"Viva el Amor Thahirah"
Kerana dunia yang indah, maka bahagia sama-sama
dirasakan. Kerana dunia penuh nikmat, maka ketenangan dilalui. Kerana dunia
dilamun rasa cinta, maka sama-sama menempuh kemanisan. Perjalanan sebuah hati,
kadangkala penuh cubaan. Tabahkan diri, kuatkan jiwa.
Dari hari ke hari, maka realiti itu mula meresapi
kewarasan akal. Benar, mungkin sukar menerima hakikat, namun itulah kepedihan
yang perlu diterima.
Ada satu kisah di sebuah tempat, ceritanya dikatakan
sangat mahsyur menjadi bualan penduduk-penduduk di sekitarnya dalam tempoh yang
singkat. Dikatakan misteri, namun tiada pula kisah yang cuba merungkaikannya.
Maka, hari demi hari, kepercayaan wujud, nyatakan bahawa itu sebuah kisah
lagenda.
Baru semalam selepas Isyak, Pak Cik Lah datang menggigil
berlari ketakutan sebaik masing-masing pulang dari masjid. Rumah Lebai Wahab,
ketua kampung menjadi tempat tumpuan malam itu. Ibarat satu berita panas, dalam
tempoh yang singkat, rumah Lebai Wahab dipenuhi orang ramai. Masing-masing mula
menyibukkan diri, ingin tahu kisah Pak Cik Lah.
“Kalau saya tau, sampai mati pun saya tak tolong
tadi....” bicara Pak Cik Lah masih lagi menggigil ketakutan.
“Apa yang jadi Pak Lah?” soal seorang pemuda.
Kisahnya bermula begini. Sebaik selesai berjemaah Isyak,
maka Pak Cik Lah berjalan kaki pulang menuju ke rumahnya yang terletak di
seberang jalan besar. Namun di pertengahan jalan, maka langkah Pak Cik Lah
terhenti. Matanya terpaku ke arah jalan.
“Apa yang Pak Lah nampak?” soal pula pemuda yang lain.
Lokman namanya.
“Eh, banyak tanya pulak budak ni. Belum sampai klimaks
lagi cerita aku ni...” balas Pak Cik Lah, sempat lagi berseloroh walaupun
badannya masih menggigil.
Maka, kisahnya bersambung begini. Pak Cik Lah berjalan
menghampiri sebuah kereta. Warnanya putih, tersadai di tepi jalan. Lampunya
bernyala, enjinnya hidup. Dalam kehairanan, maka dicuba Pak Cik Lah
meninjau-ninjau kenderaan putih itu. Sekelip mata, tiba-tiba seorang wanita
berkurung putih muncul di belakangnya.
“Lawa tak perempuan tu?” Lokman bertanya lagi pada Pak
Cik Lah.
“Eh, kamu ni Lokman. Dah macam wartawan tv gayanya. Cuba
kamu diam saja dengar cerita Pak Cik Lah kamu ni...” Lebai Wahab mencelah.
“Maklumlah lebai, Lokman ni dah kemaruk nak berbini...” seloroh
Pak Cik Lah.
“Hai Pak Lah, dalam dok takut pun sempat lagi nak
berguraunya...” balas Lokman.
“Apa kisah seterusnya?” soal Lebai Wahab.
Namun kisahnya tergantung. Pak Cik Lah tiba-tiba pengsan,
tanpa diduga hadirin yang ada.
Kisah Pak Cik Lah bukan yang pertama. Sebelumnya, banyak
juga siri penceritaan dari orang kampung yang melalui pangalaman yang pelik di
kawasan selekoh jalan besar di kampung tersebut. Lebai Wahab juga pernah mengalami
pengalaman yang hampir sama. Kisahnya berlaku tatkala Lebai Wahab dalam
perjalanan ke masjid untuk solat Mahgrib.
“Sekali ada kereta putih lintas jalan tiba-tiba. Terbabas
juga saya hampir-hampir nak masuk parit. Saya pun hairan, dari mana datangnya
kereta tu, sebab kiri dan kanan jalan semua semak saja, tak ada jalan atau
simpang pun...” terang Lebai Wahab menceritakan pengalamannya sebaik Pak Cik
Lah yang pengsan diangkat dibawa masuk ke dalam rumahnya. “Tak lama lepas tu,
muncul seorang perempuan. Lawa...”
“Apa jadinya?”
“Dia datang minta maaf, siap hulur duit nak bayar ganti
rugi. Tapi saya tak terima, sebab tak ada apa-apa pun sangat....” terang Lebai
Wahab. “Saya pun ambil motor saya kemudian bergerak semula nak ke masjid. Saya
toleh ke belekang nak tengok perempuan tadi.... Tapi....”
