Menyangkal dakwaan misi ke bulan adalah palsu
Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan banyak perubahan
dari sudut politik dan ekonomi dunia. Disebabkan perang yang tercetus itu, maka
blok kuasa dunia terbahagi kepada dua iaitu blok Barat yang diketuai Amerika
Syarikat dan blok Timur yang diketuai Kesatuan Soviet. Kesan perang menyaksikan
Amerika dan Soviet saling mencurigai di antara satu sama lain dan akhirnya
mencetuskan Perang Dingin bermula tahun 1947 hingga 1991. Pertembungan dua blok
ini mencetuskan pelbagai persiapan hebat dari sudut ketenteraan dan pertahanan,
dan masing-masing melengkapkan kemampuan mereka untuk menghadapi sebarang
kemungkinan perang nuklear. Namun hakikatnya, sepanjang Perang Dingin tercetus,
tidak ada satu pun perang secara langsung melibatkan di antara dua blok ini.
Persaingan secara dingin ini melibatkan pelbagai aspek,
dari sudut ekonomi hinggalah kepada sudut penguasaan politik dunia. Semuanya adalah
bertujuan untuk meletakkan masing-masing sebagai kuasa terunggul dunia.
Kisah perlumbaan angkasa lepas yang berlaku sekitar tahun
1950-an hinggalah penghujung 1970-an merupakan salah satu bukti menyatakan
bahawa persaingan dua kuasa besar dunia ini memang benar-benar berlaku.
Hakikatnya, Perang Dingin itulah yang mencetuskan perlumbaan tersebut
seterusnya merevolusikan dunia sains dan teknologi sehingga akhirnya manusia
dapat menjejakkan kaki ke bulan. Kisah Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat
dalam perlumbaan angkasa lepas telah mencipta satu sisi sejarah yang tidak
pernah difikirkan sebelum ini.
Ego dan kekuasaan
Hakikatnya, sejarah perlumbaan ke angkasa lepas bukanlah
didorong oleh keinginan sains untuk memahami alam sejagat ini. Tiada faktor
saintifik yang mencetuskan hasrat untuk ke angkasa lepas, sebaliknya hanya
disebabkan keegoan dan nilai superioriti yang dimiliki Amerika dan Soviet.
Pada 4 Oktober 1957, Soviet melancarkan satelit buatan
pertama yang dinamakan Sputnik 1. Satelit kecil berbentuk sfera berdiameter 58
cm dan mempunyai 4 antena ini mencetuskan kejutan bagi Amerika. Satelit ini
berkeupayaan mengelilingi orbit bumi dalam tempoh 96.2 minit sepusingan dengan
kelajuan 29 000 km/jam dan menghantar isyarat radio yang boleh dikesan di
mana-mana kawasan di bumi.
Keratan akhbar The New York Times mengenai kejayaan Soviet melancarkan satelit Sputnik 1 ke angkasa |
Situasi ini mencetuskan kerisauan bagi Amerika. Sputnik
mencetuskan perang baru di antara Soviet dan Amerika. Kerisauan Amerika semakin
jelas kerana satelit Sputnik ini hakikatnya berada di ruang angkasa dan akan
melintasi kawasan ruang udara Amerika sewaktu satelit mengorbit bumi. Segala kemungkinan
boleh berlaku sehingga ada yang beranggapan bahawa satelit ini adalah permulaan
kepada era perang nuklear yang mungkin akan berlaku di antara Amerika dan
Soviet.
Maka dengan itu Amerika bertindak balas.
Satelit kecil Sputnik 1 ini telah mencetuskan kerisauan bagi Amerika |
“Reaching for the
moon”
Sputnik telah menyebabkan Amerika tersedar bahawa
penguasaan terhadap angkasa lepas sangat penting bagi memastikan penguasaan
dominan mereka terhadap dunia. Memenangi perlumbaan angkasa lepas menjadi
keutamaan bagi Amerika supaya maruah mereka dapat dijaga. Untuk itu, maka pada
25 Mei 1961, Presiden John F. Kennedy mengumumkan di Konges Amerika mengenai
cita-cita dan hasratnya untuk menghantar rakyat Amerika ke bulan sebelum
penghujung dekad 60-an. Di kala itu, cita-cita tersebut dilihat sangat besar
dan berkemungkinan mustahil. Namun, selepas pengumuman Kennedy itu, pembangunan
pantas mula dilakukan Amerika untuk mencapai hasrat itu.
