"Adina (Bicara Enam Belas)"
Mungkin ada benarnya jika cinta yang dikecapi punyai
banyak halangan. Namun halangan itulah nikmatnya.
Bagi Abyatina, dari awal hinggalah saat itu, pelbagai
rintangan muncul berterusan, tanpa henti, tanpa belas kasihan. Mungkin
kepenatan, namun semuanya perlukan kekuatan dan ketabahan.
“Saat ini, mungkin susah itu banyak. Tapi saat depan,
mungkin kita mampu nikmati kehidupan,” bicara Rizqullah sewaktu makan malam.
Malam itu Abyatina seperti mengeluh panjang meluahkan tekanan kepada suaminya.
“Abang, kenapa orang baik macam kita selalu ditimpa
musibah? Kenapa yang jahat dan busuk hatinya, bahagianya macam tak sudah?
Senang lenang tanpa masalah?” soal Abyatina.
“Sayang Allah bukan terletak pada senangnya kehidupan,
tapi sejauh mana kita rasai ketabahan atas dugaan dari-Nya,” balas Rizqullah.
Malam itu Abyatina dan Rizqullah menghabiskan masa di
beranda kecil rumah. Berbual panjang ibarat tiada penghujungnya. Penyudahnya,
malam itu malam yang sangat lewat buat mereka berdua untuk melelapkan mata.
Hari esoknya, Abyatina sibuk mengemas rumah. Rizqullah
pula awal pagi telah ke pekan. Itulah pertama kali masing-masing menjadi sibuk
dek mahu menyambut tetamu. Abyatina
bakal dikunjungi seluruh isi keluarganya. Kunjungan pertama secara
besar-besaran, maka banyak kerja persiapannya.
Tujuan utama kunjungan tersebut tidak pula dinyatakan.
Namun, kunjungan itu telah dimaklumkan adik Abyatina, Zabarjad menerusi
perbualan telefon. Mungkin sekadar kunjungan biasa mahu melihat-lihat kehidupan
Abyatina setelah setahun berkahwin. Mungkin satu ujian buat Rizqullah.
“Kenapa begitu negatif pandangan abangmu Ina?” soal
Rizqullah di awal pagi. Termenung panjang Rizqullah pagi itu.
Kunjungan Zaafarani abang si Abyatina pada hari
sebelumnya ternyata mendatangkan bingung buat Rizqullah. Kunjungan itu ibarat
seribu satu tersirat, punyai maksud yang sukar ditafsirkan.
“Abang Zaf memang begitu. Mulutnya tak dijaga, selalu
buat orang lain terasa di hati. Tapi niatnya baik,” bicara Abyatina.
Kunjungan abang Abyatina itu satu kejutan. Pada petang
tersebut, perseteruan tercipta. Kunjungan yang pada mulanya sekadar bertanya
khabar akhirnya bertukar kepada pertikaman lidah. Rizqullah dan Zaafarani
berbalas hujah.
Zaafarani mengkritik Rizqullah. Katanya, Rizqullah bukan
calon terbaik buat Abyatina. Katanya lagi, Abyatina sepatutnya lebih bahagia
dari apa yang dinikmatinya kini. Katanya lagi, Abyatina lebih terseksa dari
bahagia.
“Faham benarkah kamu dengan isteri saya?” soal Rizqullah
menahan amarah.
“Mu bukan selayaknya nak nilai aku, abang kepada
Abyatina,” balas Zaafarani.
“Bukan saya persoalkan. Tapi betulkah Abyatina terseksa?
Betulkah Abyatina tak bahagia? Betulkah Abyatina tersilap pilih?” soal
Rizqullah.
Bicara petang itu memang sangat panas. Masing-masing
bertikam lidah. Hakikatnya, Zaafarani usianya lebih muda dari Rizqullah. Namun,
gelaran sebagai abang ipar buat Rizqullah telah menyebabkan kata-kata yang
dilemparkan kepada Rizqullah dilihat agak kurang ajar dan tidak menghormati
Rizqullah yang lebih tua daripadanya.