“Dia macam biskut... Terus tak ada. Jalan kosong saja
bila lebai kamu toleh ke belakang...” sambung isteri Lebai Wahab membawa dulang
dan teh.
“Ish, takkan kot. Lebai salah tengok tu. Mata pun tak
terang lagi...” bicara Lokman cuba mempertikaikan kisah Lebai Wahab.
“Habis tu, yang aku elak tu siapa?” balas Lebai Wahab.
Minggu sebelumnya, anak Pak Cik Man pemilik warung hujung kampung, Khadijah turut
melalui detik yang pelik di selekoh jalan yang sama. Saat dirinya turun dari
bas, kelihatan seorang wanita memanggil-manggil dirinya. Bantuan dipinta dan di
akhirnya Khadijah mengikut wanita itu berjalan menuju ke selekoh jalan tersebut.
Di selekoh jalan itulah kelihatan sebuah kereta tersadai di tepi jalan. Wanita
itu sekadar meminta bantuan untuk menemaninya sehingga seorang rakannya itu
muncul untuk mengambilnya.
“Jijah tunggu saja. Lama juga, dalam setengah jam.
Perempuan tu diam saja. Tak banyak cakap. Dia cuma ulang, dia dah lama tersadai
di tepi jalan tu, dan kawannya masih tak sampai-sampai lagi...,” bicara
Khadijah di kedai kopi saat dia menghidangkan secawan teh di warung Pak Cik
Man.
“Jijah tau ke namanya?” soal Lokman di warung itu.
“Tak terfikir pula nak bertanya...” balas Khadijah.
“Tapi.... dia selalu tersenyum. Bila kawannya datang, dia terus naik kereta tu.
Bila kereta tu bergerak, Jijah toleh belakang. Kereta putih yang tersadai tu
dah hilang...”
“Kereta yang dia naik tu ada lagi tak lepas tu?” soal
Lokman.
“Kereta tu ada. Jijah nampak sampai dia hilang dari
selekoh jalan tu...”
“Kenapa ya, selekoh tu tiba-tiba jadi tempat yang pelik?”
bicara Lokman.
Tidak pernah sebelum ini, situasi-situasi pelik berlaku
di kawasan selekoh itu. Disebabkan banyak cerita yang terjadi di kawasan itu,
maka sedikit demi sedikit penduduk kampung mula berhati-hati melalui kawasan
itu. Di saat perbualan berlangsung, maka Ganesh si penjual roti muncul.
“Saya pun ada cerita juga...” bicara Ganesh sebaik tiba
di warung.
“Cerita di selekoh tu juga ke?” soal Pak Cik Man
menghidangkan mee goreng buat Lokman.
“Iya, serupa itu cerita juga la. Itu hari minggu lepas,
saya ada lalu itu selekoh. Saya pecut sangat laju sampai roti-roti saya mau
terbang...” bicara Ganesh bersemangat.
“Eh, Ganesh. Ini cerita roti terbang ke apa?” soal
Lokman.
“Eh, dengar dulu saya mau cerita,” balas Ganesh. “Bila
saya tiba itu selekoh, saya ada nampak orang angkat tangan. Saya berhenti
la sebab itu orang tahan. Jadi, itu
orang, satu perempuan banyak cantik. Saya tanya apa pasal dia tahan sama saya.
Jadi, perempaun itu cakap, dia mau beli
sama saya punya roti...”
“Lah... apa yang peliknya. Beli roti je kan...”
“Itu mau beli tak pelik. Tapi saya banyak hairan kenapa
itu perempuan mau beli roti dalam itu selekoh...” balas Ganesh. “Saya pun kasi
itu roti. Itu perempuan kasi sama saya wang, saya pun mau gerak. Tapi.... bila
saya belakang tengok, itu perempuan hilang, itu roti ada atas jalan, itu wang
jadi daun...” terang Ganesh. “Saya terkejut, terpecut itu motor, terus semua
roti saya berterabur atas jalan. Rugi saya..”
“Oh... patutlah petang tu banyak sangat ayam berkumpul
kat selekoh tu. Rupanya berebut roti...” seloroh Lokman.
Seisi warung ketawa kelucuan. Ganesh hanya tersipu-sipu
tersenyum malu. Tatkala itu jugalah, sebuah kereta berhenti di warung.
Kelihatan asing buat mereka, maka seorang lelaki muncul di warung itu.
“Assalamualaikum. Minta maaf tumpang bertanya. Di sini ke
kampungnya Cendana?” soal lelaki itu bertanya kepada Pak Cik Man.
“Oh, kampung Cendana seberang jalan di selekoh sana...”
balas Pak Cik Man. “Nak cari siapa?” soalnya kemudian.
“Saya cari rumahnya Tasha. Nama saya Zahid”
Maka di akhirnya, Zahid menuju ke rumah Lebai Wahab.