Kennedy ketika memberi ucapan mengenai hasratnya untuk menhantar manusia ke bulan di Kongres Amerika |
Projek Mercury, Gemini (beberapa misi selepasnya) dan
kemudian diikuti Apollo dilancarkan adalah untuk mencapai hasrat Presiden
Kennedy pada waktu itu. Misi ke bulan yang kemudian dikenali sebagai Projek
Apollo akhirnya mencetuskan revolusi dalam industri angkasa lepas apabila
pelbagai persediaan dibuat dari sudut persiapan roket sehinggalah kepada
persiapan manusia itu sendiri. Banyak teknologi sains direvolusikan dalam misi
Apollo ini.
Pada 20 Julai 1969, menerusi misi Apollo 11, maka
angkasawan Neil Armstrong mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama
menjejakkan kaki ke bulan. Hasrat Kennedy yang diimpikannya akhirnya menjadi
realiti walaupun beliau tidak sempat melihat sendiri kejayaan itu.
Neil Armstrong |
Sepanjang enam misi Apollo (dari Apollo 11 hingga 17), 12
angkasawan Amerika berjaya menjejakkan kaki mereka ke bulan. Namun, untuk
kesemua misi itu, hampir 400 ribu tenaga kerja diperlukan dari pelbagai bidang
untuk merealisasikan misi itu. Di sebalik kesemua ini, beberapa tahun
berikutnya timbul persoalan yang diajukan oleh pihak tertentu terhadap misi
pendaratan di bulan itu.
Apakah Amerika benar-benar mendarat di bulan?
Teori konspirasi
pendaratan Amerika ke bulan
Dari sudut sejarah, teori konspirasi ini mula timbul pada
tahun 1976 iaitu dua tahun selepas misi Apollo ke bulan tamat. Menerusi buku We Never Went to the Moon: America’s Thirty
Billion Dollar Swindle diterbitkan oleh Bill Kaysing. Beliau merupakan
penulis teknikal yang diupah oleh Rocketdyne, syarikat yang membina enjin F-1
yang digunakan pada roket Saturn V.
Hakikatnya, walaupun diupah menjadi penulis teknikal, Kaysing langsung
tidak mempunyai pengetahuan mengenai roket ataupun mengenai penulisan teknikal.
Beliau berkhidmat sebagai ketua unit teknikal penerbitan sehingga tahun 1963.
Bill Kaysing merupakan antara individu terawal yang menyatakan bahawa misi ke bulan adalah palsu |
Menerusi buku tersebut, Kaysing mendakwa bahawa Amerika
tidak pernah sama sekali mendarat di bulan, sebaliknya kesemua misi Apollo itu
hanya lakonan dan palsu. Menurut buku itu, peluang untuk misi manusia ke bulan
sangat tipis iaitu hanya 0.0017%, dan untuk itu adalah lebih mudah bagi Amerika
untuk memalsukan pendaratan mereka di bulan berbanding melakukan misi sebenar
untuk mendarat di bulan.
Selepas penerbitan buku ini, maka pelbagai teori
konspirasi mula diusulkan dari pelbagai pihak mahupun organisasi. Salah satu organisasi itu ialah Flat Earth
Society, yang mendakwa bahawa kesemua pendaratan ke bulan bagi misi-misi Apollo
itu dipalsukan NASA, dan dipentaskan oleh Hollywood dengan bantuan dana dari
Walt Disney dan diarahkan oleh Stanley Kubrick.
Walt Disney |
Stanley Kubrick |
Malah, sehingga ke era tahun 2000, teori ini terus
diperkatakan walaupun setiap dakwaan dan teori itu akhirnya berjaya disangkal
oleh NASA dan dibuktikan dengan penerangan secara saintifik.
