"Adina (Bicara Dua Puluh Tiga)"
“Bila sayang kamu dari aku? Bila muncul si kecil dengan bicara tangisan, kamu ungkapkan senyuman. Katamu: Inilah kurniaan terindah buatku. Maka dari aku, sayang itu kamu terima”
Abyatina membaca nota kecil yang diselitkan dalam buku
notanya. Buku itu diletakkan di sisi katil. Abyatina berehat panjang di atas
katil, tersenyum panjang selepas melihat nota tersebut. Satu bicara tulisan
yang menenangkan jiwanya.
“Kita tak tahu apa yang akan terjadi lagi di masa akan
datang. Satu demi satu cubaan, terlalu banyak dugaan...” luah ustaz Man di
ruang tamu. Mak Cik Ros isterinya duduk di sebelahnya.
“Moga Abyatina diberi kekuatan...” luah ibu Abyatina.
Suasana di rumah sunyi sepi. Petang itu udara di rumah
ternyata sangat berbeza. Sebuah catatan tercipta hari itu. Ustaz Man dan ibu
Abyatina hanya mampu duduk sambil mengenangkan setiap perjalanan yang telah
berlaku.
“Assalamualaikum,” salam diberikan di luar rumah.
Tak lama kemudian, Raiqah muncul di muka pintu. Suaminya,
Bazli muncul tak lama kemudian bersama dua anak mereka. Masih kecil, umur si
Nurul anak sulung mereka baru berusia 6 tahun, dan Hafiz anak kedua baru
menjengah 4 tahun. Dua cucu ustaz Man itu terus berlari menghampirinya. Mak Cik
Ros tersenyum menyambut cucu-cucunya.
“Selamatkah Abyatina?” soal Raiqah sebaik menyalam tangan
ustaz Man dan Mak Cik Ros.
“Ada di dalam. Perlukan rehat yang panjang...” balas Mak
Cik Ros.
“Dan, di mana Rizqullah?” soal Raiqah.
Tiada jawapan diberikan. Masing-masing hanya membisu.
Kisah petang itu banyak dilanda kebisuan. Namun kisah
paginya berbeza keadaan. Itulah pagi yang menghadirkan Rizqullah di kampung. Kemunculan
itu bukan satu kejutan. Walaupun hakikatnya Rizqullah mungkir janji tidak
muncul di kampung pada hari yang sepatutnya, kehadiran Rizqullah masih tetap
disambut mesra. Namun, muncul Rizqullah bermula dari panggilan yang dibuat
Zabarjad.
“Abang Cik, mak cakap, masa kak Cik dah tiba. Mak panggil
abang Cik balik kampung sekarang,” terang Zabarjad menerusi perbualan telefon.
Panggilan telefon itulah menghadirkan Rizqullah di
kampung.
“Mengapa munculmu di kampung selepas ada yang
menelefonmu? Mengapa mu tak muncul seperti yang dijanjikan pada Abyatina?” soal
ustaz Man sebaik Rizqullah tiba di kampung.
“Muncul saya di sini tak sepatutnya muncul dengan berat
hati. Saya tak mampu ke sini sewaktu fikiran masih lagi tertanya-tanya dengan
pelbagai persoalan...” luah Rizqullah.
“Apa yang mengganggu fikiranmu Rizqullah?” soal ustaz
Man.
“Apakah kisah sebenar Abyatina?” soal Rizqullah kembali.
“Mengapa begitu pertanyaanmu?” balas ustaz Man
kehairanan.
Lantas kisah pertemuan Rizqullah dan Yaqzan terjelma. Peristiwa
petang saat Rizqullah bertolak dari kampung mahu pulang ke rumah muncul di fikiran.
Disambut mesra Yaqzan di pertengahan jalan di tengah sawah, dan di akhirnya
perbualan di antara mereka tercetus.
“Apa benar kamu sayangkan Abyatina?” soal Yaqzan.
“Soalan pelik apa yang ditanya ni? Soal sayang itu satu
perkara yang jangan disangkal. Sebagai suaminya, sayang itu adalah satu
kewajipan dan tanggungjawab buatnya,” balas Rizqullah.
“Jadi, kamu faham benar dan tahu dengan tiap perkara yang
berlaku pada Abyatina?” soal Yaqzan.
“Jangan bermain dengan kata-kata, kalau setiap tutur itu
hanya mahu menyakitkan hati yang lain,” balas Rizqullah.
“Memang nampaknya, kamu kurang mengerti...” kata Yaqzan
dengan senyuman sinis.
“Kias kata-kata, ibarat satu permainan sembunyi tapi
masih kelihatan. Apa sebenarnya yang kamu nak sampaikan?”
“Ada sesuatu pada Abyatina yang kamu tak tahu. Ada kisah
yang tersembunyi, mungkin masih dalam rahsia...” balas Yaqzan.
“Jangan berdusta dengan kata-kata...” kata Rizqullah
sedikit geram.
“Yakin benarkah Abyatina yang berbadan dua itu, dan anak
yang dikandungkan itu anakmu?” soal Yaqzan tanpa berselindung lagi.
“Sungguh, memang benar, kamu adalah pendusta!” balas
Rizqullah marah. “Tunjukkan saksimu kalau benar dakwaanmu!”
Yaqzan hanya tersenyum.
“Atau memang kamu tak mahu tahu kisah yang berlaku
sewaktu kamu tinggalkan Abyatina di kampung? Kamu tak tahu apa di sebalik
Abyatina?” soal Yaqzan.
“Apa kisahnya? Apa yang kamu tahu?” balas Rizqullah masih
menahan marah.
Di akhirnya, kepulangan Rizqullah ke rumah diselubungi
pelbagai persoalan. Fikiran rungsing mula melanda, dan kisah yang diceritakan
Yaqzan itu telah menimbulkan tanda tanya dalam kotak hatinya.
“Apa benar itu yang terjadi pada Abyatina?” soal Rizqullah
sendirian sewaktu memandu pulang ke rumah. Kisah yang diceritakan Yaqzan telah
merungsingkannya.
Mungkin rungsing itulah menyebabkan Rizqullah berat hati
untuk pulang ke kampung semula. Abyatina ternanti-nanti di kampung, namun
Rizqullah terus terperap di rumah. Ternyata pertemuan dua nama berseteru di
antara Rizqullah dan Yaqzan beri kesan besar kepada Rizqullah. Ada rahsia yang
berlaku di antara mereka.
“Antara fitnah dan hakikat, dua perkara ini dibezakan
dengan kehadiran saksi...” terang ustaz Man kepada Rizqullah sebaik menantunya
itu duduk di kerusi. “Mu lebih pecayakan kisah orang luar berbanding kata-kata
keluargmu sendiri?” soal ustaz Man.
“Bukan ragu pada keluarga, tapi bila timbul cerita,
banyak persoalan yang muncul di fikiran...” balas Rizqullah. “Saya dah
keliru...” luah Rizqullah.
“Tanya pada imanmu. Soal pada kata hatimu. Jangan
mendengar jawapan dari kata-kata yang hanya bertunjangkan hasad dengki dan
fitnah semata-mata,” balas ustaz Man.
“Apa sebenarnya perkara yang merungsinkanmu...” soal ibu
Abyatina mencelah.
Rizqullah hanya membisu. Lidahnya kelu. Berat mahu
berbicara.
“Bagaimana Abyatina?” soal Rizqullah menukar topik
bicara. “Sudah tibakah masanya?”
Ibu Abyatina membisu seketika.
“Sama-sama kita sabar, moga masanya akan tiba. Abyatina
sedang menunggu masanya...” balas ibu Abyatina.
Beberapa jam sebelum itu, situasi kelam kabut di pagi
Jumaat ternyata mencetuskan situasi panik di rumah. Saat Mak Cik Ros melihat
linangan air di lantai yang turun dari kaki Abyatina, maka tahulah dirinya
bahawa masa anaknya itu telah hampir tiba. Mungkin kerana itulah, Mak Cik Ros
menjadi agak kelam kabut pagi itu.
Perkara pertama yang dilakukan ibu Abyatina adalah dengan
meminta Zabarjad menelefon Rizqullah untuk pulang ke kampung dengan segera.
Usaha itu ternyata bukan senang buat Zabarjad, kerana beberapa percubaan
mendail hanya diiringi dengan kegagalan. Rizqullah mungkin tiada di rumah.
