Pagi Khamis: Yazid Rosly jawab soalan....
Beberapa hari yang lalu, saya menerima satu e-mel dari seorang hamba Allah yang menggelarkan dirinya sebagai 'peminat no.1 yazid' (gerun pula dia menggelarkan dirinya sebegitu...). Saya tak pasti siapakah individu yang menghantar e-mel tersebut, malah saya juga tak pasti adakah dia seorang lelaki ataupun perempuan.
Memang kerap saya menerima e-mel mahupun mesej Facebook dari individu yang saya tak kenali. Kebanyakan mereka sebenarnya mengajukan soalan, minta saya menjawabnya. Kata mereka, perasaan ingin tahu dan mahu mengenali saya, itulah sebab mereka bertanya. Kebanyakan pertanyaan saya tak jawab, namun pada pagi Khamis ini saya terpanggil untuk menjawab beberapa soalan tersebut.
Berikut adalah soalan yang diajukan dan jawapan yang saya berikan:
Soalan: Kenapa Siri Adina dari satu bab ke bab yang lain sangat lambat diterbitkan di blog? Contoh macam Bicara Sembilan, diterbitkan selepas sebulan Bicara Lapan diterbitkan. Kenapa?
Jawapan:
Sebenarnya penghasilan bagi setiap bab dalam siri Adina bukanlah mudah. Walaupun setiap bab tidaklah begitu panjang, namun proses penghasilannya adalah satu proses yang agak rumit. Sebelum sesuatu bab ditulis, rangka jalan cerita akan disusun terlebih dahulu. Setiap cerita yang ingin dipersembahkan akan dicari dan dikaji dulu, berdasarkan kisah yang diceritakan mak dan ayah saya, dan kisah-kisah yang diceritakan oleh ahli keluarga yang lain. Proses ini kadang-kadang mengambil masa sehingga dua minggu.
Setelah cukup maklumat dan info, maka saya akan memulakan penulisan bab tersebut. Penulisan ini merupakan penulisan bab peringkat pertama, apabila saya hanya menulis berterusan berdasarkan maklumat dan cerita yang telah saya kumpul. Maka, mungkin di peringkat pertama ini, bab yang akan ditulis mungkin akan menjangkau melebihi 20 muka surat.
Apabila siap penulisan bab peringkat pertama, barulah saya akan pergi ke penulisan bab peringkat kedua. Pada peringkat ini, saya akan menyusun semula tulisan bab yang telah ditulis di peringkat pertama, menyusun mengikut kronologi dan kemudian dipecah-pecahkan untuk diselitkan di antara jalan cerita utama. Maka, sebab itulah dalam siri Adina, terdapat banyak imbas kembali muncul di antara jalan cerita tersebut. Setelah siap menyusun, tulisan yang terhasil itu akan dipendekkan, dari 20 muka surat menjadi hanya 3 ke 4 muka surat sahaja. Proses ini cukup sukar kerana saya perlu meringkaskan penceritaan namun pada masa yang sama setiap cerita itu tidak akan kelihatan tergantung dan hilang. Maka proses ringkasan ini kadang-kadang memakan masa melebihi 2 minggu.
Sebab itulah, dari setiap babak ke babak yang lain dalam siri Adina, memang terdapat jurang masa yang sangat panjang. Prosesnya itulah yang menyebabkan berlakunya jurang tersebut.
Siri Adina suatu proses yang rumit untuk dihasilkan |
Soalan: Bilakah siri Adina akan tamat? Berapakah jumlah keseluruhan bicara bagi siri Adina ini?
Jawapan:
Saya tak pasti bila akan tamat siri Adina ini. Jika mengikut jangkaan, mungkin siri ini akan tamat dalam tempoh dua tahun dari sekarang. Siri ini memang panjang, dan setakat bab yang telah diterbitkan di blog, bolehlah saya nyatakan bahawa siri ini baru 7 peratus sahaja dari keseluruhan jalan ceritanya.
Soalan: Kisah Abyatina tu memang kisah mak Yazid ke?
Abyatina bukanlah mak saya. Kisah yang diceritakan dalam siri Adina berkaitan Abyatina itu bukanlah cerita yang sebenar berdasarkan kisah mak saya. Namun, saya menjadikan kisah hidup mak saya sebagai sumber inspirasi saya bagi menulis cerita siri Adina ini. Mungkin terdapat persamaan perwatakan antara Abyatina dan mak saya, namun persamaan itu wujud disebabkan saya menjadikan perwatakan mak saya sebagai inspirasi saya membentuk perwatakan Abyatina.
Setakat itu sahaja soalan-soalan yang dapat dijawab. Pagi Khamis kali ini saya isikan dengan menjawab soalan yang diajukan. Jika terdapat soalan yang ingin ditanya, bolehlah e-mel saya: yazidrosly_my@yahoo.com atau menerusi Facebook: Muhammad Yazid Rosly.
* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.
Ulasan