Dakwaan penipuan
oleh para konspirasi
1) Foto dan filem
Kebanyakan dakwaan konspirasi
yang dinyatakan tertumpu kepada gambar-gambar dan filem-filem yang diambil NASA
sewaktu misi manusia ke bulan. Kepelikan pada gambar yang diambil itu mencetuskan
pelbagai andaian dan dakwaan menyatakan bahawa kesemua gambar yang diambil itu
adalah palsu dan diambil dari studio. Berikut adalah dakwaan mereka dan jawapan
balas yang diberi oleh pakar untuk menyangkal dakwaan tersebut.
i)
Kualiti
foto adalah sangat tinggi
Dakwaan menyatakan bahawa
gambar yang diambil di bulan sangat berkualiti tinggi dan tidak mungkin mampu
diambil oleh angkasawan yang pergi ke sana. Menurut mereka, gambar tersebut
hanya boleh diambil oleh mereka yang pakar dan di dalam suasana studio yang
mempunyai pencahayaan yang sesuai.
Namun, NASA menjawab pertuduhan
ini dengan menyatakan bahawa gambar-gambar yang dipaparkan kepada umum adalah
gambar terbaik daripada gambar-gambar lain yang kebanyakannya tidak berada
dalam kualiti yang terbaik. NASA juga
menyatakan bahawa, angkasawan Apollo menggunakan camera resolusi tinggi
Hasselbad 500 EL dengan optic Carl Zeiss
dan 70 mm filem majalah format sederhana.
Kualiti gambar yang sangat tinggi menimbulkan banyak persoalan |
ii)
Tiada
bintang kelihatan dalam kesemua foto yang diambil di bulan
Ketiadaan bintang mencetuskan
perdebatan mengenai ketulenan gambar dan filem yang diambil di bulan. Ketiadaan lapisan atmosfera menurut mereka
membolehkan bintang dapat dilihat dengan jelas berbanding di bumi. Namun,
kesemua gambar yang diambil di bulan memaparkan kegelapan tanpa sebarang
bintang kelihatan.
Namun, menurut angkasawan dalam
misi Apollo 11, mereka tidak dapat melihat sebarang bintang ketika berada di
permukaan bulan. Menerusi pandangan mata kasar mereka, mereka hanya melihat
kegelapan apabila mendongak ke atas.
Menurut NASA, kesemua misi
Apollo dilakukan pada waktu siang di bulan. Untuk itu, kesemua pelarasan kamera
telah ditetapkan untuk waktu siang dan ini menyebabkan tiada imej bintang akan
dapat diambil. Menurut NASA lagi, ketiadaan atmosfera di bulan menyebabkan
cahaya matahari lebih tinggi kadar sinarannya dan ini menyebabkan permukaan
bulan memantulkan cahaya matahari lebih tinggi berbanding di bumi. Situasi ini
tidak memungkinkan imej bintang kelihatan dari permukaan bulan kerana sinaran
matahari dan pantulan cahaya matahari dari permukaan bulan menenggelamkan
cahaya bintang yang ada.
Imej ini menunjukkan hanya bumi sahaja yang kelihatan, tidak terdapat sebarang imej bintang |
iii)
Sudut
dan kedudukan bayang-bayang dalam foto tidak konsisten
Foto-foto yang diambil di bulan
dilihat mempunyai sudut dan kedudukan bayang-bayang yang tidak konsisten seterusnya
mencetuskan dakwaan bahawa keadaan itu terjadi disebabkan penggunaan lampu
buatan yang terdapat dalam studio. Banyak foto menunjukkan bahawa bayang-bayang
tidak selari, mencadangkan bahawa terdapat beberapa buah lampu digunakan.
Namun menurut NASA, kewujudan
bayang-bayang dan pencahayaan yang tidak selari itu adalah disebabkan oleh
beberapa sumber cahaya yang terdapat di bulan; iaitu, cahaya dari matahari,
pantulan cahaya dari bumi, pantulan cahaya dari permukaan bulan, dan pantulan
cahaya dari Modul Lunar dan pantulan cahaya dari angkasawan. Cahaya-cahaya ini
juga berserakan disebabkan oleh debu bulan yang menyebabkan bayang-bayang dan
imej pada gambar menjadi tidak selari. Disebabkan itu, terdapat keadaan dalam
gambar yang memperlihatkan garis bayang yang berbeza di antara satu objek
dengan objek yang lain. Harus diingat, bulan tiada lapisan atmosfera dan ini membolehkan sinaran cahaya matahari
memancar terus ke permukaan bulan tanpa sebarang halangan.
Gambar menunjukkan dakwaan bahawa bayang-bayang yang tidak selari di bulan |
iv)
Imej
latar belakang dilihat sama dalam kebanyakan foto yang diambil angkawasan dan
dilihat lebih dekat
Situasi ini menimbulkan teori
bahawa latar belakang tersebut merupakan sebuah lukisan yang digunakan di
studio.
Namun hakikatnya, latar
belakang tersebut bukanlah sama, sebaliknya seakan-akan sama. Di bulan, kesemua
imej latar belakang dilihat seperti dekat dan jelas disebabkan oleh ketiadaan
atmosfera dan litupan awan yang menghalang penglihatan. Situasi ini menyebabkan
bukit dan gunung yang berbatu jauhnya kelihatan sangat dekat dan kecil.
Tambahan pula, di bulan tidak terdapat banyak objek seperti pokok yang
membolehkan perbandingan dilakukan untuk saiz gunung dan bukit di bulan.
Imej menunjukkan latar belakang yang sama di lokasi bulan yang berbeza |
v)
Siapa
yang mengambil gambar Neil Armstrong sewaktu beliau menapak kali pertama di
bulan?
Persoalan ini timbul dan
mendatang pertanyaan dalam kalangan ramai pihak. Jika gambar Neil Armstrong
diambil, itu menunjukkan bahawa terdapat angkasawan lain yang turun dahulu
sebelum Armstrong.
NASA menyatakan bahawa gambar
tersebut diambil dari Modul Lunar. Tatkala Armstrong berada di tangga, beliau telah
mendaratkan dahulu Modularized Equipment
Stowage Assembly (Modular peralatan pemasangan simpanan) dari Modul Lunar
sebelum beliau sendiri turun dan memijak ke permukaan bulan.
Imej Neil Armstrong menuruni tangga untuk berpijak di bulan buat kali pertama |
2) Persekitaran di bulan
i)
Radiasi
Hakikatnya, persekitaran di
bulan sudah semestinya tidak sama dengan persekitaran di bumi. Mengikut dakwaan
ahli konspirasi, mereka menyatakan bahawa tiada angkasawan yang dapat bertahan
dalam perjalanan ke bulan disebabkan oleh pendedahan terhadap radiasi seperti jalur radiasi Van
Allen, dan radiasi ambien galaktik. Malah, pada tahun 1962, satu ujian nuklear
altitud tinggi pernah dijalankan dan menemui kegagalan akibat jalur radiasi
ini.
Jalur radiasi Van Allen
mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian luar dan bahagian dalam. Bahagian luar
jalur ini mempunyai elektron tenaga rendah yang kurang bahaya (partikel Beta).
Bahagian dalam adalah kawasan yang paling merbahaya mempunyai proton bertenaga.
NASA menyatakan bahawa,
perjalanan kapal angkasa Apollo hanya melalui kawasan jalur dalam radiasi Van
Allen selama beberapa minit, dan satu jam tiga puluh minit melalui kawasan
jalur luar radiasi Van Allen. Tambahan pula, para angkasawan terlindung dari
radiasi oleh binaan aluminium badan kapal angkasa. Menurut NASA lagi,
trajektori atau sudut perjalanan dari bumi ke bulan melalui jalur radiasi Van
Allen ini telah dipilih untuk terdedah paling minimum dengan radiasi. Malah menurut Dr. James Van Allen, individu
yang menemui jalur radiasi Van Allen, perjalanan ke bulan merentasi jalur
radiasi tersebut tidaklah begitu bahaya seperti yang digambarkan pihak lain.
Jalur radiasi Van Allen |
ii)
Permukaan
bulan pada waktu siang yang sangat panas akan menyebabkan filem kamera cair dan
rosak
Menurut pakar teori konspirasi,
mereka menyatakan bahawa ketiadaan atmosfera di bulan menyebabkan sinaran terik
matahari seterusnya menyebabkan kadar haba yang tinggi di bulan. Situasi ini
tidak memungkinkan untuk sebarang lapisan filem dapat bertahan dan tidak
membolehkan sebarang imej dapat diambil di permukaan bulan.
Namun hakikatnya, ketiadaan
atmosfera di bulan itu akan menyebabkan tiada sebarang haba yang terkumpul di
sana. Di kawasan vakum seperti bulan, hanya radiasi yang akan menjadi agen pemindah
haba. Maka untuk itu, lapisan optik kamera dan filem dilapisi dengan saduran
dan cat untuk mengawal suhu filem dalam kamera. Saduran ini adalah sama yang
meyelaputi Modul Lunar, yang dilapisi dengan saduran emas bagi menghalang haba
yang dipidahkan menerusi radiasi.
Menurut NASA, kesemua misi
mendarat ke bulan dilakukan pada waktu matahari terbit di bulan bagi
mengurangkan kesan haba di permukaan bulan. Berdasarkan pengalaman angkasawan
di bulan, dalam tempoh lama berada di bulan, mereka mendapati bahawa
peningkatan muatan penyejuk dalam sut angkasa mereka ketika suhu matahari
semakin meningkat di permukaan bulan. Namun kesannya ditangani dengan mudah
dengan sistem penyejuk yang ada pada sut angkasa tersebut.
Tempoh sehari di bulan adalah
bersamaan dengan 29 hari di bumi. Hal ini bermaksud, siang di bulan adalah bersamaan
dengan 15 hari di bumi dan para angkasawan dapat menghabiskan misi secara
maksimum di bulan tanpa risau akan kepanasan yang akan dihadapi di bulan.
Kesemua misi di bulan dilakukan pada waktu siang bulan |
iii)
Filem
dalam kamera akan menjadi kabut disebabkan radiasi
Menurut NASA, kesemua filem
yang digunakan pada kamera disimpan dalam bekas logam yang menghalang kabut
pada lapisan filem akibat dari radiasi. Malah, kesemua misi bukan manusia ke
bulan seperti Lunar Orbiter dan Luna 3 yang turut membawa filem kamera tidak
menjadi kabut sewaktu berada di bulan.
iv)
Krew
Apollo 16 tidak akan dapat bertahan dari ribut solar matahari sewaktu dalam
perjalanan ke bulan
Dakwaan ini disangkal NASA
kerana sewaktu misi Apollo 16, tiada ribut solar berlaku sepanjang perjalanan
ke bulan. Namun menurut rekod, pada Ogos
1972, terdapat satu ribut solar berlaku iaitu selepas misi Apollo 16 selesai,
dan sebelum misi Apollo 17 bermula.
v)
Bendera
Amerika yang dipacak di bulan kelihatan berkibar di sebalik ketiadaan angin di
bulan.
Situasi ini mencadangkan
bahawa bendera tersebut dipacak di bumi dan kibaran tersebut tercetus disebabkan
angin di bumi. Kibaran bendera ini juga
dikatakan mungkin disebabkan oleh angin kipas dalaman yang digunakan untuk
menyejukkan angkasawan, kerana sut penyejuk sebenar bagi angkasawan untuk ke
bulan adalah sangat berat untuk dipakai di bumi.
Namun hakikatnya, bendera
tersebut telah diikat pada tiang berbentuk L (secara terbalik), supaya kain
bendera tidak jatuh dan berdiri tegak. Sewaktu perjalanan menuju ke bulan,
bendera tersebut dilipat dan disimpan dalam bekas khas dan apabila tiba di
bulan, angkasawan membuka lipatan bendera ini. Situasi ini menyebabkan bendera
tersebut berada dalam keadaan kedut dan untuk untuk meratakan kedutan ini
amatlah sukar di bulan. Dalam situasi vakum, maka keadaan kedutan pada bendera
ini akan pegun dan tidak akan berubah.
Imej yang diambil menampakkan
seolah-olah bendera tersebut berkibar. Namun apabila perbandingan dua imej yang
berbeza dibuat, ternyata tiada perubahan pergerakan pada bendera tersebut.
Menerusi video pula, bendera tersebut hanya kelihatan bergerak sedikit tatkala
angkasawan membawanya untuk dipacakkan di bulan. Tanpa geseran udara,
pergerakan ini menyebabkan penjuru bendera bergerak bebas, tidak ubah seperti
pergerakan pendulum.
Imej 1 |
Imej 2 |
Gabungan imej 1 dan imej 2 menunjukkan bahawa bendera tersebut tidak bergerak sedikit pun |
vi)
Tapak
kaki yang ada di permukaan bulan dilihat mustahil untuk kekal disebabkan
ketiadaan kelembapan di bulan
Menurut pakat teori konspirasi,
kewujudan tapak kaki angkasawan di bulan adalah mustahil untuk terjadi. Keadaan
bulan yang bersifat vakum dan tidak mempunyai sebarang udara dan air tidak memungkinkan
untuk bekas tapak kaki kekal lama di bulan. Menurut mereka, untuk sesuatu objek
membentuk bekas di sesuatu permukaan berpasir dan berdebu, kelembapan harus ada
untuk mengekalkan bentuk tapak yang terhasil. Di bulan, keadaan berbeza kerana
tiada udara dan kelembapan.
Namun menurut NASA, debu-debu
di bulan tidak pernah terdedah dengan cuaca seperti di bumi. Keadaan ini menyebabkan pasir di bulan mempunyai
bucu yang lebih tajam dan membolehkan debu-debu bulan ini mudah untuk melekap
di antara satu sama lain. Keadaan ini membolehkan bentuk tapak kaki dapat kekal
dalam keadaan vakum di bulan.
Tapak but Neil Neil Armstrong di bulan |
vii)
Dakwaan
pendaratan di bulan hakikatnya dilakukan di studio bunyi atau di kawasan gurun
terpencil. Kesemua pergerakan yang dirakamkan adalah hasil daripada pergerakan
yang telah diperlahankan (slow motion) menerusi suntingan video
Dalam satu siri mini HBO
berjudul From the Earth to the Moon,
pihak produksi telah menggunakan studio bunyi untuk melakonkan semula pendaratan
angkasawan ke bulan. Ketika angkasawan mendendang pasir dan debu, kelihatan
debu tersebut membentuk awan buat seketika sebelum jatuh semula ke permukaan.
Babak ini dibuat dengan suntingan filem yang telah diperlahankan (slow motion).
Situasi ini berbeza dengan
rakaman sebenar misi di bulan. Debu yang ditendang terhasil dari but angkawasan
dan Kenderaan Bergerak Lunar dilihat naik
lebih tinggi dan tidak membentuk kepulan awan atau parabolik ketika naik.
Debu-debu ini juga jatuh lebih cepat disebabkan keadaan vakum di bulan.
Angkasawan dalam misi Apollo
15, David Scott pernah melakukan eksperimen di bulan. Beliau telah menjatuhkan
bulu helang dan penukul besi pada masa yang sama. Didapati kedua-dua objek
tersebut bergerak pada kelajuan yang sama dan jatuh ke permukaan pada waktu
yang sama. Hal ini membuktikan bahawa Scott berada dalam keadaan vakum.
Bukti pihak ketiga
menyokong ketulenan pendaratan ke bulan
i)
Imej
dan tapak pendaratan
Pakar teori konspirasi mendakwa
bahawa balai cerap dan teleskop Angkasa Hubble seharusnya dapat mengambil
gambar tapak-tapak pendaratan misi Apollo di bulan. Situasi ini mencadangkan bahawa kesemua balai
cerap utama dunia diselebungi dengan penipuan apabila gagal atau enggan
mengambil sebarang gambar di permukaan bulan untuk mengesan tapak pendaratan
dalam kesemua misi Apollo.
Namun, kemampuan teleskop
Hubble amat terhad untuk mencerap permukaan bulan kerana hanya mampu mengambil
gambar imej yang bersaiz paling minimum sebesar 55 ke 69 meter sahaja yang
tidak memungkinkan untuk memperlihatkan sebarang imej kawasan pendaratan di
bulan.
Namun pada April 2001, satu
artikel yang diterbitkan Leonard David telah memaparkan imej dari misi
Clementine yang menunjukkan tompokan hitam di kawasan yang didakwa NASA
merupakan kawasan pendaratan misi Apollo 15. Bukti ini dikesan oleh Misha
Kreslavsky dari Jabatan Sains Geologikal di Universiti Brown, dan Yuri
Shkuratov dari Balai Cerap Astronomikal Kharkiv di Ukraine.
