"Adina (Bicara Dua Puluh Dua)"
“Buktikan fitnahmu itu!”
Hadirin dalam majlis terkejut. Tasha muncul tiba-tiba.
Gadis yang bakal ditunangkan dengan Absyar itu keluar dari bilik sebaik
mendengar kekecohan yang terjadi di luar. Lengkap berpakaian kurung putih,
Tasha menghamburkan kata-kata tersebut kepada Yaqzan yang berdiri di muka
pintu.
“Di mana saksimu untuk buktikan dakwaanmu?” soal Tasha.
“Di mana kewarasanmu andai kamu tahu hukum Islam yang sebenar? Jangan jadi si
buta yang bertongkat, tapi tongkatnya diangkat ke langit, sombong dan bongkak
hingga tak sedar langkah yang diatur itu dalam kegelapan”
“Dalam soal sebegini, seharusnya perlu ada bukti yang
sahih. Sehingga tiada bukti, maka dakwaan itu semata-mata satu tuduhan,” kata
ustaz Man tiba-tiba. Hadirin tertumpu padanya. Walaupun terkejut dan mungkin
sedikit menahan marah, ustaz Man dengan tenang memberi kenyataannya. “Mu ada
buktinya?”
“Apa guna gelaran ustaz yang dipegang, andai mu sendiri
tak dapat bezakan antara fitnah dan kenyataan?” soal Tasha terhadap Yaqzan
dengan tegas.
Yaqzan hanya membisu di muka pintu. Tiada respon
diberikan Yaqzan. Zaafarani yang berada di sebelah Yaqzan terus menarik tangannya.
Dibawanya Yaqzan keluar dari keramaian itu. Situasi mengejut itu serta merta
cuba dihentikan Zaafarani.
“Abyatina.... dulu sampailah sekarang, satu demi satu
fitnah ditaburkan. Apalah nasibnya...” luah ustaz Man. Kata-katanya ibarat satu
keluhan yang panjang.
Saat itu juga, Abyatina berlari keluar. Abyatina
meninggalkan majlis. Hatinya bagaikan dihiris. Rasa malu bercampur pilu tidak
dapat dibendung lagi. Abyatina berlari keluar tanpa menghiraukan hadirin yang
lain. Raiqah cuba mengejar Abyatina, namun dihalang ustaz Man.
“Biarkan si Abyatina. Berikan dia peluang untuk tenangkan
diri...” kata ustaz Man. Raiqah
menghentikan langkahnya. Ada benar bicara ayahnya itu. Maka, Raiqah kembali
duduk, hanya memerhati Abyatina yang semakin jauh dari penglihatannya.
Situasi pada awalnya ternyata mengejutkan hadirin. Namun
keadaan tidak menjadi semakin buruk tatkala masing-masing masih lagi berada
dalam keadaan tenang. Walaupun perkhabaran yang disampaikan Yaqzan itu ternyata
satu tuduhan besar, tidak ada seorang pun yang memberikan reaksi yang
mengejutkan. Masing-masing hanya membisu. Hanya Tasha yang bersuara, dan sekali
sekala ustaz Man mengutarakan pendapatnya.
“Rasanya, mungkin kita boleh mulakan apa yang patut
dimulakan terlebih dahulu...” kata ustaz Man tersenyum sebaik keadaan di ruang
tamu itu menjadi tenang. Hadirin tertumpu kembali pada ustaz Man.
“Ya... Baiklah...” jawab cikgu Razali sedikit
teragak-agak.
“Apa yang terjadi sebentar tadi adalah satu lintasan,
dugaan bagi niat dan tujuan baik kami semua yang hadir ke sini...” kata ustaz
Man menguntumkan sedikit senyuman, cuba mendapatkan ketenangan dari hadirin.
“Ya, ada benarnya...”
Abyatina terus berlari tanpa menghiraukan sesiapa pun yang
berselisih dengannya. Majlis pertunangan abangnya, Absyar tidak lagi menjadi
keutamaannya. Fikiran Abyatina kini melayang jauh. Kepedihan dirasai Abyatina. Tiada
tempat mengadu buatnya. Bayangan Rizqullah muncul, namun hakikatnya suaminya
itu tiada di sisinya.
“Jahanam kau Yaqzan....” luah Abyatina sendirian. Rasa
geram muncul di fikirannya.
