Sabtu, 30 Julai 2011

Muhasabah Jumaat: Ghairah kejar kekayaan, kaya ilmu bagaimana?







Mesej Facebook telah saya terima beberapa minggu yang lalu, menyatakan luahan kerisauan terhadap satu budaya yang mungkin menjadi kegilaan masyarakat hari ini. Keghairahan untuk menjadi cepat kaya telah menjadi ikut-ikutan oleh kebanyakan orang. Hamba Allah ini meminta saya mengeluarkan pandangan terhadap isu ini menerusi blog saya. Harus diakui, mesej ini telah lama saya terima, dan baru kini saya berkesempatan untuk mengupas isu ini.

Maka apa yang akan saya sentuh mengenai isu ini adalah berdasarkan pendangan peribadi, dan dikupas dalam lingkungan ilmu dan pengetahuan yang saya ada. Mungkin boleh disangkal kerana masing-masing mungkin mempunyai hujah yang boleh dipegang.

Memang benar wang itu jaminan kesenangan hidup. Namun adakah wang itu jaminan kekalnya bahagia hidup?

Menyelusuri kisah masa kini, harus diakui dunia sedang berada di ambang materialistik. Negara walaupun mungkin mengejar status negara maju, hakikatnya ada pengorbanan yang perlu dibayar oleh rakyatnya. Kehidupan yang dipenuhi dengan penggunaan wang.

Maka mungkin itulah sebab yang mendesak dan mendorong sesetengah masyarakat cuba mendekati dan mencari  jalan untuk meningkatkan pendapatan yang diperoleh. Jalan yang dipilih dipastikan mudah dan tidak memerlukan mereka untuk mengerah keringat yang banyak. Goyang kaki, sambil bersantai berehat di rumah, dan pada waktu itu jugalah wang masuk bertambah-tambah.

Itulah pilihan mereka. Jalan yang dipilih adalah jalan untuk CEPAT KAYA.

Ibarat mee segera, tunggu dua minit, maka terhidanglah hidangan separuh zat. Maka sama jugalah dengan kekayaan jangka pendek ini. Dapat keuntungan dalam tempoh yang singkat, namun kesannya dilihat tidaklah memberikan manfaat yang banyak seperti zat yang tidak mencukupi dalam mee segera itu.

Persoalan untuk menjadi kaya itu seringkali berlegar-legar dalam pemikiran setiap masyarakat. Benar, siapa yang tak nak kaya. Namun, langkah ke arah mencapai kekayaan itu haruslah diteliti dengan sebaiknya, kerana jika salah menilai langkah, maka kesan jangka panjangnya akan dirasai.

Hakikatnya, Facebook kini  menjadi medan sesetengah pelayarnya untuk digunakan sebagai tempat untuk mempromosikan segala macam skim-skim pelaburan yang bercambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Malah, pelayar Facebook juga kini kelihatan cukup ghairah bagi menyebarkan bisnes ‘sambilan’ mereka dengan meng’tag’kan segala macam produk mereka di wall rakan-rakan mereka. Ada juga yang dengan berlebih-lebihan menyebarkan mesej mengajak rakan-rakan menjadi rakan kongsi perniagaan sambilan mereka.

Duit, mencetuskan fenomena dan cerita yang tak berkesudahan....

Tak salah untuk mempromosikan segala macam skim pelaburan yang mungkin mampu menjana pendapatan sambilan seterusnya mungkin meningkatkan taraf hidup sehingga bergelar orang kaya baru. Tak salah juga untuk berkongsi segala macam bisnes dan melakukan promosi bagi melariskan barangan masing-masing. Tak dilarang juga untuk berkongsi segala macam bentuk-bentuk perkongsian perniagaan di ruangan mesej Facebook. Namun, semua itu harus ada batasnya dan perlu BERPADA-PADA.

Dalam keterujaan berkongsi link skim pelaburan, pelayar-pelayar ini harus berhati-hati. Jangan dengan semberono berkongsi link untuk  dipromosikan ke dalam group-group di Facebook. Kaji dahulu dengan melakukan semakan latar belakang skim tersebut, dan cari dahulu maklumat-maklumat yang lengkap berkaitan dengan skim pelaburan itu. Tak dilupakan juga, semak dahulu skim ini supaya skim ini benar-benar mengikut syarak. Pastikan skim itu tidak mempunyai unsur riba’ dan judi. Dalam kata yang mudah, semak dahulu skim pelaburan yang ingin dikongsikan supaya tidak mempunyai unsur-unsur yang haram di  dalam Islam.

Ingatlah, jika dikongsikan link-link skim pelaburan yang mempunyai unsur yang haram, maka saham dosa secara automatik akan masuk ke dalam akaun amalan individu itu, setiap kali ada pelayar-pelayar Facebook memasuki link yang dipromosikannya. Maka, seharusnya individu yang ingin berkongsi link skim pelaburan haruslah meneliti dan mengkaji dahulu sebelum dikongsikan di Facebook.