Tak lama kemudian, ustaz Man dimaklumkan mengenai keadaan
yang sedang berlaku pada Abyatina. Lantas, makluman itu memulakan langkah ustaz
Man untuk melakukan persiapan. Ustaz Man menuju ke masjid meminta bantuan orang
kampung di sana.
Namun, saat itu jugalah ibu Abyatina terkejut. Abyatina
tiba-tiba rebah dan pengsan. Mulutnya berdarah, dan darah itu terus mengalir
keluar tanpa henti. Suasana lebih panik terjadi. Lantas ustaz Man yang baru
beberapa langkah bergerak untuk turun ke tangga dipanggil.
“Abyatina pengsan!” bicara ibu Abyatina.
Pegangan tongkat terlepas dari tangan ustaz Man. Kejutan
diterima. Ustaz Man rebah di atas lantai. Kakinya tidak cukup kuat untuk
berdiri. Sepantas itu Mak Cik Ros mendapatkan ustaz Man. Dibantu suaminya itu
untuk bangun semula. Perlahan-lahan, ustaz Man bangun sebelum tongkat
dihulurkan kepadanya.
“Apakah sakitnya dulu muncul kembali?” soal ustaz Man
masih terkejut.
Pagi itu, hanya Zabarjad sahaja yang berada di rumah.
Maka, dengan kudrat yang ada, Abyatina diangkat dan diletakkan di atas katil.
Keadaan pengsan Abyatina beterusan, namun darah yang keluar tanpa henti dari
mulut Abyatina mula kelihatan semakin berkurangan. Lantas ustaz Man duduk di
sisi katil. Naskah yang mengandungi surah Yassin dipegangnya. Tak lama
kemudian, bacaan Yassin dimulakannya. Moga ada berkatnya, berikan kekuatan pada
Abyatina untuk pulih kembali.
“Apa yang perlu kita buat? Masa Abyatina semakin dekat,
dan Abyatina kini tak sedarkan diri...” soal Mak Cik Ros dalam resah.
“Tiap-tiap yang berlaku ada hikmahnya. Insya-Allah, pasti
akan ada jalannya. Sama-sama kita usaha, moga Abyatina sedar, dan moga semuanya
selamat di hujungnya...” balas ustaz Man tenang.
Tak lama selepas itu, kedengaran salam diberikan di
halaman rumah. Lantas ibu Abyatina bergegas keluar menuju ke beranda rumah.
Kejutan diterima lagi.
“Ustaz...”
Kelibat ustaz Khumaini sahabat lama ustaz Man muncul di
halaman rumah. Ibu Abyatina ternyata terkejut kerana sahabat kepada suaminya
itu telah lama tidak muncul di rumahnya. Gara-gara perseteruan yang terjadi,
maka hubungan persahabatan di antara ustaz Man dan ustaz Khumaini menjadi
retak. Kali terakhir ustaz Khumaini muncul adalah sewaktu majlis perkahwinan
Abyatina beberapa tahun yang lalu.
“Khabarnya si Abyatina dah nak bersalin. Benarkah?” soal
ustaz Khumaini yang masih lagi berada di halaman rumah.
“Masuklah dulu..” balas ibu Abyatina.
Mendengar tetamu yang hadir, maka perlahan-lahan ustaz
Man bangun. Dengan penuh berhati-hati, dibantu tongkat yang dipegangnya, maka
langkah diatur untuk keluar dari bilik. Abyatina dibiarkan berehat di atas
katil.
“Dari mana taunya berita si Abyatina?” soal ibu Abyatina
hairan sebaik ustaz Khumaini naik ke rumah.
“Zabarjad yang datang ke rumah tadi, beri khabar...”
balas ustaz Khumaini.
“Duduk dulu ya. Nak ke dapur buatkan air...”
“Tak perlu disusahkan dengan airnya. Bukan aku yang patut
jadi tumpuan. Si Abyatina yang perlu diberi perhatian...” balas ustaz Khumaini.
Langkah ibu Abyatina untuk ke dapur terhenti. Pada waktu
itu jugalah, ustaz Man keluar dari bilik. Lantas matanya terlihat kelibat ustaz
Khumaini, sahabat lamanya di ruang tamu. Kejutan diterimanya. Ustaz Man tidak
menduga kehadiran sahabatnya itu.