Maghrib yang semakin menghampiri membawa Zahid singgah bermalam di rumah ketua
kampung itu. Tujuannya tidak diketahui, namun hanya nama Tasha diulang-ulang
setiap kali diajukan pertanyaan oleh penduduk kampung.
“Siapa Tasha? Ada sesiapa kenal?” soal Lebai Wahab
tatkala perbincangan kecil berlaku di warung kopi selepas waktu Isyak.
“Kenapa Lebai tak tanya saja pada budak tu?” soal Pak Cik
Man.
“Ditanya banyak kali, tapi jawapan tak diberi. Takkan nak
dipaksa pula...” balas Lebai Wahab.
“Siapa pula Zahid ni ya...”
Malam itu, langit sangat cerah. Cahaya bulan ternyata memaparkan
keindahan yang menakjubkan. Maka saat itu jugalah, Zahid berjalan-jalan keluar
mengambil angin malam. Keindahan malam yang terpapar memberikan satu pesona tak
terucap.
Masih berlegar-legar di fikiran Zahid akan kisah yang
berlaku. Sekelip mata semuanya berubah. Saat bahagia yang baru dirasakan
tiba-tiba direntap dengan pantas. Tak
semua bahagia perlu berakhir dengan bahagia.
“Mungkin Thahirah ciptakan bahagia, tapi mungkin bahagia
tu datangnya dari Tasha...” bisik Zahid saat kaki melangkah tanpa arah tujuan.
“Thahirah satu kenangan, dan saya tak pernah paksa kamu
terima saya. Tapi, hidup perlu diteruskan walaupun pedihnya akan sentiasa
menusuk masa depan...” bicara Tasha terngiang-ngiang kembali di telinga Zahid.
“Mengapa Thahirah? Mengapa dia? Mengapa bahagia perlu jadi
korban? Mengapa aku tak diberi peluang?” monolog Zahid dalam dirinya.
“Tiap-tiap kejadian akan ada sebab dan musababnya. Hanya
kita yang buta, kerana Allah lebih Maha Mengetahui,” bicara ibunya terlintas di
fikirannya.
“Apakah Tasha takdir jodohku?” bisik Zahid sendirian.
Tanpa sedar, dari rumah Lebai Wahab, kaki yang melangkah
membawa Zahid ke jalan besar. Langkah
terus bergerak, terus mara ke hadapan tanpa sebarang hentian. Saat itu, Zahid
menyelusuri selekoh yang seringkali menjadi bualan penduduk kampung. Jalannya
sunyi, tiada kenderaan pada malam itu.
“Abang....”
Satu suara kedengaran saat Zahid berjalan. Lantas,
langkahnya terhenti.
“Thahirah?” soal Zahid spontan.
Kelibat wanita berkurung putih berdiri di belakangnya.
Cahaya bulan yang cukup terang menyerlahkan kelibat wanita itu. Sekilas pandang
wajahnya, maka Zahid tahu itulah Thahirah.
“Abang sihat?” soal wanita itu.
“Apa yang Thahirah buat malam-malam begini? Di tempat
begini?” soal Zahid.
Wanita itu sekadar tersenyum dan terus tersenyum tanpa
sebarang bicara. Matanya tepat memandang Zahid, seolah-olah mahu menyatakan
sesuatu. Tapak tangannya kemudian menyentuh pipi Zahid. Sejuk dirasakannya.
“Moga abang bahagia sampai bila-bila...”
Maka wajah wanita itu menunduk, berjalan menjauhi Zahid.
Perlahan-lahan semakin menghilang dari pandangan Zahid. Terkaku dirasakan
Zahid, tidak mampu berkata apa-apa, tidak juga mampu untuk bergerak ke
mana-mana. Zahid hanya mampu melihat kelibat wanita itu menghilang. Fikirannya
keliru.
“Zahid?”
Kejutan diterima lagi. Suara lain muncul pula.
“Tasha?” soal Zahid spontan.
Kelibat wanita muncul di sisi Zahid. Berblaus biru, tersenyum
sahaja wajahnya.
“Apa yang awak buat di sini?” soal wanita itu.
“Tadi... awak ada nampak tak?” soal Zahid sambil jarinya
dituju ke arah kanannya, arah menghilangnya wanita berkurung putih itu tadi.
“Nampak siapa?” soal wanita itu.
Zahid terkedu, terbisu seketika. Persoalan timbul di
fikiran. Mungkinkah itu sebuah khayalan? Mungkinkah Thahirah bukan Thahirah?
“Macam mana awak boleh sampai di sini?”
“Saya cari awak. Dah lama awak tak jumpa saya...” balas
Zahid.
“Sampai ke kampung saya awak datang?” soal wanita itu
ketawa kecil.
