"Elipsis de Amor"
Bahagia pasti tercipta apabila impian dan hasrat itu
telah tercapai. Segala yang mustahil apabila bertukar menjadi realiti, maka
nilai kesyukuran itu diungkapkan tanpa henti. Rezeki yang muncul tanpa
disangka-sangka adalah kuasa mutlak-Nya, dan manusia tidak dapat menafikannya.
Manusia itu insan nan kerdil.
Matanya akhirnya terbuka. Cahaya pertama kali dilihatnya.
Maka saat penglihatan yang kabur semakin jelas, seisi keluarga berdiri di
sisinya. Semuanya tersenyum. Dirinya kebingungan pada mulanya, namun
perlahan-lahan dia dapat menyesuaikan diri.
“Apa yang dah terjadi?” soalnya.
“Alhamdulillah. Sedar juga kamu. Kuasa Allah, semuanya
tak dijangka...”
Zahid tersedar dari lena yang cukup panjang. Matanya
terkebil-kebil pada mulanya. Dalam kekeliruan, Zahid menjadi kelu. Tidak dapat
berbicara dengan banyak dan panjang. Dadanya dirasakan perit dan pedih.
Tubuhnya dirasakan lemah.
“Di mana ni?” soal Zahid.
“Kamu di hospital...”
Pelbagai persoalan timbul apabila menyedari dirinya berada
di hospital. Zahid tersangat lemah, dan hanya terus membisu tanpa bicara.
“Mengapa? Kenapa? Bagaimana?” bisik Zahid kekeliruan.
Ibu dan ayahnya senantiasa berada di sisi. Turut
kelihatan ialah adik-adiknya yang senantiasa tersenyum, walaupun mungkin
senyuman dalam keterpaksaan. Di satu penjuru pula kelihatan bapa saudaranya, dan
di satu sudut pula dilihat sepupunya. Kelegaan timbul apabila melihat keluarga
di sampingnya. Setidak-tidaknya menghilangkan rasa kurang selesa dengan
atmosfera di hospital itu.
“Berehatlah dulu ya. Panjang lagi masanya untuk awak
pulihkan diri,” bicara seorang gadis yang muncul tiba-tiba.
“Siapakah kamu?” soal Zahid di dalam hati. Kehairanan
muncul.
Gadis itu meletakkan buah-buahan yang dibelinya di atas
meja sisi katil. Mata Zahid terus memandang gadis itu. Cuba mencari jawapan identiti
gadis tersebut. Namun tak lama kemudian matanya terpadam kembali. Zahid terlena
semula. Tubuhnya ternyata lemah.
“Mungkin kalau dinyatakan dari awal-awal lagi, kami dah
lama terima kamu”
“Niat saya memang dah lama. Cuma bila nak dilaksanakan,
bukan semudah yang disangka. Saya tak pasti, mungkin tangan saya bertepuk
sebelah sahaja”
“Jodoh itu satu perkara ghaib. Lagi dicari lagi payahnya.
Bila tak dicari, senang munculnya. Semuanya hak Allah”
“Saya harap pak cik dan mak cik sudi menerima saya
sebagai teman hidup Thahirah...”
Sayup-sayup kedengaran alunan ayat-ayat suci al-Quran.
Bacaannya penuh syahdu memberikan satu tenaga luar biasa buat Zahid. Akhirnya
Zahid tersedar kembali. Saat itu, dia terlihat gadis yang sama duduk di kerusi,
membaca al-Quran di sisinya. Tenang di wajah gadis itu, dan dirasakan
seolah-olah terdapat nur padanya.
Zahid hanya mampu memandang tanpa berkata apa-apa. Hanya
sedikit senyuman dilontarkan. Tenang terasa
di hati. Sakit badan sedikit sebanyak dapat diubati. Hakikatnya, Zahid tidak
memahami keadaan yang telah terjadi padanya. Kebingungan terus melanda.
Semestinya pelbagai persoalan muncul saat diri tersedar dan berada di hospital.
“Siapa kamu?” soal Zahid menggagahkan diri bertanya.
“Saya Tasha...” balas gadis itu menghentikan sementara
bacaan al-Qurannya.
“Kenapa kamu di sini?” soal Zahid.
Ibu dan ayah Zahid muncul. Kelegaan terpancar di wajah
mereka saat melihat Zahid tersedar kembali. Maka pertanyaan Zahid tidak
berbalas. Gadis itu kemudian bangun dan ibu Zahid pula yang duduk di kerusi
itu. Gadis itu meninggalkan bilik tersebut. Zahid kehairanan.
“Insya-Allah, kalau kamu kuat semangat, tak lama lagi
kamu boleh keluar dari hospital,” terang ayah Zahid.
“Yang penting sekarang, Zahid kena tenangkan fikiran.
Jangan runsing....” bicara ibunya pula.
“Insya-Allah...” balas Zahid tersenyum. “Tapi, apa yang
terjadi sebenarnya?”
“Rehatlah dulu. Tak perlu tergesa-gesa nak tau
semuanya...” balas ibunya.
Zahid memejamkan matanya kembali. Kepenatan masih terus
dirasakannya. Pelbagai perkara muncul di fikirannya. Walaupun tidak memahami situasi
yang terjadi pada dirinya, Zahid cuba menenangkan perasaannya.
“Siapakah Tasha?” bisik Zahid di dalam hatinya. Zahid
sangat hairan.
Doktor dan pembantunya muncul tidak lama kemudian.
Pemeriksaan rutin ke atas Zahid dijalankan. Hari demi hari, ternyata Zahid
menunjukkan perkembangan yang positif. Pemulihan sedang berlaku pada Zahid.
Saat pemeriksaan dijalankan ke atasnya, Zahid terlena kembali.
“Ibarat mimpi. Sekelip mata jadi realiti...”
“Bukan kuasa kita, tapi kuasa Allah, barulah semua yang
mimpi jadi kenyataan. Ira bukan manusia yang sempurna. Hanya hamba-Nya ”
“Tak ada manusia sesempurna kejadian, kerana tiap-tiap
ciptaan Allah, pasti akan ada kelemahannya. Abang sangat-sangat bersyukur...”
“Moga abang dapat bimbing Ira ke jalan yang benar...”
Tangan Zahid dirasakan sejuk tiba-tiba, seperti ada yang
menyentuhnya. Tidak lama kemudian, Zahid tersedar. Ibunya memegang tangannya.
Mungkin cuba untuk menyedarkan Zahid.
“Kamu makin pulih Zahid...” bicara ibunya.
“Kuatkan semangat,” bicara pula ayahnya.
Zahid melihat ibu dan ayahnya. Hanya mereka sahaja berada
di bilik tersebut. Kelibat gadis bernama Tasha itu cuba dicarinya. Namun gadis
itu tiada di bilik tersebut. Keliru sekali lagi timbul. Zahid seolah-olah
bermain dalam persoalan.
“Apakah aku bermimpi, atau Tasha itu ternyata satu
khayalan semata-mata, muncul sewaktu aku sedar?” monolog Zahid. Persoalan mengenai
gadis bernama Tasha seringkali muncul di fikirannya.
Hari demi hari, Zahid semakin sihat. Dari hanya
berbaring, Zahid kini mampu duduk di atas katil. Sepanjang tempoh itu, Zahid
akan ditemani ibu dan ayahnya. Pada masa yang sama, gadis bernama Tasha itu
juga seringkali muncul di biliknya, membacakan ayat-ayat suci al-Quran padanya,
terutama sewaktu Zahid sedang nyenyak tidur. Gadis itu tidak jemu melakukan
rutin harian tersebut.
Setiap kali keluarga Zahid muncul, maka gadis itu juga
berlalu pergi meninggalkan bilik tersebut. Apabila gadis itu muncul, keluarganya
pula dilihat tiada di bilik. Ibarat satu perjanjian, antara satu sama lain dan
mereka tidak akan bertemu.
Satu pagi, Tasha muncul lagi. Lantas Tasha membawa
bersama kerusi roda buat Zahid. Itulah pertama kali Zahid duduk di kerusi roda
itu. Itulah pertama kali Zahid berpisah dengan katilnya. Pagi itu, Tasha
membawa Zahid bersiar-siar menghirup udara segar. Taman bunga di hospital
tersebut ternyata cukup menenangkan.
“Siapa kamu?” soal Zahid sekali lagi sebaik dibawa ke
taman. Pertanyaan yang seringkali diulang-ulang setiap kali Tasha muncul.
“Tasha...”
“Kamu kawan saya?”
“Nikmati dulu angin pagi ni. Kalau kita banyak berbicara,
nikmatnya mungkin tak dirasai sepenuhnya,” balas gadis itu tidak menjawab
pertanyaan Zahid.
Zahid membisu kemudian. Tiada lagi bicara sepanjang
perjalanan santainya di taman bunga itu. Zahid hanya menikmati udara segar
sambil melihat bunga-bungaan yang ada di taman itu. Kelihatan juga rama-rama
berterbangan di beberapa kuntuman bunga.
Pagi itu Zahid rasa bahagia. Pertama kali berada di luar
adalah satu nikmat tak terkata. Zahid tidak tahu tempoh masa dirinya berada di
hospital. Namun, Zahid tahu tempoh itu cukup lama sehingga dirasakan begitu
aneh dan asing di permulaan dirinya berada di luar.
“Terima kasih Tasha...”
Malam itu, fikiran Zahid menerawang mengenangkan detik
pagi itu. Keindahan dirasakan Zahid. Angin pagi yang segar adalah sesuatu yang
dirinduinya. Namun, keindahan itu juga turut diikuti dengan kehadiran Tasha
yang membawanya bersiar-siar pagi itu. Senyumannya terukir. Wajah Tasha mula
menguasai fikirannya. Akhirnya, Zahid terlena dalam ketenangan buat pertama
kalinya.
“Semuanya berlaku atas izin Allah. Jangan dipersoalkan
tentang takdir, jika abang jadi pilihan Ira”
“Tapi abang tak faham, kenapa baru sekarang munculnya?
Kenapa dua tahun, baru muncul semula dengan satu kejutan? Kenapa tak diputuskan
dua tahun yang lalu?”
“Ira tak ada jawapan untuk tu....”
“Thahirah dah hampir hilang dari ingatan abang. Hampir
hilang....”
“Maafkan Ira...”
Zahid tersedar di awal Subuh. Saat itu, kelihatan ibunya
berada di sisinya. Tenang membaca al-Quran. Kelibat Tasha turut dilihatnya,
juga membaca al-Quran. Situasi itu agak janggal, kerana itulah pertama kali
Zahid melihat Tasha dan ibunya berada di tempat yang sama pada masa yang sama.
“Ibu, siapa Thahirah?” soal Zahid tiba-tiba.
Ibunya terkedu. Tidak menjangka soalan itu diajukan Zahid
pada awal Subuh itu. Ibunya tidak bersuara. Hanya membisu tanpa sebarang
jawapan. Saat itu juga ayahnya muncul. Tasha pula berlalu pergi dari bilik itu.
Mungkin mahu berikan privasi buat Zahid dan keluarganya.
“Kenapa kamu tanya begitu?” soal ayahnya.
“Thahirah sering muncul dalam mimpi Zahid... Siapa
Thahirah?”
Tiada jawapan yang mampu diberikan buat Zahid. Ibu dan
ayahnya hanya membisu. Mereka hanya mampu melihat Zahid yang masih berbaring
dengan kepalanya masih lagi berbalut. Kisahnya mungkin terlalu sukar untuk
diluahkan ibu dan ayahnya.
“Mungkin ada beberapa perkara dia akan lupa. Mungkin juga
akan terus hilang dari ingatannya...”
Bicara doktor terlintas kembali di fikiran ibu dan
ayahnya. Kecederaan Zahid ternyata punyai harga yang cukup besar untuk dibayar.
Mungkin banyak memori manis Zahid telah hilang dan terpadam. Mungkin itulah
menyebabkan ibu dan ayahnya tidak dapat menjawab pertanyaan Zahid. Mereka tidak
mahu menyeksa Zahid mencari jawapan yang mungkin tidak wujud dalam memorinya
lagi.
Pagi itu, sekali lagi Tasha membawa Zahid bersiar-siar di
taman bunga. Jika pagi sebelumnya, Tasha hanya membisu, namun pagi itu Tasha
berbicara.
“Udara segar mampu berikan ketenangan. Satu terapi juga
buat kamu. Moga-moga pulih kesihatan kamu nanti,” bicara Tasha.
“Teruk sangatkah apa yang berlaku pada saya?” soal Zahid.
“Bukan soal tu yang perlu difikirkan. Pulihkan diri, itu
keutamaannya,” balas Tasha.
“Saya keliru, dan tak faham. Apa yang terjadi pada saya
sebenarnya?” soal Zahid.
“Akan tiba masanya kamu akan faham...”
Selang beberapa minggu, Zahid dibenarkan pulang ke rumah.
Tersenyum Zahid apabila seluruh keluarga menyambutnya sewaktu tiba di rumah.
Sedikit majlis kesyukuran diadakan. Walaupun masih berkerusi roda, Zahid senang
di hati. Kelibat Tasha juga turut kelihatan.
Sehingga detik itu, Zahid masih lagi tidak tahu punca yang
menyebabkannya terlantar di hospital. Tidak ada seorang pun yang membuka mulut
menyatakan sebabnya. Ibarat satu pakatan, dan Zahid terus berada dalam
persoalan. Hari-hari berikutnya, Zahid hanya mampu bermain dalam persoalan
tanpa jawapan.
Tasha setiap hari akan berkunjung ke rumah Zahid. Setiap
perkembangan Zahid diikuti Tasha. Kadangkala, Tasha sendiri membawa Zahid ke
hospital bagi sesi terapi jika ibu dan ayah Zahid tidak punyai kesempatan.
Kadangkala juga, Tasha akan membawa Zahid ke taman bunga tidak jauh dari
rumahnya. Maka hari demi hari Zahid dan Tasha semakin rapat. Jalinan
persahabatan tercipta.
“Sampai sekarang saya masih belum faham. Saya keliru. Tak
banyak yang saya tahu tentang perkara yang berlaku sebelumnya....” luah Zahid
di satu petang sewaktu Tasha membawanya ke taman.
“Apa saja yang terjadi sebelumnya, adalah satu ketentuan
dari-Nya. Kita tak perlu selalu menoleh ke belakang, tapi perkara di masa akan
datanglah yang perlu diutamakan. Tiap-tiap masa depan itu, adalah peluang untuk
kita mendekatkan lagi diri dengan-Nya,” balas Tasha.
“Kenapa tak ada seorang pun yang boleh bersuara? Kenapa
tak ada yang boleh bantu saya?”
“Akan tiba masanya, kamu akan faham mengapa dan
kenapa....” balas Tasha.
Setiap malam, tidur Zahid dirasakan begitu sukar.
Seringkali persoalan demi persoalan muncul di fikirannya. Zahid cuba mengingat
kembali perkara yang telah terjadi padanya. Namun, setiap kali cuba mencari
jawapan, maka kebuntuan dirasakan, dan kesakitan di kepala muncul tak lama
kemudian. Apabila kesakitan melanda,
maka seringkali Zahid lemah dan terus terlena.
“Mungkin ini hari terindah yang muncul dalam hidup abang.
Tak pernah terlintas di fikiran sama sekali. Tak terfikir, sesingkat masa,
Thahirah muncul dengan membawa berita tak diduga”
“Apa saja yang terjadi, semuanya di dalam perancangan
Allah. Kita hanya manusia, ibarat penggerak cerita-Nya sahaja. Ira hanya
berserah pada-Nya”
“Ketentuan Allah sesuatu di luar jangkauan fikiran...”
“Antara Ira dan abang, segalanya telah ditulis...”
Kebingungan melanda saat Zahid tersedar dari lenanya. Malam
itu dirasakan begitu sukar untuknya menghadapi pelbagai persoalan yang tak
terjawab. Lantas Zahid masuk ke bilik bacaannya, cuba mencari jawapan. Album-album gambar lama dilihatnya. Satu
persatu imej-imej yang dilihatnya mewujudkan satu cetusan memori-memori lama.
Tak semua gambar diingatinya. Hanya separuh sahaja dapat difahami Zahid. Memori
lain telah hilang.
Ibu Zahid masuk ke bilik bacaan itu. Rasa pilu melanda
saat melihat Zahid terkapai-kapai cuba mengingati kembali memori yang terakam
di gambar-gambar itu. Zahid ternyata dalam kebingungan.
“Jangan paksa. Cuba perlahan-lahan untuk ingat
kembali...” bicara ibunya.
“Bukannya mudah.... Semuanya menakutkan...”
Dalam kekeliruan itu, pada masa yang sama hubungan Zahid
dan Tasha semakin rapat. Hari demi hari, Tasha dirasakan seperti sebahagian
dari keluarga Zahid. Hubungan akrab ini ternyata mencetuskan persoalan buat
Zahid. Tasha menjadi gadis misteri yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya. Zahid
cuba mengingati kembali memori lamanya, namun sehingga waktu itu Tasha tidak
dapat dikenal pastinya. Namun, soal hatinya terhadap Tasha dilihat semakin
mekar.
Setiap malam, Zahid akan menghabiskan masanya di bilik
bacaan. Album-album gambar lama ditatapnya berulang kali. Zahid berusaha untuk
mengingati kembali. Ingatannya cuba dipulihkan. Memang sukar, namun Zahid
gagahkan diri. Setiap malam juga, ibu Zahid sebak melihat anaknya itu. Zahid
kelihatan cukup terseksa untuk mendapatkan kembali memori yang hilang.
Satu malam, ibunya muncul. Lalu dihulurkan sebentuk cincin
kepada Zahid. Walaupun hairan, Zahid menerimanya.
“Cincin siapa?” soal Zahid.
“Mungkin cincin ini dapat bantu Zahid untuk ingat apa
yang telah hilang dari ingatan...” balas ibunya.
Saat melihat dan mengamati cincin tersebut, kepala Zahid
dirasakan sakit secara tiba-tiba. Denyutan kuat dialami Zahid. Kesakitan itu
menyebabkan Zahid berbaring di katil, berterusan ibarat tiada penghujungnya.
“Insya-Allah, kalau tiba masanya, kita akan berkahwin
juga. Walau apa pun terjadi, perancangan Allah yang lebih berkuasa. Hanya Allah
sahaja yang mampu menggagalkan setiap perancangan kita”
“Abang tak kisah bila waktunya. Muncul Thahirah ini pun
dah cukup tenangkan hati. Moga Thahirah bakal menjadi isteri abang dengan izin
Allah”
“Jari Ira ini hanya akan disarungkan cincinnya oleh abang
sahaja. Hanya masa dan waktunya sahaja...”
Zahid tersedar dari lena. Kali ini kejutan kuat
dirasakan. Dadanya ibarat seperti dihempas oleh sesuatu. Degupan yang dirasai
ternyata di luar dari kebiasaan. Zahid ibarat terjaga dari mimpi yang cukup
menakutkan. Mimpi panjangnya itu ibarat satu kejutan.
“Ya, Allah. Thahirah!”
Zahid terus keluar dari biliknya, mencari ibunya. Memori
yang hilang tiba-tiba menjelma.
“Ibu, di mana Thahirah sekarang? Apa yang terjadi pada
Thahirah?” soal Zahid pada ibunya di pagi Subuh itu. Soalan secara tiba-tiba ternyata mengejutkan
ibunya.
Ibunya terkesima, terus terduduk di kerusi lantas
membalas dengan jawapan yang ringkas.
“Zahid, kamu sebenarnya kemalangan. Banyak perkara yang
terjadi dalam tempoh tersebut.....”
Lantas segenap persoalan yang muncul selama ini mula
difahami Zahid. Satu demi satu imbasan muncul dan menerpa dalam fikirannya secara tiba-tiba.
Memori-memori yang hilang telah muncul kembali dalam tempoh yang singkat itu.
Kisahnya bermula apabila Zahid bertemu ibu dan ayah
Thahirah. Pertemuan itu penuh kemesraan, dan perbualan panjang tercipta. Hujan
yang turun di awal pagi telah mewujudkan kedinginan di pagi itu. Segala-galanya
indah buat Zahid. Dirasakan seperti mimpi tatkala berada di rumah keluarga
Thahirah. Setiap detik yang berlaku di pagi itu ibarat satu perkara yang tak
pernah terlintas di fikirannya
Pertemuan itu adalah satu sesi perbincangan panjang
mengenai masa depan Thahirah. Setelah diputuskan, maka ibu dan ayah Thahirah
bersetuju menerima Zahid sebagai calon menantu mereka. Saat itu, dunia bagai
milik Zahid. Thahirah yang muncul tiba-tiba pagi itu telah membawanya melalui
detik yang tak pernah dibayangkannya. Memori yang cukup manis buatnya.
Menjelang petang, Thahirah menghantar Zahid pulang.
Pemanduan Thahirah agak santai. Hujan turun dengan lebat petang itu. Perjalanan pulang ternyata cukup berbeza
berbanding perjalanan sebelumnya. Thahirah dan Zahid banyak berbicara dan
berbual.
Tiba di satu selekoh, kejutan diterima. Sebuah kereta
dari arah bertentangan tiba-tiba meluru masuk ke lorong dipandu Thahirah, cuba
memotong sebuah lori. Thahirah terkejut, lantas cuba mengelak. Jalan yang licin
ternyata tidak memberikan cengkaman tayar yang baik. Sekelip mata kereta yang
dipandunya masuk ke lorong bertentangan. Sekelip mata dentuman kuat kedengaran.
“Ya Allah...”
Zahid terus terduduk di atas kerusi. Lututnya tidak bermaya. Kepedihan
tiba-tiba dirasakan dalam sanubarinya.
“Semuanya ketentuan Allah....” kata ibunya. “Sabarlah
sekuatnya...”
Zahid tidak dapat membendung sedih. Tanpa sedar air mata
mula menitis, sesuatu yang sangat jarang buat Zahid. Tangisan kecil kedengaran
beberapa ketika. Zahid ternyata dilanda satu kesedihan yang cukup besar.
“Bukan ibu tak nak sampaikan. Tapi, ibu tak nak Zahid
terseksa dengan apa yang terjadi. Biarlah masa yang tentukan waktunya untuk Zahid
tahu kisah yang berlaku. Ibu tak sanggup tengok Zahid sedih,” luah ibunya.
“Kenapa Thahirah yang pergi? Kenapa Zahid masih lagi di
sini?” soal Zahid.
“Hanya Allah lebih tahu perancangan-Nya....”
“Kamu tercampak keluar, terpelanting masuk ke dalam ladang
kelapa sawit. Kereta Thahirah bertembung dengan lori, dan di waktu itu jugalah
Allah bawa pergi Thahirah jauh dari kita...” bicara ayahnya yang muncul
tiba-tiba di ruang tamu.
“Cukup berat kami nak nyatakan perkara sebenar. Tapi,
masanya dah tiba, dah itulah kisahnya...” kata ibunya.
“Maafkan kami. Tapi dua bulan kamu terlantar di hospital,
masanya cukup panjang, hingga kami tak sampai hati nak ceritakan apa yang
berlaku...” terang ayahnya.
Mata Zahid terpaku kembali pada cincin yang diberikan
ibunya. Itulah cincin yang tersarung di jari Thahirah pada hari tersebut.
Cincin itu masih tersarung kemas sewaktu kemalangan itu dan di akhirnya diserahkan
kepada Zahid sebagai tanda kenangan oleh keluarga Thahirah.
Pagi itu, Zahid dibawa ke pusara Thahirah. Ibu dan
ayahnya menemaninya. Tasha juga turut
ikut serta. Perjalanan itu adalah sesuatu yang sangat memilukan. Pelbagai
kenangan lama muncul dan singgah di fikiran Zahid. Namun, digagahkan juga moga
niat ziarah itu tercapai.
“Mungkin itulah hari yang paling terkesan dalam hidup
Zahid. Di awalnya satu kejutan penuh gembira, namun di penghujungnya satu
kejutan penuh kepedihan. Hanya dalam masa sehari, semuanya berlaku,” luah
Zahid.
“Semakin lama perjalanan hidup, semakin bertambah
pengalaman. Semakin banyak kesengsaraan hidup, semakin bertambah kematangan,”
bicara ayahnya cuba menenangkan Zahid.
Zahid dengan tenang menghampiri pusara Thahirah. Walaupun
cukup sukar untuk menghadapi realiti, Zahid tetap gagahkan diri. Lantas bacaan
Fatihah dibacakannya. Pilu dirasakannya.
Ibu dan ayahnya membiarkan Zahid bersendirian sebentar di
pusara itu. Agak lama tempoh yang dihabiskan Zahid di pusara itu. Agak lama
tangannya menggenggam batu nisan di pusara itu. Tasha menghampiri Zahid tidak
lama kemudian.
“Moga Allah kurniakan kesenangan buatnya di sana....”
bicara Tasha.
“Kenapa begitu pantas nikmatnya hilang?” soal Zahid.
Tasha hanya membisu. Zahid kemudian bangun dan mula
meninggalkan pusara itu. Tasha berjalan di sebelahnya. Sayu dan sebak mula
dirasakan Tasha.
“Zahid, maafkan saya...” luah Tasha tiba-tiba. Langkah
Zahid terhenti.
“Kenapa pula? Apa yang perlu dimaafkan?” soal Zahid
hairan.
“Sebab, kalau bukan saya, mungkin semua ni tak terjadi...”
“Saya tak faham....”
“Zahid masih ingat hari kejadian tu? Masih ingat punca
kemalangan tu?”
“Ya, saya tahu semuanya...”
“Saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak tahu macam mana
nak tebus kembali semuanya. Saya berdosa dengan kamu...”
“Mengapa pula?”
“Sebab sayalah punca kepada kemalangan hari itu. Thahirah
cuba mengelak kereta yang saya pandu.
Kereta yang tiba-tiba muncul itulah kereta saya. Kamu tercampak, dan Thairah
tak bernasib baik...”
Zahid terkejut besar. Pengakuan Tasha itu adalah satu
berita yang lebih berbisa pedihnya. Perasaan Zahid keliru. Rasa marah tiba-tiba
muncul, namun pada masa yang sama kata hatinya juga turut mula merasakan
sesuatu yang berbeza pada Tasha. Lantas Zahid bersuara.
“Apakah kemunculanmu itu satu takdir ditentukan Allah?
Apakah kamu sebenarnya jodohku?” soal Zahid.
Zahid dan Tasha berlalu pergi. Tiada bicara kedengaran
selepas itu. Ibu dan ayah Zahid hanya mampu membisu. Mereka faham, rahsia identiti
Tasha telah pun diketahui Zahid. Tiada apa lagi yang perlu dibicarakan buat
mereka semua.
“Aku terima nikahnya, Tasha.... Insya-Allah”
Selamat tinggal Thahirah kerana tiap-tiap detik indah
yang muncul itu adalah kenangan yang cukup manis. Namamu kini tinggal kenangan
yang tidak akan lagi disebut dalam bicara-bicara akan datang.
*‘Elipsis’ membawa maksud pengguguran sebahagian
kata dalam suatu ungkapan, tetapi dapat difahami dalam konteks berkenaan.
Misalan bagi soalan Sudah makan?,
dijawab Sudah sahaja.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)
*'Armor' merupakan perkataan Sepanyol membawa maksud cinta.
Nota: Cerpen ini adalah kesinambungan dari cerpen "Kiblat Cintaku"
(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )
Ulasan