“Khumaini... sudah lama tak bertemu...” bicara ustaz Man
memberi senyuman.
Lantas, ustaz Khumaini bangun dan menghampiri ustaz Man.
Dipimpin ustaz Man berjalan menuju ke ruang tamu. Sebaik masing-masing duduk
maka perbualan bersambung kembali.
“Maafkan aku Man...” luah ustaz Khumaini. “Amarah aku
panjangnya sampai hampir terputus persahabatan kita,” katanya lagi.
“Alhamdulillah kalau marahmu itu dah padam. Tapi, dari
dulu lagi, mu tak ada salah dengan aku pun. Aku faham, semua yang berlaku itu
adalah satu ujian...” balas ustaz Man.
“Hanya kerana Yaqzan, maka aku lupa jasa baikmu...”
“Tapi mu tegakkan keadilan buat anakmu Yaqzan. Itu
semulia-mulia tindakan dari seorang ayah. Pembela kebahagiaan anaknya...” balas
ustaz Man.
“Niatnya betul, tapi langkahnya salah...” kata ustaz
Khumaini. “Maafkan aku Man...”
“Lupakan saja kisah dulu...” balas ustaz Man tenang.
Suasana senyap seketika. Masing-masing membisu.
“Oh ya, terlupa pula dengan niat utamanya. Ini air
selusuh buat si Abyatina...” terang ustaz Khumaini menyerahkan botol berisi air
kepada ustaz Man. “Moga dipermudahkan urusannya nanti. Insya-Allah”
“Allahu Rabbi... Lupa pula nak buat air selusuh buat
Abyatina...” bicara ustaz Man sedikit menggelengkan kepala. “Mujur mu buatkan”
“Sebaiknya Rizqullah yang buatkan. Tapi sampai sekarang,
munculnya masih belum lagi...” celah ibu Abyatina.
“Jadi bila dijangka masanya?” soal ustaz Khumaini.
“Wallahualam. Tak tahu lagi. Masih menunggu jururawat
desa datang. Mungkin hari ini, atau mungkin belum lagi,” balas ibu Abyatina.
Zabarjad muncul di ruang tamu. Baru sahaja pulang dari
klinik desa selepas memanggil jururawat di sana. Keletihan jelas terpancar di
wajahnya. Namun salam dihulurkan buat ustaz Khumaini, tetamu yang hadir di
rumah itu.
“Kejap lagi, akan sampai...” jelas Zabarjad kepada Mak
Cik Ros.
Abyatina sedar dari pengsan tidak lama selepas itu sebelum
sampainya jururawat ke rumah itu. Keletihan dan kelesuan terpancar di wajah
Abyatina. Dalam kekeliruan, Abyatina hanya membisu. Tiada bicara soalan
diajukan Abyatina bagi merungkai perkara yang menimpa dirinya.
“Abyatina, siap sedia dirimu. Mungkin hari ini adalah
harinya...” bicara ibu Abyatina saat Abyatina sedar dari pengsan.
“Untuk apa?” soal Abyatina hairan.
“Detikmu menjadi seorang ibu akan tiba tak lama lagi...”
balas ibu Abyatina tersenyum.
Ustaz Khumaini pulang tak lama kemudian dan pada waktu
itu jugalah Rizqullah tiba di kampung. Maka itulah permulaan sebelum tercetusnya
perbualan serius di antara ustaz Man dan Rizqullah.
“Apa kamu tak yakin itu nanti anakmu?” soal ustaz Man.
“Bukan yakin soalnya. Tapi keliru...” luah Rizqullah.
“Abyatina dugaan banyak. Dari dulu sampai sekarang, satu
demi satu cubaan datang. Tiap-tiap kesusahan Abyatina terpaksa harungi. Jangan
tambahkan lagi kekusatan Abyatina,” kata ustaz Man.
“Tapi, kepastian apakah yang perlu saya cari, supaya
yakin itu wujud dalam diri?”
“Kalau dulu saya pernah bagi jaminan Abyatina sebaik-baik
wanita, mengapa tidak kini untuk kali yang kedua,” balas ustaz Man.
“Sebaik-baik wanita, tidak sama sekali akan memungkiri janji terhadap
suaminya...”
Rizqullah tertunduk. Bicara ustaz Man ada benarannya.
Lantas fikirannya kembali terhadap persoalan yang timbul.
“Apakah Yaqzan menabur fitnah?” bisik Rizqullah dalam
hatinya.
Kisah pertemuan di antara Rizqullah dan Yaqzan
menghasilkan cerita versi yang tak pernah kedengaran. Satu persatu kisah
diceritakan Yaqzan, dan semuanya berkaitan dengan Abyatina. Walaupun pada
awalnya Rizqullah berat hati untuk mendengar bicara Yaqzan, namun tatkala nama
Abyatina disebut, maka digagahkan diri untuk didengarnya juga.
“Mu selalu hantar Abyatina ke kampung, tapi mu tahu apa
yang terjadi pada Abyatina bila dia di sini?” soal Yaqzan.
“Itu bukan perkara yang menjadi persoalan. Abyatina
isteriku, dan tiap-tiap perkara yang berlaku padanya adalah tanggungjawabku.
Kenapa harus kamu sibukkan?” balas Rizqullah.
“Aku sibukkan kalau perkara itu dalam pengetahuan
Abyatina, tapi mu tak tahu langsung apa yang berlaku padanya...” bicara Yaqzan.
“Apa yang terjadi pada Abyatina?”
Kisah bermula takala Rizqullah meninggalkan Abyatina di
kampung. Waktu itu Rizqullah terpaksa ke Pulau Pinang untuk berkursus. Kisah
itu terjadi sembilan bulan yang lalu. Waktu itu senja hampir menjelma, dan
Abyatina berjalan berseorangan di kawasan ladang getah, baru sahaja pulang dari
rumah sahabat lamanya. Ternyata kesunyian melanda saat Abyatina mengatur
langkah untuk pulang ke rumah. Memang jelas di wajah Abyatina, kerisauan
melandanya. Ketakutan terjelma, kerana di kawasan ladang getah itu jugalah,
Abyatina hampir kehilangan kehormatannya. Kisah hampir diperkosa masih segar di
ingatan, kisah yang terjadi sebelum Abyatina berkahwin dengan Rizqullah.
“Dan aku juga lalu di kawasan yang sama di ladang getah
itu. Pada waktu itulah Abyatina berlari ketakutan...” terang Yaqzan kepada
Rizqullah.
Kisah senja itu, Abyatina dikepung sekumpulan lelaki. Ada
yang dikenali dan ada yang asing buatnya. Sepantas itu jugalah, Abyatina
ditangkap lalu diseret ke dalam semak. Peristiwa yang pernah terjadi satu masa dulu
berlaku sekali lagi. Abyatina cuba diratah oleh lelaki-lelaki itu. Jeritan
Abyatina kedengaran namun tak lama. Mulutnya ditutup dengan kemas oleh salah
seorang lelaki tersebut.
Kisah berikutnya, Abyatina berlari ketakutan. Dalam
situasi yang cukup panik, Abyatina tidak sedar Yaqzan yang berselisih
dengannya. Abyatina berlari sepantas yang mungkin. Tatkala itu lelaki-lelaki durjana
itu keluar dari semak dan bertembung dengan Yaqzan. Lantas mereka mengeluarkan
kenyataan berbaur ugutan.
“Kalau tersebar kisah yang berlaku pada Abyatina pada
petang ini, mu akan bercerai nyawa dari badan,” ugut seorang lelaki sambil
mengacukan pisau ke leher Yaqzan. Ternyata kejutan dalam ketakutan dialami
Yaqzan. Hanya mampu membisu dalam kegentaran.
“Kecantikannya penuh nikmat. Ibarat daging segar, tiada
cacat celanya...” bicara seorang lelaki lagi dalam senyuman.
“Ah, merasai tubuhnya sahaja bagaikan syurga dan
bidadari...” kata lelaki yang lain pula.
Maka, Yaqzan dilanda kejutan. Barulah faham, Abyatina
telah dilanda malang pada petang itu. Peristiwa di semak itu menjadi rahsia
Yaqzan dalam tempoh yang cukup lama. Tidak diceritakan kepada sesiapapun.
