Pagi Khamis: Pegang tangan, sentuh pipi, peluk, dan cium....






Bersarapan di bandar Taiping pagi ini, fikiran tiba-tiba terlintas dengan satu isu yang kini seolah-olah menjadi ikutan zaman sekarang. Terlintas di fikiran, kewujudan Facebook jika dilihat secara halus, perlahan demi perlahan telah menghilangkan rasa malu dan harga diri dalam kalangan umat Islam.

Isunya ditumpukan kepada perkongsian gambar di dalam Facebook yang menjadi ikut-ikutan kebanyakan orang kini. Saya akui, tak salah nak berkongsi gambar-gambar di dalam Facebook, namun harus disedari, bukan semua gambar boleh dikongsikan pada semua. Namun, dek keghairahan nak berkongsi segala macam cerita, bahagia dan atas alasan 'nak abadikan kenangan', maka semua yang tak sepatutnya dikongsikan, dah diubah menjadi: "boleh jalan je...."

Apa yang dinyatakan ini adalah berdasarkan pemerhatian sendiri terhadap Facebook sesetangah rakan, yang memaparkan gambar pelbagai aksi, sehingga meminggirkan hukum dan hakam dalam beragama. Sedih, baru saya sedar, ramai yang kelihatan seolah-olah telah meminggirkan hukum agama dalam hidup.

Saya banyak melihat gambar-gambar bersama pasangan masing-masing. Pasangan itu pula sekadar tarafnya, hanya seorang teman lelaki, atau mungkin teman wanita. Hakikatnya, jika melihat pada hukum yang sebenar, bergambar berdua bersama lelaki atau perempuan bukan mahram adalah sama sekali haram. Alasan pengharaman ini mudah, gambar berdua ini boleh mencetuskan fitnah. Apabila fitnah itu boleh tercetus, maka seharusnya pasangan itu mengelakkan diri dari bergambar berdua.

Memang saya gelengkan kepala, apabila melihat gelagat sesetengah mereka yang bergambar berdua dengan pasangan masing-masing. Aksi-aksi yang dipersembahkan seolah-olah menunjukkan betapa rendah dan murahnya harga diri dan maruah mereka. Dengan senang, tangan berpegangan dan kemudian wajah tersenyum lebar di dalam gambar. Katanya bahagia, walhal itu bahagia bertopengkan nafsu.

Ada juga yang lebih berani apabila bergambar berdua, dengan bersentuhan pipi ataupun kepala. Maka, rakan-rakan masing-masing meng'like' gambar tersebut dengan menyatakan betapa romantisnya pasangan ini. Bagus, semua yang 'like' gambar itu pun buta hukum, apabila tanpa sedar menyokong juga perbuatan maksiat di dalam gambar tersebut.

Ada juga yang lagi berani, apabila gambar diambil dalam keadaan berpelukan. Dada bertemu dada, pinggang bertemu pinggang, dan sang lelaki merangkul tubuh si wanita. Gambar diambil sambil tersenyum, kemudian diuploadkan di Facebook, dan dengan penuh kebanggaan dihebahkan dalam kalangan rakan, "Inilah pasangan aku, dan kami sangat bahagia"

Pernah juga saya melihat gambar yang memaparkan aksi mencium pipi dan mencium tangan pasangan masing-masing di Facebook. Apa yang menghairanakan apabila melihat menerusi komen-komen yang diberikan rakan-rakannya, semuanya seolah-olah menyokong perbuatan tersebut dengan menyatakan bahawa itulah bukti cinta mereka 'suci' (katanyalah), dan itulah bukti mereka bahagia.

Cinta mereka adalah nafsu, datang dari bisikan syaitan, tanpa wujud langsung keimanan dalam diri. Sesat dan menyesatkan.

Sangat menyedihkan, apabila gambar tersebut adalah gambar-gambar yang melibatkan orang-orang Islam sendiri. Si perempuannya kemas bertudung, namun melakukan onar tanpa disedarinya. Si lelaki pula sangat menyedihkan, bergambar dengan si perempuan yang bertudung, tapi dirinya berseluar pendek dan berantai di leher.

Rosak anak muda zaman sekarang.

Itu belum masuk lagi bab bergambar berseorangan, namun tanpa sedar atau mungkin disengajakan mendedahkan aurat masing-masing. Apa yang saya lihat, banyak wanita zaman sekarang bertudung, tetapi bahagian lain yang perlu ditutup didedahkan. Baju ketat, dan tudung diselak mendedahkan bahagian dada. Seluar singkat, ditambah pula dengan ketatnya, sehingga susuk tubuh kelihatan dengan jelas. Ada pula sesetengah mereka memakai baju, tapi bajunya jarang menampakan warna kulit. Tak lupa juga bagi yang bertudung, tapi bertudung dengan pebagai gaya, sehingga tujuan utama bertudung itu seolah-olah telah dilupakan apabila tudung yang dipakai itu ternyata tidak menutup aurat dengan sepenuhnya.

Bagi si lelaki, tanpa segan silu bergambar dalam keadaan berseluar pendek. Ada juga bergambar berseluar panjang, tetapi baju tak dipakai mendedahkan pula bahagian pusat. Bergambar di air terjun ketika sedang bergembira mandi manda bersama rakan, namun tak sedar bergambar dalam keadaan separuh bogel dengan aurat terdedah dengan jelas.

Benar, jika dibandingkan dengan kaum hawa, si lelaki ternyata lebih senang untuk menutup aurat. Namun aurat yang senang untuk ditutup itu pun masih tak mampu dilaksanakan oleh si lelaki.

Dalam soal bergambar di Facebook, kaum perempuan adalah individu yang harus berhati-hati untuk menguploadkan gambar-gambar mereka. Mereka bukan sahaja perlu memastikan aurat tidak didedah, malah aksi-aksi dalam gambar juga haruslah mengikut tatacara dan budaya seorang muslimah.

Apa yang dilihat, pelayar Facebook dalam kalangan wanita gemar meletakkan gambar yang memaparkan muka 'cute' sebagai gambar profil mereka. Gambar 'cute' ini bermaksud, ekspresi muka itu diperlihatkan dalam keadaan yang sangat comel. Matanya dipaparkan bulat, dan bibirnya mungkin dimuncungkan sedikit sambil mungkin pipinya dikembungkan. Matanya mungkin disolekkan dengan maskara yang akan menonjolkan biji matanya, manakala bibirnya akan cuba menggunakan gincu yang menyerlahkan bibirnya itu.

Prinsipnya mudah, jika gambar itu mampu membuatkan si lelaki terpesona dan tercetus rasa zina di dalam hati, maka hukumnya haram sama sekali untuk memaparkan gambar 'cute' sedemikian.

Mungkin pengaruh drama Korea dan siri-siri anime Jepun, ditambah pula dengan pelbagai majalah hiburan di pasaran kini, maka ramai yang terikut-ikut. Ingatlah, walaupun Jepun dan Korea itu di timur, hakikatnya budaya yang dipaparkan menerusi industri hiburan mereka berkiblatkan barat.

Ingatlah, gambar berdua bersama suami atau isteri pun tidak digalakkan untuk dipaparkan pada umum, apatah lagi sekadar gambar bersama kekasih hati masing-masing.

Saya masih teringat dalam rakaman wawancara bersama P. Ramlee yang saya tonton menerusi dokumentari P. Ramlee di History Channel setahun yang lalu.

Katanya: "Walaubagaimanapun dia pergi berapa tinggi pun, dia jarang hendak menukar ugama, kerana ugama yang telah diajar oleh ibu bapanya telah tersimpan dalam dadanya..."

Maka, asasnya kembali kepada semaian agama di dalam diri. Harus diakui, budaya bergambar dalam kebutaan hukum agama ini berpunca daripadanya ceteknya mereka terhadap pemahaman agama. Maka, banyaklah tindakan yang dibuat lebih berpandukan hawa nafsu daripada pemikiran berdasarkan iman.

Kalau nak ke surau atau masjid mengikuti kelas agama pun liat, dan bila buka televisyen dan terdapat program agama kemudiannya terus ditukar saluran lain, dan bila dengar radio terdengar ceramah agama, terus ditutupnya radio itu, maka bagaimana nilai agama akan dapat didalami dan difahami?

Insaflah buat mereka yang masih tak sedar, dunia ini sekadar pinjaman, yang kemudiannya akan dikembalikan. Tugas kita adalah mengumpul segala amal kebaikan, bukan koleksi dosa dan maksiat.

Ubahlah, selagi mana ada kesempatan. belajarlah hukum hakam agama, moga nanti tak jahil sehingga tanpa sedar melakukan maksiat.

"Eh, haram ke bergambar berdua dengan boyfriend?"

Sendiri mau ingatlah kalau diri dah jahil....


* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.





Ulasan

Catatan Popular