnya untuk mengikut kabilah itu menuju ke bumi Arab. Salman telah menawarkan kesemua kambing dan sapi yang dijaganya sebagai ganti untuk mengikuti kabilah itu. Maka, bermulalah perjalanan Salman bersama kabilah itu menuju ke bumi Arab.

Namun malang menimpa Salman. Kabilah yang diharapkannya itu telah berpaling tadah dan menipunya. Salman ditipu dan di akhirnya dijual sebagai hamba. Salman dibeli oleh seorang lelaki Yahudi dan terpaksa berkhidmat di bawah lelaki itu. Namun tidak lama selepas itu, Salman dibeli pula oleh seorang lelaki Yahudi Bani Quraizhah dari Yathrib. Dengan izin Allah, maka Salman dapat juga pergi ke Yathrib walaupun menjadi seorang hamba. Saat tiba di Yathrib, maka Salman dapat melihat dengan jelas pepohon kurma yang banyak di kota itu. Maka tahulah Salman bahawa inilah kota yang dimaksudkan pendeta Amuria itu.

Di Yathrib, Salman terus menjadi hamba kepada lelaki Yahudi tersebut. Ada kalanya, tugas Salman adalah memanjat pepohon kurma untuk mengambil buahnya.  Setiap hari, Salman senantiasa ternanti-nanti akan kemunculan nabi yang dimaksudkan pedeta Amuria itu. Walaupun dalam kesusahan sebagai seorang hamba, namun semangat Salman untuk mencari jalan kebenaran langsung tidak pernah terpadam.

Satu hari, kota Yathrib dilanda kemeriahan tatkala kedengaran perkhabaran mengenai kedatangan nabi dari kota Mekah itu yang telah tiba di Quba, tidak jauh dari kota Yathrib. Di sana, sebuah masjid pertama umat Islam telah dibina. Maka, saat mendengar perkhabaran itu, Salman semakin tidak sabar untuk melihat sendiri nabi yang dimaksudkan itu. Setiap hari, Salman terus menanti dengan sabar.

Hari dinanti akhirnya tiba. Maka nabi yang diutus itu telah sampai di kota Yathrib. Lantas Salman memutuskan untuk melihat sendiri nabi itu. Seperti yang telah dinyatakan oleh pendeta Amuria, nabi itu mempunyai beberapa tanda kenabiannya. Disebabkan itu, Salman telah memtuskan untuk berjumpa sendiri nabi itu untuk mencari dan melihat tanda kenabian seperti yang telah diceritakan oleh pendeta di Amuria itu.

Lantas Salman mengumpul buah tamar dari ladang tuannya. Di suatu malam, Salman terus pergi berjumpa nabi tersebut. Itulah baginda nabi akhir zaman, Rasulullah S.A.W. Lantas Salman terus menghulurkan kurma yang dikumpulkannya itu untuk diberikan kepada Rasulullah. Salman menyatakan bahawa kurma itu adalah sedekah darinya untuk baginda. Selepas menerima buah tamar itu, Rasulullah tidak sedikit pun menjamahnya, sebaliknya diserahkan kepada sahabat-sahabatnya.

Tahulah Salman, bahawa tanda pertama kenabian itu dapat dilihat pada Rasulullah. Baginda tidak menerima sedekah daripada orang lain. Kemudian, di pertemuan yang lain, Salman sekali lagi membawa buah kurma untuk diberikan kepada baginda Rasulullah. Namun kali ini, Salman menyatakan kepada Rasulullah bahawa tamar itu adalah hadiah buat baginda. Selepas itu, dilihat Rasulullah terus menjamah kurma itu dan dikongsikan juga buat sahabat-sahabatnya yang lain.

Tahulah Salman, bahawa tanda kedua kenabian Rasulullah dapat dilihatnya. Baginda menerima hadiah yang diberikan Salman dan menjamah tamar itu. Pencarian kebenaran Salman dilihat semakin menghampiri penghujungnya. Di satu hari, seorang sahabat baginda meninggal dunia, dan baginda Rasulullah menguruskan jenazahnya untuk disemadikan. Tatkala waktu itu, Salman dengan jelas dapat melihat satu tanda di belakang bahu Rasulullah. Itulah tanda kenabian yang ada pada baginda.

Setelah melihat tanda itu, maka serta merta Salman menghampiri Rasulullah. Salman terus memeluk baginda. Selepas melihat tanda ketiga kenabian itu, maka tahulah Salman bahawa dirinya telah bertemu dengan orang yang dicarinya selama ini. Rasulullah kemudian bertanya kepada Salman; ingin tahu siapakah Salman yang sebenarnya. Lantas Salman menceritakan keseluruhan kisah perjalanannya dalam mencari kebenaran, bermula dari tanah asalnya Parsi hinggalah dirinya menjadi hamba di kota Yathrib.

Di akhirnya, seorang sahabat Rasulullah telah membebaskan Salman daripada terus menjadi seorang hamba. Maka, selepas itu Salman terus setia bersama Rasulullah, menuntut ilmu dan mendekatkan diri dengan Allah. Pencarian kebenaran Salman akhirnya menemui kejayaan. Walaupun Salman bukan berketurunan Arab, namun beliau diiktiraf menjadi sebagai salah seorang sahabat Rasulullah. Sumbangan yang diberikannya ternyata harus dihargai, kerana beliau telah banyak membantu dalam mengembangkan syiar Islam.

Kesimpulan
Sesungguhnya kisah perjalanan Salman al-Farisi mencari kebenaran itu penuh dengan liku-liku. Keazaman dalam dirinya harus menjadi contoh dan ikutan buat umat Islam hari ini. Hakikatnya, dalam setiap usaha ke arah kebaikan, pasti akan ada rintangan dan cabaran. Hanya dengan ketabahan hati sahaja yang mampu menangani semua cabaran yang datang. Salman al-Farisi juga mengajar kita bahawa untuk mencari hidayah, seseorang itu seharusnya berusaha dan bukannya hanya menanti sahaja. Kebenaran dan hidayah tidak akan datang dengan mudah. Ia harus bersama dengan usaha yang berterusan.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami
(Surah al-Ankabut, ayat 69)

Berusahalah mencari hidayah-Nya. Moga Allah akan mengurniakannya kepada kita. Sama-sama kita bermuhasabah diri. Insya-Allah.

Wallahuaklam.

 
Makam Salman al-Farisi, sahabat Rasulullah.











Sabtu, 19 Julai 2014

Tasha Rozana: Kisah perkahwinan Tasha dan Fahmi





Masihkah kalian ingat akan kisah Tasha Rozana dan Fahmi Zahid? Kisah penantian Fahmi selama hampir dua tahun, mengharap agar sesuatu yang diimpikan menjadi kenyataan. Sampai ke satu tahap, Fahmi redha dengan ketentuan Ilahi, dicuba untuk melupakan hasrat hatinya untuk menjadikan Tasha sebagai isterinya. Namun saat hampir sahaja dilupakan Tasha itu, kisahnya menjadi berbeza. Tasha muncul semula dengan satu panggilan telefon ke rumahnya. Di kala itu, bunga mekar kembali. Tanpa disangka Fahmi, selama ini Tasha juga menyimpan perasaan terhadapnya. Syukurnya tak terkira buat Fahmi. Itulah kisah yang pernah dikongsikan.

Kini, setelah hampir setahun kisah Tasha Rozana ini tidak dikongsikan, maka kemunculan semulanya akan menyambung kisah mereka. Kisah perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan. Sebuah kisah kerahsiaan barangkali, menguji kesabaran dan menduga ketabahan.

Kisahnya diteruskan:
Tatkala diketahui akan hal sebenar, apabila Fahmi menerima panggilan telefon yang tak disangkanya dari Tasha, yang hampir dua tahun menghilang, maka pasti sesuatu perkara yang kebiasaan akan menjadi berlainan. Memang di awalnya Fahmi dilanda kejutan, bagai tidak percaya bahawa Tasha kembali, dan yang lebih gembira apabila kemunculan semula Tasha itu adalah untuk menyatakan kesudiannya menerima Fahmi sepenuhnya. Impian yang telah lama diharapkannya telah menjadi kenyataan.

Kisah pertama, setelah panggilan telefon dari Tasha itu, maka Fahmi terus menyatakan perkhabaran itu kepada ibunya dahulu. Dinyatakan akan kisah Tasha, satu pengkisahan yang selama ini dirahsiakan daripada ibunya itu. Hasrat hati Fahmi untuk menjadikan Tasha sebagai isteri itu telah lama wujud, iaitu dua tahun sebelumnya tatkala Fahmi baru sahaja menjadi mahasiswa universiti. Namun semuanya dirahsiakan dari pengetahuan keluarga. Mungkin masih terlalu awal walaupun telah bersedia.

Namun, perbincangan dilakukan. Dinyatakan satu persatu siapa Tasha dan mengapa Tasha. Dinyatakan dengan jelas niat di hatinya. Mengharap menjadi isteri, itulah Tasha namanya. Di usia 24 tahun, barangkali masih muda. Bicara perkahwinan mungkin dilihat belum bersedia. Namun, mungkin masanya telah tiba, maka ibunya faham akan anaknya. Lantas dinyatakan pula kepada ayahnya. Perbincangan bermula, memikirkan masa depannya. Tiba masanya, perancangan diaturkan. Perjumpaan dengan ayah dan ibu Tasha, itulah yang difikirkan oleh ibu dan ayah Fahmi.

Di awalnya, memang ibu Fahmi terkejut. Tidak disangka, anaknya itu sudah memikirkan soal perkahwinan. Walaupun masih bergelar seorang pelajar universiti, hasrat di hati tak boleh dibiarkan. Apabila tercetus saja niat itu, maka seeloknya dipermudahkan. Moga dipercepatkan, itulah yang dinyatakan ayahnya, tatkala ibunya masih teragak-agak; masih tidak bersetuju dengan hasrat Fahmi untuk berkahwin.

Kata ayahnya; “Buat apa yang termampu. Wajib itu diutamakan, selebihnya sekadar sampingan. Kalau itu dah jodohnya, jangan dihalang. Kita tolong selagi boleh”

Beberapa hari kemudian, di satu hari minggu, setelah alamat rumah Tasha diminta Fahmi, maka ibu dan ayah Fahmi berkunjung ke rumah Tasha. Saat itu, Tasha tiada di rumah. Tasha berada di ibu kota, bekerja di sana. Fahmi pula berada di universiti, terus sibuk dengan pengajian. Kisah orang tua bertemu dengan orang tua. Maka perjumpaan yang diatur itu disambut penuh mesra oleh kedua ibu bapa Tasha.

Maka, dinyatakan tujuan kunjungan itu. Nama Fahmi disebut, dan hasrat hatinya itu dinyatakan. Ibu dan ayah Tasha tidak dilanda kejutan, kerana masing-masing telah tahu niat murni Fahmi itu. Tasha telah memaklumkan dahulu sebelum kunjungan ibu bapa Fahmi itu. Lantas dengan mudah, hasrat hati itu diterima orang tua Tasha. Persetujuan dicipta dan perbincangan seterusnya bermula.

Perkara pertama yang bermain di fikiran, bilakah akan dilangsungkan majlisnya? Tatkala itu, perbincangan rancak kedengaran. Di sebelah pihak Fahmi, ayahnya ternyata tidak kisah tarikhnya namun ibunya ternyata lebih teliti. Ibunya berharap, walau bila pun tarikhnya, biarlah Fahmi bersedia fikiran dan lahiriahnya. Biarlah Fahmi kukuh kewangannya, barulah boleh dilangsungkan majlisnya.

“Soal wang, kita boleh sama-sama tolong. Mana yang tak cukup, kita sama-sama ringankan”

Itulah kata bapa Tasha.

Bagi ayah Fahmi pula, kalau itulah kehendak Fahmi mahu beristerikan Tasha, maka seharusnya dipercepatkan. Kalau dah jodoh tak ke mana, namun kalau dibiarkan tak diikat dengan adatnya, maka tak mustahil juga jodohnya itu pergi begitu sahaja. Itulah fikiran ayah Fahmi. Wajib itu diutamakan, dan yang sampingan itu andai ada kemampuan, maka laksanakanlah.

“Apa yang penting, Tasha dan Fahmi berkahwin  di akhirnya,” kata ayah Tasha.

Persetujuan ternyata dicapai. Fahmi dan Tasha akan disatukan. Langkah seterusnya adalah menetapkan tarikh pertemuan berikutnya. Pertemuan bagi meletakkan tanda kepada Tasha. Cincin tanda akan disarungkan, sebagai bukti Tasha telah berpunya. Semuanya dibincangkan pada pertemuan pertama dan persetujuan dicapai, sebulan tarikhnya, maka kunjungan kedua cincin tanda akan diaturkan.

Perkhabaran itu ternyata memberi keterujaan buat Fahmi. Sekelip mata rezekinya murah, menghilangkan resah dan masalah. Persoalan jodoh bukan lagi pertanyaan, tidak lagi tergantung meliar tanpa jawapan. Pertemuan orang tuanya bertemu orang tua Tasha menjadi satu tanda, jodohnya itu semakin dekat dengan Tasha.

Maka, sewaktu cuti pertengahan semester bermula, Fahmi pulang dengan hati girang. Di saat itu juga Tasha bercuti seminggu lamanya, meninggalkan sebentar kerjanya di ibu kota. Masing-masing pulang dengan tujuan yang sama. Itulah detik tatkala Tasha dan Fahmi akan dipertunangkan. Kisahnya, setelah pertemuan cincin tanda itu diselesaikan, maka diputuskan supaya ikatan pertunangan dipercepatkan. Dua minggu sahaja selepas tempohnya, maka tarikh pertunangan akan dilangsungkan.

Di hari pertunangan, seluruh keluarga Fahmi berombongan menuju ke rumah Tasha. Namun kisah pertunangan hanya berlegar dalam keluarganya kerana kerahsiaan menjadi keutamaan. Tiada siapa yang tahu hatta rakan karibnya tidak dikhabarkan. Tasha dan Fahmi sepakat untuk tidak menghebahkan kisah pertunangan mereka. Kata mereka, biarlah rahsia menjadi pemanisnya, supaya menjaga batas hubungan. Moga pertunangan itu tidak mengurangkan batas pergaulan yang masih lagi perlu dijaga. Perjanjian di antara Tasha dan Fami, dan masing-masing bersetuju.

Di hari pertunangan yang serba ringkas, rombongan keluarga Fahmi hadir diketuai bapa saudaranya. Cincin pertunangan akan disarungkan ibu Fahmi dan Tasha hanya menanti saat itu sahaja. Fahmi pula, hanya menunggu di rumah, sekadar mendengar perkhabaran yang disampaikan menerusi sms kiriman Tasha. Saat itu, bahagia tak tergambar dirasakan Fahmi. Tasha akhirnya akan menjadi tunangnya.

Cuti pertengahan semester telah berlalu, maka Fahmi kembali semula ke universiti. Tasha juga begitu, pulang semula ke ibu kota kembali bekerja. Tasha dan Fahmi hakikatnya belum bersua, setelah diikat dengan tali pertunangan. Maka, di saat masing-masing dilanda kesibukan, detik hati mula menyatakan apa yang terpendam. Bagai satu magnet, maka masing-masing mula semakin menghampiri jalinan yang lebih erat. Telefon menjadi penghubung dan sekali-sekala tatkala terdetik rasa rindu, Fahmi menelefon Tasha atau kadangkala Tasha membuat panggilan.

Semuanya berterusan sepanjang baki semesternya. Universiti Fahmi tidak jauh dari ibu kota dan Tasha pula seringkali menuju ke pekan kecil berhampiran universiti itu. Kampung neneknya tidak jauh dari univeriti Fahmi, dan mungkin juga pendorong kekerapan Tasha untuk pulang ke kampungnya. Tatkala pulang, maka Fahmi akan berjumpa dengannya. Ada waktunya, dijemputnya Fahmi datang ke kampung neneknya, menjamu selera dan kadangkala sekadar berbual-bual biasa. Ada waktunya juga, andai ada pasar malam di pekan, di hujung minggu mereka keluar bersama-sama. Sepetang dihabiskan di pekan dan kisah itu membimbangkan kedua orang tua mereka.

Mungkin di awalnya bersama-sama ke pasar malam, namun di masa depan tiada siapa yang menduga. Tatkala lelaki dan wanita dan hubungannya itu bukan mahram, maka bahayanya senantiasa ada. Kerisauan juga timbul tatkala hampir setiap hujung minggu Fahmi akan ke kampung Tasha dan Tasha pula pasti akan pulang ke kampung walaupun jauh dari ibu kota. Disebabkan resah itu maka, keputusan sepakat dibuat.

“Fahmi perlu berkahwin cepat”

Akad dan nikah
Kerisauan yang timbul mencetuskan satu langkah. Kedua-dua orang tua, maka diaturkan gerak. Fahmi dan Tasha harus diikatkan dengan sah, moga tak terjadi suatu yang salah. Secepat masa, perancangan disusun. Satu persatu pebincangan berlangsung. Menetapkan tarikh, menetapkan masa. Merancangkan tempat, merencanakan perjalanan majlis. Satu demi satu diputuskan dengan teliti. Masjlis perkahwinan Tasha dan Fahmi, itulah matlamatnya.

Semester lima Fahmi tamat, maka cuti semester pun bermula. Tatkala itu, satu sisi perjalanan baru akan tercipta. Segalanya telah diaturkan, hanya kaki sahaja yang perlu melangkah. Berkat ibu dan ayahnya, maka majlis yang asalnya dalam kemustahilan kini bertukar kenyataan. Walaupun Fahmi tiada kemampuan kewangan, namun semua itu dipermudahkan. Rezekinya menjadi murah dengan huluran bantuan ahli keluarga yang lain.

Bagi Tasha, kisahnya mungkin berbeza. Persiapan majlis lebih mudah kerana Tasha telah bekerjaya. Dengan sedikit bantuan dari ibu dan ayahnya, maka perjalanan majlis dapat direalitikan. Keluarga Tasha hidupnya senang. Bicara soal wang bukan keperluan.

Harinya telah tiba. Debaran terasa. Fahmi bersiap sedia, menanti dalam kesabaran. Saat seluruh ahli keluarganya bersedia, maka rombongan bergerak ke rumah Tasha. Suasana berbeza, Fahmi menenangkan diri. Sepanjang perjalanan, hatinya ditenangkan. Zikir di mulut pelengkap ketenteraman jiwa.

Tatkala tiba, maka terus disambut dengan penuh mesra. Lantas Fahmi berjalan menuju ke dalam rumah. Semua hadirin telah bersedia, hanya menanti perjalanan akad dan nikahnya. Tatkala Fahmi duduk di hadapan kadi, maka serentak itu Tasha keluar menyertai hadirin. Seri terpapar di wajah Tasha, menyatakan gembira terwujud dalam hatinya. Fahmi menjeling seketika sebelum melirik sedikit senyuman. Gembira di hati sukar dibicarakan.

Lantas semuanya bermula. Sejuk tangannya memang terasa, namun tenang pada wajahnya. Tatkala kadi melafazkan akadnya, maka dengan tenang Fahmi menyatakan lafaz nikahnya.

“Aku terima nikahnya Tasha Rozana binti Razali dengan maskawinnya seutas rantai emas”

Maka, sejarah tercipta. Selepas saat itu, Tasha ialah isteri Fahmi.  Majlis diteruskan dengan sarungan cincin sebelum dikucup dahi Tasha. Tatkala itu, Tasha mencium pula tangan Fahmi, yang kini suaminya. Semudah itu urusan berjalan, itu buktinya Allah mempermudahkannya.

Kisah rahsia perkahwinan Tasha dan Fahmi
Tidak ramai yang tahu. Perkahwinan di antara Tasha dan Fahmi hanya dihebahkan sesama keluarga sahaja. Hatta seorang kenalan pun tidak diberitahu. Bukan disengajakan, namun disebabkan tiada kesempatan. Fahmi langsung tidak memberi perkhabaran perkahwinan kepada sesiapa pun. Rakan-rakan di universiti langsung tidak tahu majlisnya. Menjadi rahsia barangkali, dan terus disimpan walaupun Tasha telah menjadi isterinya.

Cuti semester dihabiskan dengan bulan madu mereka. Tatkala semester dibuka kembali. Fahmi kembali ke universiti dan Tasha ke tempat kerjanya di ibu kota. Masing-masing menjalani hidup seperti sebelumnya namun ikatan mereka telah berbeza. Di universiti, Fahmi terus berahsia akan statusnya. Semester enam sebagai suami, namun tiada siapa yang mengetahui. Di tempat kerja Tasha pula, ceritanya sama. Rakan-rakan sekerja masih menggelarkannya Cik, bukti tiada siapa yang tahu status terbarunya.

Semuanya berterusan sepanjang Fahmi di semester enam. Di hujung minggu, Fahmi akan ke ibu kota menemui isterinya di sana. Kadangkala Tasha pulang ke kampung neneknya, menemui Fahmi di sana. Ada ketikanya pula, Tasha bercuti dari kerja, bertemu Fahmi di universiti tatkala Fahmi kelapangan tiada kuliah dan kerja. Tatkala rindu dan jarak terpisah, maka menerusi telefon mereka berbual. Ada masanya berlaman sosial, webcam menjadi pengikat mesra. Setiap malam Tasha pasti akan menelefonnya, menceritakan segala kisah pengalaman kerja hariannya. Fahmi terus menjadi pendengar setia, sentiasa tersenyum dengan celoteh isterinya.

Masa depan Tasha dan Fahmi
Kini Fahmi telah tamat pengajiannya. Tasha pula sudah dua tahun bekerjaya. Saat ini, Fahmi menanti untuk tawaran mengajar, bakal menjadi pendidik sebagai kerjaya. Saat ini juga, Tasha masih bekerja di ibu kota, berjauhan lagi dengan Fahmi suaminya. Namun, perancangan diaturkan; tatkala Fahmi diketahui tempat mengajarnya, maka barulah mereka akan tinggal bersama.

Kini telah setahun usia perkahwinan mereka. Di masa depan, maka pastinya zuriat menjadi harapan. Mereka berusaha walaupun belum diberikan rezekinya. Insya-Allah, andai diizinkan-Nya, moga dikurniakan bayi comel buat mereka.

Itulah kisah Fahmi dan Tasha. Sebuah perjalanan akad dan nikah. Satu kisah realiti yang mungkin sangat hampir dengan kalian. Hanya yang memahami akan tahu siapakah Fahmi yang sebenar dan siapa pula Tasha dalam dunia realiti. Fahmi dan Tasha itu sekadar nama sandaran, kerana andai dinyatakan nama sebenarnya, maka pasti rahsianya bukan lagi rahsia.

Cukuplah sekadar bicara. Mungkin akan ada lagi kisahnya.















Selasa, 8 Julai 2014

Sembang Selasa: Menyelusuri kisah 4 tahun di UPSI


Saat menulis entri ini, saya baru sahaja tamat pengajian di UPSI dan kini hanya menanti hari konvokesyen sebelum meneruskan siri perjalanan ke alam pekerjaan. Namun di saat ini juga, saya kini bergelar seorang penganggur sementara, masih lagi dalam proses mencari-cari pekerjaan yang sesuai sebelum waktu untuk posting nanti.

Dua minggu yang lalu, dalam slot Sembang Selasa, saya telah berkongsi akan kisah dan barangkali memperkenalkan rakan-rakan serumah sewaktu di semester 8. Minggu lalu pula, selepas selesai menyiapkan entri untuk slot Kaca Mata di blog, maka seorang kenalan saya, Hamidah Ainun telah mencadangkan supaya saya menulis entri yang berkaitan dengan perjalanan sepanjang empat tahun di UPSI. Mengenang kembali kisah-kisah lalu dan mungkin juga mengimbas kembali setiap pengalaman yang ditempuhi. Maka untuk slot kali ini, akan dinukilkan sedikit perkongsian yang terlintas di fikiran mengenai 4 tahun di UPSI, berkongsi sekadar apa yang termampu.


Kisah permulaan
Hakikatnya, di awal permohonan kemasukan universiti, nama UPSI bukanlah satu pilihan dan tak  terlintas langsung di fikiran. Selepas tamat STPM, sasaran yang saya inginkan adalah untuk menyambung pengajian di UKM atau UM dalam bidang undang-undang; satu bidang impian saya sejak kecil lagi. Namun atas nasihat ayah, maka bidang pendidikan menjadi pilihan namun USM menjadi sasaran. Tetapi rezeki bukan di situ kerana di akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian di UPSI, tempat yang bukan menjadi sasaran saya, dan dengan bidang TESL, jurusan yang tak pernah terlintas di fikiran untuk diambil. Bermula Julai 2010, maka perjalanan telah bermula.

Dalam lintasan fikiran, sewaktu hari pendaftaran pelajar UPSI pada Julai 2010 itu, saya masih ingat akan suasananya. Cuaca pada hari itu agak dingin, dengan tiupan angin dapat dirasai ketika itu tatkala saya tiba di Kolej Za’ba UPSI. Masih diingat ketika itu, orang pertama yang saya bersua dan berkenalan ialah Tuck Man yang berasal dari Teluk; kebetulan pula mengambil jurusan yang sama iaitu TESL. Saya berdiri di hadapannya ketika berbaris untuk mendaftar diri.

Sebaik naik ke dewan Kolej Za’ba, saya bertemu pula dengan saudara Shahril Saibon. Barangkali mungkin masing-masing punyai tarikan tersendiri, tatkala mengenali Shahril, saya terus mudah untuk beramah mesra dengannya. Waktu itu, kebetulan pen saya habis dakwat, dan saya meminjam pennya. Pada asalnya, sepatutnya saya dan Shahril akan dapat tinggal serumah. Tapi nasib tak menyebelahi apabila seorang pelajar lain memotong giliran di antara saya dan Shahril. Ya, itulah sahabat dari Parit Buntar dengan namanya Nazrul Suhaimi. Di akhirnya, saya menetap di rumah 405, Blok E KZ, manakala Shahril pula di blok yang sama, namun nombor rumahnya 305.

Pun begitu, walaupun tak serumah, persahabatan dengan Shahril menjadi sangat akrab. Walaupun semasa semester satu, memang semua kelas kami tak sama, namun kami menjadi sahabat karib.

Bersama-sama rakan serumah; dari kiri, Ilyas dan Romie pada minggu orientasi UPSI Julai 2010

Menanam pokok sewaktu di semester satu; Minggu Orientasi UPSI Julai 2010

Senyuman tatkala memilih juadah untuk berbuka di bulan Ramadan. Gambar tahun 2010, semester 1; satu-satunya Ramadan di UPSI.


Kisah rumah-rumah sepanjang 4 tahun di UPSI.
Sepanjang 4 tahun di UPSI, saya telah menetap di 4 buah rumah yang berbeza. Semester 1 dan 2, saya menetap di rumah 405, blok E,  Kolej Za’ba. Bermula semester 3 hingga semester 5, saya menetap pula di rumah 103, blok E, Kolej Za’ba. Apabila memasuki semester 6, saya berpindah ke Kolej Ungku Omar, blok 7, rumah 7-1-9. Semester tujuh, saya berpraktikum di Taiping dan menetap di rumah sendiri dan kembali semula di semester 8, saya sekali lagi menetap di Kolej Ungku Omar, kali ini di blok 8, rumah 8-G-3.

Kolej Za'ba UPSI yang bercirikan kediaman apartment

Kolej Ungku Omar UPSI, yang juga bericirikan kediaman apartment dengan bilik yang lebih luas

Kalau nak dibicarakan ahli rumah, memanglah ramai. Antara yang memang tak akan dilupakan ialah:
1.       Mahgfur (Bahasa Arab)
2.       Izzat (TESL)
3.       Romie (TESL)
4.       Ilyas (BM)
5.       Firdaus (BM)
6.       Fuad (PJK)
7.       Mad (PJK
8.       Lokman (Pendidikan Islam)
9.       Syed (PJK)
10.   Jasmi (Sejarah)
11.   Kamarul (Ekonomi)
12.   Jal (Kaunseling)
13.   Zul (Kaunseling)
14.   Amirul (Matematik)
15.   Khirrudin (Sejarah)
16.   Sheqal (Moral)
17.   Azrul (Pendidikan Awal Kanak-kanak)
18.   Irwan (Pendidikan Awal Kanak-kanak)
19.   Faiz  (IT)

Setiap semester, saya pasti akan ketemu dengan rakan sebilik yang baru. Maka sepanjang lapan semester di UPSI, saya mempunyai 7 rakan sebilik iaitu; Maghfur, Izzat, Lokman, Jasmi, Fuad, Amirul, dan Azrul. Ya, semuanya baik-baik belaka, tak pernah menyusahkan rakan sebiliknya.

Kisah bas UPSI
Barangkali bagi kebanyakan pelajar baru di UPSI pasca tahun 2013 terutamanya pasti tidak akan tahu kisah lama bagi perkhidmatan bas UPSI. Itulah yang terlintas di fikiran saya tatkala melihat perkhidmatan bas Kiffah yang kini disediakan di UPSI. Jika dulu, kami terpaksa menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan syarikat Suasana Edaran yang ternyata sangat teruk.

Pertama, keadaan bas yang disediakan sangatlah uzur. Saya masih ingat, pernah menaiki bas dari Pintu Timur ke Kolej Za’ba dan sepanjang perjalanan itu, pengdingin hawa tidak berfungsi manakala bau minyak petrol dapat dirasakan tatkala berada dalam bas itu. Itu belum masuk perkhidmatan yang ternyata langsung tidak memuaskan. Waktu ketibaan bas tidak pernah tepat dan ada waktunya bas yang disediakan tidak mencukupi.

Kalau nak ke Pintu Timur, jumlah basnya tidak menentu. Ada kalanya terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sebelum dapat bertolak. Malah keadaan lebih menyeksakan andai kelas dari Taman Bernam kerana untuk mendapatkan perkhidmatan bas dari situ, memang sangat susah. Mungkin disebabkan faktor kesusahan itulah, maka di semester 3, saya menggunakan motosikal untuk bergerak. Mudah dan lebih menjimatkan masa walaupun terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk penggunaan minyak petrol.

Perkhidmatan bas Suasan Edaran (2010-2013) memang sangat mengecewakan

Ya, kini semuanya berubah. Syarikat bas Kiffah ternyata memberikan perkhidmatan yang cukup baik dan menyelesakan. Saya pernah mencuba sekali menaiki bas ini di minggu-minggu terakhir di UPSI. Ternyata memang beruntung pelajar UPSI kini.

Semester 3 (2011), saya mulai menunggang motosikal di UPSI disebabkan masalah bas yang sangat teruk ketika itu.

Kelas di Taman Bernam dan Proton City
Masih teringat di kotak fikiran tatkala kampus baru UPSI masih lagi dalam pembinaan sekitar tahun 2010 dan 2011. Pada waktu itu, kelas dan kuliah UPSI dibahagikan kepada tiga tempat. Pertama, di kampus induk; kedua, di Taman Bernam; dan ketiga, di Proton City. Seingat saya, semasa di semester 1 dahulu, kelas banyak di Proton City. Dah harus diakui, kelas dan kuliah di bangunan Proton ini ternyata cukup menyeronokkan. Memang terasa kecanggihan bangunannya sepanjang berkuliah di sana.

Kuliah di Proton City adalah antara kenangan terindah di UPSI

Suasana tempat menunggu bas di Proton City. Kesemua perkhidmatan bas ke PC dari KZ dan KAB adalah di bawah pengurusan bas UPSI, bukannya Suasana Edaran.

Bagi kelas di Taman Bernam, saya harus akui memang tidak selesa di sana. Sederet lot rumah kedai di Taman Bernam disewa UPSI dan dijadikan sebagai bilik-bilik kuliah. Kelasnya agak sempit dan andai kapasiti pelajarnya ramai, maka keadaannya ternyata kurang selesa. Kelas di Taman bernam terus kekal sehinggalah kampus baru UPSI dibuka pada pertengahan tahun 2011.

Kelas di Taman Bernam memang sangat tidak selesa disebabkan ruangnya yang sempit

Di kampus induk, tahun 2010 menyaksikan bangunan E-Learning dibuka kepada umum. Bangunan setinggi 6 tingkat ini (kalau tak salah) merupakan kompleks bangunan kuliah yang tercanggih dan terbesar di UPSI. Malah bangunan ini juga merupakan bangunan tertinggi di Tanjung Malim, menjadi lambang kebanggaan warga UPSI. Harus diakui, saya memang sangat kagum dengan reka bentuk bangunan ini, tak terlintas di fikiran akan kecanggihannya. Banyak kelas saya diadakan di sini, dan suasana kuliah di sini memang sangat menyelesakan.

Bangunan E-Learning, kebanggaan warga UPSI

Ruang legar aras 1, bangunan E-Learning

Bahagian timur bangunan E-Learning
Kelas-kelas yang tidak dapat dilupakan di UPSI.
Saya masih ingat, kuliah pertama saya di UPSI ialah kuliah bagi subjek Pembangunan Sahsiah yang diajar oleh Dr Muzaffar. Kelas tersebut berlangsung di Taman Bernam dengan kapasiti kelas seramai lebih 50 orang. Kelas tersebut adalah pada hari Isnin, dari jam 8 hingga 10 pagi dan pada hari Rabu, dari jam 8 hingga jam 9 pagi. Subjek Pembangunan Sahsiah ialah subjek universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar tidak mengira bidang kursus.

Kalau nak dikenang kembali, kelas kegemaran sudah semestinya kelas yang dikendalikan oleh Mr. Sidek dan Dr Lajiman. Dua pensyarah ini ialah pensyarah kegemaran saya, malah mungkin juga menjadi pensyarah kegemaran bagi kebanyakan pelajar TESL di UPSI.

Saya mula mengenali Dr. Lajiman apabila beliau mengajar saya subjek Introduction to English Literature sewaktu di semester 2. Pada waktu itu, gaya penyampaian kuliah beliau agak kaku disebabkan beliau masih baru di UPSI. Semester berikutnya, beliau mengajar saya lagi dan kali ini untuk subjek Critical Apreciation of Drama. Kemudian, sewaktu di semester 5 pula, beliau sekali lagi mengajar untuk subjek Selected Novels and Short Stories di pertengahan semester setelah pensyarah asal bagi subjek ini telah dikenakan tindakan tatatertib. Kemudian, apabila saya di semester akhir, beliau sekali lagi mengajar saya untuk subjek Post Colonial Literature. Oh ya, saya harus akui, Dr Lajiman mempunyai pemikiran yang unik dan kritis. Seringkali beliau membincangkan isu-isu semasa dan pendapat dan pandangannya ternyata cukup berbeza. Oh ya, seperkara lagi, sepanjang beliau menjadi pensyarah saya untuk 4 subjek, markah assignment yang diberikannya memang tak pernah mengecewakan. Pasti tersenyum tatkala melihat carry mark di UPSI Portal.

Seorang lagi pensyarah kegemaran saya ialah Mr Sidek yang mengajar saya subjek Literary Criticism sewaktu saya di semester 3. Kemudian pada semester 4, beliau mengajar saya lagi untuk subjek Selected Poems in English. Mr Sidek orangnya memang agak santai dan barangkali juga sempoi dalam penyampaian kuliahnya. Seringkali ketawa dan senyum tatkala berkuliah dan tatkala berada dalam kelasnya, memang rasa sangat seronok dan selesa. Sama seperti Dr Lajiman, Mr Sidek juga agak kritis dan kritikal dalam memberikan pendapatnya. Ya, di bawah Mr Sidek juga, carry mark bagi setiap assignment memang tak pernah mengecewakan.

Bersama Mr Sidek pada kelas terakhir dengannya di semester 4

Selain itu, saya juga masih teringat akan kelas Computer-assisted Language Learning atau CALL yang diajar oleh Madam Leela. Kelas yang berlangsung selama 3 jam, bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari pada hari Rabu ini ternyata sangat menyeronokkan. Pertama, kerana kelas ini melibatkan penggunaan komputer. Kedua, kelas ini diajar oleh Madam Leela seorang pensyarah yang paling sporting yang pernah mengajar saya. Caranya mengajar tak ubah seperti seorang ibu mengajar anaknya, penuh dengan ciri-ciri keibuan. Beliau juga merupakan pensyarah kegemaran saya sepanjang belajar di UPSI.

Oh ya, juga tidak dilupakan pensyarah-pensyarah yang ‘menggerunkan’ sepanjang berada di UPSI ini. Di semester 1, Dr Hasimah Ja’far ialah pensyarah yang seringkali mencetuskan debaran setiap kali hendak ke kelasnya. Dr Hasimah mengajar subjek Linguistics for ESL Teachers, dan cara pengajarannya bukanlah tipikal pengajaran orang Malaysia. Dalam setiap kuliahnya beliau pasti akan memberikan kata-kata dan nasihat inspirasi untuk menjadi guru yang baik apabila mengajar nanti.

Semasa di semester 3, Dr Maizatul menjadi satu debaran. Beliau mengajar subjek Second Language Acquisition. Saya masih ingat, kelasnya ketika itu di Taman Bernam, bilik kuliah 1. Bermula jam 10 pagi hingga 1 petang, hari Rabu, kelasnya memang menguji mental. Bayangkan dalam tempoh tiga jam itu, akan mendengar kuliahnya tanpa henti. Mata kena fokus dan hatta nak bercakap sedikit pun susah. Kalau bercakap, mungkin akan kena marah. Dr Maizatul mungkin antara pensyarah yang agak tegas ketika mengajar namun beliau mempunyai pengetahuan yang cukup tinggi.

Tidak dilupakan ialah Dr Hashimah Isa yang ternyata mencipta satu kisah yang tak akan dilupakan oleh kesemua pelajar TESL ambilan Julai 2010. Gara-gara dikatakan tidak professional ketika mengajar, maka beliau dikenakan tindakan tatatertib yang menyebabkan tempat beliau kemudian diganti oleh Dr Lajiman dan Mr Sidek. Namun harus diakui, Dr Hashimah memang sangat tegas dan sangat garang di kelas. Barangkali kelas paling menakutkan sepanjang berada di UPSI.

Seorang lagi pensyarah yang pasti mendebarkan tatkala kelas bermula ialah kelas Dr Noraini. Pada semester 6, saya mengambil kelas Reflections in Classroom Practice yang diajar beliau. Dr Noraini memang cukup tegas dan pentingkan disiplin di kelas. Kalau lambat ke kelas, maka memang takkan ada peluang untuk masuk disebabkan kelas dikunci beliau.

Seorang lagi pensyarah yang agak tegas di kelas ialah Dr Mazura yang mengajar saya untuk subjek Language Test sewaktu di semester 5. Apa yang mendebarkan di kelasnya ialah cara pengajarannya tidak dapat dijangka oleh pelajar. Ada waktunya bukan beliau yang memberi kuliah, tetapi para pelajar yang akan memberikan pendapat dan pemahaman mereka di kelas. Ya, assignment subjek ini antara yang cukup sukar untuk disiapkan.

Oh ya, selain itu tidak dilupakan juga buat pensyarah-pensyarah lain seperti Dr Ghani yang mengajar subjek Malaysian Literature in English dan subjek Literature for Young Adults, Dr Intan (Reading Skills dan Material Development for the Language Classroom), Dr Azizah (Wrting Skills dan Seminar Refleksi Latihan Mengajar), Dr. Napisah (English Grammar dan Syntax and Morphology), Dr Che Ton (English Phonetics and Phonology), Dr Mahendran (English for Science and Technology dan penyelia praktikum), dan paling tidak akan dilupakan, Dr Raja Safinas yang mengajar saya untuk subjek Discourse Analysis dan subjek KPD. Kalau nak disenaraikan kesemua pensyarah, memang banyak.