Begitu juga dengan pelayar yang sakan melakukan promosi bagi jualan produk mereka. Pastikan produk yang dijual itu memberikan manfaat kepada pengguna dan seharusnya juga mereka perlu meneliti produk itu supaya tiada unsur haram yang mungkin tersembunyi tanpa sedar. Jika produk dijual itu datangnya dari syarikat yang menjalankan perniagaan yang mempunyai unsur haram (judi, riba’, dan penipuan), maka seharusnya individu itu menghentikan segala bentuk promosi di Facebook.

Tak salah jika mahu menambahkan pendapatan. Tak salah untuk menjadi kaya. Hakikatnya mencari rezeki itu satu ibadah dan tuntutan agama. Namun, setiap usaha dalam mencari kekayaan itu haruslah dalam kadar yang sederhana dan bukannya berlebih-lebihan.

Dalam konteks sebagai seorang pelajar, maka seharusnya fokus utama adalah disandarkan pada usaha untuk menuntut ilmu. Bukan menjadi satu kesalahan untuk pelajar itu terlibat dan bergiat dalam segala bentuk skim pelaburan ataupun perniagaan online. Namun, kerjaya ‘sampingan’ ini haruslah berada di kedudukan yang kedua.

Tuntutan ilmu haruslah menjadi prioriti, dan mengatasi segala apa jua bentuk dan usaha dalam mencari kekayaan. Ilmu mampu membimbing kesesatan kepada sinar harapan, tetapi kekayaan kadang kala boleh menjadikan si miskin lupa diri apabila menjadi si kaya. Ilmu membentuk peribadi yang bestari, manakala kekayaan mungkin membentuk peribadi bongkak dan angkuh. Ilmu akan kekal selamanya di jiwa sekiranya terus diamalkan, namun kekayaan tidak semestinya akan kekal andai kata sikap boros menjadi nilai utama buat si kaya.

Sedarlah, jangan sampai dek sibuknya dengan segala macam bisnes dan pelaburan yang disertai, masa untuk beribadah terganggu. Jangan sampai sibuknya dengan urusan mengejar harta, dan kemudian keletihan dirasai sehingga letih itu dijadikan alasan untuk meninggalkan solat. Jangan disebabkan sibuk mencari pelanggan baru, sehingga segala bentuk majlis ilmu di masjid dan surau dilupai.

Jangan jadi hamba harta, tetapi berusahalah untuk menjadi hamba ilmu.

Maka, konklusi di hujung bicara sekadar mahu mengingatkan andai ada yang terlupa. Mencari kekayaan itu tak salah, namun cara dan usaha mencari itu haruslah tidak berlebih-lebihan. Jangan ghairah bagai nak gila berbisnes sakan di Facebook berkongsi segala macam bentuk skim pelaburan sehingga membawa kepada kelaraan hingga menjadi hamba abdi bernama wang.

Bukan mahu menghukum atau bersikap prejudis terhadap si pelayar Facebook yang ghairah berkongsi link bisnes sambilan ataupun link skim pelaburan. Sekadar memberi peringatan agar tidak berlebih-lebihan dalam keghairahan menambah pendapatan.

“Link-link berkaitan ilmu dan agama bila dikongsikan di Facebook diberikan amaran supaya dihentikan perkongsian itu, tapi bila link-link menuju kekayaan yang cepat, tak pula nak dilarang...”

Dunia kalau di hujung zaman, ilmu dipandang hina. Harta dipandang mulia. Fikirlah sendiri andai diri berpengetahuan....

Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.”
 (Ibrahim : ayat 7)

Maka prinsipnya mudah, bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Sederhana panduan kehidupan.

Wallahualam.


*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dari sudut politik dan agama.

**Disebabkan beberapa masalah teknikal yang dihadapi, "Muhasabah Jumaat" kali ini terpaksa diterbitkan lewat sehari daripada kebiasaan.

Wang untuk hidup, bukan hidup untuk wang....


2 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

ya.. lau buka de saje iklan 'kejar wang'.. bagi saya tu semua karut..mana ada semudah itu dapat wang tanpa perlu bekerja/berpeluh..dan lagi jika ada biasanya perlukan sedikit modal.. dah macam 'bertaruh' pulak.. banyak persoalan timbul.. kemana modal d laburkan.. & bagaimana pula ia boleh 'bercambah' & dijanji berganda pulak tu.. ishh sumber diragui!

Muhammad Yazid Rosly berkata...

betul tu. semua yang dipaparkan pun dah boleh mendatangkan prasangka dan was-was. Boleh jadi ada unsur haram, boleh jadi ada unsur penipuan. Sepatutnya semua orang kena buka mata. Wang kalau nak cari kena ada usaha. Tak ada perkara yang mudah di dunia ni melainkan penyakit malas.