Di akhirnya, Abyatina seperti biasa menuju ke kawasan
sawah. Pohon rendang berhampiran tali air tempat kebiasaan Abyatina mendapatkan
ketenangan diri menjadi tempat persinggahannya. Abyatina duduk di situ untuk tempoh
yang agak lama. Hanya di tempat itulah Abyatina merasai ketenteram di hati. Di
tempat itulah pelbagai memori manis dan indah terakam.
“Kalau kita ada anak nanti, abang nak dia jadi semanis
Ina. Senantiasa berikan ketenangan hilangkan kekusutan...”
“Manis? Abang nak anak perempuan ke?”
“Kenapa, kalau lelaki tak boleh manis ke?”
“Lebih enak kalau manis tu disandarkan pada perempuan...”
“Jadi kalau lelaki nak letak apa?”
“Masam kot...”
“Hah? Masam? Kenapa pulak ya? Tak adil ni....”
“Iyalah.... Lelaki
dan perempuan ibarat masam-masam dan manis”
“Maksudnya?”
“Kerana masam itulah yang akan menjaga manisnya. Kalau
masam itu terlebih, maka hilanglah manisnya. Kalau masam itu kurang, maka
rencah rasanya pun akan hilang serinya. Macam lelaki dan perempuan. Kalau si
lelaki menjaga dengan baik si perempuan, maka akan terjagalah dengan baik manis
si perempuan itu”
“Oh begitu...”
“Lagipun, orang tak sebut pun manis-manis masam. Sebab
manis itu perlu sedikit, sebab kekuatannya lemah. Masam itu kekuatannya banyak,
sebab itu digandakan menjadi masam-masam...”
“Kenapa Ina sedalam itu fikirnya?”
“Jadi... kalau nak manis, kenalah kita juga maniskan
diri....”
“Jadi, kalau nak masam, kena masamkan diri? Begitu?”
“Abang ni, suka sangat belitkan kata...”
“Insya-Allah Ina. Kalau ada rezeki satu hari nanti, kita
akan jadi ibu dan ayah juga. Insya-Allah...”
Bicara senda gurau muncul kembali di fikiran Abyatina. Perbualan
bersama Rizqullah itu terjadi setahun yang lalu. Saat itu, Abyatina
bersendirian di bawah pohon rendang, mengenangkan suaminya yang masih tak
kunjung tiba di kampung walaupun telah berjanji untuk mengambilnya pulang pada petang
itu. Tiba-tiba Rizqullah muncul tanpa diduga.
Segalanya berubah di wajah Abyatina. Gembira muncul secara tiba-tiba.
Kini, Abyatina bersendirian sekali lagi di pohon rendang
itu. Mungkin mengharap agar Rizqullah muncul, namun harapannya mungkin tidak
akan menjadi kenyataan. Abyatina hanya mampu melayan rasa sedihnya
bersendirian. Dilontarkan pandangannya sejauh mata memandang. Melihat sawah
padi yang menguning, burung-burung berterbangan, dan sekali sekali merasai
angin yang bertiup, maka segalanya cuba dinikmati dengan harapan perkara yang
berlaku dalam majlis pertunangan Tasha itu dapat dilupakannya.
“Mengapa si alien Yaqzan itu tiba-tiba bersikap seperti
Dark Vadder yang jahat?” soal Abyatina sendirian. “Dari mana tuduhan itu
datang? Dari planet manakah sumbernya?” monolog Abyatina.
Sementara itu, Zaafarani terus menarik Yaqzan. Saat itu
fikiran Zaafarani terus berada dalam kehairanan. Tindakan Yaqzan yang ternyata
cuba memalukan Abyatina sekeluarga sangat membingungkannya.
“Mu hilang akalkah?” soal Zaafarani.
“Waras aku masih ada...” balas Yaqzan.
“Jadi, kenapa mu tuduh sebegitu?”
“Sebab aku mahu tegakkan apa yang sepatutnya menjadi
kebenaran. Jangan biarkan Abyatina hidup dalam kepura-puraan...”
“Mu jangan sampai sabar aku hilang di hujungnya... sebab
tuduhanmu itu.... mu gambarkan Abyatina seorang yang rendah maruahnya!”
“Biarkan kebenaran menceritakannya...”
Yaqzan meninggalkan Zaafarani. Bicara terhenti begitu
sahaja.
“Setan apakah yang merasukmu Yaqzan?” soal Zaafarani.
Di rumah, Rizqullah menghabiskan masa dengan bacaan buku.