Di selekoh itu, Tasha bertemu Zahid. Malam yang bercahaya
itu menghasilkan suatu situasi yang pelik. Zahid berada dalam kekeliruan,
terkapai-kapai mencari realiti dan fantasi. Kelibat Thahirah dan Tasha, yang
mana benar, yang mana fantasi?
“Dari mana kamu tadi? Terkejut bila kamu dah tak ada di
rumah ni tadi,” bicara Lebai Wahab sebaik Zahid kembali.
“Maaf. Lupa nak maklumkan tadi. Saja ambil angin malam
yang cerah ni...” balas Zahid.
“Bukan apa, kalau nak jalan di kampung ni, kena hati-hati
sikit. Tambah-tambah kalau di selekoh jalan besar tu...” jelas Lebai Wahab.
“Apa yang tak kena dengan kawasan selekoh tu?” soal Zahid
hairan.
Tiada jawapan diberikan. Lebai Wahab hanya tersenyum
terus masuk ke dalam rumah. Maka tinggallah Zahid berseorangan di halaman rumah
Lebai Wahab.
“Pagi esok kita jumpa ya...” suara Tasha tiba-tiba
kedengaran. Tasha tiba-tiba muncul di sebelahnya. Zahid ternyata terkejut.
“Huh, semangat... Terperanjat jadinya..” bicara Zahid.
“Tapi, nak jumpa di mana?”
“Tempat tadi...”
Senyuman terukir dan keesokan paginya, hujan turun dengan
lebatnya. Sarapan yang dihidangkan isteri Lebai Wahab ternyata membuka selera.
Hidangan lepat pisang dan kuih gelang bersama secawan kopi panas, memberi
kesegaran di kedinginan pagi itu.
“Apa benar kamu pasti yang orang yang kamu cari tu
tinggal di sekitar kawasan ni?” soal Lebai Wahab.
“Oh, baru malam semalam saya jumpa Tasha. Kebetulan jumpa
di selekoh jalan besar tu,” balas Zahid.
“Selekoh tu?” Lebai Wahab terkejut. Namun tiada bicara
diungkapkannya.
Seperti yang dijanjikan, Zahid menuju ke tempat yang
sama. Hujan yang turun tanpa henti tidak menghalang Zahid, terus berpayung
berjalan untuk berjumpa Tasha. Lebai Wahab dilanda kehairanan, namun hanya
membisu melihat tetamunya itu berjalan meninggalkan rumah.
Di selekoh itu, maka kelihatan sebuah kereta berwarna
putih berhenti. Lantas, seorang wanita keluar dari kereta tersebut. Berpayung,
dan dengan tenang melambai-lambai tangannya saat melihat Zahid. Hujan semakin
lebat, menambahkan kedinginan pagi.
“Awak datang juga ya walaupun hujan?” bicara wanita itu.
“Manusia kekuatannya adalah janji,” balas Zahid.
Masing-masing berpayung di bawah hujan yang lebat. Di selekoh
itu, pertemuan berlaku, maka Zahid dilanda bahagia yang baru. Kisah yang dulu
bagaikan dilupakan, dan nama Thahirah seolah-olah terpadam dari ingatan.
“Mungkin Thahirah perlukan penggantinya,” luah Zahid
kepada wanita itu.
“Perasaan bukan untuk dipaksa...” bicara wanita itu.
“Saya bukan selayaknya untuk gantikan Thahirah awak. Mungkin jauh bezanya...”
“Tapi, setiap yang hidup perlu teruskan hidupnya.
Thahirah tak dapat dikembalikan lagi...” balas Zahid.
“Cinta tak semestinya bersatu. Cinta perlu subur dalam
hati, terus kekal sampai bila-bila. Cinta adalah ikhlas hati” bicara wanita
itu. “Awak dan Thahirah memang ditakdirkan untuk berkongsi hidup”
“Tapi tak mungkin saya dapat hidup dengan Thahirah. Dia
dah tak ada lagi...” balas Zahid kebingungan.
Wanita itu memegang tangan Zahid. Digenggam tangan Zahid,
sebelum dihulurkan sesuatu padanya. Tanpa bersuara Zahid mengambilnya. Maka
kelihatan sebentuk cincin diberikan. Matanya terpaku seketika. Cincin itu
ternyata sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Bukankah ini cincin Thahirah?” soal Zahid. “Dari mana
Tasha dapat?”
“Ingat, cinta akan terus kekal andai kita ikhlas
padanya...” bicara wanita itu. Zahid kemudian ditinggalkannya. Kereta putih itu
berlalu pergi dalam hujan yang masih turun. Zahid terpaku sekali lagi.
Sementara itu di rumah Lebai Wahab, muncul sebuah kereta
di halaman. Ternyata Lebai Wahab tidak mengenali tetamu yang hadir itu. Namun,
senyuman mesra menyambut kehadiran mereka dalam hujan yang masih lagi turun
tanpa henti.
