"Adina (Bicara Lapan Belas)"
“Rezeki adalah hak mutlak Allah. Walau semustahil mana
pun di fikiran manusia, andai Allah izinkan, maka akan muncul juga rezeki itu
tanpa disangka-sangka. Setiap dugaan itu adalah pelajaran terbaik untuk
mengenal erti rasa syukur. Andai senang itu telah terjelma, maka jangan lupa
kepada-Nya, kerana kuasa bahagia itu adalah milik mutlak dari-Nya. Rezeki itu
tambah indah, bila apa yang diharapkan akhirnya termakbul”
Buku nota Abyatina ditutup. Pena diletakkan.
Abyatina turun ke halaman. Pagi itu Abytina berkunjung ke
rumah ibu mertuanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Memang selalu
menjadi rutin harian Abyatina untuk berkunjung ke sana bagi menghilangkan
kebosanan dek keseorangan di rumah. Apabila Rizqullah di sekolah, maka ibu
mertuanya menjadi temannya.
“Masak apa tengah hari ni?” soal Abyatina sebaik masuk ke
dapur rumah mertuanya.
“Mak tak tau nak masa apa pagi. Hang ada cadangan tak?”
“Pajeri nenas mak
memang memikat hati,” balas Abyatina tersenyum.
“Hah, kalau macam tu, hang pi beli nenas kat kedai depan
tu. Pi naik basikal tu.”
Perjalanan ke kedai tidaklah terlalu jauh. Namun apabila
berbasikal, letihnya tidak begitu dirasai. Seperti biasa, saat tiba di kedai
runcit itu, maka usikan demi usikan senantiasa dirasai Abyatina. Masing-masing
suka bergurau dan bermesra dengan Abyatina. Dilayan dengan baik, dan tidak
pernah dibenci apatah lagi difitnah. Penduduk kampung di sini jauh lebih baik
dari penduduk kampung halamannya sendiri.
“Hang nak beli apa? Hari ni pak cik bagi diskaun apa-apa
ja barang yang hang beli,” ujar Pak Usop.
“Amboi Pak Usop ni, peril ya. Yalah, dah lama Ina tak
datang ke kedai ni…” tersenyum Abyatina.
“Laki hang sihat ka? Lama tak jumpa dia…”
“Sihat-sihat saja…” balas Abyatina. “Pak Usop, tolong
bagi nenas ya. Bagi tiga biji”
Proses pembelian berjalan dan Abyatina pulang. Tersenyum
sahaja Abyatina apabila mengenangkan situasi di kedai itu. Andai di kampung
halamannya, situasinya cukup berbeza. Penduduk kampung senantiasa bersikap prejudis
dan jarang bermesra dengan Abyatina terutamanya kaum wanita. Ada sahaja tuduhan
dan pandangan negatif dilemparkan buat Abyatina.
“Kecantikan dan keayuan kadangkala boleh membinasakan
kita,” kata Ustaz Man setiap kali Abyatina mengadu akan pandangan negatif orang
kampung terhadapnya. Abyatina seringkali berhadapan dengan situasi itu sebelum
berkahwin dengan Rizqullah.
Perjalanan yang sepatutnya menuju ke rumah mertuanya
bertukar haluan. Abyatina tergerak hati untuk singgah sebentar ke destinasi
yang lain. Mungkin perjalanan berbasikal itu menyeronokkan hingga Abyatina mahu
menghabiskan sedikit masa menikmatinya. Nenas yang dibelinya tadi menjadi teman
perjalanannya.
“Wahai cik nenas, kita bersiar-siar sebentar ya,” bisik
Abyatina bermonolog dalam seloroh. “Baik Cik Ina. Memang cik nenas teringin nak
jalan-jalan.... kata cik nenas...” Abyatina berseloroh lagi.
Sekolah tempat Rizqullah mengajar menjadi destinasi
Abyatina. Tidak diketahui tujuannya, Abyatina hanya menuju ke sana mengikut
gerak hatinya sahaja. Fikiran spontan, dan akhirnya destinasi dipilih di luar
sedar. Mungkin juga Abyatina mahu melihat Rizqullah di sekolah itu. Mungkin
juga sekadar mahu menghirup udara segara.
