"Adina (Bicara Raya)"







Hari yang cukup indah tanda satu kemenangan. Hawa nafsu ditundukkan, dan iman dimantapkan dengan pelbagai amalan. Maka pagi itu, kesyukuran pasti dijelmakan dalam keterujaan menyambut hari penuh keindahan. Hari Lebaran satu bukti kegembiraan buat setiap insan.

Maka, kisahnya pasti sama di rumah Ustaz Man. Seperti keluarga yang lain, persiapan yang telah diatur untuk Aidilfitri ternyata berjaya dilaksanakan. Pagi itu, kunjung mengunjung mula disaksikan sebaik sahaja selesai solat Aidilfitri di masjid.

“Di mana Abyatina dan suaminya?”

“Masih lagi di bilik. Tidur lagi nampaknya...”

“Tidur lagi? Tak nak berayakah?”

“Panjang kisahnya....”

Kisahnya bermula begini:

Dua hari sebelum lebaran, maka kesibukan mula dirasakan. Abyatina dan Rizqullah merasai debaran dalam keterujaan kerana itulah Aidilfitri pertama buat mereka sebagai suami dan isteri. Keluarga mertua Abyatina yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka telah pun pulang ke kampung di Pulau Pinang. Maka, hanya Abyatina dan Rizqullah sahaja yang masih berada di kampung tersebut.

Seminggu sebelumnya, pertarungan berlaku di antara Rizqullah dan Abyatina.

“Bukan pertarungan itu..... Bulan puasa ni...”

“Yelah. Ina faham....  Ke situ pulak difikirkan...”

“Habis tu, macam mana nak tentukan ni?”

“Kita mulakan dengan cara ni...”

Maka pertarungan bermula. Sesi perlawanan congkak di antara Rizqullah dan Abyatina bermula. Pemenang akan menentukan keputusan. Itulah yang akan menentukan kampung yang akan mereka beraya. Antara kampung Abyatina atau kampung Rizqullah di Pulau Pinang akan menjadi pilihan mereka.

Ironinya, Rizqullah mahu beraya di kampung Abyatina. Si Abyatina pula berhajatkan untuk berlebaran di kampung Rizqullah di Pulau Pinang. Kata Abyatina, dirinya mahukan kelainan bagi raya tahun ini, kerana telah bosan beraya di tempat yang sama.

“Macam ni punya bergaduh pun ada ke? Kalau biasa, mestilah bila raya, nak balik kampung sendiri. Ini dah terbalik pulak....” luah ibu Rizqullah di suatu petang.

Di akhirnya, kecekapan jari jemari Rizqullah ditambah pula dengan kemahiran mengiranya yang tepat, maka Rizqullah berjaya menewaskan Abyatina. Maka, hari raya pertama mereka telah diputuskan untuk disambut di kampung Abyatina. Sedikit kecewa dirasakan Abyatina.

Kisah itu berlalu, dan kini kisah lain pula terjelma. Hari terakhir puasa, maka kelam kabut tercipta. Pertama kalinya, Abyatina dan Rizqullah terbangun lewat. Sahur terlepas, hanya Subuh sahaja yang dapat dikejar. Mujur hari itu cuti telah bermula. Rizqullah merasa sedikit kelegaan.

“Inilah nasib hidup di perantauan....” usik Rizqullah pada Abyatina.

“Amboi.... perli ya. Itulah, jangan terlalu bergantung pada Ina. Sekali Ina tak terjaga, tak pasal-pasal terus semua tak bersahur....” balas Abyatina.

“Siapa suruh tidur lewat semalam?”

“Habis, kuih raya tu bila nak buat? Semalam lewat pun sebab kuih raya...”

“Alahai, kita berdua je. Banyak mana sangat kuih pun...”

“Cik abang, kuih raya bukan untuk kita je. Nak jamu tetamu datang nanti...”

Persiapan untuk pulang ke kampung mula rancak berlangsung. Mengikut perancangan, Abyatina dan Rizqullah akan bertolak pulang menjelang petang selepas Asar. Jarak perjalanannya tidaklah begitu jauh, hanya memakan masa satu jam sahaja.  Namun keterujaan mengatasi segala-galanya.