“Dari awal aku tahu, kamu bukan orang yang sebaiknya buat
Abyatina. Kamu hanya tambahkan kesedihan Abyatina,” bicara Zaafarani.
“Saya tahu apa yang terbaik buat Abyatina”
“Andai Abyatina terluka satu masa nanti, kamu tanggunglah akibatnya, sebab aku sentiasa menjaga Abyatina sampai bila-bila. Berapa banyak kamu ungkapkan cinta tidak akan bermakna andai hatimu telah mati dan kotor. Insaflah, kerana ungkapan cinta itu hanya akan menjadi satu kepuasan nafsu semata-mata, menidakkan kehebatan sebenar dari Yang Maha Esa," kata abang Abyatina.
Perbualan terhenti dan Zaafarni pulang meninggalkan
Rizqullah di ruang tamu. Kunjungan yang pada awalnya disambut dengan baik oleh
Rizqullah berakhir dengan kisah yang penuh amarah.
“Mengapa?” soal Abyatina tak lama kemudian.
“Soal hati dan perasaan, bila dinafikan, maka pedihnya
bukan kepalang,” luah Rizqullah sedikit terkilan dengan kata-kata Zaafarani
itu. Abyatina tanpa sedar terus memeluk Rizqullah.
Konflik antara Zaafarani dan Rizqullah bermula di fasa
baru.
Menjelang tengah hari, kaum kerabat keluarga Abyatina
berkunjung ke rumahnya. Tak semua yang hadir, kerana kunjungan itu tidak
disertai keluarga Zaafarani. Mungkin pertikaman lidah pada hari sebelumnya
telah menyebabkan abang Abyatina itu tidak muncul. Ibu dan ayah Abyatina juga
tidak hadir pada tengah hari itu. Mungkin Ustaz Man tidak punyai kemampuan
untuk hadir dek lumpuh separuh badan dan ibunya pula sudah semestinya harus
berada di sisi Ustaz Man.
“Salam dikirim dari mereka,” bicara Raiqah, kakak
Abayatina.
Walaupun rumah Abyatina kecil, namun seluruh isi keluarga
dapat menikmati hidangan tengah hari dengan selesa. Kesemua masakan yang
dihidangkan disediakan Abyatina, dengan bantuan Rizqullah sekali sekala.
Rancangan asalnya, sesi makan tengah hari itu akan berlangsung di rumah ibu
mertua Abyatina yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Namun, pada hari
itu, keluarga mertuanya itu tiada di rumah, berada di Kuala Lumpur melawat
kenalan keluarga yang sakit.
“Sambal telur Abyatina masih macam dulu. Memikat!” bicara
Absyar, abang Abyatina sewaktu makan.
Memang kepakaran Abyatina. Air tangan Abyatina memasak
sambal telur sangat memikat seluruh keluarganya. Resipi rahsia yang dipelajari
dari arwah neneknya. Maka setiap kali Abyatina berada di dapur, seluruh isi
keluarga akan memintanya memasak sambal telur.
Petang itu, Abyatina mengikut keluarganya pulang ke
kampung. Rizqullah tidak dapat mengikut Abyatina kerana keesokannya adalah hari
bekerja. Seperti biasa, awal pagi lagi Rizqullah perlu ke sekolah. Maka, sekali
lagi Abyatina bersendirian pulang ke kampung.
“Makin berat untuk pulang ke kampung selepas apa yang
jadi semalam,” luah Rizqullah kepada Abyatina sebelum isterinya itu bertolak
pulang ke kampung. Abyatina menaiki kereta abangnya, Absyar.
“Lupakan saja kata-kata abang Zaf semalam,” pujuk
Abyatina.
“Bukan mudah….”
Setibanya di kampung, perbualan mula bertukar dalam nada
yang berbeza. Kisah Absyar abang Abyatina mengambil tempat. Khabarnya ternyata
sesuatu yang mengukir senyuman di bibir Abyatina sendiri.
“Abangmu dah kemaruk nak berbini…” usik Raiqah, kakak
Abyatina.
“Apa?” tersengih si Abyatina.
Kisahnya telah bermula awal lagi sebelum itu. Absyar
telah meluahkan hasrat untuk berkahwin. Niat itu ternyata mengembirakan seluruh
keluarga, namun kelucuan timbul tatkala luahan hasrat hati itu dinyatakan
kepada Ustaz Man.
“Tapi, Syar tak ada calon….” luah Absyar kepada Ustaz
Man.
“Pulak dah mu ni…,” balas Ustaz Man menepuk dahinya.
“Dah tu, macam mana nak kahwin kalau calonnya tak ada?”
soal pula Mak Cik Ros, ibu Abyatina ketawa kecil.
“Err,…. Kalau dulu si Ina tu dijodohkan dengan proses
pencarian, takkan tak boleh diaplikasikan untuk Syar juga?” soal Absyar.
“Abang nak jauh ke nak yang dekat?” soal Abyatina yang
tiba-tiba muncul di ruang tamu.
“Ada beza ke?” soal Absyar.
“Kalau dekat, demam rindu dek panahan asmara waktu
bertunang taklah wujud dalam kalbu di hati,” balas Abyatina berseloroh mengusik
Absyar.
“Oh, macam Ina dululah ni. Rindu dek panahan asmara pada
Rizqullah, sebab tunangnya berada jauh dari pandangan” usik Absyar kembali.
Terdiam Abyatina. Usikan kepada abangnya dipantulkan
semula kepadanya.
“Cis, backfire….” bisik Abyatina sebelum menuju ke dapur.
Malam itu masing-masing menikmati hidangan makanan.
Kesemua ahli keluarga hadir, kecuali keluarga Zaafarani yang berada di Pulau
Pinang. Makan malam itu masing-masing tersenyum sahaja. Kelihatan seperti
menahan kelucuan. Abyatina kadangkala tersengih, sambil menjeling abangnya
Absyar. Raiqah turut menyertai sesi senyuman sambil menjeling itu. Absyar
menjadi subjek utama yang menimbulkan kelucuan masing-masing. Zabarajad tak
lama kemudian turut menyertai sesi sengih menyengih itu, dan di akhirnya Absyar
menyedari sengihan-sengihan yang kelihatan sewaktu sesi makan malam itu.
“Ok, sengih tu tak salah. Tapi kenapa sampai berjemaah
nak menyengih ni?” soal Absyar.
“Itu namanya berkat….” balas Zabarjad berseloroh.
Namun suasana ceria makan malam itu tidaklah seceria
sebelum ini. Sejak Ustaz Man lumpuh, mereka tidak lagi dapat makan malam
bersama. Ustaz Man hanya berada di atas, makan bersama Mak Cik Ros. Hanya
kadangkala sahaja Ustaz Man akan turun ke dapur dengan bantuan anak-anaknya.
“Mungkin lagi ceria kalau ayah ada di sini, makan sekali
dengan kita,” luah Abyatina sugul.
“Mungkin….” luah Raiqah.
“Hah, apa kata, kita bawak semua lauk-lauk dengan nasi
ni, bawak naik ke atas. Meriahkan sikit suasana kat atas makan dengan ayah,”
bicara Rafiqin, adik Abyatina. Rafiqin adik paling bongsu dalam keluarga, masih
lagi belajar di tingkatan empat.
“Hah, cadangan bijak darimu,” bicara Raiqah.
Maka, rombongan makan malam itu bergerak naik ke atas.
