Tasha Rozana: Diari jodoh Fahmi
Ini adalah kisah Tasha Rozana dan Fahmi Zahid. Kisahnya
panjang, bermula dengan kemustahilan, namun masih lagi wujud harapan. Berkat
kesabaran, maka bahagia kini melanda Fahmi tatkala Tasha Rozana muncul semula
dalam hidupnya.
Kisah-kisah itu telah diceritakan dalam bicara-bicara
sebelum ini. Pendek sahaja kisahnya, namun mungkin ada maknanya.
Apabila semester baru bermula, maka kesibukan mula
melanda. Itulah yang dilalui Fahmi, melalui hari-hari baru tahun ketiga di
universiti. Semuanya sama sahaja setiap kali semester baru dibuka. Namun, untuk
kali ini, perbezaan dilaluinya.
Kerana Fahmi dilamun bahagia di atas penerimaan Tasha.
Maka di satu petang yang lapang, secara spontan nukilan
panjang diluahkan. Itulah bicara diari Fahmi Zahid. Bicaranya bermula begini:
* * *
Macam mimpi pula, petang Jumaat yang lalu, Tasha
tiba-tiba telefon. Ah, dah lama Tasha tak pernah dihubungi. Ibarat hampir
terputus hubungan aku dengan Tasha. Mana mungkin ada lagi harapan nak
realitikan impian selama ni.
Yalah, bukan tak dicuba nak cari yang lain, tapi bila
dicuba mencari, makin sukar pula nak dijumpa. Akhirnya, dibiarkan saja. Penat
nak difikirkan soal jodoh. Mungkin juga masih terlalu awal, maka diputuskan,
lupakan dahulu soal itu.
Memang dah lama berniat nak jadikan Tasha sebagai isteri.
Tapi sekadar niat sahaja, tak lebih dari itu. Ah, kalau cipta angan-angan yang
terlalu tinggi, penat pula nak mencapainya. Mungkin juga memang satu yang
mustahil.
Tapi syukurlah, di akhirnya perkara yang mustahil itu
bertukar jadi satu kenyataan.
Semester baru sudah bermula. Kejap saja tak lama nanti,
pengajian di universiti tinggal dua semester lagi. Banyak bezanya, sebab inilah
semester yang di luar kebiasaan. Mengapa? Ya, semuanya bermula dengan Tasha, tiba-tiba
saja beri kejutan, buat panggilan yang
tak pernah diduga. Bayangkan bertahun-tahun tak pernah berhubung, dan tiba-tiba
hari itu Tasha muncul semula? Ibarat mimpi, panjangnya tak berkesudahan, tapi
penuh indah.
Memang agak penat tatkala pertama kali berpindah ke kolej
kediaman yang baru siap dibina. Walaupun penat memandu, mungkin penatnya tak dirasakan
sangat. Ah, mungkin bahagia hati sedang melanda, sepanjang masa terkenangkan
panggilan Tasha. Kelihatan seperti obses, namun yang pasti Tasha telah menerima
aku.
Selepasnya, kisah Tasha mencapai kisah yang lebih
mendalam. Ayahnya pula tuturkan bicara, bercakap denganku, nyatakan keizinan
beri restu hubungan dengan Tasha. Bukan itu saja, si ayah Tasha beri harapan,
moga aku dapat bahagiakan Tasha.
Ah, satu lagi mimpi yang tiba-tiba muncul, bertukar jadi
kisah yang nyata.
Esok bakal bermula kuliah. Macam-macam perkara mula
terwujud dalam fikiran. Tanpa sedar, dalam tempoh tak sampai setahun lagi, maka
aku akan bekerjaya. Soalnya, apakah semuanya bakal lancar? Ah, jauh juga kalau
difikirkan begitu, mungkin perlu dibiarkan dahulu soal itu. Mungkin soal apa
yang akan berlaku keesokan harinya yang perlu direnungkan. Apakah kemunculan
semula Tasha akan mengubah sedikit sebanyak keterujaan untuk ke kuliah?
Tak logik juga kalau difikirkan. Tasha bukan sekampus,
apatah lagi dalam bidang yang sama. Tasha baru saja tamat pengajian, kini telah
punyai kerjayanya. Tatkala Tasha dah mampu berdikari, aku pula masih lagi
terkapai-kapai menghabiskan tahun pengajian di universiti.
