Jumaat, 3 Jun 2011

Muhasabah Jumaat: Seronok dengan pornografi?






Baru-baru ini, heboh diperkatakan mengenai satu kisah seorang remaja berusia 14 tahun membuat pengakuan dirinya tiada dara. Walaupun pos tersebut telah lama diposkan di blognya, baru saat sekarang keriuhan dan kekecohan terjadi. Heboh kisah tersebar sehingga meletupkan gadis muda ini menjadi individu popular di alam maya ini.

Menerusi blog yang diberi nama "Blog Adinda", gadis ini tanpa segan silu mengaku dirinya dah pernah berzina. Malah anggap pula perbuatan itu satu perkara yang biasa dilakukan oleh orang lain. Pandangan dangkal beserta jumud, dilafazkan atas akal yang pendek, diikuti pula dengan gelodak hawa nafsu, maka kejahilan si gadis yang baru mengenal erti dunia ini terserlah.

Kisah ini sekadar secebis bukti kerosakan yang menjadi barah, merebak dalam urat darah, meracuni anak-anak muda, generasi pelapis negara. Sedih bila dilihat, seks itu dianggap sebagai satu hiburan, dan pada masa yang sama budaya memaki hamun, caci-mencaci sehinggalah budaya gangster ala kurang ajar terhadap mak bapak yang akhirnya melahirkan kumpulan-kumpulan anak derhaka muncul dalam zaman yang dikatakan ‘canggih’ ini. Tahniah diucapkan!

Benar, seronok lakukan seks, tambah-tambah seks itu dilakukan tanpa sebarang ikatan yang sah. Penyatuan dua individu berkongsi sensasi getaran tubuh, maka melempiaskan kehendak nafsu syahwat dengan taraf ‘haram jadah’ ini lebih sesuai digelar penzinaan.

Itu belum masuk kisah nafsu buas sang lelaki durjana, menangkap si wanita dengan taraf golongan yang lemah, kemudian dipaksakan pula merasai tubuh sang lelaki ini tanpa kerelaan si wanita itu. Meronta tak sudah, diikuti dengan jeritan, maka keterpaksaan direlakan menerima tubuh asing sang lelaki syaitan ini. Itulah yang dinamakan sebuah pemerkosaan terhadap si wanita yang lemah.



"....celik itu juga bermaksud lahirnya kebutaan terhadap kesopanan dan kesusilaan berserta adab yang dijunjung menerusi semaian didikan agama."



Kes rogol ini kadang-kala menjadi lebih serius sehingga membawa kepada pembunuhan dek ganasnya perlakuan seks yang disertai ‘nafsu kuda’ yang tak kehabisan itu. Dek tingginya nafsu sang lelaki, maka nafsu membunuh juga tercipta dek takutnya si wanita membalas dendam dengan sebuah laporan polis sebagai hadiah untuk disampaikan dengan pakej sebat beberapa kali dan penjara beberapa tahun diikuti dengan tohmahan masyarakat seumur hidup.

Soalnya, mengapa kisah-kisah nafsu syahwat tak terkawal ini semakin menjadi-jadi? Mengapa seks bebas, cabul, dan rogol semakin meningkat?

Seronoknya pornografi, itulah jawapannya.

Kecelikan masyarakat terhadap dunia IT memang amat membanggakan namun pada masa yang sama, celik itu juga bermaksud lahirnya kebutaan terhadap kesopanan dan kesusilaan berserta adab yang dijunjung menerusi semaian didikan agama. Dunia internet memang memberi banyak info berguna, namun jangan dilupakan juga informasi ‘berguna’ yang dijadikan modal merangsang kehendak nafsu syahwat.

Kepesatan penggunaan broadband membolehkan internet dilayari dengan pantas tanpa sebarang sangkutan masa dan kesabaran. Maka, setiap laman web yang ingin dibuka, sekelip mata boleh terpapar di skrin. Maka, setiap video yang dimainkan, tiada langsung menggunakan masa yang lama untuk ditonton. Istilah ‘sangkut’ sewaktu menonton video di internet seolah-olah tak wujud lagi bila broadband banyak digunakan.

Internet mendekatkan pornografi kepada masyarakat. Itu hakikatnya.

Statistik mengenai industri seks menunjukkan sebanyak AS$ 57 billion keuntungan diperoleh di seluruh dunia menerusi industri ini. Amerika Syarikat menjadi peneraju bagi pendapatan ini apabila AS$ 12 billion daripada keuntungan keseluruhan disumbangkan negara Pak Cik Sam ini.

25% pencarian menerusi enjin carian adalah berkaitan dengan pornografi. 12% pula daripada keseluruhan laman web di dunia ini dengan angka kiara-kira 100 000 merupakan laman web lucah.

Pornografi juga menjalar kepada kanak-kanak. Industri pornografi yang membabitkan kanak-kanak menjana pendapatan sebanyak AS$ 3 billion setahun. 90% kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 16 tahun melayari laman web lucah ketika membuat kerja rumah. Secara purata pula, menurut kajian, kanak-kanak mula melayari pornografi apabila berusia 11 tahun. Pengguna terbesar bagi laman web lucah dalam kalangan bawah umur pula adalah mereka yang berusia antara 12 hingga 17 tahun. Angka ini tak menghairankan, kerana tempoh usia inilah kebanyakan remaja berada dalam proses mengenal keinginan seks mereka.



"Memang diakui, seronok bila dapat melihat wanita berposing sakan dalam keadaan bogel, sambil menunjukkan aksi-aksi yang ghairah."


Bagi golongan dewasa pula, 20% golongan lelaki mengaku melayari pornografi. Namun bagi wanita, hanya 13% sahaja mengaku melayari web lucah. Maka terbuktilah bahawa pornografi lebih banyak diikuti golongan lelaki. Mungkin nafsu yang satu tak dapat dikawal dengan sembilan yang akal. Si wanita pula masih mampu mengawal sembilan nafsu dengan satu yang akal.

Melihat kepada situasi ini pula, 10% daripada golongan dewasa mengaku mengalami ketagihan seksual internet.

Disebabkan perangkaan inilah, saya simpulkan pornografi penyumbang kepada barah kerosakan berpunca daripada nafsu syahwat ini.

Harus diakui, tanpa rangsangan, mustahil keinginan seks itu meningkat secara mendadak. Memang diakui, seronok bila dapat melihat wanita berposing sakan dalam keadaan bogel, sambil menunjukkan aksi-aksi yang ghairah. Memang diakui juga, memang seronok melihat kenikmatan pasangan penzina berzina di hadapan lensa kamera. Perlu juga tidak dinafikan, bahan-bahan bacaan berkaitan segala fantasi seks, telah menyebabkan keseronokan melayari internet bertambah dengan mendadak sekelip mata. Nikmat seks ini bila dibicarakan, sampai bila-bila pun tak akan habis, kerana memang tak dapat digambarkan kenikmatannya sehingga ada yang menyatakan seks itu ibarat syurga dunia.

Internet telah memudahkan bahan-bahan lucah yang menjadi perangsang nafsu syahwat didekati masyarakat. Apabila agama kurang dipupuk, yang menjadi pendinding diri, maka banyaklah generasi yang hanyut dengan gelodak nafsu ini. Dek tak tertahan dengan keinginan nafsu yang membuak-buak setelah terangsang dengan segala macam pornografi yang dilihat, ditonton atau dibaca, maka mereka ini akhirnya mencari subjek untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Mungkin mencari pasangan untuk berzina, atau mungkin juga mencari mangsa untuk diperkosa.

Maka, penyelesaiannya, mantapkan agama, perkukuhkan iman, dan rajin-rajinlah bermuhasabah diri.

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
(al-Israq, 32)

Melayari pornografi bermaksud individu itu menghampiri zina. Menghampiri zina itu dilarang dalam al-Quran. Maka fikir-fikirkanlah sejenak. Adakah masih mahu terus bergelumang dengan dosa menghampiri zina?

"Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba mereka, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas."
(al-Mukminun, 5-7)

Ayat ini juga menerangkan supaya manusia itu seharusnya menjaga kemaluan yang dikurniakan. Setiap anggota jika disalahgunakan, maka buruk padahnya. Ayat ini juga melarang manusia melakukan zina. Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa nafsu syahwat itu dibolehkan, namun haruslah disalurkan ke jalan yang halal yakni hanya disalurkan kepada isteri atau suami sahaja. Jika selain dari jalan itu, baik mencari pasangan yang tak sah atau mungkin sekadar dengan melakukan onani, maka tanggunglah azab di neraka jika diri masih tak bertaubat.

Hubungan seks itu boleh dinikmati. Perkahwinan, itulah jalan yang menghalalkan sebuah hubungan syahwat. Islam itu tak terlalu kejam kepada umatnya. Cuma sesetengah manusia itu yang kejam terhadap Islam.

Muhasabah Jumaat sekadar ingat mengingat, moga kita tak terlupa dan kembali tersedar dari terus melalui jalan kesesatan tanpa kesedaran. Manusia itu lemah, namun akan menjadi kuat jika kita senantiasa dekat pada-Nya.

Wallahualam.


*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dari sudut agama.


2 ulasan :

Zulhazri berkata...

pornografi tu mmg best..tp iman kena kuat nafsu kena kawal..klu x mmg tgk jela bnd jadah 2

Muhammad Yazid Rosly berkata...

benda yang haram tu memang seronok sangat nak buat. benda yang halal payah betul nak ikut. biasalah, benda haram syaitan bersuka-ria. Benda yang halal, syaitan berdukacita. Kalau iman tak mantap, itu yang boleh terikut je hati bercampur nafsu tengok pornografi