Lauk-pauk dan hidangan lain diangkut bersama. Abyatina membawa minuman,
manakala Raiqah mengusung gelas. Rafiqin membawa lauk-pauk, dan Absyar membawa
nasi. Zabarjad pula membawa tikar mengkuang. Sesi perkelahan bersambung di atas
bersama Ustaz Man. Tersenyum Ustaz Man, saat kesemua ahli keluarga berkumpul di
sisinya di ruang tamu. Saat paling mengharukan.
“Alang-alang menyeluk pekasam dah semuanya berkumpul di
atas ni, alangkah bagus kalau kita keluarkan cadangan calon untuk Abang Lang
kita yang dah kemaruk nak berbini….” usik Abyatina buat Absyar.
“Hah, kalau akak, bagi je Cik Nurul kampung sebelah tu,”
Raiqah bersuara.
“Cik Nurul mana pulak tu?” soal Zabarjad.
“Alah Cik Nurul tukang jahit tu,” terang Abyatina.
“Bukan cikgu ke dia tu?” bicara Absyar tiba-tiba mencelah.
“Amboi, serba tahu ya!” Abyatina, Zabarjad, Rafiqin, dan
Raiqah berkata serentak.
“Kitorang sendiri pun tak tau Cik Nurul kerja apa tau,” bicara Abyatina.
Ustaz Man dan isterinya ketawa kecil. Suasana meriah dan
ceria tercipta. Mengurangkan sedikit sunyi yang dirasakan.
“Apa kata kalau anak Mak Kiah kat sebelah kedai tu?”
cadang pula Rafiqin.
“Hah, Mak Kiah? Ada anak perempuan ke dia tu?” soal
Raiqah.
“Ada. Takkan akak tak tau?”
“Memanglah ada. Tapi anak dia tu baru 7 tahun,” ibu
Abyatina bersuara sambil ketawa kecil.
“Hahaha, ada ke nak calonkan dengan Abang Lang,” bicara
Abyatina ketawa.
“Tak pun Cik Tasha yang tinggal tepi masjid tu. Huh,
orang dia lawa betul. Baru je habis belajar kat UKM dia tu,” cadang ibu Abyatina,
turut mula menyertai perbualan berseloroh itu.
“Eh, bukan Shila ke namanya?” soal Absyar.
“Shila tu adik dia. Sekarang ni masih sekolah. Kan sebaya
dengan Rafiqin,” terang Raiqah.
“Oh, akak dia tak pernah nampak pulak. Lawa ke?” soal
Absyar.
“Nampaknya dah ada orang minat…” usik Abyatina tersenyum.
“Tanya jelah. Bukan berminat,” terang Absyar tegas.
“Tapi lawa tau Syar. Mak tengok pun tak berkedip mata,”
bicara Mak Cik Ros.
Absyar sekadar tersenyum . Tiada lagi bicara darinya.
Suasana bertukar menjadi panik seketika. Saat
masing-masing menikmati hidangan sambil berbual, Abyatina tiba-tiba batuk, dan
berterusan tanpa henti. Batuknya semakin kuat membuatkan seisi keluarga menjadi
risau.
“Ina tak apa-apa ke?” soal Raiqah sambil menggosok
belakang Abyatina cuba membantu sekadar yang termampu.
Abyatina sekadar menggelengkan kepalanya. Kedua-dua tapak
tangannya menutup mulut menahan batuk yang tak berhenti. Namun batuk itu masih
berterusan terus menggusarkan yang lain.
Ustaz Man memandang penuh kerisauan. Dia tahu, ada yang
tak kena pada Abyatina.
Penyudahnya, Abyatina terkejut. Darah memenuhi tangan
yang menekup mulutnya. Tambah mengejutkan, serpihan-serpihan kaca turut kelihatan
di tapak tangannya itu. Terkesima dan terdiam.
“Kenapa ada kaca?” soal ibu Abyatina spontan.
Ustaz Man memerhatikan kaca di tapak tangan Abyatina.
Kaca yang bercampur darah yang keluar dari mulut Abyatina itu sesuatu yang luar
biasa.
