Jumaat, 31 Ogos 2012

Merdeka dengan Facebook?






Acap kali bila munculnya 31 Ogos, maka pelbagai kisah kononnya menunjukkan semangat kemerdekaan itu ditonjolkan. Benar, negara telah bebas dari belunggu penjajah. Namun bebaskah kita dari belenggu fikiran penjajah? Apakah negara pada hari ini punyai identiti tersendiri tanpa terikut-ikut dengan budaya lain?

Lupakan sahaja soal tema yang terpecah kepada dua, satunya berbunyi berbaur politik, dengan tema “Janji Ditepati”. Satu lagi dikatakan alternatif yang dikatakan lebih tepat dengan semangat kebangsaan, dengan tema “Sebangsa, Senegara, dan Sejiwa”. Hakikatnya, sambutan kemerdekaan tetap diraikan seluruh rakyat Malaysia walaupun beza pandangan politiknya.

Katanya, “Janji itu ditepati, dan balasannya, kenalah diberi dengan budi”. Maka, berbondong-bondonglah yang menghentam pihak itu, nyatakan merdeka telah dipolitikkan, hingga wujud keangkuhan.

Biarkan saja jika itu tafsirannya. Tiap-tiap pemimpin itu punyai cara tersendiri dalam melahirkan hasrat visi dan misinya. Lemah pemimpin itu, lemahlah rakyatnya. Lemah rakyatnya, lemahlah negara. Lemah negara, maka seronoklah penjajah versi baru, menjarah penjajahan tanpa disedari rakyat.

Hari ini, teknologi mengubah segalanya. Tak perlu dinafikan, Facebook satu kewajipan, ibarat bulan dan matahari, tak akan mungkir janjinya, hanya muncul di waktu siang, hanya muncul di waktu malam. Bagai bulan ikut matahari, mengikut sahaja arus global tanpa memikirkan kesannya. Itu natijahnya.

Ramai pada hari ini tanpa sedar telah menjadi hamba abdi kepada Facebook. Ketagihan melampaui batas, hingga setiap jam, pasti akan dibuka ‘buku’ tersebut. Realitinya, Facebook kini menjadi penjajah baru masyarakat pada hari ini.

Agak pelik, apabila pelbagai perkongsian peribadi dikongsikan di Facebook. Status kadangkala menjadi medan luahan rasa hati. Maka tak hairan, andai wujud status-status yang kadangkala kelihatan ‘menggatai’ dan tak kurang juga kelihatan ‘miang berbulu’. Buat apa mahu dikongsikan kisah bergaduh dengan teman lelaki di Facebook? Dapat faedahkah? Boleh selesai masalahkah?

Perilaku ini hanya merendahkan martabat seseorang. Menjadikan seseorang itu murah, tak kurang juga mungkin diketawakan oleh mereka yang lain.

Kurang bijak, andai dikatakan Facebook itu adalah hak peribadi, dan hak itu menandakan bukti bebasnya seseorang itu untuk meletakkan sebarang perkara di Facebook masing-masing. Hakikatnya, setiap kebebasan yang kita nikmati pada hari ini terikat dnegan nilai tanggungjawab sosial yang cukup besar.

Terfikir juga, apakah kewajaran seseorang itu berkongsikan gambar imbasan ultrasound bayi yang berusia beberapa bulan itu di Facebook? Tak malukah berkongsi hal sesulit itu? Bukankah itu satu perkara eksklusif yang hanya perlu ditatap si suami dan si isteri sahaja?

Lucu pula kedengaran apabila dengan bangga si pemilik Facebook membuat pengumuman bahawa dirinya telah hamil. Dinyatakan juga secara terperinci bila diketahui, dan bagaimana diketahui. Soalnya, perlukah dihebahkan seantero dunia?

Ada juga yang gemar menayangkan segala koleksi pakaian yang mungkin ratusan ringgit harganya. Tak pasti apa tujuannya, mungkin mahu berkongsi dalam ketakburan. Apakah rasional di sebalik penayangan percuma itu?

Berpasangan ada adabnya. Namun kadangkala ada yang melebihi batasnya. Jangan sampai seseorang itu dilihat seperti murah harga dirinya, meletakkan gambar berpasangan berpelukan di Facebook. Rendahnya martabat andai itu terjadi.

Tak kurang juga menjadikan Facebook sebagai medan penyebaran dakyah berbaur fitnah, bertunjangkan nilai prejudis terhadap kaum lain. Maka, lahirlah status-status berbaur perkauman hingga kadangkala boleh mencetuskan porvokasi antara satu sama lain. Soalnya, benarkah Melayu itu malas, Cina itu kaki pembelit, dan India itu kaki botol? Buangkan pandangan jumud sedemikian kerana nilai negatif tersebut wujud dalam semua kaum di dunia ini, bukan terikat pada bangsa-bangsa tertentu sahaja.

Bebaskah kita dari belenggu penjajah? Mungkin bebas, namun bebaskah kita dari belenggu pemikiran penjajah? Mungkin masih belum tercapai. Ingatlah, penghambaan diri terhadap Facebook telah berlaku, dan proses ini adalah satu bentuk penjajahan separa sedar buat rakyat kita pada hari ini.

Tak salah andai mahu menggunakan Facebook, namun biarlah bijak. Jangan jadi si dungu hingga masyarakat dunia mentertawakan kita, melihat Malaysia ini sebagai sebuah negara ‘melatah’ seringkali bergolak akibat kurang bijak ‘bersosial’ di laman ‘buku muka’ ini.

Salam kemerdekaan buat semua. Moga terus sejahtera hendaknya dalam keharmonian perpaduan. Moga penjarahan minda dalam proses penjajahan yang sedang berlaku ini dapat kita tepis. Moga kemerdekaan yang dikecapi ini akan terus dapat dipertahankan.

Terima kasih Malaysia.

“Janji Ditepati dalam Sebangsa, Senegara, dan Sejiwa”


3 ulasan :

Ahmad Zaki Mohd Hashim berkata...

hahaha...memang pun. Semua benda nak post dalam Facebook. Sampaikan buat amal ibadat pun nak bagitau. Agak2 la kalau sampai macam tu sekali, hamba Allah tu ikhlas atau tidak beribadat pada Allah S.W.T.

Ahmad Zaki Mohd Hashim berkata...

Maaf. Terlupa nak letak tanda soal di akhir ayat. Hehehe.

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Heheheh. Tak pe. Boleh faham jugak kalau tak letak tanda soal.
Yalah, segala macam nak kongsi kat Facebook. Dah macam dijajah dengan Facebook je.