“Assalamualaikum,” sapa seoarang lelaki berkaca mata yang
keluar dari kereta itu. “Maaf bertanya, tapi Zahid ada menumpang di sini?”
“Ya, baru saja dia keluar tadi,” balas Lebai Wahab.
“Katanya nak jumpa seseorang...”
Kelibat seorang wanita berkerusi roda keluar dari kereta
itu. Ditemani ibunya, wanita itu kemudian dibawa ke rumah Lebai Wahab. Maka,
tetamu disambut mesra dan tak lama kemudian, perbualan tercipta nyatakan tujuan
kunjungan mereka.
“Dari jauh kami cari Zahid. Ke sana, ke mari, ke situ,
Zahid macam larikan diri,” terang tetamu lelaki itu, bapa kepada wanita
berkerusi roda tersebut.
“Saya pun tak kenal Zahid ni. Cuma, semalam dia muncul di
kampung ni. Khabarnya nak jumpa kawannya. Sebab tak ada tempat nak tidur, itu
yang dijemputnya bermalam di sini,” terang Lebai Wahab.
“Dengan siapa dia nak berjumpa?” soal wanita berkerusi
roda itu pula.
“Namanya Tasha. Katanya tinggal di kampung seberang
sana,” balas Lebai Wahab.
“Tasha?”
Hujan yang lebat mula menjadi tenang. Titisan-titisan air
mula kehilangan rentaknya. Mentari menunjukkan kuasanya, maka pagi yang cukup
dingin itu mula bertukar cahayanya. Keindahan suasana di luar mula diserlahkan.
Zahid menutup payungnya. Berjalan dengan tenang menuju
pulang ke rumah Lebai Wahab. Fikiran menerawang sambil tangannya masih
menggenggam cincin yang diberi Tasha. Di saat Zahid telah bersedia untuk
mengatur langkah meneruskan hidupnya dengan menerima Tasha sebagai sebahagian
darinya, secara tiba-tiba keadaan menjadi sebaliknya.
“Mengapa Tasha menjauh?” bisik Zahid.
Pak Cik Lah yang pengsan beberapa hari sebelumnya muncul
di halaman rumah Lebai Wahab sekali lagi. Perkhabaran kehadiran Zahid di
kampung itu ternyata tersebar dengan cepat di kampung itu. Nama Tasha menarik
perhatian Pak Cik Lah untuk berjumpa Zahid.
“Nampaknya rumah ni bertambah murah rezekinya. Tetamu tak
putus datang...” bicara Lebai Wahab apabila menyedari kehadiran Pak Cik Lah.
“Kamu dah sihatkah?”
“Semangat yang hilang kini dah datang...” balas Pak Cik
Lah tersenyum. “Boleh aku nak jumpa Zahid tetamu kamu tu?”
“Oh, dia keluar lepas sarapan tadi. Dalam hujan
tergesa-gesa gayanya...” balas Lebai Wahab.
Maka, Pak Cik Lah bersua dengan tetamu asing di rumah
Lebai Wahab. Mereka saling berkenalan sebelum perbualan bersambung kembali.
Kelihatan kesemua tetamu punyai tujuan yang sama. Kelibat Zahid dinanti mereka.
“Zahid...”
Langkah Zahid terhenti kembali. Suara yang sama
kedengaran lagi. Lantas Zahid menoleh ke belakang. Wajah Tasha tersenyum dan
berdiri tidak jauh darinya. Senyuman Tasha itu cukup mempesonakannya. Lantas
separa sedar, Zahid berjalan menghampiri wanita itu.
“Saya harap masa depan akan jadi lebih indah. Saya harap
Tasha akan menjadi sebahagian darinya,” luah Zahid tenang.
Tasha tersenyum.
“Takdir ditentukan-Nya. Tiap-tiap yang indah itu tak
semuanya akan berakhir dengan bahagia,” balas wanita itu. “Fahami cinta yang
wujud dalam hati, bukan hanya pada luarannya sahaja”
“Kenapa Tasha macam tak sudi?” soal Zahid spontan.
“Dunia kita berbeza Zahid. Tak mungkin akan terjadi...”
balas wanita itu tunduk. “Moga awak bahagia satu hari nanti...”
Tasha berjalan meninggalkan Zahid. Tanpa sebarang bicara,
Zahid membiarkan sahaja Tasha. Maka sedikit demi sedikit, Tasha mula menghilang
dari pandangan. Hilang Tasha menimbulkan pelbagai persoalan. Bahagia Zahid
bagai tak tercapai.
Hakikatnya, Tasha muncul di saat Zahid kekeliruan. Setiap
kekusutan yang dihadapinya dileraikan dengan kehadiran Tasha. Setiap masa Tasha
akan menemani Zahid. Tasha sedikit demi sedikit memulihkan semangat Zahid.
Peristiwa kemalangan yang cukup perit untuk dihadapinya ditenangkan dengan
setiap tutur bicara Tasha. Kehilangan Thahirah adalah sesuatu yang sukar, namun
kemunculan Tasha ibarat menjadi pengubat buatnya. Perlahan-lahan Zahid menerima
hakikat, dan di saat itu Zahid sedar, mungkin cintanya buat Thahirah, namun
jodohnya buat Tasha.
Zahid tertunduk. Tidak tahu langkah seterusnya.
“Abang...”
Jantung Zahid bagaikan disentak. Degupan kuat tiba-tiba
dirasakan. Suara yang kedengaran ternyata satu suara yang memberikan debaran
yang cukup kuat. Suara itulah yang telah lama hilang dari ingatannya.
Mendengarnya kembali, maka Zahid bagai merasa mimpi.
Matanya menoleh lantas terlihat seorang wanita berkerusi
roda berada di hadapannya. Wanita itu tersenyum saat wajah Zahid dilihatnya.
“Abang ingat lagi siapa yang berada di hadapan abang ni?”
soal wanita itu. Zahid ternyata sangat terkejut. Matanya bagaikan tidak
percaya.
“Thahirah?” soal Zahid spontan.
“Abang sihat?” soal wanita itu.
Saat itu juga, ibu dan ayah Thahirah muncul di sisi.
Perlahan-lahan kerusi roda Thahirah menghampiri Zahid. Kejutan masih lagi
melanda Zahid.
“Apakah semua ni benar?” soal Zahid.
Thahirah tersenyum. Lantas disentuh tapak tangan Zahid.
Diusap beberapa kali tangannya itu. Jari jemari Thahirah ternyata memberi satu
isyarat mengembalikan setiap memori lama Zahid. Hangat tangan Thahirah
menjelaskan setiap perkara yang samar. Membezakan realiti dan fantasi.
“Abang dapat rasa tangan Ira?” soal Thahirah.
“Ya... Tapi.... tapi.... Ira bukan.... Ira bukan....
dah...” Zahid terkelu.
“Dah tak ada?” soal Thahirah.
Zahid menjadi keliru. Fikirannya kini tidak dapat
membezakan realiti dan fantasi. Thahirah yang disangkakan mati tiba-tiba muncul
dalam hidupnya semula. Zahid menjadi hilang punca.
“Ira masih bernafas lagi di depan abang ni...” tutur
Thahirah cukup tenang. “Kalau Ira dah tak ada, tak mungkin abang dapat rasa
jari Ira ni...”
Lantas fikiran Zahid terlintas akan kunjungan ke pusara
Thahirah sebaik sahaja dirinya sedar dari koma kemalangan. Masih segar di
ingatan Zahid, pusara itu adalah pusara Thahirah, dikunjunginya bersama-sama
ibu dan ayahnya serta Tasha.
“Tak mungkin.... Tak mungkin ini Thahirah...” bicara
Zahid cuba menafikan realiti di hadapannya.
“Abang masih ingat cincin ni?” soal Thahirah menunjukkan
cincin yang tersarung di jarinya.
Mata Zahid terpaku pada cincin itu. Itulah cincin yang
diberikannya kepada Thahirah. Namun cincin itu baru sahaja diserahkan Tasha
kepadanya. Lantas Zahid terus menyeluk sakunya mencari cincin yang diberikan
Tasha itu. Namun cincin itu tiada. Sakunya kosong. Zahid kebingungan.
“Ira yang temankan abang sepanjang abang tak sedarkan
diri di hospital. Abang ingat tak?” soal Thahirah. “Ira juga yang teman abang
jalan-jalan kat taman...”
“Tapi.... tapi bukankah tu Tasha? Bukankah Tasha yang
temankan abang?” soal Zahid kembali.
Thahirah hanya membisu. Maka imbasan kisah sebelumnya
bermain di fikiran Thahirah. Perbincangan yang berlaku di rumah Lebai Wahab
muncul kembali dalam kotak fikirannya. Kemunculan Pak Cik Lah di rumah Lebai Wahab
membuka satu kisah baru. Tatkala semuanya menanti kehadiran Zahid di rumah
Lebai Wahab, Pak Cik Lah membuka kisahnya.
“Aku kenal Tasha yang dicari Zahid tu...” bicara Pak Cik
Lah.
“Jadi siapa orangnya?” soal Lebai Wahab.
“Tapi, mustahil Zahid dapat jumpa Tasha lagi...” bicara
Pak Cik Lah.
“Kenapa?” soal Thahirah hairan.
“Tasha tu anak tiri saya...” terang Pak Cik Lah.
Hadirin terkejut. Pak Cik Lah membuka rahsianya. Saat
nama Tasha disebut semula di kampung itu, maka memori lama Pak Cik Lah kembali.
Benar,penduduk kampung tidak tahu kisah Tasha. Kebanyakan mereka tidak kenal
siapa Tasha yang diceritakan.
“Dulu, saya pernah berkahwin dengan maknya Tasha. Waktu
tu ayahnya dah tak ada, hilang di hutan sewaktu memburu. Jadi, saya jadi ayah
tiri Tasha sewaktu umurnya baru 6 tahun,” terang Pak Cik Lah. “Tapi jodoh kami
tak panjang, bila 8 tahun kemudiannya, kami bercerai”
Masing-masing terdiam seketika mendengar kisah yang tak
pernah kedengaran.
“Tapi, kenapa kami semua penduduk kampung tak tau langsung
cerita si Tasha ni?” soal Lebai Wahab.
“Sebabnya, tak lama selepas bercerai, mereka sekeluarga
berpindah ke tempat lain...” balas Pak Cik Lah. “Cuma tahun lepas, janda aku tu
balik semula ke sini. Dia menetap di kampung sebelah”
“Jadi.... di mana Tasha sekarang?” soal Thahirah pula.
Tertunduk Pak Cik Lah mendengar pertanyaan itu. Namun
dengan tenang dia membalas.
“Tasha dah meninggal, tiga bulan yang lalu,” balas Pak
Cik Lah. Hadirin sekali lagi terkejut.
“Jadi, siapa yang Zahid jumpa tu?” soal Lebai Wahab hairan.
“Apa sebab dia meninggal?” soal Thahirah pula.
“Kemalangan. Masa tu dia kelam kabut nak jumpa maknya di
kampung sana. Maknya dah nazak, bertahun lawan sakit barahnya...” balas Pak Cik
Lah. “Ikut apa yang polis tu cerita, Tasha cuba nak potong sebuah lori. Tapi
malang tak berbau, Tasha bertembung dengan kereta yang lain. Tasha tercampak
masuk dalam hutan, terus meninggal di situ,” jelas Pak Cik Lah.
Thahirah terkejut dengan cerita tersebut. Lantas diajukan
soalan buat Pak Cik Lah.
“Tasha tu kemalangan di jalan lama hujung daerah ni ke?”
soal Thahirah inginkan kepastian.
“Ya, jalan sempit di kawasan ladang kelapa sawit tu.
Hujan lebat turun waktu tu,” balas Pak Cik Lah.
Lantas segala persoalan hampir terjawab. Persoalan Zahid
yang seringkali menyatakan hasrat untuk berjumpa Tasha mula difahami. Saat
Thahirah berada di sisi Zahid tatkala Zahid masih terlantar di hospital, nama
Tasha seringkali disebut. Apabila Zahid sedar, Thahirah seringkali dipanggil
sebagai Tasha. Namun, Thahirah hanya membiarkan namanya dipanggil sedemikian.
“Apakah abang Zahid melihat aku sebagai Tasha?” bisik
Thahirah sendirian.
Sejurus perbualan di rumah Lebai wahab itulah, lantas
Thahirah bergegas mencari Zahid. Ditemani ibu dan ayahnya, Thahirah terus
mencari Zahid yang dikatakan sedang berjumpa Tasha. Thahirah tahu, Zahid dalam kekeliruan.
Thahirah sedar, Zahid masih mencari dunia realitinya.
Maka, di akhirnya Thahirah bertemu Zahid di pertengahan
jalan di kampung itu. Saat itu, Thahirah cuba untuk menyedarkan Zahid dari
fantasi yang cukup panjang.
“Ada mungkin Zahid akan terawang-awang dengan fantasi.
Mungkin dia tak dapat bezakan realiti dan fantasi. Sama-sama bantunya nanti,
moga dia akan tersedar”
Bicara doktor yang merawat Zahid segar di ingatan
Thahirah. Impak kemalangan ternyata memberi kesan cukup besar buat Zahid.
Ingatannya mungkin hilang, dan pada masa yang sama mungkin kehilangan keupayaan
membezakan realiti dan fantasi.
“Thahirah masih hidup?” soal Zahid seperti tersedar dari
mimpi yang panjang.
“Ya abang. Ira yang ada di depan abang masih bernafas
lagi, masih lagi ada di sisi abang, masih lagi ingat pada abang...” balas
Thahirah sebak sedikit.
“Ya Allah....” luah Zahid. Matanya terpejam sambil
menarik nafas panjang.
Fikiran Zahid menerawang kembali. Persoalan mula timbul. Saat
Thahirah yang selama ini disangkakan telah tiada tiba-tiba muncul semula di
hadapannya, saat itu jugalah persoalan mengenai Tasha menjadi satu kekeliruan.
“Tasha tak pernah wujud. Tasha tak pernah jumpa abang...”
terang Thahirah.
“Tapi...”
“Tasha meninggal dalam kemalangan tu abang...”
“Tapi.... selama ni Tasha selalu jumpa abang...”
“Abang, Tasha meninggal masa kemalangan tu. Dialah pemandu kereta putih yang tiba-tiba muncul depan kita, dan masa tu Ira tak
dapat buat apa-apa, terpaksa rempuh ke tepi,” bicara Thahirah. “Abang tercampak keluar, dan terus koma
selepas tu... Abang ingat tak?”
Fikiran Zahid bagaikan dipanah halilintar. Perkhabaran
dari Thahirah mencetuskan ingatan semula. Maka, di akhirnya Zahid seakan
tersedar.
“Jadi, siapa Tasha yang abang jumpa tadi?” soal Zahid kebingungan.
“Hanya Allah yang Maha mengetahui...” balas Thahirah.
“Jadi, Ira ke yang jumpa abang malam semalam?” soal
Zahid.
“Ira baru sampai pagi ni, abang. Tak mungkin semalam Ira
ada di sini...”
Maka, di akhirnya dunia realiti difahami Zahid. Setiap
detik Tasha hanyalah fantasinya sahaja. Mungkin juga kelibat Thahirah yang
muncul malam semalam itu juga satu fantasinya juga. Namun kehairanan masih
timbul tatkala Zahid pulang bersama keluarga Thahirah. Kisah ziarah kubur
Thahirah serta bicara ibunya di pagi Subuh mengenai Thahirah masih belum
terjawab lagi. Dirasakan semua itu satu realiti, namun Zahid mula merasa
sangsi.
“Zahid pernah melawat kubur arwah Tasha. Saya yang bawa.
Mak dan ayahnya pun ada masa tu...” bicara Pak Cik Lah kepada Thahirah sewaktu
perbualan di rumah Lebai Wahab.
“Tapi kenapa Zahid masih fikir yang Tasha masih hidup?”
soal ibu Thahirah.
“Mungkin fantasinya lebih kuat mengatasi realiti... “
bicara Thahirah.
Sejak itu, kampung tersebut tidak lagi dilanda kekalutan
dek misteri di selekoh jalan besar itu. Tiada lagi kedengaran kisah misteri
dari orang kampung. Tidak ada seorang pun cuba menimbulkan semula cerita kisah
wanita bersama kereta putihnya itu yang sebelum ini seringkali mengganggu
penduduk kampung. Masing-masing seolah-olah melupakan kisah itu.
“Sebab tu aku pengsan malam tu. Bila aku toleh muka aku,
aku nampak Tasha. Walhal Tasha dah meninggal...tak mungkin perempuan yang
berdiri di selekoh tu Tasha lagi” terang Pak Cik Lah di suatu petang di kedai kopi.
Lebai Wahab turut bersamanya.
“Tapi, sampai sekarang aku hairan, kenapa selekoh tu jadi
tempat munculnya bayangan Tasha tu? Selekoh tu tak pernah ada kemalangan.
Lagipun Tasha kemalangan di tempat lain...” balas Lebai Wahab.
“Sebabnya, selekoh jalan tu dulu bekas tapak rumah aku,
waktu aku mula-mula kahwin dengan maknya Tasha. Tapi bila kerajaan nak buat
projek jalan baru, tapak rumah tu dijual..”
“Oh...”
Maka, kisah Zahid dan Thahirah bersambung kembali. Detik
bahagia mula disulam tatkala Zahid dalam proses pemulihan. Benar, dugaan terjadi
dan dari musibah itulah maka kekuatan hati dan keazaman akan lebih kukuh.
Sesungguhnya, perasaan Zahid terhadap Thahirah tidak pernah terpadam. Perasaan
itu akan kekal sampai bila-bila.
“Viva el Amor Thahirah...” bisik Zahid di suatu petang
saat Thahirah menemaninya berjalan di sebuah taman.
“Insya-Allah. Moga Allah kekalkan jodoh kita...” balas
Thahirah
Kisah Zahid dan Thahirah yang di akhirnya bersatu. Moga
bertemu penamat bahagia. Moga teguh bersama. Mungkin.
*"Viva el Amor Thahirah" membawa maksud, "Moga kekal cinta Thahirah"
Nota: Bagi memahami kisah sebelumnya sila rujuk cerpen "Elipsis de Amor". Cerpen ini adalah kesinambungan dari cerpen "Elipsis de Amor"
(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )
Cerpen ini ditujukan khas kepada: Thahirah Kamarulail, Nurul Najjua Saaray, saudara Fhazrul, Nor Farhana, saudari Zaimah dan semua pembaca setia blog ini.
Ulasan
Sincerely,
Hana Banana
Mungkin makhluk tu suka kenangan di situ. :)