Tiba di destinasi, Abyatina berjalan-jalan meninjau
persekitaran sekolah. Kebanyakan guru di sekolah tersebut mengenali Abyatina.
Maka, tidak hairanlah jika berselisih dengan Abyatina, sapaan diberikan dan
salam dihulurkan. Ramai yang telah mengetahui Abyatina isteri Cikgu Rizqullah.
“Di mana Rizqullah?” soal Abyatina kepada Cikgu Ani,
kenalan Rizqullah yang agak rapat dengan Abyatina. Seringkali juga Cikgu Ani
berkunjung ke rumahnya.
“Ada di kelas hujung sana. Tengah mengajar tu,” balas
Cikgu Ani tersenyum manis.
Maka, destinasi berikutnya adalah menuju ke kelas
tersebut. Dari jauh Abyatina dapat
melihat Rizqullah sedang mengajar di kelas. Suara Rizqullah dapat didengar
dengan jelas, dan lontaran suara itu ternyata berbeza dengan gaya percakapannya
di rumah. Abyatina kemudian duduk di kerusi batu tidak jauh dari kelas itu, dan
terus melihat suaminya itu.
“Kat rumah lain suaranya. Kat sekolah jadi lantang pula.
Pelik jadinya…” bisik Abyatina kehairanan. Itulah kali pertama Abyatina melihat
suaminya itu mengajar di kelas.
Kelibat Abyatina di luar kelas tidak disedari Rizqullah
pada awalnya. Hanya selepas seorang pelajarnya bertanya kepadanya mengenai
kelibat wanita di luar kelas itu, barulah Rizqullah menyedarinya.
“Siapa kat luar tu cikgu? Dari tadi dok usyar cikgu. Lawa
pulak tu,” bicara seorang pelajar menghentikan seketika sesi pembelajaran dalam
kelas.
Lantas mata tertumpu ke luar kelas. Terkejut Rizqullah
apabila melihat kelibat Abyatina di luar kelas.
“Huh, Abyatina?”
Semua pelajar tertumpu pada Rizqullah yang berjalan
menuju ke luar kelas. Rizqullah lantas menghampiri Abyatina yang duduk di
kerusi batu di luar. Pelbagai persoalan mula bermain di fikiran para pelajar.
“Siapa tu?”
“Adik cikgu ke?”
“Ke isteri cikgu?”
“Huh, lawanya. Putih melepak. Macam bidadari…”
“Semua boleh terpegun tengok dia…”
“Lawa…. Cantik…. Ayu….”
“Itu isteri cikgulah. Masa kenduri kahwin cikgu dulu, aku
ada pergi. Perempuan kat luar tulah isteri cikgu,” bicara seorang pelajar
perempuan tiba-tiba.
“Owh, macam tu. Memang untunglah cikgu….”
Sesi pembelajaran akhirnya bertukar menjadi sesi bergosip
sesama mereka.
“Mengapa?” soal Rizqullah sebaik duduk di kerusi batu.
“Apanya?”
“Kenapa datang ke sini?” soal Rizqullah.
“Hati tergerak, dan tiba-tiba teringin nak tengok sendiri
macam mana abang mengajar di sekolah. Itu boleh muncul ke sini,” balas
Abyatina.
“Sorang?”
“Naik basikal saja….”
Rizqullah menamatkan kelasnya lebih awal dari biasa.
Abyatina dibawa ke bilik Rizqullah tidak jauh dari kelas tersebut. Sejak dari
awal tahun lagi, Rizqullah ditempatkan di bilik tersebut dan bukannya di bilik
guru. Kapasiti tidak mencukupi untuk Rizqullah ditempatkan di bilik guru.
“Kenapa naik basikal sampai ke sini? Bukankah itu bahaya
namanya?” soal Rizqullah sebaik masuk ke biliknya.
“Jalan kampung, keretanya pun tak banyak, maka bahayanya pun kurang,” balas Abyatina.