Namun, segalanya berubah tatkala kisah itu diceritakan pada Rizqullah.
“Dan tak lama selepas itu, Abyatina hamil. Apakah itu
satu kebetulan, atau memang berpunca dari kejadian petang itu?” soal Yaqzan.
Rizqullah membisu. Terdiam dalam kejutan , cuba menerima
kisah yang disampaikan Yaqzan. Rizqullah ternyata masih belum dapat menerima
kebenaran kisah itu.
“Dan kamu yakin itu semua memang terjadi petang itu?”
soal Rizqullah. “Kamu yakin Abyatina menjadi mangsa petang itu?”
“Yakin saya terletak pada logik akalnya. Peritiwa petang
itu memang terjadi...” balas Yaqzan.
Rizqullah pulang selepas itu diselubungi persoalan yang
besar di fikirannya. Perkhabaran Yaqzan sangat sukar untuk diterimanya.
Berhari-hari Rizqullah hanya termenung panjang, memikirkan persoalan yang
bermain itu. Mungkin itulah sebab Rizqullah tidak kunjung tiba di kampung
seperti yang telah dijanjikannya kepada Abyatina.
“Jadi kamu percaya cerita si Yaqzan itu?” soal ustaz Man
menghentikan lamunan Rizqullah.
“Saya tak tau apa yang perlu saya lakukan...”
Hakikatnya Rizqullah sedar, sembilan bulan yang lalu,
Abyatina berkelakuan agak pelik selepas pulang dari kampung. Abyatina lebih
banyak membisu dan bersendirian, tidak seceria sebelumnya.
“Apakah muram Abyatina ada kaitan dengan apa yang Yaqzan
ceritakan?” bisik hati Rizqullah. “Apakah benar Abyatina diperkosa?” bisiknya
lagi.
“Walau apa pun yang kamu dengar dari Yaqzan, semuanya
hanya dusta belaka. Kalau benar kata-kata Yaqzan, maka seharusnya dia punyai
saksi untuk buktikannya...” bicara ustaz Man.
Rizqullah membisu. Ada benarnya bicara ustaz Man. Namun
hakikatnya, persoalan yang timbul itu cukup besar hingga sukar ditepis
sebaiknya. Rizqullah dengan tenang bangun , lantas masuk ke bilik. Abyatina
dicarinya. Saat masuk ke bilik, kelihatan Abyatina lemah, sedang berbaring di
atas katil. Namun, kuntuman senyuman masih tetap diberikan Abyatina saat
melihat Rizqullah muncul di hadapannya.
Lantas Rizqullah terus memberikan helaian kertas kepada
Abyatina. Helaian itu terkandung baris-baris ayat nukilan Rizqullah. Mungkin
terdapat sesuatu yang cuba diluahkan Rizqullah buat Abyatina.
"Sujudku dan sujudmu
hanyalah kepada yang Maha Esa. Cintaku dan cintamu hanyalah teragung buat Maha
Pencipta"
Abyatina tersenyum saat membaca
baris ayat itu.
“Abang, apa sahaja yang berlaku
adalah hikmah supaya Ina terus setia pada abang. Apa saja yang dah terjadi,
bukanlah kesilapan Ina, tapi satu suratan yang tak dapat dielakkan lagi...”
bicara Abyatina.
“Ina, moga selamat semuanya.
Insya-Allah...” luah Rizqullah.
Rizqullah tidak sampai hati untuk
mencari kisah sebenar yang berlaku. Cerita yang disampaikan Yaqzan itu hanya
disimpan, tidak dinyatakan kepada Abyatina. Memang benar, andai diceritakan
pada Abyatina, kisah sebenar mungkin akan diketahui, namun untuk detik itu,
Rizqullah merasakan masanya kurang sesuai.
Rehat Abyatina berpanjangan.
Setelah dimaklumkan dengan jelas keadaan yang telah berlaku pada Abyatina, maka
Rizqullah memutuskan untuk membawa Abyatina ke hospital pada petangnya, selepas
selesai solat Jumaat. Perancangan itu diatur oleh ibu Abyatina sendiri. Maka,
sehingga tiba masanya, Abyatina terus berehat sepenuhnya.
Waktu rehat itu dihabiskan
sebaiknya buat Abyatina dengan menukilkan sesuatu dalam buku notanya. Buku
yang terangkum pelbagai luahan hati, menyimpan pelbagai kenangan pahit dan
manis. Lantas pena diambil, dan luahan pendek di atas kertas berlaku.
"Cinta yang ikhlas adalah apabila seseorang itu
sanggup mengorbankan cintanya demi kebahagiaan orang yang disayangi itu. Pengorbanan
itu mungkin pedih, namun mungkin berbaloi. Sesungguhnya bahagia itu adalah hak
mutlak dari-Nya. Manusia hanya mampu merancang, hakikatnya perancangan dari-Nya
yang akan menentukan perjalanan seterusnya"
Pena diletakkan. Waktu tengah
hari telah pun tiba, dan solat Jumaat bakal menjelma. Tanpa diduga, Abyatina
tiba-tiba merasai kesakitan di perutnya. Sakit itu bertambah-tambah ibarat
tiada penghujungnya. Lantas ibu Abyatina bergegas memanggil Zabarjad. Ibu
Abyatina tahu masanya telah tiba.
“Jad, panggilkan bidan di klinik
sekarang!” arah Mak Cik Ros kepada Zabarjad.
Kesakitan yang dialami Abyatina
tidak dapat digambarkan. Itulah pertama kalinya Abyatina merasai detik
sebegitu, sebagai bakal ibu. Saat itu, Rizqullah tiada di rumah. Bersama-sama ustaz
Man mereka kini di masjid bagi menunaikan fardhu Jumaat. Mujur Zabarjad masih
belum ke masjid, dapat juga bergegas sebentar memanggil bidan kampung.
“Jangan dikhabarkan pada abang
Cik kamu. Jangan biarkan dia resah dalam solat Jumaat,” pesan Mak Cik Ros
sebelum Zabarjad pergi ke masjid.
Maka tercatatlah detik penting
buat Abyatina tengah hari itu. Setelah melalui detik-detik yang mencemaskan,
merasai kesakitan yang tak tergambar, maka sewaktu khutbah Jumaat masih lagi
kedengaran di masjid, Abyatina merasai satu pengalaman yang tak dapat
dilupakannya. Detik itulah yang mengubah dirinya menjadi seorang wanita
bergelar ibu.
“Alhamdulillah....” luah ibu
Abyatina melahirkan rasa syukur.
Senyuman tergambar di wajah
Abyatina. Walaupun keletihan, Abyatina merasai satu nikmat tak tergambar. Saat
mendengar tangisan bayi, maka setiap perit dan kepayahan yang terpaksa
dilaluinya ketika itu bagai hilang serta merta. Abyatina seperti berada dalam
alam khayalan, tidak percaya bahawa dirinya telah selamat melahirkan anaknya.
Abyatina seakan-akan tidak percaya, bahawa dirinya kini bergelar seorang ibu.
Rizqullah ternyata sangat
terkejut sebaik pulang dari masjid. Apabila dikhabarkan bahawa Abyatina telah
selamat melahirkan anak, maka serta merta Rizqullah terduduk. Kejutan itu bukan
kepalang, satu berita yang tak disangka, terkejut dalam gembira. Segala
persoalan yang sebelum ini bermain di fikirannya hilang begitu sahaja. Lantas
Rizqullah bergegas masuk ke bilik. Rizqullah disambut dengan senyuman manis
dari Abyatina.
“Hadiah untuk abang...” bicara
Abyatina sambil memangku bayi kecil yang nyenyak tidur itu.
“Allahuakhbar....” Rizqullah
sebak. Gembira tidak dapat dibendungnya lagi.
“Alhamdulillah....” lafaz syukur
diucapkan Abyatina.
Lantas, Abyatina menghulurkan
bayi itu kepada Rizqullah. Disambut Rizqullah dengan penuh kesyukuran. Kini
bayi itu berada di pangkuan Rizqullah. Lantas dengan tenang, Rizqullah menuju
ke penjuru bilik. Maka tak lama kemudian, telinga kanan bayi itu diazankan
Rizqullah. Suasana sayu dalam kesyukuran dirasai ketika itu. Abyatina
menitiskan air mata.
Sejurus selesai azan di telinga
kanan, lafaz iqamah dibisikkan pula ke telinga kiri bayi itu. Setiap baris ayat
dilafazkan Rizqullah dengan penuh sempurna. Saat ini, tidak dapat dibayangkan
perasaan yang menyelubungi hatinya. Gembira yang dirasakan seperti berada di
awangan, terbang bebas dan penuh ketenangan.
“Tengok tu, mukanya tak tumpah macam
si ayahnya...” bicara ustaz Man yang tiba-tiba masuk ke bilik itu.
“Yalah. Hidungnya tu memang sama.
Mancung macam ayahnya...” bicara Rizqullah.
Pada masa yang sama, Raiqah yang
baru sahaja sampai turut masuk ke bilik. Lantas diambil bayi itu dari pegangan
Rizqullah. Senyuman gembira tergambar di wajah Raiqah, kakak Abyatina.
“Ya Allah... comelnya... Muka
macam ayahnya. Hidung ikut ayah, mata ikut mak. Sepet saja...” bicara Raiqah
sebaik melihat bayi itu.
Maka Rizqullah di akhirnya
menemui jawapan terhadap persoalan yang telah tercetus begitu lama. Tahulah
Rizqullah bahawa bayi itu ternyata anaknya. Setiap tuduhan dari Yaqzan itu
ternyata tidak benar.
“Apa sebenarnya yang terjadi pada
Abyatina petang itu?” bisik Rizqullah dalam hatinya. Kehairanan dan persoalan
lain tercetus.
“Jadi, apa namanya?” soal Raiqah menghentikan
lamunan panjang Rziqullah.
“Nama?” soal Rizqullah hairan.
Mungkin lamunan panjangnya menyebabkan fikirannya melayang.
“Atau memang tak bernama bayi
comel ni?” soal Raiqah dalam gurauan.
“Abyatina ada cadangan?” soal
Rizqullah kepada Abyatina.
Abyatina hanya tersenyum.
“Terserah pada abang...” balas
Abyatina.
“Tapi.... bayi ni lelaki ke
perempuan?” soal Rizqullah tiba-tiba.
Soalan itu ternyata mencetuskan
kelucuan seisi keluarga. Tidak disangka Rizqullah masih belum tahu jantina bayi
itu.
“Lah.... kenapa tak ditanya
awal-awal dulu?...” bicara ibu Abyatina sedikit ketawa.
“Abang ni....” Abyatina ketawa
kecil.
Rizqullah hanya tersengih menahan
kelucuan yang diciptanya.
“Namanya itu perlulah diletakkan ‘bin
Rizqullah’...” bicara ustaz Man.
Lantas Rizqullah menghampiri
tingkap. Sawah padi yang terbentang luas sejauh mata memandang memberikan
kesegaran buat Rizqullah. Mungkin sedang memikirkan sesuatu, Rizqullah agak
lama melihat pemandangan di luar jendela itu. Tak lama kemudian kemudian
Rziqullah bersuara.
“Namakan saja Yaqzan....” bicara
Rizqullah. “Yaqzan bin Rizqullah.... Muhammad Yaqzan bin Rizqullah...” bicara
Rizqullah.
Semua yang ada di bilik terkejut.
Cadangan nama yang diberi Rizqullah itu di luar dugaan.
“Yaqzan si alien?” soal Abyatina
spontan. “Tapi kenapa namanya?”
Rizqullah hanya tersenyum. Tiada
siapa yang tahu sebab Rizqullah mencadangkan nama itu. Masing-masing
tertanya-tanya pada petang itu.
“Nak Rafiq pukul kompang ke?”
soal Rafiqin yang tiba-tiba muncul di bilik itu. Tangannya memegang kompang.
“Kompang lagi?” soal Raiqah
ketawa kecil.
*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Tiga*
Abyatina kini seorang ibu. Apakah bahagia akan tercipta?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
*Terima kasih kepada saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Siri Adina ke-23 ini didedikasikan khas kepada Thahirah Kamarulail.
Siri
ini juga adalah sebagai mengenang dan menghargai pengorbanan mak, Azmah
binti Yunus yang gigih menjadi seorang ibu selama hampir 24 tahun.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan