"Adina (Bicara Tiga Puluh Enam)"
“Mungkin masanya dah tiba...”
Rizqullah bersuara di pagi hari. Baru sahaja bersarapan
di dapur, dan kini sedang mebelek-belek akhbar di ruang tamu. Hari hujung
minggu sekali lagi dinikmatinya.
“Apa yang tibanya? Kenapa dengan masanya?” soal Abyatina
sambil melayan Yaqzan bermain-main dengan alat permainannya.
“Kita kena fikir juga masa depan. Kena fikir sepuluh
tahun akan datang. Kena fikir hidup anak-anak kita nanti...” kata Rizqullah.
“Kalau nak difikirkan pasal masa depan, semuanya banyak
yang perlu dirancangkan. Tapi semua tu abang boleh aturkan. Ina akan ikut saja
apa saja abang rancangkan...” kata Abyatina.
Yaqzan anak mereka sementara itu masih terus leka bermain
bersendirian. Yaqzan dilihat selesema. Barangkali suasana pagi itu yang sedikit
dingin disebabkan hujan malam semalam, maka kesihatan Yaqzan tidaklah begitu
baik. Abyatina menyedari keadaan itu, dan selepas bersarapan, maka terus diberi
ubat selesema buat Yaqzan.
“Kita hidup berkeluarga. Setiap perancangan masa depan,
mestilah diatur bersama. Takkan abang seorang saja yang perlu tentukan
semuanya....” balas Rizqullah. “Abyatina pun mesti kena bagi cadangan...”
Abyatina mengukir sedikit senyuman.
“Apa yang nak dicadangkan?” soal Abyatina. “Ina bukannya pandai
nak merancang...”
Soalan itu ternyata mencetuskan ingatan-ingatan lalu
Abyatina. Hakikatnya, banyak yang pernah diimpikan Abyatina sejak dahulu lagi.
Sebelum berkahwin, tatkala masih lagi di usia remaja, Abyatina pernah
mengimpikan untuk melanjutkan pengajiannya di universiti sebaik selesai sahaja
SPM. Namun, takdir mengubah perancangan impiannya. Tatkala umurnya dua puluh
tahun, Abyatina akhirnya berkahwin dengan Rizqullah, memadamkan terus impiannya
untuk menyambung pengajian.
Namun, Rizqullah suami yang mengerti. Ibarat memahami apa
yang pernah diimpikan Abyatina selama ini, beberapa tahun selepas itu mereka
akhirnya sama-sama menyambung pengajian di universiti. Di awalnya Abyatina
seakan tidak percaya, namun satu demi satu sisi baru dirasainya, mencipta
pengalaman yang baru. Tiga tahun dalam pengajian, maka akhirnya Abyatina
bergelar graduan berijazah. Impian tercapai berkat sokongan suaminya.
“Bukan Ina yang bijak dalam merencanakan kehidupan masa
depan? Bukan Ina yang banyak memasang impian dulu?” soal Rizqullah menghentikan
lamunan Abyatina. “Tiap-tiap impian Ina adalah satu perancangan yang terbaik
untuk masa depan”
Abyatina sekali lagi mengukir senyuman.
“Tapi tak semua impian dapat direalisasikan. Tak semua
impian indah-indah belaka di akhirnya...” balas Abyatina.
“Isteri abang orangnya bijak. Takkan boleh tersalah dalam
memasang impian?” balas Rizqullah.
“Jadi apa perancangannya?” soal Abyatina. “Apa yang nak
diimpikan?”
Kisah berlalu dengan pantas. Setelah berkonvokesyen
beberapa bulan yang lalu, maka kini hidup Abyatina dan Rizqullah tidak lagi
sama seperti sebelumnya. Jika dulu, hanya Rizqullah sahaja menggalas
tanggungjawab sebagai seorang guru. Kini Abyatina juga turut memikul
tanggungjawab yang sama. Abyatina kini telah bekerjaya, sesuatu yang pernah
diimpikannya sebelum ini.
Disebabkan itu jugalah, maka rutin harian buat keluarga
Rizqullah telah berubah. Jika dulu, hanya Rizqullah sahaja yang dilanda
kesibukan bersiap-siap untuk ke sekolah. Namun kini, Abyatina juga dilanda sibuk
yang sama. Maka setiap pagi, Yaqzan akan dihantar ke rumah ibu mertuanya, Mami
Radhwa untuk dijaga sementara waktu. Barulah Abyatina akan bertolak menuju ke
sekolah.
“Kesian mu. Dah tak serupa dulu...”
Luah Raiqah di satu masa tatkala mereka berbual-bual
menerusi telefon. Perbualan itu tercipta di suatu petang tatkala Raiqah
kakaknya itu ingin menyampaikan khabar gembira bahawa dirinya juga turut hamil
seperti Abyatina.
“Apa boleh buat. Semuanya dah tersurat. Biar susah
dahulu, mungkin ada senangnya di kemudian hari,” balas Abyatina.
“Akak cuma takut nanti disebabkan sibuk tu, tak teratur
rumah tangga...” luah Raiqah.
“Ina masih boleh uruskan rumah tangga. Setakat yang
mampu, insya-Allah semuanya masih baik-baik saja. Apa yang penting, Abang Riz
faham dengan perubahan yang berlaku...”
Hakikatnya, apabila suami dan isteri masing-masing sibuk
bekerjaya, maka pasti kehidupan sebelumnya itu tidak akan menjadi sama. Mungkin
itulah yang dibimbangi Raiqah.
“Jangan abaikan apa yang sepatutnya diberi perhatian.
Seorang isteri tetap isteri. Walau dah bekerja, syurganya tetap sama. Masih di
bawah tapak kaki seorang suami,” pesan Raiqah.
“Insya-Allah...”
“Tapi, akak hairan jugak. Kenapa boleh terpisah jauh
macam tu? Seorang di sini, seorang jauh di utara. Kenapa tak ditempatkan di
kawasan yang sama?” soal Raiqah.
“Barangkali itulah ujian baru. Mungkin nak lihat sejauh
mana kesabaran Ina dalam berkeluarga,” balas Abyatina.
Hakikatnya, walaupun Abyatina dan Rizqullah bekerjaya
yang sama sebagai seorang guru, namun penempatan sekolah mereka tidak sama.
Sebaik tamat pengajian di universiti, Rizqullah tidak lagi ditempatkan di
sekolah lama tempatnya mengajar dahulu. Rizqullah dihantar ke sebuah sekolah di
bandar Taiping, kira-kira empat puluh lima minit dari rumah. Bagi Abyatina
pula, penempatan pertamanya sebagai seorang guru adalah di sekolah lama tempat
Rizqullah mengajar dahulu.
“Tangan-tangan yang berkuasa di atas kadangkala mungkin
tak fikirkan soal hati dan perasaan orang di bawah,” luah Raiqah. “Tak sepatutnya
dipisahkan jauh suami dan isteri sebegitu,” katanya lagi.
Disebabkan itulah, setiap hari Rizqullah akan bangun
seawal yang mungkin. Sebaik selesai solat Subuh, maka Rizqullah terus bertolak
ke Taiping menuju ke sekolah. Abyatina pula sementara itu akan sibuk menyiapkan
bekalan makanan buat suaminya setiap hari. Maka rutin itu dilihat bukanlah
sesuatu yang mudah.
“Memang penat. Tapi itulah namanya pengorbanan,” kata
Abyatina.
“Biar pengorbanan ada maknanya. Jangan pengorbanan itu
akhirnya kita yang terkorban,” kata Raiqah.
“Tak semua pengorbanan berakhir dengan kesedihan...”
balas Abyatina.
Kerisauan kadangkala melanda, namun semuanya diharungi
Abyatina dengan tenang. Walaupun setiap hari bergelut dengan kesibukan,
Abyatina tahu semuanya hanya sementara.
“Jadi macam mana Siti Abyatina?” soal Rizqullah. Lamunan
Abyatina terhenti seketika. Kisah lalu yang bermain di fikirannya terhenti
sebaik ditegur suaminya itu.
“Apa yang macam mana? Apa yang nak dibuat?” soal Abyatina
kehairanan.
“Abyatina ada perancangan untuk masa depan keluarga
kita?” soal Rizqullah.
Abyatina membisu sahaja. Hakikatnya, memang banyak
perancangan yang bermain di fikirannya. Namun tiap-tiap yang diimpikan itu
hanya disimpan sahaja buat dirinya. Tidak pernah dikongsikan buat sesiapa.
Namun, Abyatina harus mengakui bahawa umur anaknya Yaqzan
semakin hari semakin meningkat. Hakikatnya, Yaqzan semakin cepat membesar,
tatkala masa berlalu dengan pantas. Kadangkala tercetus kerisauan di fikirannya
apabila memikirkan perihal Yaqzan itu. Ada waktu Abyatina merasakan bahawa
dirinya itu tidak memberi tumpuan sepenuhnya dalam mendidik anaknya. Mungkin
kesibukan sewaktu dalam pengajian di USM, maka Yaqzan dirasakan diabaikannya.
“Kalau di hati kata mu abaikan Yaqzan, maka sebenarnya itu
bukti mu sayangkan Yaqzan”
Bicara ibunya bermain kembali di fikiran. Saat itu,
Abyatina berbual-bual dengan ibunya di suatu malam di kampung. Abyatina
meluahkan rasa risaunya dengan anaknya Yaqzan. Kebimbangan dengan kepantasan
umurnya anaknya yang semakin meningkat.
“Hati seorang ibu, walau macam mana sayang pun, mesti
risau juga dengan anaknya...” balas Abyatina.
“Jangan biarkan hati yang gusar menguasai setiap masa.
Nanti disebabkan hati risau, semuanya yang tak perlu berlaku akan betul-betul berlaku,”
kata Mak Cik Ros. “Yaqzan memang makin besar. Tapi jangan sesalkan masa yang
lalu. Fikirkan masa depannya. Itu lebih penting. Kalau kita selalu toleh ke
belakang, kita tak sedar mungkin kita terlepas dengan peluang yang ada di
depan”
Ada benarnya kata Mak Cik Ros itu. Mungkin Abyatina
seringkali melihat kesilapan-kesilapannya yang lalu.
“Mungkin Ina banyak salahnya dalam mendidik Yaqzan...”
luah Abyatina.
“Kalau ada salahnya, maka perbetulkannya. Jangan
disesalkan. Pastikan tak berulang, itu lagi penting,” pesan ibu Abyatina.
Umur Yaqzan kini menghampiri usia empat tahun. Dalam
tempoh itu, pelbagai perkara yang telah diharungi oleh anak Abyatina itu.
Namun, sepanjang tempoh itu juga, Yaqzan ternyata menempuhi pelbagai cabaran.
Di usia yang muda, Yaqzan mengenal erti ketabahan.
Masih segar di fikiran Abyatina tatkala Yaqzan baru
sahaja menjengah usia dua tahun. Saat itu, Yaqzan secara tiba-tiba dilanda
sesak nafas. Tatkala leka berlari-lari bermain di taman, secara tiba-tiba
Yaqzan menejerit dan menangis. Tangannya kemudian terus memegang dadanya.
Wajahnya kemudian bertukar pucat. Yaqzan yang sebelum ini aktif berlari,
tiba-tiba terduduk sebelum rebah di atas padang. Maka situasi panik tercetus.
Abyatina menyaksikan semuanya.
“Hanya Allah saja yang tahu macam mana rasa hati Ina
waktu tu...” luah Abyatina kepada ibunya di malam itu.
“Tapi, semuanya ketentuan dari-Nya. Itu satu ujian...”
Situasi yang melanda Yaqzan itu terjadi tatkala Abyatina
membawa Yaqzan bermain-main di taman permainan berhampiran rumah sewa mereka di
Pulau Pinang. Pada petang itu, Rizqullah suaminya berada di kampus mengikuti
kelas kuliahnya. Masa lapang yang ada itu kemudian dimanfaatkan sepenuhnya
bersama Yaqzan.
Tatkala Yaqzan dilanda semput pernafasan, maka selepas
itu anaknya dilihat rebah. Maka, kisah seterusnya, orang ramai yang berada di
sekitar taman permainan itu menghampiri dan cuba menghulurkan bantuan buat anak
Abyatina itu. Dalam situasi itu, Abyatina dilanda panik tidak tahu apa yang
perlu dilakukan. Abyatina ibarat hilang punca sehingga hilang pertimbangan
untuk mengatur tindakan terhadap situasi yang terjadi itu.
“Mujur ada yang sudi nak bantu. Mujur ada yang tahu apa
perlu dibuat. Kalau harap pada Ina waktu tu, entah apa yang akan berlaku...”
kata Abyatina.
“Itu namanya pengalaman. Kita belajar dari kesilapan,”
kata ibu Abyatina.
Yaqzan kemudian dibawa menuju ke klinik berhampiran.
Rawatan diberikan, dan doktor mengenal pasti punca yang berlaku. Setelah
diperiksa, maka Yaqzan didapati diserang penyakit asma. Sesak nafas yang
terjadi mungkin disebabkan aktiviti petang yang dilakukan anaknya itu.
Berkemungkinan Yaqzan terlebih aktif, dan tubuhnya tidak dapat menampung tahap
aktif itu. Apabila itu terjadi, sesak nafas berlaku dan itu menyebabkan salur
pernafasannya terganggu.
“Itulah kali pertama Yaqzan kena asma. Tak pernah selama
ni berlaku...” luah Abyatina.
“Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap kesususahan ada
senangnya...” kata ibu Abyatina.
Maka, sejak dari persitiwa petang itu, Abyatina dilihat
lebih peka dengan keadaan kesihatan anaknya itu. Kawasan rumah dipastikan
senantiasa bersih, tidak langsung dipenuhi habuk dan hampas. Andai itu
dibiarkan, maka dengan mudah penyakit asma Yaqzan akan kembali semula. Malah,
tatkala berlaku perubahan cuaca yang mendadak, maka kepekaan Abyatina juga akan
bertambah terhadap anaknya itu. Hakikatnya, disebabkan persitiwa petang itulah,
Abyatina dilihat lebih banyak mengambil perhatian terhadap anaknya itu.
“Mujurlah Abang Riz faham dengan apa yang berlaku...”
kata Abyatina.
Penyakit yang dihidapi Yaqzan bukan suatu di luar
kebiasaan bagi Rizqullah. Hakikatnya, sewaktu kecil, Rizqullah juga turut
menghidapi penyakit yang sama. Penyakit itu berterusan sejak kecil hinggalah Rizqullah
masuk ke sekolah menengah. Maka, dalam situasi yang terjadi pada Yaqzan itu,
Rizqullah dilihat lebih banyak mempunyai pengalaman. Tahu untuk mengendalikan
keadaan dalam situasi yang tenang.
Maka setiap kali Yaqzan dilanda masalah asma, Rizqullah
yang lebih banyak menguruskan anaknya. Abyatina hanya mengikut sahaja setiap
aturan yang dibuat Rizqullah.
“Aturan Allah tu cantik. Setiap kesusahan yang ada, mesti
ada hikmah. Kadang-kadang kita saja yang tak nak tengok hikmah tu...” kata ibu
Abyatina. “Dalam dunia ni, tak ada benda semudah yang disangka. Mesti ada
rintangan. Kalau hidup selalu senang, takut hati jadi alpa lupakan kekuasan
Dia..”
Dalam tempoh tiga tahun Abyatina dan Rizqullah menyambung
pengajian di USM, Yaqzan anak mereka melalui pengalaman baru. Dalam tempoh itu,
Yaqzan seringkali berulang-alik dari Pulau Pinang ke kampungnya. Ada waktunya,
andai Abyatina dan Rizqullah benar-benar dilanda kesibukan, maka Yaqzan akan
dihantar pulang ke kampung untuk dijaga Mak Cik Ros. Namun andai segalanya
berkelapangan, maka Yaqzan akan tinggal bersama Abyatina dan Rizqullah di Pulau
Pinang. Dalam tempoh itu, Yaqzan menerima didikan dari empat individu.
Tatkala berada di kampung, maka tugas menjaga dan
mendidik Yaqzan terletak di bahu Ustaz Man dan Mak Cik Ros. Andai berada di
kampung, maka Yaqzan banyak menerima didikan agama terutama dari Ustaz Man. Mak
Cik Ros pula seringkali mengajar Yaqzan mengaji al-Quran. Soal solat dan
amalan-amalan fardhu ain, maka Ustaz Man memikul tanggungjawab itu.
“Tugas mendidik sepatutnya kami yang pikul,” kata
Abyatina. “Tapi... mak dengan ayah pula yang terpaksa didik Yaqzan”
“Tak salah kalau diberi didikan yang lebih. Tak salah
kalau mak dengan ayah turut sama. Kalau itu buatkan Yaqzan jadi lebih baik, tak
ada apa yang perlu kita sesalkan,” kata Mak Cik Ros.
Jika berada di Pulau Pinang, maka Yaqzan akan menerima
didikan dari Abyatina dan Rizqullah sepenuhnya. Dalam soal hal pembelajaran
seperti membaca dan mengira, maka Rizqullah yang menggalas tugasnya. Dalam soal
pengurusan diri dan rumah, Abyatina yang bertanggungjawab.
“Abang Riz kalau boleh nak Yaqzan dapat membaca seawal
usia tiga tahun. Tapi semuanya bergantung pada kemampuan Yaqzan sendiri,”
terang Abyatina kepada ibunya.
“Suamimu orangnya bijak. Tahulah caranya nak didik anakmu
Yaqzan tu...” kata ibu Abyatina.
Mungkin kerana berkat kesabaran, maka hasrat Rizqullah
itu akhirnya tercapai. Tatkala Yaqzan menjengah usianya tiga tahun,
perlahan-lahan Yaqzan mula menunjukkan kemampuan untuk mengeja perkataan demi
perkataan. Walaupun tidak lancar, namun Yaqzan dilihat sangat berminat untuk
terus mencuba mengeja. Hari demi hari, maka masa berlalu dengan pantas. Sedikit
demi sedikit, Yaqzan semakin lancar mengeja perkataan yang dibacanya.
“Bila dah pandai mengeja, maka itu satu langkah ke arah
kebijaksanaan. Yaqzan mampu pergi jauh satu hari nanti...” kata Rizqullah terus
menghentikan lamunan panjang isterinya Abyatina.
Abyatina terkejut seketika. Lamunan panjangnya ternyata
sangat jauh. Banyak perkara lalu terlintas di fikirannya. Fikiran Abyatina
kembali semula dalam perbincangan di ruang tamu rumah mereka itu.
“Mungkin sebab tu abang rasa, ada eloknya kita berpindah
ke tempat lain. Kita bina hidup baru di tempat baru. Selesa untuk Yaqzan...
selesa untuk kita. Selesa untuk anak kedua kita nanti,” terang Rizqullah.
“Lagipun, mungkin lebih sesuai Yaqzan tinggal di rumah yang lebih selesa. Baru
selesa nak belajar...” katanya lagi.
Cadangan itu ternyata tidak pernah terlintas di fikiran
Abyatina. Itulah kali pertama Abyatina mendengar cadangan penghijrahan dari
suaminya itu. Selama ini, Abyatina hanya memikirkan bahawa rumah kayu kecil
yang didiaminya itulah bakal menjadi rumah mereka untuk beberapa tahun
mendatang.
“Tapi ke mana kita nak berpindah?” soal Abyatina.
“Ke Taiping barangkali?” balas Rizqullah.
“Taiping?” soal Abyatina hairan. “Kenapa Taiping? Kenapa
tak pindah sekitar sini saja? Bukan kita ada tanah di sini?”
“Soal tanah.... kalau nak dibincangkan, adik beradik pun
sanggup berbunuhan...” kata Rizqullah.
Kata-kata Rizqullah itu menangkap perhatian Abyatina.
Hakikatnya, dalam soal tanah, Rizqullah tidak pernah sekali pun menyatakan
sebarang pendapat apatah untuk dikongsikan dengan Abyatina. Bagi Rizqullah,
perihal berkaitan tanah tidak perlu dikongsikan dengan Abyatina. Barangkali
merasakan bahawa isu itu bersifat sensitif dan hanya mencetuskan kekusutan di
fikiran.
“Apa yang kusutnya?” soal Abyatina. “Ada apa dengan
tanahnya?”
“Banyak yang tak kena kalau nak dikongsikan....” kata
Rizqullah. “Bila cakap pasal tanah, semua jadi huru-hara...”
“Abang tak dapat tanah di sini?” soal Abyatina cuba
mengorek isi hati yang disimpan suaminya itu.
“Panjang kisahnya...”
Keluarga Cikgu Hamdawi orangnya cukup dihormati.
Keturunannya ternyata bukan keluarga sebarangan. Hidupnya sederhana namun
senantiasa senang tidak ditimpa kesusahan dalam soal wang dan harta. Maka,
disebabkan itu, keluarga Cikgu Hamdawi memiliki puluhan hektar tanah, hasil
warisan turun temurun nenek moyang mereka. Tanah-tanah yang dimiliki dijaga dan
dibahagikan sebaiknya dalam kalangan ahli keluarga Cikgu Hamdawi. Setiap
anak-anaknya dikurniakan tanah-tanah yang dimiliki di serata tempat. Masing-masing
mendapat bahagiannya, cuma dibezakan tempat dan kawasan tanahnya sahaja.
“Masing-masing dah dapat bahagian. Masing-masing dah
setuju dengan apa yang diterima. Tapi bila tamak menguasai hati, benda yang dah
cukup jadi tak cukup,” kata Rizqullah.
“Adik beradik abang yang tak puas hati?” soal Abyatina.
Rizqullah menggelengkan kepalanya.
“Pak Teh yang tak setuju. Katanya, ada tanah miliknya
diambil sekali,” jawab Rizqullah. “Kami adik beradik tak dapat buat apa-apa
sebab itu urusan antara bapak dengan Pak Teh. Tak boleh nak masuk campur”
Kisah pembahagian tanah ke atas anak-anak Cikgu Hamdawi
akhirnya mendapat campur tangan dari Pak Teh, bapa saudara Rizqullah, iaitu
adik lelaki Cikgu Hamdawi. Menurut Pak Teh, tanah yang diberi bagi hak
Rizqullah dikatakan merupakan miliknya. Tanah itu dikatakan dirampas darinya
sewaktu proses pertukaran nama atas geran.
“Tapi, betul ke dakwaan Pak Teh tu?” soal Abyatina.
“Kalau tamak ada dalam diri, pusinglah kot mana pun,
benda yang betul pun boleh dijadikan perkara yang salah. Benda yang tak betul
boleh nampak baik...” balas Rizqullah. “Kalau ikutkan hak tanah, memang haknya
di bawah bapak. Memang semua orang tahu, tanah tu milik bapak. Tapi, zaman dulu
orang-orang tua tak pandai dalam soal dokumen hitam putih. Minta tolong orang
lain, tapi orang itulah yang tikam kita balik”
Kisah dulu-dulu, hal ehwal tanah hanya diamanahkan kepada
seseorang menerusi perjanjian mulut dari satu generasi ke generasi yang lain.
Tatkala itu, tiada sebarang dokumen rasmi untuk merekodkan pemilikan hak tanah.
Semuanya berdasarkan kepercayaan dan nilai amanah masing-masing. Waktu itu,
penduduk kampung saling memahami dan menghormati akan hak milik tanah
seseorang, tidak sama sekali akan mencampuri tanah orang lain sekiranya tiada
sebab yang kukuh.
Namun, tatkala masa pantas berlalu, maka keperluan untuk
mendokumenkan hak pemilikan tanah itu menjadi satu kepentingan. Setiap pemilik
tanah di kampung kemudiannya diwajibkan untuk mendaftarkan pemilikan tanah
masing-masing. Geran akan dikeluarkan oleh pejabat tanah selepas itu, dan
menerusi geran itulah, bukti hitam putih dapat diberikan andai terdapat
sebarang percanggahan.
Di waktu itu, rata-rata penduduk kampung tidaklah tahu
akan hal pendaftaran tanah secara mendalam. Ada yang tidak tahu membaca apatah
lagi cuba untuk memahami dokumen yang cuba ditandatangani. Mungkin disebabkan
itu jugalah, maka ada sesetengah penduduk kampung meminta bantuan orang lain
untuk menguruskan hal pemilikan geran tanah itu.
“Kalau yang jujur, semuanya berjalan lancar. Kalau yang
tak jujur, mungkin ada penipuan,” kata Rizqullah. “Zaman penuh tipu muslihat,
macam-macam boleh berlaku...”
Ada di antara penduduk kampung berkongsi nama di atas
geran yang baru didaftarkan. Walaupun secara hakikinya tanah tersebut miliknya
salah seorang daripada nama tersebut, namun terdapat penduduk kampung yang
kurang arif, sehingga tersalah cara hingga meletakkan nama orang lain di atas
geran tersebut. Kesilapan teknikal inilah yang akan mendatangkan masalah pada
masa akan datang.
“Bila ada yang ambil kesempatan, maka salah seorang dari
nama dalam geran tu akan tuntut haknya, walaupun pada hakikatnya nama di atas geran
itu hanya sekadar atas kertas sahaja, bukan memiliki tanah yang sebenar,”terang
Rizqullah. “Dalam kata yang mudah, inilah cara halus untuk merampas tanah orang
lain. Kalau nak dibawa ke mahkamah pun, semuanya akan jadi sia-sia saja, sebab
di atas kertas, tanah tu ada dua nama. Orang yang licik, dia akan gunakan cara
ni...”
“Jadi itulah yang Pak Teh gunakan? Itu cara dia ambil
tanah ayah?” soal Abyatina.
“Bapak tak dapat buat apa, sebab nama atas geran tu bukan
namanya, tapi nama arwah datuk dulu, tak sempat ditukar milik lagi. Jadi, ikut
kata Pak Teh, dia ada hak pada tanah tu
sebab nama atas geran bukan nama bapak...” balas Rizqullah. “Bapak pun tak nak
panjangkan keadaan, dia mengalah saja. Dibiarkan Pak Teh ambil tanah tu”
“Semudah itu?” soal Abyatina.
“Harta dunia saja Ina... Tak boleh bawak ke mati pun...”
balas Rizqullah ringkas.
“Tapi, tanah mana yang sepatutnya jadi milik abang?” soal
Abyatina.
“Kalau ikut pembahagian, tanah hujung kampung ni, dekat
dengan kawasan pantai tu...” balas Rizqullah. “Kawasan tu tak banyak lagi
rumah. Tapi sesuai kalau nak dibuat tapak rumah,” sambungnya lagi. “Sebab Pak
Teh dah ambil tanah tu, bapak bagi tanah atas bukit kawasan hulu sungai”
“Kalau kat situ, rumah apa yang boleh dibuat....?”
“Rumah monyet bolehlah...” balas Rizqullah berseloroh.
Kisah tanah Rizqullah baru sahaja difahami Abyatina.
Barulah Abyatina tahu akan kisah sebenar yang pernah melanda. Namun, walaupun
pelbagai konflik berlaku di antara keluarga Cikgu Hamdawi dan Pak Teh,
Rizqullah masih tetap melayan baik bapa saudaranya itu.
“Jadi... kita boleh bina hidup baru di Taiping,” kata
Rizqullah mengembalikan tajuk perbualan asalnya dengan Abyatina. “Kita cari
rumah baru di sana, pindah ke sana. Tinggalkan semua yang ada di sini”
Hakikatnya hati Abyatina sangat gembira tatkala mendengar
perkhabaran itu. Andai tercapai hasrat untuk berpindah ke Taiping, maka semakin
dekatlah dirinya dengan kampung halaman. Barangkali nanti Abyatina akan dapat
pulang dengan lebih kerap ke kampung untuk melawat ibu dan ayahnya.
“Tapi... kenapa sampai nak tinggalkan kampung abang di
sini?” soal Abyatina mencetuskan pertanyaan yang bermain di fikirannya.
“Abang dah malas nak ambil kisah pasal hal tanah di
kampung ni. Berebut sana, berbalas sini. Tuduh sana, tuduh di sini,” balas
Rizqullah. “Biarlah mereka semua. Abang tak nak ambil tahu. Kalau mereka ambil
hak kita, Allah tu Maha Adil”
Kata-kata Rizqullah itu ada benarnya. Abyatina faham akan
apa yang dirasakan suaminya itu.
“Tapi... kenapa Taiping? Kenapa bukan tempat lain?” soal
Abyatina.
“Sebab di situ ramai keluarga kita. Banyak yang dah
menetap di sana. Kalau di sini, yang tinggal cuma orang-orang tua saja. Nak harap
yang muda, semua dah berhijarh...” balas Rizqullah.
Namun persoalan baru muncul pula di fikiran Abyatina.
“Macam mana pula dengan Ina?”
“Kenapa?” soal Rizqullah tidak mengerti soalan tersebut.
“Abang pindah Taiping... itu mudah sebabnya sekolah abang
jadi dekat. Tapi, bila Ina pindah Taiping... itu susah. Jauh kalau nak
berulang-alik dari rumah ke sekolah Ina,” balas Abyatina.
Rizqullah terdiam seketika. Persoalan yang diajukannya
itu ternyata tidak terlintas di fikirannya. Hakikatnya di saat itu, Abyatina
dilanda kemudahan kerana sekolah tempat mengajarnya itu tidaklah jauh dari
rumah mereka. Andai berpindah nanti, maka pasti itu menjadi satu bebanan buat
Abyatina nanti.
“Kita akan fikirkan caranya nanti,” balas Rizqullah
ringkas.
Hakikatnya, hanya Rizqullah yang terpaksa bersusah payah
berulang-alik dari rumah ke sekolahnya di Taiping. Setiap hari, Rizqullah akan
bertolak bersama-sama dua rakannya yang lain yang turut mengajar di Taiping.
Cikgu Lee dan Cikgu Azmi, dua sahabat baik Rizqullah yang akan bergilir-gilir
berkongsi kereta setiap hari menuju ke Taiping. Walaupun destinasi mereka sama,
namun sekolah tempat mereka mengajar adalah berbeza.
“Cikgu Azmi ada cakap pasal perkara ni juga. Dia pun
bercadang nak pindah ke Taiping,” terang Rizqullah. “Kalau boleh, mungkin kita
cari rumah sekali dengannya”
“Bila nak mencarinya?”
“Bila Abyatina dah bersedia. Mungkin?” balas Rizqullah
dalam persoalan juga.
Seminggu berikutnya, di hujung minggu, Abyatina dan
Rizqullah menuju ke Taiping. Mereka singgah sebentar di rumah kakak Rizqullah,
Marwa. Mereka bermalam di sana. Yaqzan paling gembira kerana dapat bertemu dan
bermain-main dengan sepupunya di sana. Namun tujuan utama kunjungan ke Taiping
bukanlah untuk menziarahi keluarga, tetapi mencari dan meninjau rumah yang
mungkin bakal dibeli Rizqullah di bandar Taiping itu.
“Kenapa hang tiba-tiba nak beli rumah kat Taiping ni?”
soal Marwa kepada Rizqullah.
“Nak ambil angin baru. Dari dulu asyik terperap saja
dengan angin pantai, nak juga berubah cara hirup udara tanah hujan ni,” balas
Rizqullah menjawab dalam nada bersahaja, tidaklah begitu serius.
Abyatina hanya mendengar perbualan di antara Rizqullah
dan Marwa itu. Perbualan itu tercetus selepas mereka selesai makan malam. Saat
itu, suami Marwa keluar sebentar ke bandar atas urusan kerja. Maka tinggallah Marwa
bersendirian waktu itu bertemankan anak-anak kecilnya. Namun, mujur juga secara
kebetulan Abyatina dan Rizqullah bermalam di rumahnya malam itu. Hilang sedikit
rasa sunyinya.
“Tapi, bukan Ina mengajar kat Manjung sana?” soal Marwa.
“Macam mana nanti kalau berpindah ke sini?” Takkan dia nak ulang-alik ke sana?”
“Kalau ada rezeki, harap-harap dapatlah Ina pindah ke
Taiping nanti. Tapi, kalau masih tak dapat tukar juga, mungkin kami beli dulu
rumahnya. Duduknya mungkin nanti dulu,” balas Rizqullah.
“Yaqzan dah besar akak. Mungkin dah sampai masanya dia
tinggal di rumah yang lebih selesa. Tak lama lagi, Yaqzan dah nak bersekolah.
Kenalah pastikan suasana persekitaran selesa untuk Yaqzan belajar nanti,”
terang Abyatina mencelah perbualan di antara Marwa dan Rizqullah itu.
Marwa melihat Yaqzan yang bermain di ruang tamu. Leka
Yaqzan mencuit hati Marwa, tatkala anak saudaranya itu sedang asyik
bermain-main dengan anak-anaknya.
“Yalah. Yaqzan cepat membesar. Kalau nak tinggal di rumah
kecil tu, memang tak selesalah nanti. Anak-anak ni aktif. Kalau rumah kecil
macam tu, takut nanti dia jadi rimas,” kata Marwa.
Abyatina mengukir senyuman. Hakikatnya kelucuan
dirasakannya. Mana mungkin seorang kanak-kanak seaktif Yaqzan itu akan dapat
duduk diam di rumah kecil di kampung Rizqullah itu.
“Itu bukan namanya rumah. Serupa pondok saja rasanya...”
balas Rizqullah berseloroh.
Abyatina tersenyum.
“Alah... dalam pondok tu jugalah hangpa dapat Yaqzan,” usik
Marwa.
Gurauan nakal dicetuskan Marwa. Masing-masing hanya
ketawa sahaja. Barangkali Abyatina tersipu-sipu malu dengan gurauan dari kakak
iparnya itu.
Keesokan harinya, Rizqullah membawa Abyatina menuju ke
kawasan perumahan yang dalam pembinaan. Setelah dicadangkan oleh beberapa rakan
baik Rizqullah, maka sebuah taman perumahan baru berhampiran kaki Bukit Larut
itu cuba ditinjaunya. Rizqullah ingin melihat lokasi taman perumahan itu dan
reka bentuk rumah yang sedang dibina itu. Mereka menuju ke rumah contoh yang
disediakan di sana.
“Kedudukannya boleh kata agak strategik. Tak jauh pun
dari bandar. Tak jauh juga dari sekolah abang...” kata Rizqullah.
“Tapi dekat dengan bukit. Takut pula Ina rasa...” luah
Abyatina. Yaqzan didukungnya walaupun anaknya itu sepatutnya dibiarkan sahaja
berjalan.
“Kalau dekat bukit, angin dingin dapat rasa selalu. Baru
jiwa tenteram. Serabut ada pun boleh hilang,” balas Rizqullah.
Abyatina hanya membisu sahaja. Hakikatnya, sebolehnya
Abyatina tidak mahu berumah di tepi kaki bukit. Namun dia tahu, segala
keputusan mutlak terletak di tangan suaminya. Walau apa pun keputusan yang akan
dibuat, Abyatina menerima dengan hati yang terbuka.
Mereka kemudian masuk ke dalam rumah contoh, satu-satunya
rumah yang telah siap dibina di kawasan itu. Sebaik masuk, mereka disambut oleh
seorang pegawai pemasaran syarikat pemaju. Di kala itu, hanya Abyatina dan
Rizqullah sahaja yang masuk ke dalam rumah tersebut. Maka, mereka dilayan
sepenuhnya oleh pegawai itu dengan penuh kemesraan. Setiap pertanyaan yang
diajukan, dijawab dengan baik oleh pegawai wanita itu yang barangkali berusia
lewat 20-an.
Menurut pegawai itu, kawasan perumahan yang akan dibina
itu merupakan kawasan baru yang belum diteroka dan merupakan kawasan pertama
seumpanya yang dibina di kaki Bukit Larut. Walaupun mungkin dilihat seperti
agak jauh ke dalam berhampiran dengan kawasan hutan, namun menurutnya, untuk
perancangan masa hadapan, kawasan perumahan itu akan pesat membangun dengan
pelbagai kemudahan yang bakal disediakan kelak.
“Apa yang penting, kawasan perumahan ini memang lebih
sunyi dan aman. Jauh dari kesibukan bandar. Udaranya pun segar. Tapi pada masa
yang sama, kedudukan dengan kawasan bandar tak jauh. Cuma sepuluh minit saja
perjalanan,” terang pegawai pemasaran itu.
“Tapi, tak bahaya ke sebab kawasannya di tepi bukit?”
soal Abyatina inginkan kepastian.
“Insya-Allah puan. Kawasan tapak perumahan ni selamat.
Struktur tanahnya memang kuat dan stabil. Pihak kami dah buat kajian beberapa
tahun sebelum buka tapak perumahan ni,” terang pegawai itu.
Reka bentuk dalaman rumah itu juga dilihat agak moden dan
baru. Rumah teres satu tingkat itu mempunyai tiga buah bilik dan dua buah bilik
air. Kawasan ruang tamunya juga agak luas, dan itu pasti memberi keselesaan
buat keluarga muda seperti Rizqullah. Di bahagian belakang, kawasan dapurnya
menempatkan satu kabinet dapur beserta sinki air. Di satu penjuru juga,
terdapat satu lagi sinki untuk basuhan tangan. Ruangnya yang memanjang,
membolehkan kawasan dapur itu dibahagikan kepada dua kawasan iaitu kawasan
memasak dan kawasan ruang makan.
“Macam mana Siti Abyatina? Tertarik?” soal Rizqullah.
Abyatina tersenyum sahaja. Hakikatnya memang harus diakui
bahawa reka bentuk dalaman dan luaran rumah yang dilihatnya itu telah memikat hatinya.
Abyatina telah dapat membayangkan masa depannya sekiranya dia menetap di rumah
itu.
Selepas kunjungan beberapa ketika, maka mereka
meninggalkan kawasan rumah contoh itu. Destinasi seterusnya mereka menuju ke
kampung Abyatina. Sudah agak lama mereka tidak berkunjung, maka di kesempatan
itu, kunjungan tersebut diatur.
Namun, tatkala tiba di kampung, suasana dilihat sepi.
Rumah dilihat tidak berpenghuni. Pintu dan tingkap ditutup rapat. Abyatina dan
Rizqullah hairan.
“Ke mana pula semua orang?” soal Abyatina.
Abyatina mencari-cari kelibat ibunya di perkarangan
rumah. Cuba juga mencari kelibat adiknya Zabarjad dan Rafiqin sekiranya ada.
Namun semuanya sepi tiada yang menjawab. Hanya kedengaran bunyi ayam dan itik
yang ada dalam reban di belakang rumah.
“Ada apa-apa yang kita tak tahu?” soal Rizqullah pula.
Hakikatnya, amat jarang sekali untuk rumah itu kosong tak
berpenghuni.
“Ibumu pergi ke hospital”
Mak Cik Jah tiba-tiba muncul di perkarangan rumah.
Tatkala melihat kelibat Abyatina dan Rizqullah, maka Mak Cik Jah cepat-cepat
datang ke kawasan itu.
“Kalau ke hospital, kenapa sampai berkunci rumahnya?
Bukan selalunya Rafiqin dengan Zabarjad ada di rumah?” soal Abyatina.
“Itu kalau selalunya. Tapi hari ada istimewanya...” balas
Mak Cik Jah.
“Istimewa?” soal Rizqullah pula.
“Eh, mu tak tahu ke?” soal Mak Cik Jah. “Hari ni kan
ayahmu Ustaz Man dah dibenarkan keluar hospital. Mu tak ingat ke?”
Abyatina terkesima seketika. Perkhabaran yang disampaikan
itu ternyata sesuatu yang baru. Tidak ada sesiapa pun yang menyampaikan berita
itu.
“Alhamdulillah. Syukur!” luah Abyatina tersenyum lebar.
Khabar gembira yang barangkali menyenangkan hati Abyatina
di saat itu.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Tujuh*
Ustaz Man akan pulang semula ke rumah. Apakah Ustaz Man
telah pulih dari sakitnya? Akan bersambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Sekali lagi sekalung penghargaan kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana
memberi izin untuk disiarkan gambar beliau untuk kali ke-4 bagi siri Adina kali ini.
Ulasan