Baik, mungkin tak ada siapa yang akan tahu kisah Tasha.
Itu satu kelebihan, tak perlu difikirkan apa yang akan dikata orang. Namun,
timbul pula satu persoalan, apakah mungkin kesetiaan pada Tasha akan wujud dan
bertahan?
Ah, hakikatnya, dunia ini apabila dibicarakan soal wanita
untuk isteri, maka hanya Tasha ikhlas itu wujud. Tak pernah hatta sekali, nafsu
itu merajai. Apabila melihat Tasha, maka penglihatan itu berdasarkan hati yang
ikhlas, bukan nafsu buas yang hanya dambakan tubuh seorang wanita. Pandangan
ikhlas itu hanya pada Tasha sahaja yang wujud, kerana tatkala melihat
wanita-wanita lain, pandangan nafsu pula yang tercipta. Bukan senang mencari
seorang calon bergelar bakal isteri.
Mungkin menarik semester baru ini. Ya, kalau dulu, fikiran
senantiasa serabut, kadang-kadang risau melanda. Persoalan tentang jodoh makin
kuat muncul tatkala usia mula menjangkau pertengahan 20-an. Sampai ke satu
tahap, rasa putus asa itu wujud. Yalah, mengharap agar berjumpa seseorang,
namun lagi dicuba, lagi payah untuk berjumpa calonnya. Nak mengharap akan
munculnya Tasha, ah, waktu itu memang mustahil rasanya.
Tapi sekarang, semuanya telah selesai. Soal jodoh bukan
lagi satu perkara yang mendatangkan keserabutan. Benar, tak semestinya Tasha
itu akan menjadi jodohnya, namun setidak-tidaknya Tasha telah menjadi penjamin
bahawa aku tak perlu risau lagi tentang soal pasangan hidup.
Namun, cuma satu persoalan yang muncul dalam fikiran. Apa
sebab utama yang mendorong Tasha berhubung kembali denganku, dan mengapa secara
tiba-tiba itu jugalah Tasha terus berikan jawapan yang selama ini menjadi misteri?
Mengapa tiba-tiba Tasha menjawab soal lamaranku yang lalu? Mungkin akan tiba
masanya, Tasha sendiri akan nyatakan sebabnya.
Oh ya, petang tadi Tasha telefon. Panggilan pendek
sahaja, namun katanya dia nak berjumpa denganku. Namun tak tahu pula bila dan
di mana nak berjumpa. Itu pun dah cukup mendebarkan.
Bagaimana rupa Tasha kini ya?
Ah, Zahid Fahmi, hentikan lamunan angaumu....
* * *
Diari Fahmi Zahid adalah sesuatu yang jarang untuk
dilihat kisah luahannya. Namun petang itu, Fahmi menjadikan diarinya sebagai
medan menyatakan rasa bahagia.
Pagi esoknya, tatkala Fahmi bersiap-siap untuk ke kelas,
satu panggilan telefon diterimanya. Memang agak janggal telefonnya berdering di
awal pagi, maka kehairanan menjelma buat Fahmi.
“Hello...”
“Assalamualaikum abang...”
“Waalaikumussalam...” balas Fahmi. Wajahnya sedikit
terkejut namun senyuman terukir. “Tasha?”
“Maaflah kalau ganggu abang pagi-pagi macam ni. Tapi nak
tanya, petang ni abang free tak?” soal Tasha.
“Insya-Allah free. Tapi kenapa?”
“Insya-Allah, Tasha niat nak jumpa abang...”
Fahmi terkelu seketika. Sekali lagi Fahmi seakan tak
percaya.
“Oh, kenapa semuanya mesti berku dengan kejutan? Kenapa
semuanya mesti berlaku dengan pantas?” bisik Fahmi dalam hatinya.
“Jadi macam mana abang?” soal Tasha menghentikan lamunan
Fahmi.
“Err... Insya-Allah.... Insya-Allah...”
Maka pagi itu, perjalanan ke kuliah diiringi dengan
senyuman. Fikiran Fahmi mula dikuasai wajah Tasha Rozana.
“Tapi... bukankah Tasha jauh dari universiti ni?” bisik
Fahmi. “Kenapa susahkan diri nak berjumpa petang ni?”
Kisahnya akan diteruskan. Mungkin.
*Bicara ini adalah sambungan kepada bicara: "Tasha Rozana: Restu jodoh buat Fahmi"
Ulasan