"Adina (Bicara Sepuluh)"
“Peliknya muncul, bila fikiran jadi tertanya-tanya sambil merasakan sesuatu yang dahulunya sekadar satu impian, kini bertukar menjadi kisah perjalanan baru. Mewujudkan rasa bahagia, namun memunculkan juga sebuah pengorbanan. Bila cinta mula berjalan, langkah pertama dan berterusan, akhirnya mencipta lamunan panjang penuh keasyikan. Bila patuh dan taat, maka ganjarannya hati dihadiahkan ketenangan”
Langkah pertama penuh debaran, maka kaki memijak bumi yang asing. Tanah yang tak pernah dikunjung, kini menyambut salam buat tetamu baru. Perjalanan panjang, kini diakhiri pula dengan sebuah lagi kisah catatan hidup.
“Selamat datang Abyatina, menantu baru mak”
Suara mesra menyambut ketibaan orang yang dinanti. Abyatina disambut dengan penuh mesra ibu Rizqullah iaitu ibu mertua Abyatina. Ketibaan dinanti dengan penuh kemeriahan. Rizqullah membawa Abyatina, disertai rombongan pihak si perempuan. Maka, tibalah pula hari majlis perkahwinan di pihak lelaki.
“Tabahkan hatimu. Pengorbanan harus kamu tahu. Isteri disisi suami walau apa jua,” pesan ibu Abyatina sebelum memulakan perjalanan ke rumah pengantin lelaki, hampir sejam perjalanan dari rumahnya.
“Walau jauh di mana pun, doa dengan keberkatan akan mengiringi kamu,” bicara Ustaz Man beri semangat.
Benar, Abyatina resah bercampur gembira. Resah muncul kerana akan meninggalkan keluarganya, dan gembira dirasai dengan kehadiran teman baru dalam hidupnya. Debaran terus dirasai disebalik senyuman dan ketenangan yang ditunjukkan, walaupun hakikatnya hatinya resah.
Sarapan pertama sebagai isteri dengan ditemani oleh seluruh keluarga Abyatina sangat mengharukan. Setiap wajah ditatap, bagaikan tidak akan dilihat lagi wajah mereka. Abyatina ternyata agak kerisauan.
“Bagaimana aku mahu hadapi semua ini? Dalam gembira ada sugulnya? Dilema apakah yang dilalui?” bisik Abyatina.
Abyatina mencipta sejarah sendiri. Dirinya adalah yang pertama, akan berjauhan dari keluarga. Jika dilihat pada kakak dan abang-abangnya, semuanya menemui jodoh di kampung masing-masing. Namun, Abyatina menerima jodoh dari insan yang jauh dari kampungnya.
Kisah kehairanan masih terus muncul di fikiran Abyatina. Saat Rizqullah muncul duduk bersebelahan untuk bersarapan, Abyatina teringat kembali akan kemunculan beras dan garam yang bertaburan di atas katil malam semalam. Rizqullah yang turut kehairanan sekadar membersihkan sahaja katil tersebut, sekadar tersenyum tanpa memikirkan sebarang perkara yang ganjil.
“Siapakah yang menaburkan garam dan beras? Apakah tujuannya?”
Bisikan Abyatina terus memberikan persoalan tak terjawab sejak malam semalam. Mungkin persoalan itu juga menyebabkan dirinya sedikit resah di pagi itu.
“Tenangkan diri. Jangan tekankan hati dengan segala macam perkara yang boleh meresahkan kamu,” kata Rizqullah sebaik selesai solat Subuh.
Mesej menenangkan seketika buat Abyatina, walaupun hakikatnya dia kembali resah tak lama selepas itu. Pelbagai perkara mula bermain di fikirannya. Keserabutan itu mengundang ketakutan.
“Apakah aku mampu berjauhan dengan keluargaku?”
Lamunan terhenti sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Hidangan pengantin telah tersedia di ruang tamu, dan hadirin telah menunggu. Ketibaan Abyatina disambut senyuman, sambil mata yang lain masing-masing melihat wajah ayu si Abyatina. Sekali lagi menjadi tumpuan, namun hatinya masih tak keruan. Namun, sambutan baik yang diberikan memberikan sedikit keceriaan buat Abyatina.