Pada 14 September 2007, Agensi Penerokaan Angkasa Jepun telah
melancarkan pengorbit SELENE Moon dari Pusat Angkasa Tanegashima. SELENE
mengorbit bulan pada altitude 100 km. Pada Mei 2008, menerusi kamera permukaan,
pengorbit ini mengesan imej ‘halo’
(lingkaran) dari ekzos Modul Lunar Apollo 15. Imej ini kemudian dijana semula
kepada bentuk tiga dimensi dan sepadan dengan rupa bentuk permukaan bulan yang
menjadi tapak pendaratan Modul Lunar Apollo 15.
Pada 8 September 2008,
Pertubuhan Kajian Angkasa India melancarkan misi prob bulan tanpa manusia dari
Pusat Angkasa Satish Dhawan. Setahun kemudian pada Pada 1 September 2009, misi
ke bulan Chandrayaan-1 itu mengambil imej tapak mendarat Apollo 15 dan bekas
jejak kenderaan bulan (lunar rover).
Imej tersebut diambil menggunakan kamera hiperspektral yang dimuatkan
dalam prob tersebut.
Terbaru, prob lunar China yang
kedua, Chang’e 2 dilancarkan pada tahun 2010 dan mempunyai keupayaan resolusi
gambar imej bersaiz 1.3 meter. Prob ini berjaya mengesan tapak-tapak pendaratan
misi Apollo di bulan.
ii)
Batu
bulan
Secara kesulurahannya, kesemua
misi Apollo telah berjaya membawa 380 kg batu-batu bulan pulang ke bumi.
Analisis-analisis yang dibuat oleh saintis-saintis seluruh dunia menyetujui
bahawa batu-batu yang didakwa dari bulan itu adalah asli. Sampel-sampel yang diambil dari misi Apollo
ini sangat berbeza dengan batuan di bumi atau batuan dari meteorit. Batuan ini
mempunyai ciri yang berbeza, kurang mempunyai unsur-unsur perubahan oleh air.
Selain itu batuan tersebut menunjukkan
kesan-kesan impak geseran tanpa udara, dan mempunyai trait atau ciri-ciri
geografi yang unik, yang tidak terdapat di bumi. Malah, usia kebanyakan batuan
yang dibawa pulang itu menjangkau 200 juta tahun, iaitu lebih tua dari batuan
tertua di bumi. Seperkara lagi, ciri-ciri batuan yang diambil dari misi Apollo
mempunyai persamaan ciri dengan sampel-sampel yang diambil oleh Soviet Union
dalam misi bulan mereka.
Pakar teori konspirasi mendakwa
bahawa Pengarah Marshal Pusat Angkasa Werner von Braun pernah melakukan
kunjungan ke Antartika, dan menurut mereka kujungan itu adalah untuk mengumpul
batu-batu meteorit dari bulan untuk dijadikan bukti palsu bahawa batuan itu
diambil secara terus dari bulan. Namun menurut NASA, misi-misi ke Antartika
dibuat adalah bertujuan untuk meniru keadaan persekitaran di planet lain
sebagai latihan mereka.
Tambahan pula, menurut rekod,
hanya sebanyak 30 kg batuan meteorit bulan telah berjaya dikumpul yang
datangnya dari seluruh dunia, baik dari agensi mahupun koleksi peribadi. Batuan
ini hanya dikenal pasti sebagai batuan meteorit dari bulan pada tahun 1982,
iaitu setelah 10 tahun misi Apollo berakhir. Jumlah sampel batuan bulan yang
dibawa pulang oleh NASA yang berjumlah 380 kg tidak mungkin dapat dikumpul dan
dicari di bumi dengan jumlah sebanyak itu. Hujah ini mengukuhkan bukti bahawa
NASA memang mendarat di bulan.
Namun pakar teori konspirasi
Bill Kaysing mempersoalkan mengapa tiada batuan-batuan berharga dalam batuan di
bulan dan sebab mengapa kemungkinan ini tidak pernah dipertimbangkan dari
pakar. Namun menurut pakai geologi, kemungkinan untuk mencari sebarang batuan
berharga di bulan tidak menjadi keutamaan memandangkan ketiadaan air di bulan
yang tidak memungkinkan terbentuknya sebarang batuan berharga di sana. Di bumi,
logam seperti emas terbentuk hasil daripada pemendapan air dan batuan. Keadaan
ini tidak berlaku di bulan.
Genesis, batu yang diambil dari misi Apollo ke bulan |
Kesimpulan
Untuk menyatakan bahawa misi ke bulan oleh NASA pada
tahun 60-an itu adalah satu kepalsuan bukanlah semudah yang didakwa. Di sebalik
pelbagai teori yang dikemukakan oleh pakar-pakar yang terlibat, hakikatnya
banyak bukti dan hujah balas telah diberikan. Setiap dakwaan yang dinyatakan
telah dijawab dengan baik oleh pihak yang berkenaan seterusnya menghilangkan
sedikit sebanyak kegusaran dan keyakinan orang ramai terhadap ketulenan
pendaratan manusia ke bulan.
Hakikatnya, di sebalik kesemua misi Apollo itu, selama
hampir 10 tahun diperlukan untuk persediaan bagi mencapai misi pendaratan
manusia ke bulan. Seramai hampir 400 ribu tenaga kerja diguna dari pelbagai
bidang; kejuruteraan, teknikal sehinggalah kepada pakar geologi. Kesemuanya
berganding bahu untuk menjayakan misi tersebut. Untuk meyatakan bahawa misi
tersebut adalah palsu adalah satu penghinaan terhadap susah payah dan jerit
perih yang telah mereka korbankan bagi menjayakan misi-misi Apollo ke bulan.
Seperkara lagi, andai benar kerajaan Amerika memalsukan
pendaratan itu, sejauh manakah kemampuan mereka untuk menutup mulut hampir
setengah juta tenaga kerja yang terlibat? Malah dalam persediaan untuk misi
itu, ramai juga yang terkorban seperti tragedi pada 27 Januari 1967 apabila
tiga angkasawan iaitu Edward H. White, Virgil I “Gus” Grissom, dan Roger B
Chaffee terkorban dalam kebakaran sewaktu sesi latihan terakhir dalam modul
lunar. Jika tragedi ini tidak berlaku, mereka inilah yang bakal menjadi angkasawan
pertama mendarat di bulan.
Edward H. White, Virgil I “Gus” Grissom, dan Roger B Chaffee |
Modul lunar yang terbakar sewaktu sesi ujian terakhir |
Memang benar Soviet Union di awalnya jauh ke hadapan dari
sudut pencapaian penerokaan ke angkasa lepas namun harus juga diingat kesemua
pencapaian itu berjaya dipintas Amerika tidak berapa lama kemudian. Persepsi
menyatakan bahawa teknologi Soviet jauh ke hadapan berbanding Amerika. Namun
sepanjang sejarah perlumbaan angkasa lepas, Soviet tidak pernah berjaya
menghantar seorang manusia pun ke bulan. Mereka berusaha ke arah itu, namun
menemui kegagalan.
Carta perlumbaan angkasa lepas di antara Amerika dan Soviet |
Pencapaian untuk menghantar manusia ke bulan adalah
sesuatu yang cukup besar dalam merubah kehidupan manusia sejagat. Misi ke bulan
membolehkan kita memahami dengan lebih jelas asal usul kejadian bumi ini. Malah
sepanjang tempoh misi ke bulan itu, pelbagai teknologi terhasil dan digunakan
kini dalam kehidupan seharian. Misi ke bulan telah merevolusikan gaya hidup
kita pada masa kini. Antara teknologi yang lahir dari misi Apollo ini adalah
seperti mesin pengimbas CAT, mikrocip computer, makanan sejuk beku dan kering,
joystick, TV satelit, pengesan asap, pakaian renang, dan penapis air.
Oleh itu, apabila setiap kali mendongak langit di kala malam
dan terlihat bulan yang mengambang, maka percayalah bahawa manusia telah
berjaya menjejakkan kaki mereka ke sana. Kita pernah ke sana walaupun
hakikatnya dilihat seperti sangat mustahil.
Sumber: Space.com, The Telegraph UK, nasa.gov, Apollo Lunar Surface Journal (NASA)
Dari Kaca Mata: yazidrosly_my@yahoo.com |
Ulasan