Khamis, 3 Julai 2014

Pagi Khamis: Gambaran salah yang digambarkan dalam drama dan novel






Agak lama juga slot Pagi Khamis tidak mengambil tempat di blog dan kali ini kesempatan itu diberikan. Maka, saat itu tercetus fikiran untuk mencari tajuk dan isu yang sesuai yang boleh diulas. Tatkala itu, timbul idea untuk memberikan pendapat barangkali mengenai trend yang telah menjadi kegilaan oleh kebanyakan anak muda pada hari ini terutamanya golongan remaja perempuan. Apakah trend itu? Ya, itulah obsesi untuk menonton drama televisyen adaptasi novel dan juga kegilaan untuk membaca novel-novel cinta. Namun apabila melihat trend ini, sedikit kerisauan timbul. Hakikatnya, banyak pandangan salah ditonjolkan dalam drama dan novel yang menjadi kegilaan itu. Entri ini diulas berkenaan pandangan salah yang dilihat betul oleh penonton.

Pertama, naik kereta berdua tidak menjadi masalah. Sesuatu yang normal.

Terutamanya dalam drama televisyen, babak menaiki kereta berdua dengan bukan mahram dilihat suatu kebiasaan dan normal. Situasi yang digambarkan dilihat tidak menjadi masalah, asalkan masing-masing tidak membuat perkara-perkara yang tak senonoh. Seringkali digambarkan dalam drama, lelaki itu bersikap ‘gentlemen’; tidak akan mengusik hatta sedikit pun si wanita itu. Hakikatnya, secara dasar agamanya, adalah haram sama sekali untuk si perempuan mengikut si lelaki berdua-duaan menaiki kereta. Sebolehnya, dielakkan situasi sedemikian kerana perkara itu boleh mendatangkan fitnah. Malah, hakikatnya sikap ‘gentlemen’ lelaki bukanlah ada pada semua. Pasti akan ada lelaki yang mempunyai niat terselindung, dalam erti kata lain; lelaki walau setinggi mana pun imannya, nafsunya mungkin tertewas tatkala berdua-duaan dengan wanita.

Kedua, berbual dan bergayut di telefon di antara lelaki dan perempuan suatu kebiasaan.

Trend berbual dan bersms tanpa had di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah menjadi kebiasaan dan digambarkan dalam kebanyakan drama Melayu hari ini. Agak pelik pula tatkala watak yang digambarkan cukup Muslimah, bertudung litup bak ustazah, namun boleh pula bergayutan dan bersms dengan lelaki bukan mahram menerusi telefon. Hakikatnya, situasi sedemikian amatlah tidak digalakkan, kerana tiap-tiap perbualan dan sms yang dihantar itu, adalah punca-punca kepada tercetusnya zina di hati. Bukanlah menyatakan bahawa bersms dan berbual di telefon di antara lelaki dan perempuan itu salah, namun kadangkala apa yang digambarkan di TV dan novel itu dilihat agak keterlaluan dan menampakkan betapa batas pergaulan itu tidak dijaga. Contoh yang terdekat ialah menerusi drama yang sedang popular ketika ini, Kerana Terpaksa Aku Relakan. Menerusi drama ini, watak Indah dilihat begitu mudah berbual menerusi telefon dengan Zin, sehingga kadangkala dilihat agak keterlaluan perkara yang dibualkan, walhal Indah itu gadis bertudung.



Ketiga, pegang tangan itu tanda romantis, tanda ambil berat.

Memang sejak dari dulu lagi, babak pegang tangan itu menjadi satu kebiasaan dalam drama mahupun filem. Sehingga kini, babak itu ibarat satu perkara wajib yang mesti muncul dalam sesebuah drama; seperti filem-filem Hollywood yang ‘wajib’ ada babak bercium dalam filemnya. Pandangan salah seringkali tercetus tatkala babak-babak pasangan kekasih itu berpegang tangan dan digambarkan bahawa berpegangan tangan itulah menunjukkan nilai-nilai romantis. Situasi ini mencetuskan pandangan bahawa kalau nak bercinta mesti kena bersentuh-sentuhan, wajib untuk berpegangan tangan. Hakikatnya, selagi tidak ada ikatan yang sah, maka adalah haram sama sekali untuk menyentuh hatta sedikit pun tubuh yang bukan mahram. Situasi ini lebih tak enak tatkala babak berpegangan tangan itu melibatkan watak wanita bertudung dengan lelaki bukan mahramnya. Agak jelik tatkala watak bertudung itu digambarkan sangat kuat pegangan agamanya, namun pada masa yang sama boleh pula dengan mudah berpegangan tangan dengan lelaki bukan mahram dalam drama itu.

Keempat, wataknya bertudung  tetapi bila tetamu datang ke rumah tudung tidak dipakai.

Mungkin salah faham atau kurang memahami dari sudut konsep menutup aurat, ada ketikanya drama yang mengetengahkan watak wanita bertudung itu dilihat tidak benar-benar memahami konsep sebenar menutup aurat. Sebagai contoh, dalam drama Love You Mr. Arrogant, watak Zara yang ternyata bertudung di luar, namun tatkala berada di rumah dan tetamu muncul, Zara dilihat membiarkan sahaja rambutnya itu dilihat tetamu tersebut tanpa diusahakan untuk ditutup rambut tersebut. Situasi ini mungkin akan mewujudkan salah faham bagi mereka yang kurang arif tentang soal menutup aurat yang memungkinkan wujud pandangan bahawa; “orang luar tak mengapa lihat aurat wanita kalau berada dalam rumah”

Sebagai pengarah atau penerbit sesebuah drama, malah yang lebih penting buat si penulis skrip, seharusnya mereka perlu lebih peka dalam soal menonjolkan watak wanita bertudung. Mereka perlu memahami garis panduan dan tatacara yang sebenar dalam soal menutup aurat supaya tidak menimbulkan salah faham hingga mewujudkan pandangan salah yang menyebabkan penonton di luar sana terikut ‘mazhab’ baru bersumberkan televisyen.



Kelima, terlanjur itu tak apa kerana nanti boleh bertaubat dan akan muncul ‘hero’ menyelamatkannya.

Entah di mana silapnya, sama ada memang mahu memberi pengajaran kepada penonton atau mungkin disebabkan penonton suka akan subjek sedemikian, setiap drama kebanyakannya pasti akan mengangkat tema gadis terlanjur dan kemudian akan insaf di penghujung jalannya. Perbuatan zina dipaparkan sebagai normal dan tidak ada apa-apa, dan sekiranya telanjur; masing-masing buat seperti biasa; tidak ada apa yang perlu disesalkan. Jika tidak pun, si gadis yang telanjur itu akan menemui bahagia juga di akhirnya. Dalam erti kata yang mudah, drama-drama Melayu yang diadaptasi dari novel cinta ini kelihatan menyatakan bahawa maruah yang dirobek tidak menjadi masalah, kerana di akhirnya bahagia akan dirasai. Situasi akan memberi persepsi bahawa maruah diri itu bukanlah sesuatu yang penting untuk dijaga. Bahaya, andai mesej inilah yang difahami terutama golongan remaja perempuan.

Keenam, kekayaan itu bahagia abadi

Bukan bersifat anti-feminis, namun kebanyakan novel cinta yang hangat di pasaran ditulis oleh penulis wanita dan majoritinya terdiri daripada mereka yang belum berkahwin. Maka, secara umumnya, kebanyakan penulisan mereka adalah lebih kepada fikiran fantasi sahaja, bukannya berdasarkan pengalaman dan realiti. Hasilnya, maka terjadilah jalan cerita yang sangat tipikal; si gadis miskin di kampung kemudian jatuh cinta dengan anak Datuk dan Tan Sri yang semuanya ahli korporat syarikat-syarikat besar di Kuala Lumpur. Dalam hubungan cinta yang terjalin di antara mereka ini, maka muncullah orang ketiga yang sangat-sangat jahat (walaupun hakikatnya perwatakannya tidak logik dalam dunia realiti).

Tak cukup dengan itu, dunia korporat yang ditonjolkan pula sangatlah tipikal; wajib berkot dan bertali leher ke hulu dan ke hilir walaupun di tengah terik mentari, dan menjadi kewajipan memandu kenderaan-kenderaan mewah; dalam senarainya seperti BMW, Mercedes, Audi dan sebagainya. Realitinya, dunia korporat bukanlah diuliti dengan kemewahan semata-mata, bukan bercirikan kosmetik yang dilihat indah dipandang secara luarannya. Hakikatnya, kebanyakan penulis novel tidak pernah pun melalui dunia korporat yang sebenar; hanya membayangkannya sahaja menerusi imaginasi.

Dari penulisan mereka ini, maka diadaptasikannya ke bentuk drama televisyen. Di akhirnya akan terwujudlah dunia kekayaan yang lebih bersifat angan-angan, menyaksikan bahawa banglo, kereta mewah, syarikat besar menjulang tinggi di pencakar langit, dengan golongan Datuk, Tan Sri, dan Datin menguasai jalan cerita. Pandangan salah akan terwujud tatkala penonton akan merasakan bahawa kebahagiaan dapat dicipta sekiranya berjumpa dengan si kaya anak Datuk yang menetap di ibu kota.

Soalnya bahagiakah cinta dengan kekayaan?

Di alam realiti, cinta itu bukanlah kesenangan dalam kekayaan. Cinta itu adalah pengorbanan yang dicurahkan dan di akhirnya mewujudkan ketenangan hakiki di dalam hati.

Pagi Khamis sekadar melontarkan pandangan terhadap trend terkini di televisyen. Tak salah untuk menyiarkan drama-drama sedemikian, namun pihak penerbit haruslah melihat pula dari sudut kelogikannya di dunia realiti supaya tidak wujud pandangan salah masyarakat terhadap sesuatu perkara. Ya, melihat kepada situasi budaya membaca di Malaysia, tatkala best seller buku dikuasai oleh buku fiksyen berjudul novel cinta, maka seharusnya kita boleh mengukur tahap dan pemikiran rakyat Malaysia. Tatkala rakyat lain terkejar-kejar dengan ilmu pengetahuan, masyarakat di negara kita alpa dengan terkejar-kejar kisah cinta dan angan-angan yang pada hakikatnya tak mungkin wujud di alam realiti. Itulah hakikatnya.

Sekadar itu sahaja perkongsian. Mohon mengundur diri.


p/s: Teringin nak lihat karya-karya sasterawan seperti Usman Awang, Pak Samad diangkat menjadi filem mahupun drama TV. Terbayang juga kalau karya-karya Ramlee Awang Murshid diangkat menjadi sebuah drama mahupun filem. Namun soalnya, apakah mendapat sambutan? Fikirkanlah.







Tiada ulasan :