Sabtu, 18 Ogos 2012

Muhasabah Jumaat: Ragam Ramadan vs Teruja Syawal



"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".
(al-Qadr, 1-10)

Agak lama tidak dibicarakan sesuatu di blog ini. Ruangan perkongsian idea dan pendapat telah lama tidak diposkan di blog ini. Hakikatnya, bukanlah penulis tidak mempunyai masa untuk menulis, namun dalam tempoh dua bulan ini, penulis telah menumpukan sepenuhnya untuk menulis beberapa siri Adina dan beberapa cerpen yang telah dan akan diposkan di blog. Cuti semester kali ini dihabiskan dengan mengasah imaginasi menghasilkan tulisan berbentuk cereka.

Ramadan telah berada di penghujungnya, dan seperti kebiasaan, di waktu penghujung ini persiapan menyambut Hari Lebaran kian rancak dijalankan. Persoalan yang timbul kini, apakah persiapan itu telah mengatasi ibadah di bulan Ramadan? Sama-sama fikirkan.

Hanya di bulan Ramadan, ibadah terawih itu dilaksanakan. Hanya di bulan Ramadan, tadarus al-Quran rancak dijalankan. Hanya di bulan Ramadan, banyak amalan sunat disuburkan. Sememangnya diakui, di awal Ramadan kerancakan begitu mempesonakan tatkala melihat masjid dan surau penuh dengan jemaah. Namun di penghujungnya, masjid lesu, semakin berkurang bilangan jemaahnya. Walhal, di hujung Ramadan itulah adalah sebaik-baik waktu untuk merebut ganjaran kerana di dalamnya terkandung Lailatul Qadar.

Apa dikisahkan sesetengah mereka? Shopping ke hulu ke hilir, berpesta sakan membeli kononnya nak jadikan Syawal nanti sebagai Syawal yang paling ‘grand’. Soalnya, ‘grand’ sangatkah Syawal itu andai Ramadan disia-siakan. Amat malang, namun inilah yang terjadi.

Itu belum menyentuh soal budaya dan tatacara sesetengah masyarat yang kelihatannya berpuasa dalam kesia-siaan. Hairan juga apabila melihat sesetengah dengan selamba pergi ke bazar Ramadan berseluar pendek dedahkan aurat. Ke sana dan ke sini dalam kesungguhan mencari juadah, dan pada masa yang sama dosa mengalir berterusan dek aurat tak dijaga. Baguslah, kerana di akhirnya hanya nikmat makan sahaja yang dirasakan ketika berbuka. Nikmat lain semuanya telah hilang.

Ada pula yang lebih dahsyat. Buat muka tembok, masih lagi berkepit bagai dua biji pinang dilekatkan dengan gam gajah. Dah serupa kembar siam lain jantina, lain rupa, seorang tinggi, dan seorang ketot. Sakan berpegangan tangan ibarat bulan Ramadan tiada makna buat mereka.

Tak kurang juga buat sesetengah kaum wanita yang dengan selamba masih lagi berlenggok-lenggok ketika berjalan dengan jeans ketat dan bajunya yang sendat. Tudung dipakai, namun masih terdedah aurat. Beri saham dosa kering buat si hamba lain yang berpuasa hingga mencemarkan keindahan dan kesucian bulan Ramadan. Soal puasa ibarat menahan lapar sahaja, dan hawa nafsu itu dilihat masih menguasai diri.

Di satu sudut pula, kisah berbuka puasa sesetengah mereka kadangkala mencetuskan persoalan. Ada pula segelintirnya dilihat bermegah-megah dengan juadah berbuka puasa. Hidangan serba mahal dinikmati, dan tidak cukup dengan itu diambil gambar dan disebarkan seantero dunia menerusi Facebook dan Twitter. Tak kisahlah, juadah yang kononnya sederhana seperti KFC, McDonald, Secret Recipe, mahupun hidangan-hidangan di restoran mewah, hakikatnya budaya membanggakan hidangan juadah berbuka ini jauh menyimpang dari didikan Ramadan yang menekankan kesederhanaan. Mungkin bila kekayaan menguliti diri, maka nilai murni dalam Islam juga dipinggirkan.

Nilai-nilai indah dalam bulan Ramadan seolah-olah dipinggirkan. Sesetengah masyarakat hari merasakan bahawa Syawal itu adalah suatu bulan yang lebih penting. Maka, segala persiapan rapi perlu dilakukan. Hakikatnya, Ramadan itulah kemuncaknya, dan pengakhiran ialah Syawal. Maka seharusnya Ramadan itu diangkat dan diraikan dengan penuh teruja oleh masyarakat. Sedih, bila dilihat ramai yang alpa untuk beribadah, namun leka dalam melakukan persiapan hari lebaran.

Syawal yang menjelma seharusnya menjadi satu titik kesedaran di atas perubahan yang telah dilakukan di bulan Ramadan. Seharusnya apa sahaja yang baik di bulan Ramadan, perlu dikekalkan momentumnya di bulan Syawal. Jangan tinggalkan amalan di bulan Ramadan semata-mata mahu menurut hawa nafsu di bulan Syawal.

Jangan jadikan Syawal sebagai bulan melepaskan nafsu yang terkurung selama sebulan. Jangan jadikan Syawal sebagai pesta mendedahkan aurat, berfesyen sakan hingga lupa syariat. Pastikan amalan pembaziran dicegah, dan seharusnya nilai rendah diri ada di dalam hati tatkala menyambut Syawal. Bukannya budaya bermegah dek kemampuan memiliki pinggan mangkuk mahal ataupun bangga dek memiliki kereta serba baru.

Tangan yang dihulur saat bermaaf-maafan juga seharusnya dijaga. Janganlah semberono sahaja bersalaman tanpa mengira lelaki dan perempuan. Jadikan syariat sebagai panduan. Jangan pula ambil kesempatan untuk bersalam dengan gadis idaman,cuba merasai kehalusan dan kelembutan tangannya itu. Ingat, itu semua ‘Haram’.

Kelihatan pada hari ini, sesetengah masyarakat tidak menjadikan Ramadan sebagai sebuah madrasah buat mereka mendidik jiwa mendekati Allah. Ramadan kini dilihat seperti sebuah ‘forbidden city’ atau kota larangan, melarang manusia dari melakukan maksiat buat seketika. Bila keluar dari kota larangan itu di bulan Syawal, maka segalanya dilepaskan semula, dan dosa serta maksiat kembali subur. Awas, jangan jadi insan nan kufur, lupa pada nikmat pemberian-Nya.

Akhir bicara, salam Syawal buat semua. Moga Ramadan yang berlalu akan mendidik kita menjadi insan yang lebih dekat  dengan-Nya. Raikan Lebaran dengan kesederhanaan, dan pastikan tiap-tiap kekusutan yang melanda dileraikan dengan kemaafan.

Wassalam.








Tiada ulasan :