Rakan-rakan di UPSI
Kalau nak dibicarakan soal kenalan dan rakan di UPSI memang sangat banyak. Namun rakan yang pasti disebut dahulu ialah Shahril Saibon yang merupakan kawan karib saya. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, saya mengenali Shahril sejak hari pertama lagi di UPSI. Sejak dari semester 1 sehinggalah ke semester akhir, saya dan Shahril memang menjadi sahabat rapat. Malah sewaktu berpraktikum di semester 7, Shahril berpraktikum bersama dengan saya di SMK Dr Burhanuddin, Taiping.  Apabila menjadi sahabat rapat, maka banyaklah rahsia dan kisah-kisah yang tak diceritakan pada orang lain menjadi perkongsian hati. Kalau ada masalah, kami akan kongsikan, dan kadangkala menyelesaikan masalah itu. Shahril banyak berkongsi kisah keluargnya dan begitu juga saya. Saya mengenali dengan baik ahli keluarga Shahril, malah pernah pergi ke Seremban beberapa kali bermalam beberapa hari di rumahnya. Dalam soal rahsia, banyak yang kami kongsikan. Soal cinta, soal masalah hati dan perasaan, soal kemusykilan agama, malah bicara politik; semuanya dikongsikan. Shahril orangnya bersifat selektif dalam memilih rakannya, dan hanya saya sahaja yang mampu memahami sikap dan caranya. Harus sayu akui, sepanjang 4 tahun di UPSI, Shahril banyak membantu saya. Tak terhitung jasanya, dan saya harus akui saya sangat-sangat berterima kasih dengannya. Seperkara yang menarik mengenai Shahril ialah caranya berfikir yang dilihat agak kritis dan berbeza dengan orang lain. Ditambah pula dengan kemampuannya untuk berbicara dengan petah, maka itu menjadi tarikan untuk rakan-rakan lain. Seperkara lagi, Shahril mempunyai satu nilai keyakinan diri yang tinggi. Maka, apabila melakukan sesuatu perkara dan tindakan , Shahril memang berani melakukannya.

Bersama Shahril sebelum solat Jumaat; Semester 8 2014

Tidak dilupakan juga ialah rakan-rakan serumah saya sewaktu di semester 3 hingga semester 5 iaitu Fuad dan Mad yang merupakan pelajar PJK. Dua sahabat ini walaupun tak sama bidang pengajian namun mereka sangat rapat dengan saya. Kata orang, bila pemikiran sekepala, maka dengan mudah boleh jadi akrab. Malah, Shahril sahabat karib saya juga rapat dengan Fuad dan Mad. Fuad berasal dari Ampang manakala Mad berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Saya mengenali mereka apabila tinggal serumah sewaktu di semester 3. Fuad orangnya memang agak gila-gila juga seringkali mengusik rakan-rakan yang lain, manakala Mad orangnya senyap, namun bila bercakap memang mampu mengusik rakan yang lain.

Rakan-rakan serumah E103, Kolej Za'ba, blok E. Dari kiri, Mad, Jal, dan Fuad.

Tidak dilupakan juga rakan-rakan lain seperti Jal yang hanya dikenali selama satu semester sewaktu saya di semester 5 dan Jal di semester 8. Namun, sehingga kini saya masih berhubung dengan Jal yang berasal dari Baling. Selain itu, saya turut mengenali Kamarul, pelajar jurusan Ekonomi dan kini berada di semester 4 di UPSI. Kamarul berasal dari Pahang dan saya mengenalinya sewaktu tinggal serumah di Kolej Za’ba dahulu. Lokman pula seorang lagi kenalan dari Pahang, merupakan pelajar Pendidikan Islam yang menetap serumah dengan saya sewaktu di semester 3 dan 4. Orangnya sangat pandai mengaji al-Quran dan sangat sedap mendengar alunan bacaannya.

Bersama Lokman di Dewan Kolej Za'ba

Saya turut mengenali rakan-rakan perempuan. Di awal semester, saya cukup rapat dengan Syuhadah Omar yang berasal dari Negeri Sembilan. Syu orangnya sangat ceria sewaktu di awal semester dan agak gila-gila perwatakannya. Malah, disebabkan gila-gilanya itu saya tertarik untuk berkawan dengannya. Kini Syu dah menjadi tunangan orang dan harus diakui Syu kini lebih matang dan tidak dapat dinafikan, kni saya tak begitu rapat lagi dengannya.

Bergambar bersama Syu sewaktu di semester 1

Turut tidak dilupakan ialah Shahrul Adina, rakan dari Sabah. Orangnya agak garang dari sudut perwatakannya, dan kelihatan agak petah berbicara. Saya agak rapat dengannya sewaktu di semester 1 dan 2 kerana jadual kuliah kami 100 peratus sama. Maka, setiap kali ada kelas, saya pasti akan mengadap mukanya. Orangnya dilihat agak urban, malah kalau dilihat dari sudut tutur bicaranya, memang tak sangka Adina ini orang Sabah; disebabkan Adina dapat mengubah lenggok bahasanya dengan mudah menjadi orang Semenanjung.

Seorang lagi kenalan yang rapat dengan saya ialah Hamidah Ainun yang saya kenali sejak semester 1 lagi. Hingga kini, Hamidah masih seperti dulu perwatakannya; mudah dan sangat ramah dengan orang lain. Banyak bercakap dan seringkali menceriakan suasana. Hamidah berasal dari Kedah dan agak seronok berbual dengannya kerana loghat utaranya memat pekat. Selama 4 tahun berada di UPSI, inilah satu-satunya rakan perempuan saya yang masih kekal seperti dulu. Tak pernah berubah dan masih lagi rapat dengan saya.

Rakan-rakan TESL sedang menunggu bas di Proton City. Gambar semester 1, tahun 2010. Dari kiri; Lisa, Hamidah, Adina, dan Ain Sakinah
Nor Farhana pula saya kenali di pertengahan semester 2, kalau tak salah saya. Orangnya kecil berasal dari Pahang. Farhana sangat fasih berbicara Bahasa Inggeris; mungkin itu sebabnya dia menyertai pasukan debat. Saya mengenali Farhana dengan lebih rapat apabila sekelas dengannya untuk kelas Introduction to English Literature yang diajar Dr Lajiman. Sewaktu tugasan berkumpulan, saya sekumpulan dengan Farhana. Kami dikehendaki untuk membuat pameran mengenai English Literature di bangunan E-Learning sebagai tugasan berkumpulan. Seperkara yang membuatkan saya mengenali Farhana adalah disebabkan beliau menjadi pembaca setia blog saya, dan menjadi pembaca setia siri novel Adina yang telah saya tulis sejak di semester 1 lagi.

Gambar selfie bersama rakan-rakan TESL. Paling hadapan ialah Farhana. Hisham di sebelah kanan dan disebelahnya itu ialah Sheera
Saya juga turut mengenali gadis comel (barangkali) dari Selama, Perak. Itulah Cik Ju atau nama sebenarnya Nurul Najjua yang merupakan pelajar Pendidikan Moral. Saya mengenali Ju sewaktu di semester 4, iaitu ketika sekelas dengannya untuk subjek 2P. Bermula dengan sekadar mesej usik-mengusik di Facebook, akhirnya saya dan Ju menjadi rakan baik. Kalau nak diikutkan banyak yang telah dibicarakan di Facebook dan di mesej-mesej di telefon. Antara rakan yang cukup baik yang pernah saya kenali di UPSI.


Cik Ju, sahabat yang dikenali sewaktu di semester 4

Oh ya, lupa pula untuk disenaraikan rakan-rakan sekursus dengan saya. Antaranya ialah Romie Abbas yang berasal dari Tawau, Sabah. Orangnya memang gilakan anime. Kalau bab berbicara, Romie memang mempunyai kesungguhan untuk meyakinkan orang lain. Selain itu, saya tidak akan melupakan rakan sebilik saya iaitu Izzat yang berasal dari Perlis. Izzat banyak membantu saya di semester 2 tatkala pada waktu itu kesihatan saya tidak begitu baik. Saya juga tidak akan melupakan Hisham yang jauh lebih tua dari saya. Berasal dari Tapah, Hisham memang sangat matang dari sudut pemikiran. Saya mula rapat dengannya semasa di semester 5, apabila sekelas dengannya dalam kelas KPD Dr Raja. Apabila bercakap mengenai Hisham, maka pasti akan terlintas Sheera. Sama seperti Hisham, Sheera merupakan seorang yang sangat matang dan kelihatan sangat ceria apabila bertemu dengan orang lain. Ibarat isi dan kuku, ke mana Hisham ada, pasti Sheera akan ikut serta.

Romie memang akan senantiasa ceria dalam kelas
Tidak dilupakan juga ialah sahabat yang saya kenali ketika menyertai Kelana Siswa di UPSI. Sauadar Syazwan yang berasal dari Baling, Kedah dengan jurusan PJK. Orangnya pendiam, namun pemikirannya sangat kritis dan kritikal. Saya suka berbual dengannya kerana perbualan yang akan tercipta memang sangat-sangat bijak dan bernas. Syazwan ini bolehlah dikategorikan sebagai orang yang bijak dari sudut cara berfikir.

Bersama Syazwan, bergambar kenangan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI

Ya, kalau nak berbicara mengenai rakan memang sangat banyak dan mungkin sangat panjang. Saya konklusikan rakan-rakan saya di semester 8. Paling tidak dilupakan ialah rakan serumah saya iaitu Khirrudin, Azrul, Syeqal, Irwan dan Faiz. Kesemua mereka merupakan pelajar semester akhir dan sangat senang untuk serumah dengan mereka.

Bersama Khirrudin di UPSI

Bersama Azrul di Cameron Highlands

Oh ya, terlintas pula di fikiran mengenai rakan-rakan dari kursus lain. Antara namanya ialah Alif, Yoe, Wadie, Taufiq, Nazrul, Faizal yang semuanya dari kursus Bahasa Melayu. Tidak dilupakan juga ialah rakan sewaktu dalam organisasi Rakan Surau al-Falah iaitu Abang Amin, Abang Saifullah, Faisal, Asyikin, Saiful Islam dan ramai lagi.

Cukuplah sekadar itu bicara mengenai rakan. Banyak lagi kalau nak ditulis.

Kenangan-kenangan di UPSI
Kalau nak dibicarakan kenangan di UPSI memang sangat banyak. Namun antara kenangan yang tak dapat dilupakan ialah ketika berpraktikum di SMK Dr Burhanuddin. Selama 4 bulan, saya telah menjalankan tugas saya sebagai seorang guru pelatih bagi subjek Bahasa Inggeris. Pada awalnya, memang sangat sukar kerana saya tidak mempunyai sebarang pengalaman mengajar. Namun apabila telah biasa, memang menyeronokkan untuk mengajar para pelajar.

Sewaktu di semester 2, saya terlibat dengan program baktisiswa di sebuah perkampungan Felda di Melaka (Felda Kemendor). Itulah satu-satunya program baktisiswa yang saya sertai, dianjurkan oleh Kolej Za’ba. Di sana, saya tinggal dengan keluarga angkat dan kebetulan keluarga angkat saya ialah pengurus Felda itu sendiri. Program selama 3 hari itu memang sangat menyeronokkan dan masih segar dalam ingatan.

Bergambar bersama keluarga angkat sewaktu baktisiswa UPSI di Felda Kemendur, Melaka

Namun, banyak memori indah tercipta ketika saya terlibat dengan aktif dalam Rakan Surau al-Falah UPSI. Sebagai Naib Pengerusi dan Bendahari, saya telah terlibat dengan banyak program anjuran rakan surau. Paling tidak dilupakan ialah program motivasi Amin Idris, kerana saya dapat berbual secara langsung dengannya ketika itu selaku AJK Pelaksana. Saya banyak belajar tentang soal berorganisasi sewaktu berada dalam Rakan Surau.

Sebagai Timbalan Pengerusi dan Bendahari Rakan Surau (2010-2012)

Surau al-Falah UPSI

Tidak dilupakan juga ialah Literature Day 2014 yang berlangsung sewaktu di semester akhir. Di bawah kelas Literature for Young Adults yang diajar oleh Dr Ghani, semua pelajar TESL yang mengambil subjek itu diwajibkan untuk mengadakan pameran pada Literature Day. Setiap orang akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan harus memilih satu novel pilihan masing-masing untuk dipersembahkan dalam pameran itu. Saya sekumpulan dengan Ann, Adina, Maizatul, Asmah, dan Adang. Kumpulan yang saya fikir sangat unik dan ternyata seronok bekerja dengan mereka. Oh ya, hakikatnya Literature Day merupakan program terakhir TESL semester 8, dan ternyata masing-masing lebih banyak mengambil peluang yang ada itu untuk bergambar kenang-kenangan; terutamanya selfie.

Bersama rakan sekumpulan untuk Literature Day 2014. Dari kiri; Maizatul, Asmah, Ann, Yazid (saya), Adina, dan Adang

Penutup
Hakikatnya memang sangat banyak kalau nak diceritakan mengenai kenangan-kenangan yang telah dikutip sepanjang 4 tahun berada di UPSI. Tulisan ini hanya secebis sahaja daripada kenangan-kenangan itu. Hanya ditulis tatkala fikiran terlintas akan kenangan itu. Namun apa yang pasti, secebis kenangan yang tertulis ini diharap akan dapat memberikan senyuman tatkala ada yang membacanya.

Kini, semua kenangan itu akan tersimpan sebagai memori. Masing-masing sudah meninggalkan UPSI dan akan meneruskan pula perjalanan hidup sebagai seorang guru dalam masa terdekat. Memang agak sedih tatkala berpisah dengan rakan-rakan, namun tiap-tiap perpisahan itu adalah satu permulaan untuk perjalanan hidup yang baru.

Terima kasih buat semua yang telah saya kenali di UPSI sepanjang 4 tahun berada di sana. Dengan ucapan selamat maju jaya, maka diharapkan semuanya akan dapat mencapai impian dan cita-cita yang diharapkan. Insya-Allah, andai ada masa, maka kita ketemu lagi.

Salam buat semua. Mengundur diri seketika.