“Selalu jadi macam ni Ina?” soal Ustaz Man.
Abyatina sekadar mengangguk. Tidak lagi mampu berbicara.
Dadanya terasa cukup pedih.
“Inilah namanya santau. Ilmu paling halus, membinasakan
mangsanya sedikit demi sedikit,” bicara Ustaz Man.
“Santau?” soal ibu Abyatina terkejut.
Malam itu kisah Abyatina sekali lagi menjadi tumpuan.
Jika selama ini sakit Abyatina dalam kesamaran, malam itu semuanya terungkai.
Kaca demi kaca keluar dari mulut Abyatina tanpa henti. Darah berterusan
tersembur keluar. Abyatina semakin
lemah. Tidak bermaya tak lama kemudian.
“Allahuakbar!” ibu Abyatina menjerit takala Abyatina
terus rebah di atas ribanya.
Abyatina dibawa masuk ke bilik. Ustaz Man menggagahkan
diri mengambil wuduk, dan bacaan Yassin dimulakannya. Malam itu situasi menjadi kelam kabut.
“Jadi benarlah Abyatina disihir?” soal Rizqullah pada
hari keesokannya. Awal pagi lagi dia tiba di kampung Abyatina apabila mendapat
khabar berita tersebut.
“Mu lebih tahu dari kami semua,” balas Ustaz Man.
“Saya tahu Abyatina sakit. Tapi saya buntu, tak tahu apa
sakitnya,” balas Rizqullah. “Mungkin disihir, tapi apa buktinya? Sebab tu saya
putuskan, biar ayah saja yang cuba ubatkan Ina,” terang Rizqullah.
“Tak, apa. Semuanya dah makin jelas. Kaca yang keluar itu
tandanya santau dah menyerang tubuh Abyatina,” bicara Ustaz Man. “Insya-Allah,
sama-sama kita ubatkan sampai sembuh”
Abyatina tiba-tiba keluar dari bilik, muncul di ruang
tamu apabila menyedari kehadiran Rizqullah. Tersenyum sedikit sebelum
menghulurkan tangan untuk bersalam. Suaminya muncul di pagi itu. Lantas spontan
bersuara.
“Boleh tak teman Ina pergi ke klinik hari ni?” soal
Abyatina.
“Di mana kliniknya? Apa tujuannya?” soal Rizqullah
hairan.
“Klinik desa sini je. Boleh atau tak?” soal Abyatina.
“Nak dukung sampai ke klinik pun boleh,” seloroh
Rizqullah.
Abyatina sekadar tersenyum. Pagi bertukar ceria. Abyatina
pulih semula. Tidak lagi lemah seperti malam sebelumnya.
“Assalamualaikum”
Salam kedengaran. Masing-masing kehairanan. Tetamu di
awal pagi, sesuatu yang jarang berlaku. Maka Abyatina terus menjenguk ke arah tingkap,
melihat tetamu yang berkunjung itu.
“Hah, abang alien?” luah Abyatina spontan.
“Alien?” Rizqullah kehairanan.
Yaqzan berdiri di halaman rumah. Kelihatan tenang, sambil
pandangannya terus menunduk melihat tanah. Abyatina terkejut, Rizqullah
kehairanan. Yaqzan yang khabarnya telah lama tidak kedengaran tiba-tiba muncul
pada pagi itu.
“Apakah yang dimahukannya lagi?” soal Abyatina hairan.
“Dan kenapakah Ina memanggilnya alien?” Rizqullah pula
tiba-tiba mencelah. Sedikit kelucuan timbul.
Masing-masing berpandangan. Tidak tahu langkah yang perlu
dilakukan.
*Tamat sudah Bicara Enam Belas*
Apakah Yaqzan akan menyerang sekali lagi? Akan bersambung di lain
bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
"I was born to love you mum"
*Terima kasih kepada saudari Aida atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan
jom sggah blog sy jgk msih bru lg ni.hehe..thanks yer!!
^_^