"Aisyah (Nota Empat)"
Persoalan kadang-kadang muncul bila pelbagai andaian timbul. Bicara demi bicara disampaikan akan menimbulkan kesangsian. Jika hati tidak sekukuh yang disangka, maka keruntuhan kecintaan akan terjelma. Bila ada suara-suara tak terduga muncul, kadang-kadang hati yang dipenuhi keyakinan boleh dihancurkan sekelip mata bertukar menjadi kesangsian. Maka, kisah perjalanan mencari kebenaran harus diaturkan.
Dalam lamunan di sebalik pemanduan, turut disertai ibu dan ayahnya. Abangnya di depan dengan kereta yang lain, destinasi dituju atas sebuah kunjungan ziarah. Perjalanan menjangkau dua jam setengah.
“Apakah benar kata-katanya?”
Persoalan muncul dalam lamunan. Rizqullah terus dalam pertanyaan. Masih berfikir dalam kerisauan, takut apa yang cuba disangkal menjadi kenyataan. Hakikatnya, hatinya meluap-luap untuk bertanyakan soalan dari si empunya badan. Itulah keresahan yang muncul sejak di lapangan terbang lagi. Perjalanan dari Subang hingga ke kampungnya, dan keesokannya perjalanan diteruskan menuju ke Pulau Pinang.
“Panjangnya jambatan ni,” bicara Cikgu Hamdawi, ayah Rizqullah.
Kereta dipandu memasuki jambatan. Baru siap dibina, maka itulah jalan baru berkenderaan menuju ke Pulau Pinang. Jambatan Pulau Pinang buat pertama kali dilalui Rizqullah sekeluarga, dan masing-masing tepegun dengan reka bentuk jambatan tersebut. Tidak pernah terlintas oleh sesiapa, sebuah jambatan boleh merentasi lautan menuju ke sebuah pulau. Itulah kemajuan terbaru kebanggaan rakyat Malaysia di pertengahan tahun 80-an.
“Abyatina bukan seindah yang disangka...”
Bicara sebulan yang lalu terngiang-ngiang kembali di fikirannya. Satu demi satu kenyataan dibicarakan oleh tetamu yang berkunjung ke rumahnya di Sabah diingati kembali. Kunjungan yang di permulaannya mencetuskan rasa senang, akhir menjelmakan rasa resah hati.
“Jangan fikirkan sangat apa yang diberitahunya. Cari kebenaran sebelum buat keputusan,” pesan Qiyaman, sahabat baik Rizqullah.
Di pertengahan perjalanan di atas jambatan, kereta yang dipandu Marzuq di hadapan berhenti di tepi. Rizqullah mengikut sahaja, dan enjin kemudian dihentikan. Masing-masing keluar dari kereta. Bersantai seketika, sekeluarga menikmati sebentar angin segar di atas jambatan baru. Bukan mereka sahaja menikmati, malah pemandu-pemandu lain turut mengambil peluang yang sama.
“Peluang bukan senang nak dapat. Jambatan ni baru lagi. Nanti, bila kereta dah makin banyak, mustahil boleh berhenti lagi kat atas jambatan ni,” bicara Marzuq.
Sekeluarga kemudian bergambar sambil menghirup angin laut di atas jambatan. Kekaguman terjelma tanda terpesona dengan binaan gergasi manusia.
“Kisah bermula sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Saat melalui kawasan sunyi, Abyatina terkepung beberapa lelaki. Itulah detik hitam menjadi sejarah malang buat Abyatina”
Tutur bicara dari Yaqzan tetamu yang berkunjung ke rumahnya diingati kembali. Ungkapan kata membuatkan Rizqullah gundah gulana selepas itu. Beban fikiran ditambah lagi, kerana sebelum perbualan itu berlangsung, kejutan diberi dengan berita Ani yang tiba-tiba pengsan.
Setelah Ustaz Hamzah muncul, Ani dihantar ke klinik. Rizqullah tidak mengikut, kerana tetamu yang ada masih lagi di rumahnya. Khabar berita tak lama kemudian, teman serumah Ani memberitahu, Ani pengsan dek badan yang panas. Jiran Rizqullah itu demam panas.
“Rupa-rupa dia berjalan dalam keadaan dirinya yang tak sihat,” bisik Rizqullah.
Kekalutan kemudian diikuti dengan berita kurang senang dari Yaqzan. Kunjungan disambut mesra, namun membawa pula cerita yang meresahkan. Rizqullah kehairanan dengan tujuan sebenar Yaqzan muncul di rumahnya.
“Abyatina tidak seperti yang lain,” bicara Yaqzan.
Kunjungan keluarga Rizqullah menziarahi Pak Ngahnya yang jatuh sakit disebabkan angin ahmar ternyata mencetuskan kegelisahan. Setiap minit berterusan, fikiran terus melayang memikirkan persoalan Abyatina. Pulau Pinang negeri asal keluarga ibunya, dan itulah kunjungan pertama kali sejak dia berada di Sabah. Perjalanan diteruskan dengan kesemua keluarganya bermalam di rumah Pak Ngah, namun Rizqullah menuju pula berjumpa sahabat lamanya di Ayer Itam. Keesokannya dia perlu berada di Ipoh, maka malam itu juga dia perlu bertolak dari Pulau Pinang.
“Jumpa dengannya, dan tanya sendiri kisah sebenar,” nasihat sahabatnya yang kini anggota polis di Ayer Itam.
Perjalanan ke Ipoh dipercepatkan. Petang itu juga Rizqullah bertolak. Kegelisahan untuk mendapatkan jawapan, maka itulah sebab dipercepatkan perjalanannya. Bukan Ipoh menjadi destinasinya. Di luar perancangan, rumah Abyatina akan dikunjunginya.
“Assalamualaikum”
Ustaz Man menyambut tetamu yang hadir. Kemunculan tak diduga Rizqullah disambut dengan mesra, tanda ikatan awal kekeluargaan bakal terjalin. Tunang si Abyatina muncul tanpa sebarang persiapan. Maka dinyatakan mahu mencari jawapan terhadap satu persoalan. Ustaz Man mengerti, lalu menjemput naik ke rumah bagi sesi perbincangan.
“Saya berkunjung mahu satu kepastian,” bicara Rizqullah.
“Mengenai apa?”
Bicara berlangsung untuk beberapa ketika. Persoalan diajukan, dan kepastian ditanyakan. Kegelisahan cuba dirungkaikan, dan Ustaz Man tenang mendengar bicara Rizqullah.
“Apakah benar kisah yang saya dengar ni?” soal Rizqullah.
Persoalan diajukan dahulu sebelum dibicarakan kisah kunjungan Yaqzan ke rumah Rizqullah di Sabah sebulan yang lalu. Kisah Abyatina versi cerita Yaqzan dinyatakan cari kepastian. Satu demi satu bicara yang sama dinyatakan oleh Yaqzan diulang cerita kepada Ustaz Man. Persoalan maruah Abyatina menjadi taruhan. Tertanya-tanya, sucikah lagi si Abyatina.
“Seorang penjual tak akan menghadiahkan kepada pelanggan setianya akan buah yang telah rosak, Rizqullah”
Jawapan tenang diberi dengan penuh senyuman. Persoalan dijawab dengan penuh kejujuran. Kisah seterusnya, Rizqullah mula merasai sebuah ketenangan. Tersenyum di dalam hati melepaskan kelegaan. Situasi sunyi petang itu, menjernihkan kegusaran. Namun ketenangan direntap dengan sebuah kunjungan. Api kemarahan terpancar, dan itulah wajah Ustaz Khumaini yang muncul tiba-tiba. Itulah kemunculan kali kedua menyerang si Rizqullah. Bapa si Yaqzan ini seolah menghidu tiap kali munculnya Rizqullah, tunang si Abyatina.
“Kamu jangan tabur fitnah sang durjana!”
Kemarahan dilemparkan. Yaqzan kekalutan dalam kerisauan. Kemarahan jelas tergambar pada wajah Ustaz Khumaini, dan kemunculannya ternyata satu kejutan. Mungkin setiap bicara bualannya telah didengar oleh ayah Yaqzan itu. Maka, langkah terbaik buat Rizqullah adalah dengan hanya mendiamkan diri. Begitu juga bagi Ustaz Man, sekadar berdiri di jendela tanpa sebarang bicara membalas kata-kata sahabatnya itu.
“Cukup-cukuplah ustaz. Terimalah hakikat, saya dah buat keputusan. Walau apa pun dah berlaku, saya dah tetapkan, Yaqzan bukan pilihan saya. Ustaz nak marah boleh, tapi marah kat saya ni, sebab saya yang buat keputusan”
Abyatina muncul dari biliknya. Kata-kata diluahkan, dinyatakan pada Ustaz Khumaini. Mungkin tidak tahan lagi dengan kerenah Ustaz Khumaini yang beberapa kali muncul secara mengejut di rumahnya dalam keadaan diri yang sedang marah. Menyalahkan orang lain, tanpa mencari sudut kebenarannya.
“Kalau benar apa yang dikata Yaqzan, maka ustaz terima dengan hati terbuka. Kalau salah apa yang dikatakan Yaqzan, saya sendiri mohon maaf,” bicara Abyatina.
Ibu Abyatina berada di sisi. Dia terkejut dengan luahan hati anaknya. Terkejut, kerana itulah kali pertama Abyatina menyuarakan rasa hatinya kapada orang. Tidak pernah sebelum ini, Abyatina berani berkata-kata sedemikian.
“Subhanallah....” luah Rizqullah.
Malam itu, Rizqullah bermalam di rumah Ustaz Man. Abyatina pula berpindah tempat bermalam menuju pula ke rumah Mak Longnya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Elak fitnah tercetus, maka itulah yang diminta oleh Ustaz Man. Jika Rizqullah bermalam, dan pada masa yang sama Abyatina juga turut berada di rumah itu, maka ditakuti fitnah orang kampung bakal terjelma.
Kekaguman diluahkan dengan keberanian Abyatina. Tidak diduga, dalam ketakutan menghadapi api kemarahan, Abyatina muncul menyuarakan kata-katanya. Kisah petang itu masih terus berlegar-legar dalam ingatan, ketika saat dirinya menuju ke Ipoh.
“Urusan pertukaran tempat mengajar. Dari Sabah, kini nak bertukar ke Perak. Jadi JPN tempat yang harus dirujuk”
Penerangan diberikan Rizqullah kepada Ustaz Man berikan penjelasan tujuan dirinya menuju ke Ipoh sewaktu bersarapan keesokan paginya. Perjalanan dimulakan sebaik sarapan selesai. Empat puluh lima minit perjalanan menuju ke Ipoh, itulah perjalanan paling tenang yang pernah dirasai Rizqullah. Segala beban di fikiran hilang begitu sahaja. Persoalan terjawab, dengan jawapan yang diterimanya penuh kepuasan.
“Ni, hang tak kenal dia ni?”
Soalan itu muncul di fikiran Rizqullah. Saat pemanduan berada dalam keselesaan, fikiran tiba-tiba ternganggu sedikit dengan kisah pagi semalam, sewaktu kunjungan keluarganya melawat Pak Ngah. Sesi perkenalan Rizqullah dengan ahli keluarga Pak Ngah ternyata sedikit janggal.
“Inilah Raqiqah,” bicara ibu Rizqullah memperkenalkan gadis yang muncul di ruang tamu.
“Ika?”