“Bukan soal tu. Ina kan dah mengandung. Bukankah bahaya
buat Ina dan kandungan tu?”
Abyatina terdiam. Ada benar kata-kata suaminya itu. Maka
kisah seterusnya, Abyatina diminta untuk terus berada di bilik tersebut
sehingga tamat sesi persekolahan. Abyatina akan pulang ke rumah bersama
Rizqullah. Basikal ditinggalkan, dan kereta dinaikinya.
“Kari lagi? Bukan semalam pun kari jugak ke?” soal
Rizqullah saat menikmati hidangan tengah hari di rumah ibunya.
“Hang tanya bini hang…” balas ibu Rizqullah tersenyum.
Abyatina sekadar tersenyum sahaja. Maka fikirannya terus
teringat akan nenas yang dibelinya pagi tadi. Semuanya masih lagi tersimpan
elok dalam raga basikal yang ditinggalkannya di sekolah. Disebabkan Abyatina
pulang lewat bersama Rizqullah, maka ibu mertuanya terpaksa mengubah menu
hidangan tengah hari itu.
“Tunggu punya tunggu, nenas tak muncul-muncul. Tu yang
tukar lauk hari ni…” bicara ibu Rizqullah.
“Tulah, ada orang tu gatai nak pi sekolah…” seloroh
Rizqullah.
“Tulah, siapa yang paksa balik sekali dengan dia tadi?”
balas Abyatina pula tersenyum.
Malam itu Abyatina dilanda sakit sekali lagi. Selesai
sahaja solat Isyak, maka nafas Abyatian tiba-tiba menjadi sesak. Seperti biasa,
batuk kemudiannya muncul, dan berterusan untuk tempoh yang lama. Seperti sebelumnya
juga, batuk itu bercampur darah. Seperti biasa juga, darah itu bercampur
kaca-kaca halus. Serangan muncul lagi buat Abyatina pada malam itu. Di
akhirnya, Abyatina pengsan dek keletihan dan azab pedih yang dirasainya. Resah
Rizqullah pada malam itu.
“Dugaanmu muncul lagi....” keluh Rizqullah. “Ya Allah....”
Pagi itu Abyatina tersedar. Pengsannya cukup lama, hingga dirinya tak
menyedari akan situasi yang berlaku pada malam sebelumnya. Sedar sahaja
Abyatina, dia kini berada di kampung halamannya. Kehairanan juga di
permulaannya.
“Ina pengsan malam semalam. Agak teruk juga, jadi terus
bawa Ina balik ke kampung. Minta ayah ubatkan mana yang boleh,” terang
Rizqullah sebaik menyedari Abyatina telah sedar dari lenanya.
“Teruk sangatkah?” soal Abyatina yang masih lemah.
“Hanya Allah saja yang tahu betapa sakitnya Ina semalam.
Sebab itu malam tu juga abang bawa Ina balik ke kampung. Malam tu juga ayah
ubatkan Ina,” balas Rizqullah.
Abyatina terharu. Betapa Rizqullah sanggup melakukan apa
saja deminya. Memandu di tengah malam
bukanlah sesuatu yang mudah buat Rizqullah. Abyatina sedar akan hakikat itu.
Di ruang tamu rumah, perbualan kedengaran. Kelihatan
tetamu sedang berkunjung, dan Abyatina dapat mendengar dengan jelas perbualan
tersebut dari biliknya. Ibu Abyatina sedang berbual dengan seseorang. Ustaz Man
juga turut berada di ruang tamu.
“Ustaz Man ada berapa orang anak? Dah bercucu ke?”
“Enam semuanya. Empat lelaki dua perempuan. Cucu baru ada
tiga...” balas Ustaz Man.
“Oh, gitu. Saya tak tau sangat. Tau sikit-sikit je pasal
keluarga ustaz. Yang saya kenal pun Raiqah dengan Abyatina tu saja. Lain-lain
tu tak berapa kenal. Tau nama jelah”
“Raiqah anak yang sulung. Dah kahwin, ada dua orang anak.
Laki seorang, perempuan seorang. Zaafarani, anak yang kedua. Polis. Pun dah
kahwin, ada seorang anak lelaki. Absyar yang ketiga, cikgu sekolah, membujang
lagi. Abyatina yang kahwin tahun lepas, anak keempat. Zabarjad anak kelima
kerja posmen, dan yang bongsu namanya Rafiqin,” terang Mak Cik Ros.
“Oh, gitu rupanya. Maknanya, Abyatina sajalah yang dah kahwin
tapi tak ada anak lagi....”
“Insya-Allah. Adalah rezekinya nanti,” balas Ustaz Man
pula.
Tersenyum Abyatina yang berada di dalam bilik. Hakikatnya
tidak ada sesiapa pun yang tahu akan perihalnya yang telah mengandung ketika
ini. Hanya Rizqullah sahaja yang mengetahuinya.
“Nak rahsiakan?” soal Rizqullah pada pagi Subuh hari
sebelumnya, hari Abyatina menyatakan berita gembira tersebut kepada Rizqullah.
“Lagi banyak rahsia, lagi banyak nikmatnya,” balas
Abyatina.
Maka, Abyatina dan Rizqullah terus berahsia.
“Tasha sekarang kerja di mana?” soal Ustaz Man. Perbualan
di ruang tamu masih lagi berlangsung dan Abyatina terus mendengarnya.
“Sekarang kerja di Taiping. Kerja di firma peguam”
“Tunggu nak kahwin sajalah...” bicara Mak Cik Ros.
“Insya-Allah. Kalau sudi si Absyar tu, semuanya akan
berjalan”
Perbualan itu berterusan dan ternyata menangkap minat
Abyatina yang mendengarnya. Barulah Abyatina tahu bahawa tetamu yang muncul di
ruang tamu itu ialah ibu kepada Tasha.
“Maknanya si Tasha tu akan dijodohkan dengan abangku?”
bisik Abyatina berseorangan. “Apakah itu kunjungan merisik? Ah, mana mungkin.
Adatnya, si lelaki yang akan merisik si wanita...”
Persoalan terus bermain di fikiran Abyatina. Buku notanya
dibuka semula, dan nukilannya dicatatkan di dalamnya.
"Apabila mahu memilih jodoh, maka janganlah sekadar
memilih berdasarkan tafsiran pandangan mata sahaja. Tanyalah juga pada kata
hati dan iman. Dari situ akan terpancar kecantikan sebenar pilihan jodoh
itu"
“Maka, pilihanku dulu tiada salahnya,” bisik Abyatina
tersenyum.
Fikiran Abyatina terlintas kembali akan perbualan dengan
kakaknya sewaktu bersantai berkelah di Teluk Batik. Perihal Rizqullah yang
tidak bertegur sapa dengan Zaafarani mendatangkan persoalan buat kakak Abyatina
itu.
“Apa yang tak kena?” soal Raiqah.
“Perseteruan fasa baru...”
Maka Abayatina menceritakan kisah yang berlaku sebelumnya.
Kisah kemunculan Zaafarani, abangnya itu di rumahnya diterangkan. Kisah api
kemarahan Zaafarani dikongsikan dengan Raiqah. Pertikaman lidah yang berlaku di
antara Rizqullah dan Zaafarani dinyatakan dengan terperinci.
“Tak menghairankan andai abangmu itu menyerang
Rizqullah...” bicara Raiqah.
“Mengapa pula?”
“Jangan dilupa, abang Zaf pembangkang utama
perkahwinanmu. Dari mula hingga di akhirnya, tak pernah bersetuju. Maka, tak
hairan jika dia menyerang suamimu,” terang Raiqah.
“Tapi kenapa abang Zaf terlalu kuat membangkang?
Sedangkan dah setahun masa berlalu...”
“Sebabnya, dari awal lagi semuanya bagai tak kena buat
Zaafarani”
“Tak kena?”
“Ada rahsia yang mungkin kamu tak tahu. Sebelum ayah dan
mak mencari calon suamimu, abang Zaf kamu dah usahakan dulu...”
“Bila pula masanya?”
“Yaqzan, takkan kamu tak sedar kemunculannya yang
tiba-tiba?” soal Raiqah.
“Maksudnya, abang Zaf aturkan supaya Yaqzan jadi calon
suami Ina?”
“Hajatnya memang besar. Sebab Yaqzan itu sahabat baik
abangmu. Ibarat mereka dah ada perjanjian, moga kamu menjadi isteri Yaqzan. Itu
perancangan abangmu”
Terkejut Abyatina. Persoalan yang telah lama wujud dalam
fikiran Abyatina akhirnya terjawab. Kemunculan Yaqzan secara tiba-tiba sewaktu
Abyatina baru sahaja menerima keputusan SPM dahulu telah dapat difahami sepenuhnya.
Kemunculan Yaqzan di halaman rumah itu telah diatur sendiri oleh abangnya.
Malah, persahabatan rapat di antara Yaqzan dan abangnya itu telah beri kejutan buat
Abyatina.
“Mungkin kerana hajatnya tak sampai, maka dipersalahkan
Rizqullah. Tanpa sedar, Rizqullah dah dijadikan kambing hitam dalam api
kemarahannya,” bicara Raiqah.
“Mungkin...” bisik Abyatina.
Lamunan terhenti tatkala Mak Cik Ros masuk ke biliknya.
Tetamu yang muncul telah pulang. Mak Cik Ros bertanya khabar Abyatina, melihat
keadaan anaknya itu.
“Alhamdulillah. Kurang sikit sakitnya...” terang
Abyatina.
“Minum air ubatnya. Ayah buat malam semalam,” bicara ibu
Abyatina sambil menghulurkan botol air kepada Abyatina.
“Rehatlah dulu. Dapatkan semula tenaganya...” kata
Rizqullah yang baru masuk ke bilik tersebut.
Malam sebelumnya, Rizqullah telah menceritakan perihal
Abyatina secara terperinci kepada Ustaz Man. Kisah beras dan pasir yang
bertaburan di atas katil pada hari perkahwinan Abyatina dan Rizqullah juga
turut diceritakan kepada Ustaz Man. Bagi Rizqullah, tiada lagi kerahsiaan
mengenai keadaan sebenar Abyatina. Semuanya harus diterangkan kepada Ustaz Man
demi memulihkan kembali kesihatan Abyatina.
“Kenapa tak diberitahu sejak awal lagi?” soal Ustaz Man.
“Kami tak rasa itu sesuatu yang perlu diberitahu. Sekadar
beras yang bertaburan, bukanlah sesuatu yang besar rasanya....” luah Rizqullah.
“Betul, memang tak besar. Tapi kesannya cukup mendalam di
kemudiannya. Mungkin beras-beras yang ditabur itu datangnya dari si iri hati
yang nak menghancurkan rumah tanggamu,” balas Ustaz Man.
“Tak terlintas di fikiran saya....”
“Ilmu sihir kadangkala muncul tanpa kita duga. Macam beras
tu, boleh dijadikan tapak untuk dihembuskan gangguan halus buat Abyatina,”
terang Ustaz Man.
“Tapi, kenapa Abyatina sahaja? Kenapa bukan saya?” soal
Rizqullah. Ustaz Man hanya membisu sahaja. Tiada jawapan dapat diberikan.
Menjelang petang, Abyatina semakin pulih keadaannya.
Setelah hampir seharian berehat di bilik, maka Abyatina keluar mengambil angin
petang. Abyatina turun dari rumah. Rizqullah dan ahli keluarga lain tersenyum
sebaik melihat Abyatina keluar. Mereka sedang bersantai di pangkin bawah rumah,
manikmati hidangan teh dan kuih. Ustaz Man juga turut dibawa turun ke rumah.
Rizqullah, Zabarjad, dan Rafiqin yang membantu Ustaz Man untuk turun ke bawah
rumah.
“Dah sihat?” soal Rizqullah tersenyum. Abyatina sekadar
mengangguk.
“Penangan sihir bukannya mudah untuk pulih semula,”
bicara Ustaz sambil meneguk teh.
“Apalah nasibmu Abyatina. Satu demi satu dugaan. Dari
dulu, sampailah sekarang,” keluh ibu Abyatina.
“Dunia tak pernah memberikan kesenangan sepanjang masa
kepada manusia. Kesenangan itu hanya akan kekal andai manusia itu bijak
menyesuaikan diri dan tidak selamanya berada di takuk yang lama. Dugaan itu
bukti sayang Allah,” bicara Ustaz Man.
“Mungkin sebab santau tu, maka sampai sekarang Abyatina
tak dapat mengandung. Mungkin sihir tu menghalang Abyatina,” ibu Abyatina
membuat andaian.
“Mungkin juga. Kadangkala ilmu sihir mampu menghilangkan
kemanisan dalam hubungan suami isteri,” jelas Ustaz Man. “Sehingga sampai satu
tahap, boleh menyebabkan penceraian...”
“Kamu begitu ke Rizqullah?” soal ibu Abyatina tiba-tiba.
“Tak... rasanya semuanya baik-baik saja antara saya
dengan Abyatina,” balas Rizqullah sedikit tersipu-sipu.
“Mungkin juga sihir itu menghalang Abyatina untuk
dapatkan anak. Lebih setahun berkahwin, dan sampai sekarang masih belum ada
apa-apa,” bicara ibu Abyatina. “Mesti ada yang tak kena...”
“Soal anak bukan terletak pada si penyihir. Semuanya atas
kuasa Allah,” kata Ustaz Man.
“Yalah, tapi kalau setahun dah berkahwin, tapi anaknya
tiada, pasti sunyinya boleh dirasa,” balas Mak Cik Ros.
“Tak mengapa, satu hari nanti kalau Allah bagi izin, maka
semuanya akan ada rezekinya...”
Suasana menjadi sepi seketika. Hanya kedengaran desiran
angin petang sahaja.
“Maknanya, santau tu dah mandulkan akak?” soal Zabarjad
tiba-tiba.
Abyatina terkejut dengan soalan dari Zabarjad itu. Soalan
tersebut ibarat satu perkara yang sensitif dan satu tamparan buat Abyatina.
“Eh, mana ada. Akak dah mengandung dah tau....” balas
Abyatina secara spontan.
Maka, kesemua yang ada terkejut. Rizqullah hanya tersenyum.
Abyatina terlepas cakap. Maka rahsia kini tinggal kenangan. Petang itu, telah
diketahui semuanya bahawa Abyatina telah mengandung.
“Nampaknya rahsia kali ni hanya dapat bertahan sehari
sahaja...” balas Rizqullah berseloroh. “Nampaknya itu satu pengakuan yang bona
fide. Sangat mengkagumkan,” usik Rizqullah lagi.
Abyatina tergamam. Tidak disangka tersasul mulutnya
menyatakan rahsia. Hanya mampu tersenyum diusik Rizqullah.
“Bona fide jauh dari lubuk hatiku,” bicara Abyatina
berseloroh.
“Bila pula mu mengandung?” soal ibu Abyatina terkejut.
Tiba-tiba sebuah motosikal memasuki halaman rumah.
Kelihatan agak kelam kabut si penunggangnya. Halim yang bekerja di bengkel
motosikal di hujung kampung muncul di halaman rumah. Mukanya agak pucat.
“Ustaz, Absyar kena serang kat hujung kampung. Dia kena
tikam!” jerit Halim dalam keadaan panik.
“Ya Allah!” Mak Cik Ros terkejut.
Nikmat angin petang yang bertiup buat seisi keluarga kini
telah hilang. Anginnya masih terus bertiup, namun kenikmatannya telah hilang
buat kesemuanya.
*Tamat sudah Bicara Lapan Belas*
Apakah nasib Absyar? Di lain bicara, maka bertemu.
Nota: “Bona fide” membawa maksud: sebenar, asli, ikhlas, dan jujur.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan