Pagi Khamis: Ini kisah Ah Long punya cerita....
Minggu lalu, sepucuk surat dikirimkan ke rumah saya. Memang agak janggal, kerana rumah saya jarang menerima surat kecuali surat-surat rasmi seperti bil, cukai, dan bank. Namun, sebaik saya mengeluarkan surat ini, saya dapati surat tersebut bukan surat rasmi, dan yang paling pelik surat tersebut dihantar tanpa nama penerima.
"Pemilik Rumah
16 Jln 4 Tmn Sg Mas
34000 Taiping Perak"
Hairan saya dibuatnya. Apa yang terlintas di fikiran saya, surat ini pasti helaian-helaian iklan yang selalu juga dihantar ke rumah. Jika tak iklan kolej swasta, mungkin ini iklan rawatan pelangsingan badan yang kerap dihantar ke rumah saya.
Saya membuka sampul surat tersebut. Sehelai kertas putih dengan fon besar kesemuanya saya lihat kemudian. Saya kemudian membaca dan mengamatinya. Barulah saya tahu, dan kemudian saya tersenyum sebaik habis membaca.
Mak kemudian bertanya, "Surat apa tu?"
"Ini surat Ah Long punya cerita..." saya membalas.
Rupa-rupanya surat tersebut merupakan surat yang dikirimkan bertujuan untuk menghebabhkan akan seorang individu yang telah meminjam wang, namun gagal membayar balik pinjaman tersebut berserta bunganya. Apabila saya membaca surat ini, saya dapati tujuan pengirim mengirim surat tersebut adalah hanya bertujuan untuk memalukan individu yang disebut dalam surat itu. Apabila melihat pada struktur ayat yang ditulis, memang saya yakin penulis ini berbangsa Cina kerana penggunaan ayat dalam surat tersebut tak ubah seperti percakapan Cina apabila berbahasa Melayu.
Pengirim kemudian memberi amaran kepada kesemua pengurus bank dan penduduk berhampiran rumah individu tersebut agar tidak memberikan pinjaman kepada individu terbabit. Tambah melucukan, pengirim juga memberi amaran kepada Ah Long supaya jangan memberi pinjaman kepada individu tersebut. (Ah Long beri amaran pada Ah Long yang lain. Kenapa tak suarakan je dalam Persatuan Ah Long- Ah Long Taiping....hehee)
Rupa-rupanya, individu terbabit tinggal berhampiran dengan rumah saya. Tinggal di jalan yang sama, namun rumahnya agak jauh dari rumah saya. Apabila meneliti alamat rumah tersebut, kenal benarlah saya akan individu itu. Tak menghairankan, kerana individu itu memang pernah mendatangkan masalah sebelum ini.
Beberapa tahun yang lalu, sewaktu cuti Hari Raya, satu pergaduhan berlaku selang sebuah rumah dari rumah saya. Pergaduhan tersebut membabitkan seorang wanita tua Cina dan lelaki Cina (individu tersebut). Agak serius pergaduhan tersebut, kerana saya dapat melihat dengan mata saya sendiri bahawa pergaduhan ini turut melibatkan senjata tajam seperti parang dan pisau. Namun, pergaduhan terlerai apabila pihak polis datang. Apa yang menarik, senjata yang dibawa mereka cepat-cepat disorok daripada pengetahuan polis.
Tak lama kemudian, barulah saya tahu, pergaduhan itu tercetus kerana lelaki Cina itu menjalinkan hubungan sulit dengan anak perempuan Cina tersebut. Anak perempuannya telah berkahwin, dan memang tak menghairankan jika wanita tua tersebut naik angin pada petang tersebut. Saya akui, lelaki Cina itu memang ada hubungan sulit, kerana saya sendiri pernah melihat dengan mata sendiri, lelaki tersebut kerap berkunjung ke rumah perempuan tersebut. (rumah tersebut merupakan rumah anak wanita tua tersebut. Wanita tua itu menumpang tinggal di rumah tersebut)
Tak lama selepas itu, keluarga wanita tua itu berpindah, dan selepas itu tidak lagi kedengaran kisah hubungan sulit mereka.
Kini lelaki tersebut menangkap perhatian lagi di kejiranan rumah saya. Kisah hutang Ah Long mengganti tempat. Dia dimalukan pula oleh Ah Long.
Petang itu baru saya tahu, rupa-rupanya kesemua penduduk di Jalan 4 menerima surat yang sama. Bermakna, hampir 60 buah rumah menerima surat tersebut, dengan setiap surat menggunakan setem 60 sen. Bermakna, Ah Long tersebut menghabiskan wang sebanyak hampir RM36 untuk mengirimkan kesemua surat tersebut. Jumlah itu belum masuk surat yang dihantar ke kawasan lain termasuk surat-surat yang dihantar ke setiap bank di Taiping. Mungkin ratusan ringgit dihabiskan digunakan untuk menghantar surat bagi memalukan individu terbabit.
Itulah kisah Ah Long. Jika dulu terkenal dengan gaya kutip hutang cara samseng termasuk menyimbah cat merah ke rumah mangsanya, kini mereka lebih bijak apabila menggunakan pula perang psikologi terhadap peminjamnya.
"Lu tau macam mana mau kasi selesai? Lu jangan pinjam itu Ah Long ma. Lu talak malu, hati lu juga sama senang," kata apek tua yang tinggal di hadapan rumah saya. Anaknya merupakan peniaga nasi ayam di kawasan perumahan Taman Sungai Mas.
Ya, betul apek. Jangan pinjam pada Ah Long, dan semua masalah tak akan timbul. Itulah konklusinya.
Kisah Ah Long saya kongsikan di Pagi Khamis sekadar memberi ingatan moga bersyukur dengan apa yang ada. Jangan kita jadi hamba wang, dan jangan kita ketakutan dek wang.
* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.
Sampul surat tanpa nama penerima |
Kandungan surat tersebut. (Klik untuk paparan lebih besar) |
Ulasan
no 51 jalan 4? esok g cari.,haha
xtahan alamat depan sampul tu.,rileks je.,
-Alahai~ jemput la ye^^