Abyatina tidak sabar pulang. Semestinya sebaik tiba di kampung nanti, seisi keluarga akan menantinya untuk menyediakan ketupat palas buatannya. Hanya Abyatina sahaja yang mampu menghasilkan ketupat palas yang cukup memikat.

Selepas Asar,  Rizqullah telah sedia menanti di bawah. Abyatina pula sedang sibuk mengemaskan barang-barang yang perlu dibawa untuk pulang ke kampung. Tidaklah banyak, namun apabila kesempurnaan diutamakan, maka tempoh masa yang diambil pasti lebih lama daripada biasa.

“Dah bersedia untuk Berdendang Perantau, Puan Ina?” soal Rizqullah berseloroh sebaik Abyatina turun dari rumah.

“Apa kata kalau kita bersantai dengan Balik Kampung, Encik Riz?” balas Abyatina.

“Tapi rasanya lebih baik kita senyap saja. Lagi banyak bercakap, lagi kuat bunyi perut ni...”

“Cukuplah. Jangan diungkit sahur yang tak sempat tadi ya. Bukan Ina je tau yang salah...”

Maka, Abyatina dan Rizqullah masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan. Namun kisah lain tercipta. Beberapa kali cuba dihidupkan, enjin masih senyap tak kedengaran. Dicuba beberapa kali, keadaannya masih tetap sama.

“Buat hal?” soal Abyatina.

“Alamak, takkan nak rosak pun waktu macam ni?...” keluh Rizqullah.

Lantas Rizqullah melihat enjin keretanya. Beberapa ketika kemudian, punca masalah dikesan. Tahulah Rizqullah bahawa bateri keretanya telah lemah. Terkesima sekejap.

“Kesudahannya?” soal Abyatina.

“Kalau Ina larat, jom sama-sama tolak kereta ni sampai ke kampung...” balas Rizqullah bergurau.

Perjalanan akhirnya bertukar perancangan. Untuk mencari kedai atau bengkel pada hari sebelum raya ternyata sukar. Banyak yang telah menutup perniagaan mereka. Maka, Rizqullah dan Abyatina akhirnya menunggu di perhentian bas. Perjalanan pulang kini beralih dengan menaiki bas. Kepenatan jelas terpancar di wajah Abyatina, namun cuba digagahkan.  Rizqullah faham, namun hanya membisu. Mereka berpimpin tangan. Agak jauh juga mereka berjalan.

Di perhentian bas itu kelihatan seorang lelaki separuh abad, bertongkat sambil membawa beg pakaian yang lusuh. Abyatina tidak mengenalinya.  Hanya mampu tersenyum sebelum Rizqullah menegur lelaki itu.

“Dari mana nak ke mana pak cik?”

“Nak pi ke Kedah...”

“Pak cik orang sini?”

“Pak cik tinggal kat tepi masjid tu. Lama dah pak cik dok situ...”

“Kampung pak cik kat Kedah ke?” soal Abyatina mencelah perbualan Rizqullah dan lelaki itu.

“Dulu memang orang Kedah. Tapi la ni dah jadi orang sini. Lama dah...”

“Keluarga pak cik mana?”

Lelaki tua itu membisu tiba-tiba. Langsung tidak berbicara. Namun, setelah lama membisu kisah sebenar didedahkannya.

“Pak cik nak ziarah kubur mereka....”

Semuanya berlaku dengan satu tragedi. Dek kealpaan, seluruh keluarga lelaki tua itu menyambut panggilan Ilahi. Keluarganya kemalangan di malam raya, namun lelaki tua itu terselamat. Lelaki tua itu terlelap saat memandu pulang ke kampung. Kisah itu terjadi dua puluh tahun yang lalu, dikongsikan buat Rizqullah dan Abyatina sebagai pengajaran.

“Sesaat teralpa, seumur hidup merana...” luah lelaki tua itu.

Agak lama mereka menunggu. Sejam kemudian, barulah bas muncul. Rizqullah memberi laluan buat lelaki tua itu untuk menaiki bas dahulu. Rizqullah membantu lelaki itu supaya mudah untuk mendaki anak tangga bas tersebut. Namun situasi berubah menjadi kelam kabut apabila Abyatina tiba-tiba menjerit.

“Abang, beg Ina!” jerit Abyatina.

Seekor monyet tiba-tiba muncul di perhentian bas itu. Beg tangan yang dibawa Abyatina terus disambar monyet itu. Maka bermulalah adegan kejar mengejar di antara monyet tersebut dan Abyatina. Kelihatan Abyatina semakin jauh meninggalkan perhentian bas. Rizqullah tergamam.

“Alamak...”

Maka, bas tersebut bergerak dan Rizqullah terpaksa turun semula. Sesi mengejar kemudian disertai Rizqullah. Misinya untuk mendapatkan kembali beg tangan yang dicuri monyet itu, namun untuk mencapainya kelihatan agak sukar. Kelicikan si monyet berlari dengan pantas ternyata mengelirukan Abyatina dan Rizqullah. Riuh rendah kedengaran dan kelucuan dirasakan buat mereka.

“Semua duit ada dalam tu tau...” bicara Abyatina. “Mesti dapatkan semula!”

Bas yang meninggalkan mereka itu adalah yang terakhir pada petang itu. Hanya selepas waktu Maghrib, barulah perkhidmatan bas bersambung semula. Itu pun hanya untuk satu perjalanan sahaja memandangkan hari esoknya ialah Hari Lebaran.

“Kalau kamu nak tunggu, sampai ke Maghriblah jawabnya...” kata seorang mak cik tua di perhentian bas itu. Mak cik itu muncul tiba-tiba setelah melihat gelagat Rizqullah dan Abyatina kelam kabut cuba mengejar monyet yang mencuri beg tangan Abyatina.

“Sampai Subuh esok pun tak dapat kami naik bas mak cik... Selagi monyet tu tak nak mengalah...” bicara Rizqullah.

Mak cik tua itu tersenyum. Lantas dikeluarkan sesuatu dari beg plastik yang dibawanya. Sesikat pisang yang menguning diambilnya, lalu diangkat tinggi menjulang ke langit. Monyet yang sejak tadi berlari-lari tiba-tiba terhenti. Mata monyet itu terlihat pisang tersebut,  lantas menghampiri mak cik tua itu sebelum menyambar pisang tersebut. Beg tangan Abyatina dilepaskan monyet itu begitu sahaja.

“Kalau kita pun berfikir macam monyet, sampai bila-bila tak akan selesai...” balas mak cik tua itu. “Manusia tu akalnya lebih panjang...”

“Err, mak cik nak ke mana?” soal Abyatina.

“Nak balik ke rumah. Tak jauh pun. Hah, alang-alang, mai ikut mak cik. Boleh buka sama-sama. Kalau nak tunggu bas, lepas Maghrib baru ada...” balas mak cik itu.

Maka, Abyatina dan Rizqullah mengikut mak cik itu ke rumahnya. Agak jauh juga perjalanan, namun pelawaan baik dari wanita itu ternyata tidak dapat ditolak mereka. Abyatina dan Rizqullah tidak sampai hati. Tak lama kemudian, sampailah mereka di rumah kecil di tepi sungai.

Sampai sahaja, maka mak cik tersebut bersuara.

“Mak cik nak minta tolong boleh? Tolong sembelihkan ayam dalam sangkar tu? Malam ni nak buat rendang untuk raya esok”

“Boleh mak cik...” balas Rizqullah.

Namun ceritanya tidaklah semudah disangka apabila Rizqullah terpaksa mengejar ayam tersebut untuk menangkapnya. Disebabkan tidak cermat memegang ayam tersebut, maka ayam tersebut terlepas dari tangannya sewaktu mengambilnya dari sangkar. Sesi mengejar berulang lagi. Abyatina turut menyertai.

Sesi iftar berlangsung dengan penuh selera. Keletihan puasa terakhir itu ternyata tidak dapat digambarkan. Satu demi satu dugaan yang melanda di siang hari ternyata memberikan nikmat buat Abyatina dan Rizqullah. Lauknya sederhana, namun menyelerakan dek keletihan yang dirasai. Wanita tua itu hanya memerhati dengan senyuman.

“Mak cik sorang saja di sini?” soal Abyatina.

“Dah lama sorang. Sejak arwah suami meninggal sepuluh tahun lalu...”

“Anak?”

Mak cik itu hanya membisu. Tiada jawapan diberikan. Tunduk sahaja dan sedikit sugul.

“Kalau ada pun, macam tak ada...” luah wanita itu.

Lebaran ternyata satu lagi kesunyian buat wanita itu. Anak-anak telah melupakannya.

Selepas selesai solat Maghbrib, maka Abyatina dan Rizqullah menunggu semula di perhentian bas. Salam diberikan, dan Abyatina memeluk erat wanita itu. Sebak dirasakan Abyatina tanda simpati terhadap nasib wanita itu yang berseorangan menjelang lebaran.

Hampir sejam menunggu, bas masih belum muncul. Tak lama selepas itu juga, maka hujan lebat melanda. Abyatina dan Rizqullah kesejukan dalam kesabaran menunggu bas. Hujan yang turun tidaklah begitu lama, namun telah mewujudkan kedinginan malam yang luar biasa. Abyatina sangat kesejukan, dan Rizqullah memeluk erat Abyatina, cuba mengurangkan kesejukan isterinya itu.

Sebuah beca berhenti di perhentian bas itu. Lelaki tua yang mengayuh beca itu kemudian bersuara.

“Encik, bas malam ni dah tak ada. Petang tadi bas yang terakhir. Tak guna kalau nak tunggu juga. Lagipun esok nak raya,” kata lelaki itu.

“Pilihan apa yang kami ada lagi? Kami pun nak balik beraya...” balas Rizqullah.

“Saya boleh bawa encik dengan isteri encik ke pekan. Kat sana ada lagi teksi,” balas lelaki itu.

Tanpa berfikir panjang. Rizqullah mendukung Abyatina yang keletihan untuk menaiki beca tersebut. Lelaki tua itu kemudian membawa mereka ke pekan. Namun tiba di separuh perjalanan, lelaki tua itu tiba-tiba mengadu sakit dada. Saat itu juga lelaki itu diserang serangan jantung.

Mujur, ubat dibawa lelaki tua itu. Selepas menelan beberapa biji pil, maka dadanya semakin pulih. Namun tenaga untuk mengayuh telah tiada. Di akhirnya Rizqullah pula yang terpaksa berkayuh menuju ke pekan.

“Terima kasih. Nasib baik encik tolong kayuh. Kalau tak, dok berehat tepi jalan sajalah saya ni...”

“Banyakkan rehat pak cik. Tak elok kalau bekerja keras sangat. Kesihatan lagi penting,” balas Rizqullah yang masih keletihan selepas mengayuh beca.

“Pak cik kena kerja jugak. Kalau tak, tak beraya anak-anak pak cik esok...” luah lelaki itu. Rizqullah hanya membisu terdiam.

Pencarian teksi di pekan bukanlah sesuatu yang mudah. Suasana sunyi menyelubungi malam itu. Kelihatan tiada siapa lagi di pekan itu. Tiada lagi kenderaan, tiada lagi kelibat manusia yang berjalan-jalan di pekan itu.

Namun, tak lama selepas berjalan, sayup-sayup kelihatan sebuah teksi berhenti di hadapan sebuah restoran. Maka dengan pantas, mereka berlari mengejar teksi tersebut. Usaha itu berbaloi, kerana mereka berjaya menaiki teksi itu.

“Dari mana nak ke mana?” soal pemandu teksi itu.

“Ke kampung isteri saya...” balas Rizqullah ringkas.

Saat itu, Rizqullah dan Abyatina menghelakan nafas yang cukup panjang. Matanya dipejamkan meluahkan kelegaan yang tidak tergambar. Benar, sejak petang lagi, pelbagai dugaan menimpa buat mereka. Pelbagai halangan terpaksa ditempuh dalam usaha untuk pulang ke kampung Abyatina. Maka, saat berada di dalam teksi itu, Rizqullah dan Abyatina mengambil peluang untuk melelapkan mata. Setidak-tidaknya tempoh sejam perjalanan itu boleh digunakannya untuk berehat.

“Moga lancar perjalanan kali ni...” luah Abyatina.

Setelah setengah jam perjalanan, teksi yang dinaiki tiba-tiba berhenti. Rizqullah dan Abyatina terjaga. Mereka terkejut. Tak lama selepas itu, seorang lelaki bersama seorang wanita masuk ke dalam teksi dalam keadaan tergesa-gesa.

“Cepat, kita kena ke hospital. Isteri saya dah nak bersalin ni!” kata lelaki yang baru masuk itu.

Fasa baru kisah dugaan Abyatina dan Rizqullah muncul. Tanpa disangka-sangka, mereka terperangkap dalam situasi panik seorang wanita yang dalam kecemasan, mungkin akan melahirkan seorang anak. Maka, teksi dipandu dengan lebih pantas.

Setibanya di hospital, wanita itu dibawa dengan pantas ke wad bersalin. Abyatina turut membantu wanita itu sehingga ke pintu wad. Rizqullah pula cuba mententeramkan suami wanita itu yang kelihatan begitu cemas.

“Ini anak sulung kami. Saya tak tau apa yang perlu dibuat...Tambah lagi, esok nak raya...”

“Banyakkan istighfar.... moga Allah sentiasa bersama...” bicara Rizqullah cuba mententeramkan lelaki itu.

Hampir tiga jam mereka berada di hospital. Khabar yang didengar, wanita tersebut menghadapi masalah untuk melahirkan anak. Dengan penuh kesabaran, maka Abyatina terus menunggu bersama Rizqullah. Suami wanita itu telah pun masuk ke wad bersalin, menemani wanita tersebut. Masa telah melewati jam tiga pagi.

“Abang, bagaimana dengan Ina nanti kalau bersalin? Seteruk inikah?” soal Abyatina meluahkan kerisauan.

“Insya-Allah Ina. Dengan izin Allah, akan tibanya kita dikurniakan seorang anak. Saat hamil sampailah Ina melahirkannya, abang akan cuba menjaga Ina sebaik mungkin...”

“Moga akan datang rezeki itu satu hari nanti....”

Sejam berlalu, maka berita gembira dikhabarkan. Wanita tersebut selamat melahirkan anak, dan bayi perempuan dikurniakan buat pasangan tersebut. Kegembiraan jelas terpancar di wajah suaminya. Awal pagi Syawal itu adalah saat terindah buat pasangan tersebut.  Abyatina dan Rizqullah menumpang gembira.

“Siapa nama isteri kamu?” soal lelaki tersebut kepada Rizqullah.

“Abyatina namanya. Kenapa?”

“Boleh kami gunakan nama Abyatina untuk bayi kami?” soal lelaki itu.

“Apa kata kalau gunakan nama Rozana. Sedap juga nama tu...” bicara Abyatina tiba-tiba.

“Kenapa tak mahu gunakan nama Ina?” soal Rizqullah.

“Tak salah bukan kalau dicadangkan nama tersebut?” balas Abyatina.

“Ya, sedap juga nama tu...” kata lelaki itu. “Boleh juga nama yang dicadangkan isteri encik ni...”

Maka, Rozana nama diberi dan kisah bahagia bermula buat pasangan tersebut. Saat itu, jam telah menghampiri lima pagi, dan Abyatina bersama Rizqullah terus berada di hospital.

Akhirnya, Abyatina dan Rizqullah bergerak menuju ke destinasi sebenar mereka. Mujur pemandu teksi yang membawa mereka itu masih tetap sabar menunggu di hospital tersebut. Walaupun berjam-jam lamanya di hospital, lelaki itu terus setia menanti.

“Pak cik tak raya ke?” soal Abyatina.

“Kalau tak ada orang macam saya waktu-waktu begini, mungkin orang-orang yang senasib dengan kamu berdua tak dapat balik raya... lagipun, berkorban kegembiraan untuk gembirakan mereka yang lain akan buatkan hati jadi lebih tenang dan nikmat,” balas pemandu teksi itu.

Abyatina dan Rizqullah tiba di kampung tepat pukul enam pagi, sewaktu azan Subuh berkumandang. Kemunculan mereka di kampung di awal Subuh ternyata mengejutkan seluruh keluarga. Pada sangkaan keluarga Abyatina,  kemungkinan Abyatina pulang ke kampung Rizqullah pada hari pertama lebaran.

“Selamat Hari Raya!” bicara Abyatina saat turun dari teksi. Seisi keluarga ternyata teruja menyambut ketibaan Abyatina dan Rizqullah. Kelegaan dan kepuasan terpancar di wajah Abyatina dan Rizqullah. Akhirnya, mereka tiba juga di kampung setelah pelbagai rintangan dihadapi.

Maka itulah kisahnya. Selepas selesai sahaja solat Subuh, Abyatina dan Rizqullah terus terlelap. Keletihan menghadapi segala dugaan menjelang hari lebaran ternyata satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Benar, tak semua bergembira saat lebaran. Ada di luar sana sepi dan bersedih. Ada merasa susah saat kita menikmati senang. Ada yang berkorban untuk kita saat hati kita bersuka ria. Menjelang raya, kisah mereka yang menyambutnya ternyata berbeza. Itulah yang terjadi pada lelaki tua di stesen bas. Itulah juga yang dirasai mak cik tua yang tinggal di tepi sungai. Itulah juga yang dilalui pak cik beca, dan itulah juga yang dilalui pak cik teksi. Saat itu jugalah, dilalui oleh wanita dan suaminya, bergembira dan bersukur atas kurniaan rezeki yang diberikan ...” bicara Rizqullah panjang  kepada Abyatina sebaik selesai mendirikan solat Subuh.

“Pengalaman yang beri pengajaran buat kita....”


Hari Raya pertama buat Abyatina dan Rizqullah dimulakan dengan sesi tidur di awal pagi. Namun, pengalaman yang dilalui buat mereka berdua pada malam sebelumnya ternyata cukup berharga. Kisahnya bukan suatu bicara kosong, kerana ada isi yang dapat diteladani.

Itulah kisah yang akan terus dikongsikan untuk satu perbualan di masa depan. Setiap kali Syawal menjelma, kisah itu akan dikongsikan.

“Ibu, apa yang terjadi pada mak cik tua tu? Hidup lagikah sekarang?”

“Masih hidup lagi. Tapi sekarang lebih bahagia, sebab anak-anaknya semuanya akan balik beraya...”

“Pak cik teksi tu pula?”

“Dia dah tak pandu teksi lagi. Sekarang berniaga warung kat pekan”

“Bayi nama Rozana tu?”

“Kamu akan jumpanya tak lama lagi...”

“Tak sangka, susah juga raya pertama ibu sebagai isteri ayah...”

“Wahai anakku, sesusah-susah perjalanan hidup, pasti akan muncul nikmat indah di masa akan datang, dan kamu terindah buat kami...” monolog  Abyatina di dalam hatinya.

Syawal buat Abyatina ternyata bahagia bersama Rizqullah dan keluarga yang telah dibina mereka. Senyuman terukir di wajahnya.


*Tamat sudah Bicara Raya*




**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 



“Selamat Hari Raya buat semua pengikut setia siri Adina. Insya-Allah, Abyatina akan meneruskan kisahnya di masa akan datang.”




 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina




Nota: Edisi Khas Bicara Raya bagi siri Adina ini dihasilkan atas permintaan saudari Nor Farhana. Terima kasih atas sokongan bagi siri Adina ini.




















Ulasan

Catatan Popular