Santapan pengantin berlangsung. Perlahan-lahan, ketenangan kembali dirasainya. Kecelaruan dan debaran seakan hilang seketika. Raiqah, kakak Abyatina duduk di satu sudut bersebelahan dengan ibunya. Ustaz Man pula duduk di satu penjuru lain sambil rancak berbual dengan hadirin. Lauk yang disediakan ternyata menyelerakan, dan Abyatina ternyata merasai nikmat makan itu. Dek debaran dirasai sejak semalam, sarapan paginya ternyata tidak menyelerakan. Malah, santapan teh berserta kuih yang disediakan di rumahnya sebelum rombongan pengantin berangkat ke rumah pengantin lelaki juga turut tidak menyelerakannya.
Kek coklat kemudian disuap Rizqullah, dan dibalas Abyatina dengan senyuman dan pada masa yang sama, dia turut menyuapkan kek ke mulut Rizqullah. Hadirin mengusik sambil bergurau dan gambar diambil tanda kenangan.
“Di mana si alien?” soal Abyatina kehairanan.
Yaqzan tidak kelihatan. Majlis perkahwinan di rumah Rizqullah tidak dihadiri Yaqzan. Maka, tiada lagi kelibat jurukamera tambahan dalam majlis tersebut. Hati Abyatina lega, kerana ketidakmunculan itu menghilangkan sedikit rasa tidak selesanya di dalam majlis. Seri wajahnya bertambah, dan setiap gambar diambil kelihatan lebih bersahaja dan tenang. Senyuman ikhlas diberikan, dan kebebasan dirasainya.
“Bebas dari jembalang ‘a-lion’,” Zabarjad mengusik Abyatina sewaktu sesi bergambar di bilik pengantin. Zabarjad merupakan antara jurugambar pada majlis di rumah pengantin lelaki itu.
“Jin tu ada lagi ke?” soal Ustaz Man yang masih belum mengerti maksud alien yang diungkapkan Abyatina dan Zabarjad itu.
Majlis perkahwinan di rumah Rizqullah ternyata sangat sederhana. Jemputan juga tidaklah seramai jemputan dalam majlis di rumah Abyatina. Perkahwinan dua kali dalam setahun, maka itulah punca kesederhana yang ditonjolkan. Beberapa bulan sebelum itu, adik perempuan Rizqullah, Mawaddah turut melangsungkan majlis perkahwinan. Penjimatan telah dilakukan keluarga Rizqullah, dan sederhana dalam melangsungkan majlis menjadi pilihan keluarganya.
“Kenapa tak digabungkan saja majlis Mawaddah dan Rizqullah?” soal Raiqah kepada Marwa, kakak Rizqullah.
“Nak tetapkan tarikh itu yang sukar. Rizqullah baru saja bertukar mengajar kat sini. Adiknya Mawaddah pula baru saja bekerja di Kuala Lumpur. Rifqi suaminya pula baru lapor diri kerja kat UM. Keluarga Rifqi minta dipercepatkan majlis, dan memang tak ada pilihan lain. Mawaddah kahwin lebih awal dari Rizqullah,” balas Marwa.
Perkenalan demi perkenalan berlangsung antara keluarga Abyatina dan keluarga Rizqullah. Situasi saling kenal mengenal ini ternyata menenangkan Abyatina. Baru dia sedar, bukan dirinya sahaja yang bersatu dengan keluarga Rizqullah. Keluarga Ustaz Man turut disatukan dengan keluarga Cikgu Hamdawi.
“Nikmati sepuasnya masakan ibu mertuamu,” bicara Rizqullah. Lamunan Abyatina terhenti.
Lauk pengantin yang disediakan adalah dari air tangan ibu Rizqullah. Kekaguman timbul dalam hati Abyatina. Seleranya semakin bertambah bukan sahaja disebabkan perut yang kosong dek kehilangan selera semasa bersarapan, tetapi berselera kerana mengetahui dia menikmati hidangan yang sedap dicampur keberkatan seorang ibu.
“Pandai mak masak,” luah Abyatina.
Kisah sayu mula dirasai apabila petang semakin menghampiri. Kisah fasa baru bakal bermula. Perpisahan bakal tercipta. Inilah saat Abyatina mengucapkan salam perpisahan buat keluarganya. Ustaz Man dipeluk sebelum dicium tangannya. Ayahnya sekadar tersenyum tanda faham anaknya kini dalam kesedihan.
“Perpisahan sebuah permulaan bagi kehidupan yang lebih baik. Tabahkan hatimu” pesan Ustaz Man.
Ibu Abyatina sedikit sayu. Dipeluknya Abyatina agak lama. Sebak dirasai, sambil sedikit tangisan didengari. Titisan air mata muncul tanda Abyatina tak terkawal dengan perasaan hiba. Dicium tangan ibunya. Dipeluk sekali lagi ibunya itu.
“Isteri tempatnya di sisi suami. Gembirakan hatinya, dan bahagiakan hidupnya. Doa mak tak akan putus sampai bila-bila untukmu,” luah ibu Abyatina.
“Insyaallah....”
Seorang demi seorang, kakak, abang-abangnya dan adik-adiknya dipeluk Abyatina. Zabarjad individu terakhir mengucap salam perpisahan. Adik Abyatina yang paling rapat ini memang manja dengannya. Tersenyum menguntumkan senyuman, Abyatina berpesan.
“Jaga mak dan ayah. Jangan biarkan kecewa”
Lambaian bermula sebaik kenderaan rombongan pengantin meninggalkan Abyatina. Pilu dirasai kerana inilah pertama kali Abyatina berjauhan dengan keluarga. Rizqullah di sisinya memegang bahunya.
“ Selamat datang ke alam baru. Tabahkan hati, kuatkan semangat. Insyaallah, Ina akan bahagia”
Kata-kata pemberi semangat tanda janji yang akan ditunaikan. Rizqullah akan cuba memastikan Abyatina gembira dan bahagia. Tangan Rizqullah dicium Abyatina tanda menghargai janji yang diberi. Abyatina tenang dengan senyuman diberikan.
Memang sukar berhadapan dengan dunia baru. Bermalam di rumah yang tidak pernah dikunjunginya, dan mengharungi suasana yang cukup berbeza, maka tidurnya tidak begitu nyenyak. Mujur, Rizqullah cepat memahami keadaan Abyatina. Dia berjaga pada malam itu dengan menghabiskan masa membaca buku sehingga Abyatina dapat melelapkan matanya.
“Dunia baru buat kamu, moga kamu gembira akhirnya,” bisik Rizqullah apabila melihat Abyatina telah melelapkan mata.
Suasana yang cukup berbeza te nyata dirasai Abyatina di pagi hari. Solat Subuh bersama Rizqullah, dan kemudian Abyatina tidur kembali. Kepalanya pening, ditambah pula dengan rasa badan yang kurang selesa. Mungkin kejutan berpindah ke tempat baru, menyaksikan perubahan mendadak emosi dan fizikalnya.
Memang cabaran buat seorang wanita, tidak pernah berpisah dengan keluarganya, dan dengan tiba-tiba, dia mengharungi kisah yang berbeza. Menyesuaikan diri, cabaran terbesar buat Abyatina.
“Ada apa-apa yang boleh Ina tolong?”
Ungkapan diucapkan tanda mahu bermesra buat pertama kali dengan ibu mertuanya. Abyatina merasai kejanggalan, namun digagahkan jua untuk menyesuaikan diri. Ibu Rizqullah sibuk di dapur, menyedaikan sarapan buat sekeluarga. Kesemua ahli keluarga masih berada di rumah. Maka, sarapan pagi itu antara sarapan terbesar buat keluarga Rizqullah.
“Eh, hang dah sihat ke?” soal ibu mertuanya.
“Bolehlah sikit-sikit. Tadi memang pening sangat. Tu yang rehat kejap,” balas Abyatina.
“Tu la, Rizqullah ada habaq kat mak, kata Ina tak sihat”
“Rizqullah mana mak?”
“Tu, ada kat luar. Tak tau dok buat apa sekarang. Lepas Subuh terus ada kat luar”
“Nak Ina tolong apa-apa?”
“Eh, tak apa, tak apa. Hang baru baru ja sihat. Rehat dulu ya,” balas ibu mertuanya tersenyum.
Mata menjenguk ke jendela. Kelibat Rizqullah dicarinya. Akhirnya Abyatina keluar, berjalan sekitar halaman, buat pertama kalinya di pagi itu. Tanah pasir di halaman rumah nyata berbeza dengan tanah bukit di kampung halamannya. Suasana perkampungan di pesisiran pantai ternyata sangat berbeza.
“Selamat pagi”
Sapaan diberi. Rizqullah berada di bawah rumah. Kelihatan sedang mencuci basikal. Abyatina tersenyum menghampiri Rizqullah. Dua buah basikal telah tersedia di bawah rumah.
“Jom, jalan-jalan di kampung. Hirup udara pagi boleh sihatkan badan” pelawa Rizqullah.
Perjalanan merentasi kampung ternyata menyeronokkan. Abyatina mengayuh basikal mengikut sahaja suaminya yang berada di depan. Dua buah basikal merentasi jalan kampung. Maka, bermulalah perbualan sedikit demi sedikit membina kemesraan.
Persekitaran kampung ternyata sangat berbeza dengan kampung halamannya. Pohon-pohon kelapa menguasai kebanyakan halaman rumah. Tanah pasir yang memutih, dengan kawasan yang keseluruhannya rata tanpa bukit bukau sangat berbeza dengan tempat Abyatina membesar. Jika di kampungnya, sawah padi dan getah menjadi tanaman utama, namun di kampung Rizqullah, tanaman kelapa dan aktiviti nelayan menjadi sumber ekonominya.
Abyatina dibawa menuju ke kawasan paya. Ditunjukkan Abyatina pokok nipah, dan tempat nira yang sedang dikumpul ayah Rizqullah. Di kawasan paya itulah juga, Rizqullah kerap menghabiskan masa bermain di zaman kanak-kanaknya, menangkap ikan mahupun sekadar bermain sorok-sorok.
“Ini kubu rahsia masa zaman budak-budak dulu,” bicara Rizqullah.
Perjalanan diteruskan dengan merentasi kawasan sungai. Jalan tanah merah mereka lalui, menyelusuri tepian sungai. Abyatina kagum, kerana sungai yang dilihatnya sangat besar dan lebar. Kelihatan bot-bot nelayan berada di jeti, dan beberapa orang nelayan sedang sibuk memunggah hasil tangkapan. Hati Abyatina terus berada dalam keterujaan bercampur ketenangan. Penerokaan di tempat baru sangat mengasyikkan.
Mereka kemudian melalui jambatan gantung merentasi sungai itu. Wajah Abyatina bertukar pucat kerana perasaan gayat yang dirasai. Itulah kelemahan Abyatina yang jarang diketahui. Rizqullah sekadar tersenyum melihat gelagat Abyatina.
Kayuhan diteruskan merentasi kawasan kampung. Perbualan demi perbualan semakin terbina. Pelbagai perkara diperkatakan, sehingga muncul gelak ketawa. Kisah zaman kanak-kanak banyak diceritakan Rizqullah.
“Ini sekolah menengah tempat belajar dulu. Sekolah nilah semua anak-anak Cikgu Hamdawi belajar, dan sekolah inilah Cikgu Hamdawi pencen,” terang Rizqullah sebaik berhenti di hadapan sekolah lamanya.
“Ini ke sekolah yang nak mengajar nanti?” soal Abyatina.
Rizqullah sekadar mengangguk dan perjalanan diteruskan. Akhirnya, mereka tiba di destinasi. Pantai memutih menguasai pandangan Abyatina. Hembusan angin dirasai pada wajahnya. Hempasan ombak kedengaran dengan latar biru menguasai persekitaran. Rizqullah membawa Abyatina ke pantai.
“Tenangkan diri dengan hembusan pantai. Moga hati yang tak tenang menemui kesenangan,” bicara Rizqullah.
“Alhamdulillah”
Abyatina bermain-main dengan hempasan ombak di tepi pantai. Rizqullah sekadar duduk di bawah pohon rendang. Sifat keanak-anakan dapat dilihat pada Abyatina. Pantai dan Abyatina adalah sesuatu yang jarang dipertemukan. Maka bila bersua, keterujaan tercipta.
Kisah berakhir dengan sarapan berdua di warung berhampiran. Roti canai dan teh tarik menjadi hidangan. Resah Abyatina telah hilang.
“Pantai memang menceriakan Ina,” bisik Rizqullah dalam perjalanan pulang dari masjid pada sebelah malamnya. Kisah perjalanan pagi itu masih segar di ingatan.
Sebaik tiba, pintu dibuka, Rizqullah kehairanan. Ibu dan ayahnya berada di ruang tamu. Wajah resah menimbulkan persoalan.
“Abyatina pengsan di dapur tadi!”
Ibu Rizqullah bersuara sebaik pintu dibuka. Dada Rizqullah berdegup kencang. Kejutan diterima pada malam itu. Persoalan mula muncul di fikiran bercampur keresahan. Rizqullah terduduk.
*Tamat sudah Bicara Sepuluh*
Menyambung kisah di lain bicara...
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan