Tasha Rozana: Restu jodoh buat Fahmi







Kisah ini adalah penceritaan perjalanan Tasha dan Fahmi. Mungkin menarik, atau mungkin sekadar bingkisan perkongsian biasa. Kisahnya bersambung begini:

Malam itu, jantung berdegup kencang. Fahmi sabar menanti deringan telefon. Seperti dijanjikan, selepas Isyak, maka panggilan dari Tasha Rozana ditunggunya.

Maka, perbualan tercipta sebaik telefon berdering:

“Abang sihat?” soal Tasha.

“Alhamdulillah, masih sihat...”

Senyuman terukir di wajah Fahmi. Bahagia tercetus sekali lagi. Mimpi bertukar menjadi realiti pada malam itu.

“Maaflah kalau Tasha buat abang tertunggu-tunggu...”

“Tak apa...Asalkan Tasha telefon juga...” balas Fahmi masih lagi dalam senyuman, ibarat hanyut dalam alam kayangan perasaannya.

“Tasha telefon ni sebenarnya nak abang cakap dengan ayah Tasha...”

“Oh... Kenapa?” soal Fahmi terkejut.

“Elok kalau abang terus minta izin ayah Tasha. Dia kan wali Tasha...”

“Maksudnya?” soal Fahmi kurang mengerti.

“Kalau abang ikhlas dengan Tasha, abang cakaplah dengan dia ya,” balas Tasha.

“Oh, insya-Allah. Mungkin tu sebaik-baiknya,” balas Fahmi.

“Tasha bagi telefon ni kat ayah ya...”

“Ya, boleh.... boleh...” balas Fahmi sedikit gugup. Mungkin gementar. Debaran dirasakan sedikit.

Bicara senyap seketika.

“Assalamualaikum...” bicara seorang lelaki kedengaran.

“Waalaikumussalam,” balas Fahmi. Gugup dirasakan. Itulah suara ayah kepada Tasha Rozana.

“Apa khabar Fahmi?”

“Alhamdulillah. Sihat saja...”

“Kamu gementar ke ni?”

“Err... sedikit gementar pak cik...”

“Eh, tak perlu dirisaukan. Saya baik-baik saja orangnya...” balas ayah Tasha sedikit ketawa.

“Eh, tak ada pak cik. Saya cuma segan sikit...” balas Fahmi.

“Apa nak disegankan.... “

Fahmi sekadar membisu sahaja.

“Kamu dah lama kenal Tasha?” soal ayah Tasha. Perbualan mula tercipta.

Degupan kuat tercetus di dada Fahmi. Kisah Fahmi dan Tasha mula menjadi topik perbualan.

“Saya.... sebenarnya dah lama kenal Tasha. Sejak sekolah lagi...” balas Fahmi dengan tenang.

“Lama juga tempohnya tu...”

“Ya.... “ balas Fahmi masih lagi gugup. “Saya minta maaf kalau saya berkawan tanpa pengetahuan pak cik selama ni...”

“Eh, bukan satu masalah tu. Tak salah nak berkawan, asal ada batasannya,” balas ayah Tasha.

“Saya sekadar berkawan saja. Tak lebih dari tu...”

“Kita hidup beragama. Apa pun yang nak dibuat, rujuklah pada agama”

“Ya. Betul tu...” balas Fahmi.

“Saya minta maaflah tiba-tiba nak bercakap dengan kamu. Mungkin kamu sendiri masih tak selesa nak bercakap dengan saya ni. Cuma, bila Tasha ceritakan semuanya pasal kamu, saya rasa teringin nak bercakap dengan kamu...”

“Oh...” Fahmi kelu lidahnya.

“Kalau kamu ikhlas dengan Tasha, saya izinkan....”

Fahmi tersentak seketika. Bicara ayah Tasha itu bagai kata-kata di alam mimpi.

“Apakah Tasha telah ceritakan semuanya? Apakah ayahnya dah tahu setiap perkara?” monolog Fahmi dalam hatinya.

“Teruskan niatmu. Insya-Allah, kalau semua diizinkan-Nya, di akhirnya akan tercapai juga,” bicara ayah Tasha.

Fahmi sekadar membisu. Masih lagi dalam awang-awangan. Ibarat berada di alam khayalan.

“Kamu ok?” soal ayah Tasha tatkala Fami masih lagi kelu lidahnya.

“Er... ya. Masih lagi...” balas Fahmi.

Saat itu hati Fahmi seakan tidak percaya. Tatkala kejutan petang tadi masih lagi belum reda, kini kejutan baru dirasainya. Ayah Tasha pula memberi siri baru saat bahagia hatinya.

“Saya minta maaf Pak Cik. Mungkin saya dah belakangkan Pak Cik dalam hal ni. Sepatutnya saya perlu maklumkan pada Pak Cik dulu sebelum teruskan niat hati saya tu...” balas Fahmi, tiba-tiba dilanda kekuatan untuk berbicara.

“Tak apa. Saya cuma harap apa yang kamu hajatkan itu memang ikhlas,” bicara ayah Fahmi.

“Insya-Allah...”

“Fahmi...  jaga Tasha sebaik-baiknya. Moga apa yang telah saya didik padanya, kamu sambung lagi. Bawa dan bimbing dia, jadikan dia isteri yang solehah satu hari nanti...” luah ayah Tasha.

Sebak dirasakan di dada Fahmi saat itu. Tidak dapat digambarkan rasa terharu Fahmi saat itu. Harapan yang diberikan ayah Tasha itu satu permintaan yang cukup besar.

“Bahagiakan Tasha sebaiknya...” luah ayah Tasha menutup bicara.

Sebaik gagang diletakkan, fikiran Fahmi ternyata di luar imaginasi. Bagaikan mimpi, dan semuanya berlaku dalam tempoh yang cukup singkat. Jumaat itu, perjalanan hidup Fahmi ternyata berubah sama sekali.

Memang benar, selama ini Fahmi hanya meletakkan harapan agar satu hari nanti Tasha menjadi sebahagian daripada hidupnya. Pernah di satu masa, harapan itu dirasakan bagai satu kemustahilan. Pernah di satu tahap, Fahmi rela untuk melupakan Tasha.

Namun, ada satu perkara yang terus kekal. Fahmi tetap terus berdoa, mengharapkan agar niatnya itu dimakbulkan. Walaupun dirasakan mustahil untuk menjadikan Tasha sebagai isterinya, Fahmi masih terus berdoa tanpa putus asa. Benar, penantian bertahun-tahun lamanya, dalam kesabaran yang cukup panjang, maka di akhirnya Fahmi temui bahagia.

“Ya, Allah... Sesungguhnya engkaulah Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap perjalananku,” bisik Fahmi saat selesai menunaikan solat Subuh pada pagi berikutnya. Rasa syukur tak dapat digambarkannya.

Pagi itu, Fahmi bersiap-siap untuk pulang ke kampus. Semester baru bakal dibuka, dan semuanya bakal menjadi sesuatu berbeza bagi Fahmi. Benar, soal hatinya kini bukan lagi satu persoalan yang masih terus berlegar dalam fikirannya. Semuanya telah terjawab.

Perbualan dengan ayah Tasha itu telah membuka lembaran baru bagi Fahmi. Benar, mulai saat itu, maka Fahmi perlu memikirkan masa depannya dengan lebih serius. Kini nama Tasha Rozana bakal menjadi satu nama yang cukup penting baginya.

“Tasha Rozana, Insya-Allah. Moga termakbul jua satu hari nanti...” bisik Fahmi saat memandu kereta di lebuh raya. Perjalanan 2 jam ke kampus bakal dilaluinya.

Kisah Tasha dan Fahmi masih lagi panjang untuk diceritakan.





*Bicara ini adalah sambungan kepada bicara: "Tasha dan Fahmi: Sebuah kisah pertemuan jodoh"



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Gayanya macam ada lagi sambungannya. Wah... :)
Insya-Allah. Sambungannya akan ada. Kisah Tasha Rozana masih banyak lagi.
Tanpa Nama berkata…
Ni memang kisah benar ke? Nampak mcam yer je...
Oh, ni kisah kawan lama. Dia minta dikongsikan kisahnya. Sekarang dia dah kahwin, dan dah ada anak pun.
Tanpa Nama berkata…
Oh. Macam tu. Patut rasa macam real je.. hehehe. I'll wait for new series....

Catatan Popular