Sabtu, 19 Julai 2014

Tasha Rozana: Kisah perkahwinan Tasha dan Fahmi





Masihkah kalian ingat akan kisah Tasha Rozana dan Fahmi Zahid? Kisah penantian Fahmi selama hampir dua tahun, mengharap agar sesuatu yang diimpikan menjadi kenyataan. Sampai ke satu tahap, Fahmi redha dengan ketentuan Ilahi, dicuba untuk melupakan hasrat hatinya untuk menjadikan Tasha sebagai isterinya. Namun saat hampir sahaja dilupakan Tasha itu, kisahnya menjadi berbeza. Tasha muncul semula dengan satu panggilan telefon ke rumahnya. Di kala itu, bunga mekar kembali. Tanpa disangka Fahmi, selama ini Tasha juga menyimpan perasaan terhadapnya. Syukurnya tak terkira buat Fahmi. Itulah kisah yang pernah dikongsikan.

Kini, setelah hampir setahun kisah Tasha Rozana ini tidak dikongsikan, maka kemunculan semulanya akan menyambung kisah mereka. Kisah perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan. Sebuah kisah kerahsiaan barangkali, menguji kesabaran dan menduga ketabahan.

Kisahnya diteruskan:
Tatkala diketahui akan hal sebenar, apabila Fahmi menerima panggilan telefon yang tak disangkanya dari Tasha, yang hampir dua tahun menghilang, maka pasti sesuatu perkara yang kebiasaan akan menjadi berlainan. Memang di awalnya Fahmi dilanda kejutan, bagai tidak percaya bahawa Tasha kembali, dan yang lebih gembira apabila kemunculan semula Tasha itu adalah untuk menyatakan kesudiannya menerima Fahmi sepenuhnya. Impian yang telah lama diharapkannya telah menjadi kenyataan.

Kisah pertama, setelah panggilan telefon dari Tasha itu, maka Fahmi terus menyatakan perkhabaran itu kepada ibunya dahulu. Dinyatakan akan kisah Tasha, satu pengkisahan yang selama ini dirahsiakan daripada ibunya itu. Hasrat hati Fahmi untuk menjadikan Tasha sebagai isteri itu telah lama wujud, iaitu dua tahun sebelumnya tatkala Fahmi baru sahaja menjadi mahasiswa universiti. Namun semuanya dirahsiakan dari pengetahuan keluarga. Mungkin masih terlalu awal walaupun telah bersedia.

Namun, perbincangan dilakukan. Dinyatakan satu persatu siapa Tasha dan mengapa Tasha. Dinyatakan dengan jelas niat di hatinya. Mengharap menjadi isteri, itulah Tasha namanya. Di usia 24 tahun, barangkali masih muda. Bicara perkahwinan mungkin dilihat belum bersedia. Namun, mungkin masanya telah tiba, maka ibunya faham akan anaknya. Lantas dinyatakan pula kepada ayahnya. Perbincangan bermula, memikirkan masa depannya. Tiba masanya, perancangan diaturkan. Perjumpaan dengan ayah dan ibu Tasha, itulah yang difikirkan oleh ibu dan ayah Fahmi.

Di awalnya, memang ibu Fahmi terkejut. Tidak disangka, anaknya itu sudah memikirkan soal perkahwinan. Walaupun masih bergelar seorang pelajar universiti, hasrat di hati tak boleh dibiarkan. Apabila tercetus saja niat itu, maka seeloknya dipermudahkan. Moga dipercepatkan, itulah yang dinyatakan ayahnya, tatkala ibunya masih teragak-agak; masih tidak bersetuju dengan hasrat Fahmi untuk berkahwin.

Kata ayahnya; “Buat apa yang termampu. Wajib itu diutamakan, selebihnya sekadar sampingan. Kalau itu dah jodohnya, jangan dihalang. Kita tolong selagi boleh”

Beberapa hari kemudian, di satu hari minggu, setelah alamat rumah Tasha diminta Fahmi, maka ibu dan ayah Fahmi berkunjung ke rumah Tasha. Saat itu, Tasha tiada di rumah. Tasha berada di ibu kota, bekerja di sana. Fahmi pula berada di universiti, terus sibuk dengan pengajian. Kisah orang tua bertemu dengan orang tua. Maka perjumpaan yang diatur itu disambut penuh mesra oleh kedua ibu bapa Tasha.

Maka, dinyatakan tujuan kunjungan itu. Nama Fahmi disebut, dan hasrat hatinya itu dinyatakan. Ibu dan ayah Tasha tidak dilanda kejutan, kerana masing-masing telah tahu niat murni Fahmi itu. Tasha telah memaklumkan dahulu sebelum kunjungan ibu bapa Fahmi itu. Lantas dengan mudah, hasrat hati itu diterima orang tua Tasha. Persetujuan dicipta dan perbincangan seterusnya bermula.

Perkara pertama yang bermain di fikiran, bilakah akan dilangsungkan majlisnya? Tatkala itu, perbincangan rancak kedengaran. Di sebelah pihak Fahmi, ayahnya ternyata tidak kisah tarikhnya namun ibunya ternyata lebih teliti. Ibunya berharap, walau bila pun tarikhnya, biarlah Fahmi bersedia fikiran dan lahiriahnya. Biarlah Fahmi kukuh kewangannya, barulah boleh dilangsungkan majlisnya.

“Soal wang, kita boleh sama-sama tolong. Mana yang tak cukup, kita sama-sama ringankan”

Itulah kata bapa Tasha.

Bagi ayah Fahmi pula, kalau itulah kehendak Fahmi mahu beristerikan Tasha, maka seharusnya dipercepatkan. Kalau dah jodoh tak ke mana, namun kalau dibiarkan tak diikat dengan adatnya, maka tak mustahil juga jodohnya itu pergi begitu sahaja. Itulah fikiran ayah Fahmi. Wajib itu diutamakan, dan yang sampingan itu andai ada kemampuan, maka laksanakanlah.

“Apa yang penting, Tasha dan Fahmi berkahwin  di akhirnya,” kata ayah Tasha.

Persetujuan ternyata dicapai. Fahmi dan Tasha akan disatukan. Langkah seterusnya adalah menetapkan tarikh pertemuan berikutnya. Pertemuan bagi meletakkan tanda kepada Tasha. Cincin tanda akan disarungkan, sebagai bukti Tasha telah berpunya. Semuanya dibincangkan pada pertemuan pertama dan persetujuan dicapai, sebulan tarikhnya, maka kunjungan kedua cincin tanda akan diaturkan.

Perkhabaran itu ternyata memberi keterujaan buat Fahmi. Sekelip mata rezekinya murah, menghilangkan resah dan masalah. Persoalan jodoh bukan lagi pertanyaan, tidak lagi tergantung meliar tanpa jawapan. Pertemuan orang tuanya bertemu orang tua Tasha menjadi satu tanda, jodohnya itu semakin dekat dengan Tasha.

Maka, sewaktu cuti pertengahan semester bermula, Fahmi pulang dengan hati girang. Di saat itu juga Tasha bercuti seminggu lamanya, meninggalkan sebentar kerjanya di ibu kota. Masing-masing pulang dengan tujuan yang sama. Itulah detik tatkala Tasha dan Fahmi akan dipertunangkan. Kisahnya, setelah pertemuan cincin tanda itu diselesaikan, maka diputuskan supaya ikatan pertunangan dipercepatkan. Dua minggu sahaja selepas tempohnya, maka tarikh pertunangan akan dilangsungkan.

Di hari pertunangan, seluruh keluarga Fahmi berombongan menuju ke rumah Tasha. Namun kisah pertunangan hanya berlegar dalam keluarganya kerana kerahsiaan menjadi keutamaan. Tiada siapa yang tahu hatta rakan karibnya tidak dikhabarkan. Tasha dan Fahmi sepakat untuk tidak menghebahkan kisah pertunangan mereka. Kata mereka, biarlah rahsia menjadi pemanisnya, supaya menjaga batas hubungan. Moga pertunangan itu tidak mengurangkan batas pergaulan yang masih lagi perlu dijaga. Perjanjian di antara Tasha dan Fami, dan masing-masing bersetuju.

Di hari pertunangan yang serba ringkas, rombongan keluarga Fahmi hadir diketuai bapa saudaranya. Cincin pertunangan akan disarungkan ibu Fahmi dan Tasha hanya menanti saat itu sahaja. Fahmi pula, hanya menunggu di rumah, sekadar mendengar perkhabaran yang disampaikan menerusi sms kiriman Tasha. Saat itu, bahagia tak tergambar dirasakan Fahmi. Tasha akhirnya akan menjadi tunangnya.

Cuti pertengahan semester telah berlalu, maka Fahmi kembali semula ke universiti. Tasha juga begitu, pulang semula ke ibu kota kembali bekerja. Tasha dan Fahmi hakikatnya belum bersua, setelah diikat dengan tali pertunangan. Maka, di saat masing-masing dilanda kesibukan, detik hati mula menyatakan apa yang terpendam. Bagai satu magnet, maka masing-masing mula semakin menghampiri jalinan yang lebih erat. Telefon menjadi penghubung dan sekali-sekala tatkala terdetik rasa rindu, Fahmi menelefon Tasha atau kadangkala Tasha membuat panggilan.

Semuanya berterusan sepanjang baki semesternya. Universiti Fahmi tidak jauh dari ibu kota dan Tasha pula seringkali menuju ke pekan kecil berhampiran universiti itu. Kampung neneknya tidak jauh dari univeriti Fahmi, dan mungkin juga pendorong kekerapan Tasha untuk pulang ke kampungnya. Tatkala pulang, maka Fahmi akan berjumpa dengannya. Ada waktunya, dijemputnya Fahmi datang ke kampung neneknya, menjamu selera dan kadangkala sekadar berbual-bual biasa. Ada waktunya juga, andai ada pasar malam di pekan, di hujung minggu mereka keluar bersama-sama. Sepetang dihabiskan di pekan dan kisah itu membimbangkan kedua orang tua mereka.

Mungkin di awalnya bersama-sama ke pasar malam, namun di masa depan tiada siapa yang menduga. Tatkala lelaki dan wanita dan hubungannya itu bukan mahram, maka bahayanya senantiasa ada. Kerisauan juga timbul tatkala hampir setiap hujung minggu Fahmi akan ke kampung Tasha dan Tasha pula pasti akan pulang ke kampung walaupun jauh dari ibu kota. Disebabkan resah itu maka, keputusan sepakat dibuat.

“Fahmi perlu berkahwin cepat”

Akad dan nikah
Kerisauan yang timbul mencetuskan satu langkah. Kedua-dua orang tua, maka diaturkan gerak. Fahmi dan Tasha harus diikatkan dengan sah, moga tak terjadi suatu yang salah. Secepat masa, perancangan disusun. Satu persatu pebincangan berlangsung. Menetapkan tarikh, menetapkan masa. Merancangkan tempat, merencanakan perjalanan majlis. Satu demi satu diputuskan dengan teliti. Masjlis perkahwinan Tasha dan Fahmi, itulah matlamatnya.

Semester lima Fahmi tamat, maka cuti semester pun bermula. Tatkala itu, satu sisi perjalanan baru akan tercipta. Segalanya telah diaturkan, hanya kaki sahaja yang perlu melangkah. Berkat ibu dan ayahnya, maka majlis yang asalnya dalam kemustahilan kini bertukar kenyataan. Walaupun Fahmi tiada kemampuan kewangan, namun semua itu dipermudahkan. Rezekinya menjadi murah dengan huluran bantuan ahli keluarga yang lain.

Bagi Tasha, kisahnya mungkin berbeza. Persiapan majlis lebih mudah kerana Tasha telah bekerjaya. Dengan sedikit bantuan dari ibu dan ayahnya, maka perjalanan majlis dapat direalitikan. Keluarga Tasha hidupnya senang. Bicara soal wang bukan keperluan.

Harinya telah tiba. Debaran terasa. Fahmi bersiap sedia, menanti dalam kesabaran. Saat seluruh ahli keluarganya bersedia, maka rombongan bergerak ke rumah Tasha. Suasana berbeza, Fahmi menenangkan diri. Sepanjang perjalanan, hatinya ditenangkan. Zikir di mulut pelengkap ketenteraman jiwa.

Tatkala tiba, maka terus disambut dengan penuh mesra. Lantas Fahmi berjalan menuju ke dalam rumah. Semua hadirin telah bersedia, hanya menanti perjalanan akad dan nikahnya. Tatkala Fahmi duduk di hadapan kadi, maka serentak itu Tasha keluar menyertai hadirin. Seri terpapar di wajah Tasha, menyatakan gembira terwujud dalam hatinya. Fahmi menjeling seketika sebelum melirik sedikit senyuman. Gembira di hati sukar dibicarakan.

Lantas semuanya bermula. Sejuk tangannya memang terasa, namun tenang pada wajahnya. Tatkala kadi melafazkan akadnya, maka dengan tenang Fahmi menyatakan lafaz nikahnya.

“Aku terima nikahnya Tasha Rozana binti Razali dengan maskawinnya seutas rantai emas”

Maka, sejarah tercipta. Selepas saat itu, Tasha ialah isteri Fahmi.  Majlis diteruskan dengan sarungan cincin sebelum dikucup dahi Tasha. Tatkala itu, Tasha mencium pula tangan Fahmi, yang kini suaminya. Semudah itu urusan berjalan, itu buktinya Allah mempermudahkannya.

Kisah rahsia perkahwinan Tasha dan Fahmi
Tidak ramai yang tahu. Perkahwinan di antara Tasha dan Fahmi hanya dihebahkan sesama keluarga sahaja. Hatta seorang kenalan pun tidak diberitahu. Bukan disengajakan, namun disebabkan tiada kesempatan. Fahmi langsung tidak memberi perkhabaran perkahwinan kepada sesiapa pun. Rakan-rakan di universiti langsung tidak tahu majlisnya. Menjadi rahsia barangkali, dan terus disimpan walaupun Tasha telah menjadi isterinya.

Cuti semester dihabiskan dengan bulan madu mereka. Tatkala semester dibuka kembali. Fahmi kembali ke universiti dan Tasha ke tempat kerjanya di ibu kota. Masing-masing menjalani hidup seperti sebelumnya namun ikatan mereka telah berbeza. Di universiti, Fahmi terus berahsia akan statusnya. Semester enam sebagai suami, namun tiada siapa yang mengetahui. Di tempat kerja Tasha pula, ceritanya sama. Rakan-rakan sekerja masih menggelarkannya Cik, bukti tiada siapa yang tahu status terbarunya.

Semuanya berterusan sepanjang Fahmi di semester enam. Di hujung minggu, Fahmi akan ke ibu kota menemui isterinya di sana. Kadangkala Tasha pulang ke kampung neneknya, menemui Fahmi di sana. Ada ketikanya pula, Tasha bercuti dari kerja, bertemu Fahmi di universiti tatkala Fahmi kelapangan tiada kuliah dan kerja. Tatkala rindu dan jarak terpisah, maka menerusi telefon mereka berbual. Ada masanya berlaman sosial, webcam menjadi pengikat mesra. Setiap malam Tasha pasti akan menelefonnya, menceritakan segala kisah pengalaman kerja hariannya. Fahmi terus menjadi pendengar setia, sentiasa tersenyum dengan celoteh isterinya.

Masa depan Tasha dan Fahmi
Kini Fahmi telah tamat pengajiannya. Tasha pula sudah dua tahun bekerjaya. Saat ini, Fahmi menanti untuk tawaran mengajar, bakal menjadi pendidik sebagai kerjaya. Saat ini juga, Tasha masih bekerja di ibu kota, berjauhan lagi dengan Fahmi suaminya. Namun, perancangan diaturkan; tatkala Fahmi diketahui tempat mengajarnya, maka barulah mereka akan tinggal bersama.

Kini telah setahun usia perkahwinan mereka. Di masa depan, maka pastinya zuriat menjadi harapan. Mereka berusaha walaupun belum diberikan rezekinya. Insya-Allah, andai diizinkan-Nya, moga dikurniakan bayi comel buat mereka.

Itulah kisah Fahmi dan Tasha. Sebuah perjalanan akad dan nikah. Satu kisah realiti yang mungkin sangat hampir dengan kalian. Hanya yang memahami akan tahu siapakah Fahmi yang sebenar dan siapa pula Tasha dalam dunia realiti. Fahmi dan Tasha itu sekadar nama sandaran, kerana andai dinyatakan nama sebenarnya, maka pasti rahsianya bukan lagi rahsia.

Cukuplah sekadar bicara. Mungkin akan ada lagi kisahnya.















Tiada ulasan :