Sepupunya muncul di ruang tamu. Agak terkejut buat Rizqullah kerana terpesona dengan perubahan wajah sepupunya itu. Gadis yang muncul di ruang tamu itu telah hampir lima tahun tidak bertemu.
“Apa habaq Rizqullah?” Raqiqah berbicara bertanyakan khabar.
Kisah lama datang kembali. Kemunculan Raqiqah cetuskan kembali memori. Peristiwa lima tahun yang lalu muncul di fikiran. Saat hubungan rapat terjalin antara Raqiqah dan Rizqullah yang akhirnya mencetuskan cetusan hati bagi Pak Ngahnya. Walaupun hubungan kekeluargaan memang telah terjalin, niat hati keluarga Pak Ngah ternyata lebih besar.
“Kahwin?”
Soalan terpacul sebaik hajat Pak Ngahnya disampaikan. Terkejut, permintaan yang dinyatakan berat diterima. Hakikatnya Rizqullah dan Raqiqah sekadar berkawan atas nama hubungan sesama sepupu. Namun, tanpa sedar, Raqiqah perlahan-lahan menyimpan perasaan. Akhirnya hati Raqiqah tertawan dengan ketampanan Rizqullah.
“Maaf, sebab tumpuan harus diberikan pada pelajaran,” bisik Rizqullah saat mengenangkan kembali kisah tersebut.
Bukan mahu mengecewakan permintaan Pak Ngahnya, namun Rizqullah merasakan tugasnya sebagai pelajar harus diutamakan. Tidak mahu terperangkap dengan soal hati, saat kesibukan menyusun atur hidupnya untuk menjadi seorang guru, maka permintaan itu ditolak.
“Sebab hang tolak, keluarga Pak Ngah dengan kita dah tak rapat”
Bicara ibunya terlintas di fikiran. Peristiwa lima tahun lalu itu menjadi detik kemesraan yang terjalin, akhirnya teputus atas nama kekecewaan dek hasrat hati Pak Ngah tak dapat ditunaikan. Mungkin sesalan dirasakan Rizqullah, namun prinsip hidupnya lebih diutamakan.
“Ika tak pernah marah kat abang...”
Lafaz terakhir diungkapkan Raqiqah saat Rizqullah meninggalkan rumah Pak Ngahnya. Persoalan dendam yang wujud selama ini akhirnya terlerai dengan sebuah kemaafan.
Fikiran yang melayang tiba-tiba disentap dengan satu kejutan. Pemanduan yang selesa dinikmati direntap dengan satu keadaan tak diduga. Seorang wanita tiba-tiba muncul di tengah jalan. Kereta Rizqullah yang dipandu laju menerima kejutan.
“Ya Allah!”
Kaki Rizqullah terus menekan brek sekuat yang mungkin. Tragedi tak terduga berlaku sekelip mata. Jantungnya seperti hampir tercabut. Kejutan terbesar pada pagi itu di sebalik ketenangan yang baru dinikmati. Kemunculan wanita cetus kekalutan. Rizqullah pucat.
*ditamatkan dahulu Nota Empat*
Perjalanan sebuah cabaran diteruskan di lain bicara
**Aisyah ialah “Aku Insan Seperti Yang Abyatina Harapkan”
p/s: ‘ Aisyah’ adalah sebuah rentetan bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup ayah saya, Rosly bin Hanipah. Kisah kekuatan dan kecekalan seorang ayah dan bapa kepada enam orang anak ini pencetus kisah kepada rantaian bicara saya.
‘Aisyah’ adalah bicara cerminan dari sudut Rizqullah yang menjadi pelengkap kisah ‘Adina’ yang merupakan cerminan dari sudut Abyatina.
*Kisah "Aisyah (Nota Empat)" berkait dengan kisah "Adina (Bicara Tujuh)"
*Klik untuk Nota Aisyah sebelum ini: Siri Aisyah
Ulasan
nashfahrenheit.blogspot.com