Sembang-sembang Selasa: Luahan sahabat berbicara tentang Suci dalam penceritaan tersirat ....
Seorang sahabat berkata, meluahkan rasa hatinya pada saya baru-baru ini. Katanya:
Dunia ini tak seindah dijangka, kerana tak semua yang diimpikan akan dapat dicapai, dan tak semua impian yang tercapai itu seindah yang diharapkan. Aturan dunia, kadangkala yang buruk itulah bahagia, dan yang tak diimpikan itulah terindah. Manusia memang boleh menyusun impian, tapi Allah jualah penentu muktamad kisah kita.
Katanya, dia pernah terjerat dengan satu kisah yang tak pernah terlintas difikirannya. Katanya, dia pernah memasang impian yang cukup indah dengan masa depan yang bahagia. Katanya kemudian, hatinya sangat tenang acap kali menyelusuri impian itu.
Bisiknya kemudian, impian itu sekadar impian, kerana baru kini dia tersedar semuanya itu tak akan tercapai....
Apakah impiannya?
Dia mengenali seorang wanita, dan ketika itu dia bergelar seorang remaja dengan taraf sebagai pelajar. Di saat dirinya terperangkap dengan kisah cinta monyet yang tak berkesudahan dengan pelbagai masalah mengarut, matanya tertumpu pada wanita ini. Itulah kisah permulaan dirinya dan dia. Maka bermulalah epik pertemuan dan perkenanlan. Dia dan dirinya mengikat hubungan, namun bukan hubungan atas cinta.
Hubungan dibina atas sebuah persahabatan. Tiada hati diberikan, dan tiada hati diambil. Hati disimpan masing-masing saat persahabatan terjalin. Namun, dia dan wanita itu, mengasyikkan mata-mata sahabat-sahabatnya. Ada yang berkata mereka bercinta, walhal tidak ada sebarang lafaz diluahkan antara mereka.
Sahabat itu tak pernah luahkan cinta pada wanita itu, dan wanita itu juga tak pernah lafazkan cinta pada sahabat ini. Fikiran tentang cinta tak wujud dan tak pernah difikirkan.
Apakah ada cinta di antara mereka? Hanya mereka sahaja yang mengetahui perasaan masing-masing.
Katanya, hubungan persahabatan terbina terlalu lama. Bertahun-tahun dan masih lagi berterusan terjalin. Persahabatan dengan seorang wanita akhirnya mencetuskan perubahan. Maka, itulah bermula kisah hatinya berlaku perubahan. Rasa cinta seolah wujud, namun terus dinafikan sebaik mungkin.
Katanya, dari perubahan itulah, wujud satu cetusan hati tanpa diduga. Itulah saat sahabat ini membina impian sedikit demi sedikit. Dari satu fasa ke fasa berikutnya, akhirnya dia mengakui, wanita itu memikat hatinya.
Katanya, bukan dirinya sengaja untuk menyukai wanita itu, tetapi perasaan itu wujud dan terbina tanpa sedar, perlahan-lahan meresapi hatinya, hingga pada satu hari baru dirinya sedar, wanita itu adalah pilihannya.
Kata sahabat ini, wajahnya itu penyejuk hatinya. Setiap tutur bicaranya senantiasa terngiang-ngiang di fikiran. Senyuman dan gelak ketawanya penceria harinya. Kesopanan dimiliki, ditambah pula dengan tatacara berpakaian wanita itu yang senantiasa menutup aurat menjadi kekuatan utama bagi sebab dan alasan sahabat ini tanpa sedar memilih wanita itu.
Namun katanya, impian itu sekadar coretan perancangan masa depan yang tidak mampu direalisasikan. Sahabat ini tahu, walaupun dia menanamkan impian untuk menjadikan wanita itu teman hidupnya, dia sedar wanita itu tidak mempunyai rasa hati yang sama.
Baru saya tahu, sahabat ini berada dalam situasi 'bertepuk sebelah tangan'.....
Kata sahabat ini, dia meluahkan rasa hati itu, dengan menyatakan apa yang harus diperkatakan. Dia mahu wanita itu menjadi teman hidupnya. Namun akhirnya, dia sedar mungkin langkahnya silap.
Mungkin sejak dari awal lagi dia harus elakkan dari menjalinkan persahabatan dengan wanita itu. Mungkin dari saat matanya terpandang wajah wanita ini buat kali pertama dahulu, dia harus tundukkan pandangan dan hilangkan rasa segala tarikan dalam hatinya terhadap wanita itu. Dia lakukan kesilapan.
Katanya, kalaulah dia tahu impian itu tak mungkin tercapai, tidak sama sekali akan dirinya menghampiri wanita itu. Katanya lagi, jika masa boleh diundur, akan dia pastikan wanita itu tidak dikenalinya.
Dia sedar, impian itu mustahil andai mahu dilaksanakan. Sahabat ini berkata dengan lima alasan bersebab, kukuhkan kata-katanya bahawa impiannya mustahil.
Satu, latar belakang sosial keluarganya dan keluarga wanita itu adalah berbeza.
Kedua, latar belakang ekonomi keluarganya dan keluarga wanita itu adalah berbeza.
Ketiga, pandangan politik keluarganya dan keluarga wanita itu berbeza.
Keempat, ciri-ciri yang diimpikan terhadap wanita itu hakikatnya tidak sama seperti ciri-ciri sebenar wanita itu.
Kelima, kerjaya masa depan dirinya dan wanita itu adalah berbeza, kerana wanita itu pasti akan jauh lebih tinggi jumlah pendapatannya dari dirinya nanti.
Kerana lima sebab itu, dia sedar, mustahil impian dirinya itu akan tercapai. Dia redha kerana dia sedar, tak semua diinginkan akan dapat dipenuhi.
Sahabat ini berkata, dia mengangkat wanita ini terlalu tinggi, sehingga dia mengimpikan wanita ini mempunyai ciri-ciri yang sangat sempurna. Dalam impiannya itu, ciri-ciri terbaik tercipta di fikirannya sedikit demi sedikit. Hakikatnya, dalam dunia realiti, wanita itu bukan sebaik yang disangka. Ciri-ciri yang diimpikan terhadap wanita ini jauh sama sekali berbeza seperti apa yang dibayangkan sahabat ini.
Katanya, dia telah mencipta seorang wanita di fikirannya, yang pada zahirnya mungkin jasad wanita di fikirannya itu adalah sama dengan wanita di dunia realiti itu, namun ciri-ciri yang ada pada wanita ciptaan fikirannya itu adalah sangat berbeza dengan wanita di dunia realiti itu. Maka, dia simpulkan, mungkin dia tak pernah jatuh hati pada wanita itu, tetapi dia telah jatuh hati pada wanita yang dicipta sendiri dalam fikirannya. Hanya jasad sahaja yang sama di antara dua wanita itu.
Nama wanita itu Suci dan lebih muda dari sahabat ini. Dan saya mengerti di wajahnya itu, dia kecewa. Benar, impiannya itu mungkin mustahil untuk dicapai.
Namun, sahabat ini berkata pula.
"Walaupun mungkin ciri-ciri yang diharapkan pada Suci ini tak sama seperti yang diharapkan, akan tetapi jika Suci menjadi teman hidupku, maka itu pun sudah mencukupi. Jika ciri-ciri impian tak dapat, mendapat jasadnya pun sudah memadai...."
Saya akui, sahabat ini benar-benar ikhlas sukakan wanita bernama Suci ini. Dia masih mengharapkan sesuatu dari wanita ini, walaupun hakikatnya memang mustahil untuk bersama wanita itu.
Dia terperangkap. Saat ini, dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang wanita lain. Namun katanya, walaupun dia kini bersama wanita yang lain, sehingga kini dia mengakui masih belum sepenuhnya menyukai wanita baru itu. Dia mencuba untuk ikhlaskan hati, namun dia akui dia gagal.
Benar, sahabat ini terlalu kuat punyai perasaan terhadap wanita bernama Suci.
Pesan saya buat sahabat ini, redhakan hati dan terimalah hakikat. Semua impian tak dapat dicapai, dan tak semua impian jaminan kebahagiaan. Mungkin akan tiba masanya nanti dia bertemu dengan wanita yang jauh lebih bagus dari wanita yang diharapkannya itu. Ingatlah, aturan Allah sesungguhnya lebih cantik dan seringkali datang tanpa disangka-sangka kita.
Buat wanita Suci, sahabat ini mungkin mengharapkan kamu. Namun saya tahu, hati dan perasaan tak boleh dipaksa. Moga kamu bahagia sebagaimana yang diharapkan sahabat saya ini.
Ah, kali ini saya bermadah pujangga, tak ubah seperti penulis novel cinta. Bukan mahu berjiwang seketika, namun situasi berbual dengan sahabat ini telah mencetuskan rasa haru padanya. Benar, saya sangat kasihan dengannya.
"Aku menyesal berkenalan dengan dirinya, kerana aku tak sangka akan tiba satu masa selepas aku berkenalan dengannya, aku akan jatuh hati padanya. Pedih, bila impian itu menjadi satu kemustahilan...."
Sabarlah wahai sahabat. Moga kamu ketemu bahagia yang jauh lebih baik dan lebih indah dari apa yang kamu bayangkan.
INSYAALLAH.....
*Sembang-sembang Selasa adalah ruangan bebas untuk sebarang isu yang akan dipaparkan setiap hari Selasa dalam blog ini.
Ulasan