Memang menjadi kebiasaannya, dan kebiasaan itu akan muncul saat dirinya
bersendirian. Solat Zuhur yang baru sahaja masuk waktunya telah merehatkan
sebentar sesi pembacaan Rizqullah. Lantas, Rizqullah terus mengambil wudhuk,
bersiap-siap untuk solat. Tatkala itu, pintu rumah diketuk, lantas Rizqullah
segera menuju ke hadapan. Pintu rumah dibukanya.
“Abyatina?” soal Rizqullah terkejut sebaik membuka pintu.
Abyatina muncul tanpa diduga.
Tiada bicara diungkapkan Abyatina. Lantas sepantas itu,
Abyatina terus memeluk Rizqullah. Tangisan kemudian kedengaran. Abyatina
melepaskan rasa sedihnya yang terpendam. Rizqullah terkedu. Hairan bercampur
terkejut, Rizqullah membiarkan sahaja Abyatina memeluknya. Pelbagai persoalan
muncul di fikirannya.
“Ina.... kenapa ni?” soal Rizqullah sambil mengesat air
mata isterinya itu. Sedikit sebak dirasakan Rizqullah saat melihat isterinya
itu terus menangis teresak-esak.
“Maafkan Ina kalau Ina ada salah dan silap...” luah
Abyatina tersesak-esak.
“Apa yang perlu dimaafkan kalau tiada salahnya? Kenapa
Ina?” soal Rizqullah yang masih kehairanan.
Abyatina hanya membisu, terus memeluk Rizqullah. Agak
lama pelukan itu dan Rizqullah hanya mampu mengusap-usap belakang Abyatina cuba
menenangkan isterinya itu.
Tiada siapa menduga, Abyatina tiba-tiba mengambil
keputusan untuk pulang ke rumah tengah hari itu. Tiada seorang pun yang tahu
kepulangan Abyatina. Abyatina pulang secara senyap-senyap menaiki teksi
menyelusuri perjalanan selama satu jam. Tindakan itu di luar pemikiran
Rizqullah, dan ternyata suami Abyatina itu tidak memahaminya.
“Kenapa Ina buat begini? Bukankah tak elok saat-saat
begini? Abyatina kan mengandung...” luah Rizqullah.
Benar. Abyatina kini semakin sarat mengandung. Hanya
beberapa bulan sahaja, maka mungkin Abyatina bakal bergelar seorang ibu.
Disebabkan itu, Rizqullah sedikit risau. Perjalanan jauh dalam tempoh sehari
adalah sesuatu yang perlu dielakkan Abyatina. Namun, itulah yang dilakukan Abyatina
sebaliknya. Dalam masa sehari, Abyatina pergi dan pulang dari kampung ke
rumahnya.
Di kampung, masing-masing dilanda kerisauan. Abyatina
yang tiba-tiba menghilang tanpa sebarang perkhabaran telah mengurangkan sedikit
keceriaan keluarga ustaz Man selepas majlis pertunangan Absyar. Rata-rata
dilanda kekalutan. Tercari-cari kelibat Abyatina.
“Di mana si Abyatina?” soal Mak Cik Ros.
“Ke mana Abyatina pergi selepas dia keluar tadi?” soal
ustaz Man.
“Ke bendang kalau tak salah...” balas Raiqah.
“Jadi, ada tak di sana si Abyatina tu?” soal Mak Cik Ros.
Saat itu, telefon rumah berdering. Maka tahulah seisi
keluarga bahawa Abyatina telah selamat sampai di rumahnya. Rizqullah menelefon
memberikan perkhabaran tersebut.
“Kenapa si Abyatina tiba-tiba sedemikian?” soal ibu
Abyatina kehairanan.
“Biarkan. Tempat si isteri sampai bila-bila di sisi
suaminya...” balas ustaz Man dengan tenang. “Biarkan Abyatina di sisi
Rizqullah. Itu sebaik-baiknya”
“Tapi, Abyatina tu mengandung. Bahaya dibuat begitu...
jalan jauh-jauh,” luah ibu Abyatina.
“Semua tu hanya Allah yang tentukan...”
“Jadi... sekarang ni siapa yang nak menghantar kereta
abang Riz tu?” soalan diajukan secara tiba-tiba dari Zabarjad, mencelah
perbualan Mak Cik Ros dan ustaz Man.
Lantas masing-masing melihat ke luar jendela. Kereta
putih milik Rizqullah itu masih diletakkan dengan baik di bawah pohon rambutan.
Itulah kereta yang dipandu Zabarjad membawa Abyatina pulang ke kampung.
Rizqullah yang menyuruh Zabarjad untuk memandu kereta tersebut.
“Bagaimana ya.....” bicara Raiqah.
“Alah, campakkan saja ke bendang tu. Menyusahkan orang
saja...” balas Zaafarani.
“Hentikan bencimu Zaf. Atau hatimu nanti makin
membusuk...” kata ibu Abyatina.
“Apa kata.... kita kecohkan sekali lagi dengan kompang!”
Rafiqin tiba-tiba mencelah muncul secara tiba-tiba di ruang tamu.
Serentak dengan itu, bergemalah kompang yang dipalu
Rafiqin. Suasana betukar menjadi kecoh. Masing-masing terkejut dengan tindakan
Rafiqin itu. Maka tak lama selepas itu
Mak Cik Ros muncul bersama batang penyapu. Rafiqin terkejut lantas berlari
keluar dari rumahnya. Mak Cik Ros mengejarnya di halaman. Kekecohan terjadi dan
masing-masing ketawa.
“Rafiqin nampaknya bikin kelucuan hari ini. Setia dengan
kompangnya...” bicara Zaafarani sedikit tersenyum.
Meja kecil di bilik sekali lagi menjadi tempat Abaytina
menenangkan diri. Saat itu, buku nota miliknya dibuka. Luahan bicara bakal
tercipta. Mungkin luahan mententeramkan hati setelah melalui satu detik pedih
di pagi hari.
"Cinta tak semestinya
dimiliki, kerana kadangkala hanya dapat dinikmati tanpa penyatuan. Cinta itu
kadangkala pengorbanan, mungkin pedih namun ada bahagianya. Cinta tak
semestinya berbalas, kerana rasa cinta itu bukan dipaksa, namun muncul atas
kehendak-Nya. Namun cinta itu sangat indah, andai cintanya berbalas dengan
cinta, kerana bila cinta dan cinta bertemu, maka mungkin penyatuan hati
berlaku. Indahnya andai itu terjadi"
Pena diletakkan Abyatina.
Baris-baris ayat diluahkan di atas nota. Maka sedikit senyuman dikuntumkan
Abyatina. Kelegaan dirasai.
“Rizqullah dan Abyatina, cinta
dan cinta bertemu, maka akan selalu bahagia...” bisik Abyatina sendirian dalam
senyuman.
Hakikatnya, kisah Yaqzan melemparkan tuduhan besar
sewaktu majlis pertunangan Absyar langsung tidak diketahui Rizqullah. Abyatina
hanya membisu, merahsiakan perkara yang berlaku.
Zabarjad muncul petang itu juga tatkala senja semakin
menghampiri. Muncul dengan kereta Rizqullah, maka tujuannya sekadar menghantar
kembali kereta milik suami Abyatina itu. Namun dek senja yang menjengah tiba,
maka Zabarjad dijemput untuk bermalam di rumah Abyatina.
“Tolong diamkan diri. Jangan sama sekali ceritakan apa
yang terjadi pagi tadi pada suami akak,” kata Abyatina kepada Zabarjad saat
adiknya itu naik ke rumah.
Cetusan ilham terwujud saat Zabarjad bermalam di rumah.
Cadangan terlintas di fikiran Rizqullah sewaktu sesi makan malam berlangsung.
Memikirkan nasib Abyatina yang akan berseorangan setiap kali Rizqullah ke
sekolah, maka satu pertanyaan diajukan kepada Zabarjad.
“Boleh tak kalau Zabarjad temankan kak Ina kamu ni di
sini?” soal Rizqullah.
“Temankan kak Cik?”
“Temankan kak Ina bila abang ke sekolah.
Sekurang-kurangnya, risau abang dapat dihilangkan bila ada yang temankan akak
kamu...” balas Rizqullah.
Zabarjad hanya membisu. Mungkin memikirkan cadangan
Rizqullah itu.
“Abang, Ina bukan budak kecil lagi. Tak apa, Ina boleh
jaga diri...” kata Abyatina mencelah.
“Tapi si budak kecil dalam perut tu Ina boleh jaga ke
kalau jadi apa-apa?” soal Rizqullah tersenyum.
Abyatina pula membisu.
“Insya-Allah. Kalau itu hajat abang, Jad boleh cuba jaga
akak... Itu pun kalau abang rasa Jad berkemampuan....” balas Zabarjad.
“Soal mampu jangan ditimbulkan. Tapi soal sabar tu yang
perlu difikirkan. Nak jaga si Abyatina ni ibarat menjaga sang puteri di istana
kayangan. Banyak ragamnya...” seloroh Rizqullah mengusik Abyatina.
“Yalah tu...” balas Abyatina memuncungkan bibirnya.
Zabarjad anak kelima ustaz Man. Umurnya masih muda, namun
pelbagai dugaan telah ditempuhinya. Persekolahannya terkadas di tingkatan tiga
disebabkan penyakit misteri. Khabar dari orang kampung menyatakan bahawa
Zabarjad mungkin disihir orang. Mungkin cemburu dengan kebahagiaan keluarga
ustaz Man, maka Zabarjad dijadikan mangsa keadaan. Waktu itu, setiap pagi
Zabarjad dilanda penyakit ganjil, panas seluruh badan sehingga tak mampu untuk
bangun. Maka setiap pagi itu jugalah, Zabarjad tidak dapat pergi ke sekolah.
Keganjilan timbul, tatkala waktu tengah hari tiba, maka penyakit
panas yang dihadapi Zabarajad hilang begitu sahaja. Pelbagai usaha dilakukan
bagi menyembuhkan penyakit tersebut, namun kesemuanya menemui jalan buntu. Keadaan
ini berterusan hingga berbulan-bulan lamanya, dan di akhirnya jalan akhir
terpaksa dipilih. Zabarjad memutuskan untuk berhenti sekolah. Maka, sebaik saja
Zabarjad tidak lagi bersekolah, penyakit ganjil itu sedikit demi sedikit
hilang.
“Apalah nasib si Zabarjad. Malangnya sampai gelap masa
depannya...” keluh ibu Abyatina saat Zabarjad berhenti dari persekolahannya.
“Rezeki Allah satu perkara yang ghaib. Tak apa, mungkin
ada hikmah di sebalik semua yang terjadi,” balas ustaz Man.
Waktu itu, Abyatina baru sahaja tamat persekolahan di
tingkatan lima, sedang menanti keputusan SPM pertamanya.
“Jad, tak susahkan mu ke?” soal Abyatina menghentikan
lamunan panjangnya terhadap kisah silam Zabarjad.
“Susahkan apa?” soal Zabarjad kembali.
“Jaga kak di sini. Tak ganggu kerjamu di kampung ke?”
“Alah, kerja kampung saja. Tak jejas apa pun. Jad boleh
minta orang lain tolong buat kerja-kerja tu. Tak ada masalah. Pentingnya
sekarang, akak ni. Dah kritikal sekarang ni. Tak lama dah masanya...” balas
Zabarjad.
“Risaumu melebihi risau akak...”
Maka, bermulalah hari-hari panjang bagi Abyatina, menanti
tarikh yang tidak diketahui waktunya. Zabarjad terus setia berada di rumah
Abyatina, menjaga sedaya yang mungkin terutama saat Rizqullah tiada di rumah.
Sekali sekala, Zabarjad akan pulang ke kampung. Namun, Abyatina tidak turut
serta. Mungkin disebabkan keadaan dirinya yang sarat mengandung, atau mungkin
disebabkan rasa berat hati untuk pulang ke kampungnya lagi. Hanya Abyatina yang
tahu sebab sebenarnya.
Di satu malam, saat selesai sahaja solat Isyak, Rizqullah
menerima kejutan. Abyatina tiba-tiba pengsan di bilik air dengan mulutnya
dipenuhi darah. Darah itu bercampur dengan kaca-kaca halus yang dapat dilihat
dengan jelas di atas lantai bilik air. Maka malam itu situasi kelam kabut
muncul semula.
“Ya Allah! Apakah sakit Ina muncul semula? Apakah sihir
itu tercipta semula?” luah Rizqullah dalam keadaan cemas.
Malam itu Rizqullah membawa Abyatina ke klinik. Zabarjad
turut menemani Rizqullah. Rasa cemas memang dirasai Rizqullah, namun kehadiran
Zabarjad memberikan sedikit kelegaan.
“Insya-Allah, kuasa Allah, moga semuanya selamat...” kata
Zabarjad cuba menenangkan Rizqullah.
Malam itu Abyatina pengsan disebabkan tekanan darah
tinggi. Namun, darah bercampur kaca yang keluar dari mulut Abyatina itu tidak
dapat dipastikan puncanya. Di akhirnya, Abyatina dinasihat untuk banyak
berehat. Kelegaan sedikit dirasai Rizqullah.
“Kita pulang ke kampung esok. Sudah tiba masanya Ina
bersedia di sana. Moga Ina selamat melahirkan anak kita nanti,” kata Rizqullah
kepada Abyatina saat mendukungnya masuk ke rumah.
“Tapi.... tempat isteri di sisi suaminya...” balas
Abyatina lemah.
“Demi Allah, syurga adalah jaminan untukmu Abyatina. Di
sisi suami tak bererti perlu dekat dengan suaminya. Di sisi suami adalah dengan
kepatuhan pada setiap tutur kata suaminya,” kata Rizqullah. Abyatina tenang
dalam dakapan Rizqullah.
Walaupun berat hati, Abyatina pulang juga ke kampung. Dua
bulan telah berlalu, peristiwa yang berlaku sewaktu majlis pertunangan Absyar
masih segar di ingatan Abyatina. Setibanya di kampung, ibu Abyatina menyambut
Abyatina dengan penuh gembira. Hanya ustaz Man dan Mak Cik Ros sahaja di rumah.
Rafiqin berada di sekolah.
“Apa khabar menantuku Rizqullah,” sapa ustaz Man
menyambut Rizqullah di halaman. Kebetulan ustaz Man sedang bersantai berehat di
bawah rumah, duduk di pangkin sambil menikmati hidangan teh serta kuih lapis
buatan Mak Cik Ros. “Kuih ada lagi ni. Makanlah sekali,” pelawa ustaz Man.
“Oh tak apa. Kunjung kami secara mengejut, tak dimaklumkan
dulu...” balas Rizqullah.
“Kenapa pula nak dimaklumkan? Rumah ni pun rumahmu juga.
Nak datang tak perlu dijemput. Nak kunjung tak perlu diminta izin,” balas ustaz
Man tersenyum. Ternyata kini ustaz Man lebih ceria berbanding sebelumnya.
Perkara ini disedari Rizqullah saat melihat ustaz Man yang senantiasa
menguntumkan senyuman setiap kali berbicara.
“Ayahmu semakin pulih. Jalannya pun dah makin jauh,”
terang ibu Abyatina kepada Abyatina. Perbualan berlangsung di dapur. “Ke masjid
pun dah boleh”
“Dah boleh jalan macam biasa?”
“Tongkatnya perlu ada. Taklah sepantas dulu jalannya,
tapi dah boleh bergerak sendiri tanpa bantuan orang lain,” balas ibu Abyatina
tersenyum.
“Syukur...”
“Mu sihat?” soal ibu Abyatina menukar topik perbualan.
Abyatina memang kelihatan sangat lesu. Fizikalnya yang sarat mengandung
ternyata merubah sedikit perwatakan Abyatina. Kelihatan Abyatina tidak begitu
ceria seperti kebiasaannya.
“Alhamdulillah... ada sihatnya..” balas Abyatina sambil
mengusap-usap perutnya yang semakin membesar.
“Mohon dijaga Ina sehingga tiba masanya...” kata
Rizqullah yang tiba-tiba muncul di muka pintu dapur.
“Abyatina tinggal di sini?” soal ibu Abyatina sedikit
terkejut.
“Ina lebih selamat di sini. Tak mungkin Ina boleh tinggal
di sana dengan keadaannya yang semakin sarat,” terang Rizqullah.
“Insya-Allah. Semuanya akan selamat di sini...” balas ibu
Abyatina.
Kisah pengsan
Abyatina diceritakan kepada ustaz Man. Maka fahamlah ustaz Man bahawa
keadaan Abyatina sangat kritikal. Kebarangkalian sakit lamanya sebelum
mengandung dahulu mungkin telah muncul semula. Itulah pertama kali sejak
Abyatina mengandung, kisah pengsan berlaku semula. Kisah darah bercampur kaca,
telah lama tidak kedengaran dan kini muncul semula. Semuanya menggusarkan hati
Rizqullah.
“Insya-Allah. Tenangkan diri. Sama-sama kita pulihkan
Abyatina...” kata ustaz Man memberi semangat buat Rizqullah.
Petangnya, Rizqullah pulang. Abyatina ditinggalkan di
kampung. Perjalanan pulang itu sangat berbeza buat Rizqullah, kerana fikirannya
senantiasa berada dalam kerisauan. Keadaan Abyatina ternyata menggusarkannya.
Namun separuh perjalanan, saat keretanya menyelusuri
kawasan sawah di kampung, sebuah motosikal tiba-tiba memotong dan berhenti di
hadapan keretanya. Rizqullah terkejut. Yaqzan tiba-tiba menahannya petang itu.
“Assalamualaikum,” salam diberikan Yaqzan. Rizqullah
keluar dari keretanya.
“Waalaikumussalam..” balas Rizqullah.
“Boleh kita berbicara?’” soal Yaqzan
“Mengenai apa bicaranya?” soal Rizqullah kembali.
“Kisah Abyatina... kisah sebenar... kisah
kandungannya....” balas Yaqzan tersenyum.
“Ada apa dengan Abyatina?” soal Rizqullah kehairanan.
Yaqzan hanya tersenyum. Bicaranya bersama Rizqullah akan
tercipta. Dua nama berseteru, tiba-tiba berjumpa. Perbualan panjang berlaku dan
Rizqullah dilanda kejutan kedua.
Seminggu berlalu, Rizqullah tidak kunjung tiba di
kampung. Sejak menghantar Abyatina ke kampung, Rizqullah langsung tidak muncul
kembali. Kehairanan melanda dan itulah yang dialami Abyatina. Mengikut janji,
Rizqullah akan datang semula pada pagi Khamis. Namun sehari telah berlalu,
wajah Rizqullah masih tidak kelihatan.
“Apakah yang berlaku?” bisik Abyatina di pagi hari.
Pagi itu, Abyatina hanya menghabiskan masanya di bilik.
Bahan bacaan menjadi temannya. Buku-buku pemberian Rizqullah dibawanya bersama,
menjadi teman saat diri dilanda kesepian. Namun pagi itu, kesemua buku tersebut
tidak menjadi perhatiannya. Buku nota yang menjadi luahan rasa hatinya menjadi
tarikan. Lantas tarian pena berlaku tak lama selepas itu.
“Mungkinkah kesepian itu adalah satu ujian supaya kita
dekat dengan-Nya? Mungkinkah sepi itu satu dugaan, menguji diri sejauh manakah
cinta kita kepada-Nya? Mungkinkah sunyi ini satu nikmat, supaya dihargai saat
diri dilanda kebahagiaan? Moga setiap sepi yang bertemu adalah sepi dalam
kesyukuran”
“Insya-Allah,” bisik Abyatina sambil meletakkan penanya.
Abyatina bangun. Hasratnya mahu ke dapur untuk
bersarapan. Namun niatnya terhenti saat merasakan sesuatu yang janggal berlaku
pada dirinya. Secara tiba-tiba Abyatina melihat linangan air membasahi lantai.
Serentak itu Abyatina merasakan lelehan air di kakinya. Abyatina kurang
mengerti. Abyatina tidak tahu situasi yang terjadi padanya. Lantas dipanggil
ibunya di dapur. Sepantas itu juga ibu Abyatina muncul.
Melihat keadaan Abyatina, Mak Cik Ros faham masanya telah
tiba. Lantas dipanggil Zabarjad di dapur.
“Jad, telefon abang Cik sekarang. Cakap padanya, masa
Abyatina telah tiba,” arah Mak Cik Ros.
“Apa yang jadi kat Ina ni?” soal Abyatina hairan.
“Tenangkan dirimu. Bersiap sedia sahaja sekarang ni,”
balas ibu Abyatina.
Tak lama selepas itu, kekalutan mula melanda rumah itu.
Ibu Abyatina kelihatan sibuk, dan masing-masing melakukan tugas seperti yang
telah diarahkan Mak Cik Ros.
“Apakah hari ini adalah harinya buatku?” soal Abyatina
sendirian sambil menyentuh perutnya.
Pagi Jumaat menjadi di luar kebiasaan. Hidangan sarapan
tidak lagi dipedulikan keluarga ustaz Man. Detiknya semakin hampir.
Namun, saat itu Abyatina tiba-tiba rebah ke lantai.
Mulutnya tiba-tiba berdarah, dan darah itu terus tersembur keluar tanpa henti.
Kejutan melanda sekali lagi, menghentikan kekalutan yang sedang berlaku di
rumah itu.
“Ya Allah... Abyatina!”
*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Dua*
Apakah yang berlaku pada Abyatina?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan