Khamis, 18 Disember 2014

Menyelusuri perjalanan 4 tahun siri novel Adina


"Adina"

Menjelang 18 Disember 2014 ini, maka genaplah 4 tahun siri novel Adina. Kini setelah hampir 4 tahun berlalu, siri novel ini masih lagi diteruskan dan dihasilkan. Masih lagi diterbitkan di blog dalam tempoh itu. Dalam tempoh 4 tahun itu, sehingga ke tarikh 18 Disember ini, maka telah 34 siri Adina telah berjaya diterbitkan. Dalam tempoh itu juga, siri Adina ini menjadi tunjang utama bagi blog ini. Disebabkan siri Adina ini jugalah, jumlah trafik dan pengunjung blog ini terus meningkat dan mendapat perhatian.

Itu sedikit sebanyak mukadimah yang dapat dinukilkan.


  
Bagaimana siri Adina ini boleh tercetus?

Idea penghasilannya bolehlah dikatakan tercetus secara spontan tanpa sebarang perancangan yang rapi. Di awalnya, projek siri novel Adina ini lebih menjurus ke arah projek mini novel yang merangkumi 20 siri novel yang akan diterbitkan dalam tempoh setahun. Novel ini ditulis dalam bahasa santai dan tidak begitu menekankan aspek kepuitisan mahupun aspek nilai estetika yang tinggi. Sekadar bacaan santai yang ditulis dengan cara yang santai.

Siri Adina hakikatnya tercetus daripada kisah-kisah penceritaan pengalaman hidup mak yang ternyata sangat menarik untuk dikongsikan. Kisah sewaktu masih bergelar pelajar sekolah sehinggalah menjadi seorang isteri. Hakikatnya, setiap kisah itu dipenuhi dengan konflik dan dugaan. Dari kisah itu jugalah, maka tercetus ilham untuk menghasilkan sebuah novel.


Adina (Bicara Satu) dan 18 Disember 2010

Penghasilan siri pertama Adina dimulakan sekitar pertengahan Disember 2010. Waktu itu saya sedang bercuti semester, dan baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-21 pada 15 Disember 2010. Pada keesokan harinya, idea tiba-tiba datang, dan tulisan spontan dibuat. Dalam tempoh tak sampai 2 jam, maka terhasillah siri pertama Adina yang agak pendek; hanya sekadar 8 muka surat sahaja.

Menjelang 18 Disember 2010, tulisan siri pertama itu diterbitkan di blog dan kemudian dikongsikan link itu ke Facebook. Tanpa diduga, perkongsikan siri pertama Adina ini mendapat sambutan yang hebat. Sebaik sahaja diposkan di blog, seramai 150 pengunjung blog telah melihat dan membaca siri itu dalam tempoh hanya 2 jam. Malah mereka juga turut memberi komen dan respon terhadap siri pertama itu. Sesuatu yang tidak pernah dijangka sewaktu mula-mula menulis siri pertama ini.

Menerusi maklum balas yang diterima, maka saya dapat simpulkan bahawa siri pertama Adina yang serba ringkas itu mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas lagi untuk masa akan datang. Dari itulah, maka saya memutuskan untuk menghasilkan siri novel penuh Adina. Daripada perancangan asal yang hanya sebanyak 20 siri, perancangan berikut adalah untuk memanjangkan siri itu menjadi 70 siri dan akan dihasilkan dalam tempoh 4 ke 5 tahun.

Mengapa judulnya ‘Adina’?

Pada asalnya, siri novel ini tidak ditetapkan judulnya. Hanya idea plot dan cerita sahaja yang berada dalam perancangan namun tidak ada sebarang penetapan judulnya. Namun di akhirnya, diputuskan supaya digunakan nama adik bongsu saya Nur Adrina Najiha Rosly atau dipanggil Adina sebgai tajuk judul novel ini. Dari nama Adina itu, maka dijadikannya sebagai satu akronim, singkatan kepada “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

Mengapa tajuknya berbunyi sedemikian? Hakikatnya tajuk itu akan membawa pengertian yang bermakna di penghujung jalan cerita novel ini. Siapa yang dilahirkan? Siapa insan nan ayu itu? Siapa yang melahirkannya?

Pembaca akan faham sebab pemilihan tajuk ini apabila mereka membaca siri akhir novel ini nanti.

Petikan "Adina (Bicara Dua Puluh)" di blog bertarikh 19 Januari 2013


Kisah Abyatina dan kisah mak

Kisah dan jalan cerita yang difokuskan dalam siri ini berkisar kepada perjalanan hidup Abyatina sebagai gadis kampung yang membesar dalam serba sederhana di kampung. Gadis ini punyai cita-cita untuk menyambung pengajiannya di universiti seperti abangnya Absyar. Namun, disebabkan paras rupanya yang elok, dan seringkali menarik perhatian, maka pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan kepada Abyatina. Banyak pinangan dibuat terhadap Abyatina, namun kesemuanya ditolak. Namun, di akhirnya Abyatina mengalah dan menerima pinangan terakhir dari keluarga Rizqullah atas permintaan ayahnya, Ustaz Man. Bermula dari itulah, perjalanan hidup Abyatina berubah, menjadi seorang isteri dan suri rumah sepenuh masa, melupakan terus cita-citanya selama ini untuk menyambung pengajian.

Itu serba sedikit plot bagi siri novel ini. Barangkali tiada konflik yang besar cuba ditonjolkan. Namun, novel ini lebih terarah kepada pengkisahan perjalanan hidup seorang gadis biasa sehingga menjadi seorang isteri dan seterusnya sebagai seorang ibu. Kisahnya lebih kepada sebuah diari yang diceritakan dari sudut pandangan orang ketiga.

Bagi setiap siri juga, akan diselitkan nota akhir yang berbunyi “Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya

Adakah kisah Adina ini merupakan kisah sebenar hidup mak saya?

Hakikatnya tidak kerana ada sesetengah pengkisahan dalam novel ini telah diubah dan ditambah daripada kisah sebenar mak. Saya tidak mengambil sepenuhnya kisah mak, sebaliknya hanya menjadikan kisah mak sebagai inspirasi untuk menghasilkan sebuah kisah baru dalam novel.



Nama-nama watak yang unik.

Abyatina, Rizqullah, Yusman, Mawaddah, Zabarjad, Rafiqin, Zaafarani, Raiqah, Radhwa dan banyak lagi pasti mencetuskan persoalan mengapa nama-mana ini unik dan berbeza dari kebiasaan nama yang digunakan kebanyakan orang.

Hakikatnya, nama-nama ini dipilih untuk mencipta keunikan dalam novel ini; memudahkan pembaca untuk mengingati wataknya serta membolehkan siri novel Adina menjadi unik kerana nama-nama wataknya. Kesemua nama watak yang digunakan ini mempunyai maksud dan bukan direka-reka. Kesemua nama ini dipilih dengan teliti sebelum digunakan dalam novel ini.

Setiap nama yang digunakan mewakili nama sebenar dalam hidup sebenar saya. Sebagai contoh, nama Abyatina merupakan nama kepada mak saya Azmah. Begitu Rizqullah, merupakan nama ayah saya Rosly. Bagi watak Yusman atau Ustaz Man, nama itu diambil dari nama datuk saya, Yunus.

Kebanyakan nama-nama yang digunakan mempunyai huruf pertama yang sama dengan nama sebenar dalam kalangan ahli keluarga saya. Sengaja dilakukan sedemikian supaya mudah untuk mengingati dan membentuk perwatakan bagi setiap watak. Namun, gambaran perwatakan tersebut tidaklah sama seperti yang sebenar; diubah mengikut kesesuaian plot.



Bilangan musim Adina

Sehingga ke tarikh entri ini ditulis, siri novel Adina telah memasuki musim ke-8 pada tahun 2014. Setiap musim dibahagikan berdasarkan plot dan latar tempat di dalam novel ini. Jarak masa di antara satu musim kadangkala menjangkau 4 bulan. Situasi ini disebabkan saya hanya menulis setiap siri novel pada waktu cuti semester sahaja. Tatkala sibuk dengan pengajian di UPSI, penulisan Adina direhatkan seketika. Maka bagi setiap musim itu, hakikatnya mewakili setiap cuti semester saya sehinggalah saya tamat pengajian pada tahun 2014. Untuk tahun 2015, berkemungkinan musim ke-9 dan ke-10 bakal diterbitkan di blog.

Bila Adina akan tamat?

Mengikut perancangan asal, siri novel ini akan tamat pada siri yang ke-70. Sehingga ke angka itu, siri ini akan terus dihasilkan dan diterbitkan di blog. Mengikut perancangan juga, tahun 2015 bakal menjadi tahun terakhir bagi siri ini. Sebanyak 40 siri novel akan cuba disiapkan bagi tahun 2015.

Sebaik sahaja tamat siri ini, novel ini akan cuba diterbitkan ke dalam bentuk naskah buku. Namun, sehingga ke waktu itu, novel ini hanya akan diterbitkan di blog sehingga tamat sepenuhnya nanti.


Wajah-wajah pembuka bicara siri Adina

Bagi setiap siri baru Adina yang diterbitkan di blog, sirinya itu akan dibuka dengan perletakan gambar-gambar wajah yang menyerikan setiap siri itu. Hakikatnya, gambar yang dipaparkan itu tidak mempunyai sebarang tujuan tertentu, hanya sekadar menjadi penghias bagi setiap siri novel yang diterbitkan itu.

Kebanyakan gambar tersebut diambil dari koleksi gambar rakan-rakan terdekat, baik dari UPSI atau mungkin juga rakan-rakan lama sekolah. Seperkara yang perlu dinyatakan, kesemua gambar yang digunakan telah mendapat keizinan pemiliknya sebelum disiarkan dan diterbitkan di blog. Permohonan izin akan dibuat dahulu sebelum persetujuan diberikan oleh pemiliknya.

Kebanyakan gambar yang dipilih hakikatnya menggambarkan sedikit sebanyak wajah sebenar yang cuba digambarkan menerusi watak utama dalam novel ini, iaitu Abyatina. Namun itu tidaklah menggambarkan secara keseluruhan wajah sebenar Abyatina itu.















Perancangan masa hadapan

Insya-Allah, tahun 2015 akan menjadi tahun terakhir bagi penghasilan siri novel Adina. Mengikut perancangan, sebanyak 40 siri lagi akan cuba dihasilkan dalam tempoh tersebut. Menjelang 18 Disember 2015 nanti, siri Adina yang terakhir akan cuba diterbitkan di blog. Siri akhir tersebut nanti akan menjawab secara keseluruhan persoalan-persoalan yang ada di dalam novel tersebut. Siri itu akan merangkumkan secara keseluruhan novel Adina itu nanti.

Diharapkan, moga sokongan terus diberikan daripada kalian semua. Hakikatnya, idea penghasilan novel Adina ini tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini; hanya tercetus atas sokongan yang diberikan. Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan terhadap siri novel ini sejak tahun 2010. Disebabkan sokongan itulah, maka siri ini menjadi tunjang kepada blog ini. Tanpa siri ini, barangkali jumlah trafik blog ini tidak setinggi sekarang.

Moga kisah Abyatina akan terus menjadi inspirasi bagi pembacanya. Menjadi pengajaran dan barangkali panduan dalam merencanakan setiap perjalanan kehidupan masa akan datang.

Sekadar itu sahaja perkongsian sedikit sebanyak berkenaan siri novel Adina ini. Ketemu di lain bicara. 

Insya-Allah.


“Adina” ialah Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu.

Sebuah novel Muhammad Yazid Rosly tahun 2010.
Ikuti siri-siri Adina sebelum ini di blog:  Siri Adina


Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menjadi penyumbang wajah untuk pembuka bicara siri Adina. Terima kasih juga kerana memberi idea dan cadangan bagi setiap siri Adina ini.





Tiada ulasan :