"Adina (Bicara Empat Puluh)"
“Assalamualaikum”
“Waalaikumussalam…”
“Ini rumahnya Encik Rizqullah?”
“Ya, saya yang bercakap. Ada apa-apa perkara yang perlu
saya tahu?”
“Saya dari balai polis Taiping…”
Kejutan melanda Rizqullah saat itu. Apakah pula kisahnya
sehingga polis menelefon ke rumahnya. Tambah menghairankan, bagaimana nombornya
itu boleh diperoleh walhal tiada siapa yang tahu akan nombornya itu?
“Ada apa-apa masalah yang perlu saya tahu?” soal
Rizqullah.
“Bapa encik namanya Hamdawi bukan?”
“Ya, memang itu bapa saya…”
“Bapa encik sekarang ada di sini. Boleh encik datang
sekarang ambilnya?”
Maka terciptalah kisah kejutan dalam kelam kabut. Agak
pelik tatkala perkhabaran bapanya itu berada di balai polis. Apakah yang
berlaku? Mungkinkah Cikgu Hamdawi melakukan sesuatu yang salah? Apakah bapanya
ditahan?
Pebagai persoalan bermain di fikiran. Sepantas itu juga
Rizqullah menuju ke balai polis Taiping. Walau apa pun, persoalan hanya akan
terjawab sebaik Rizqullah tiba di sana. Namun untuk detik itu, permainan
persoalan itu terus berlegar di fikirannya.
“Pasal tanahkah?” monolog Rizqullah sendirian. “Bapak
mengamukkah?”
Hakikatnya, Cikgu Hamdawi orangnya memang mudah
melenting, cepat marah. Sifat garangnya itu memang diketahui kebanyakan ahli keluarganya,
malah itulah yang membentuk peribadi Rizqullah sedikit sebanyak. Mungkin
disebabkan itu jugalah, Rizqullah dilihat tidak begitu rapat dan mesra dengan
bapanya itu.
“Apa pulak yang bapak hang buat kali ni…” keluh Mami
Radhwa di rumah. Keluhan itu didengari Abyatina.
“Sama-sama kita sabarkan hati. Mungkin ada kisah di
sebalik semua yang terjadi. Kita tunggu dan lihat,” kata Abyatina cuba
menenangkan ibu mertuanya itu.
Mereka terus menanti di rumah dan Rizqullah masih
bergegas menuju ke destinasi. Pagi itu, kesibukan yang tak pernah dirancang
tercetus. Kisahnya berlegar kepada Cikgu Hamdawi.
Setibanya di balai, maka Rizqullah terus bergegas ke
kaunter pertanyaan. Namun belum sempat pertanyaan diajukan, Rizqullah disapa.
Namanya dipanggil.
“Rizqullah!”
Lantas Rizqullah menoleh ke arah suara itu. Kelibat
bapanya dilihat duduk di satu sudut di balai itu.
“Awat hang lambat sangat? Aku tunggu lama dah ni…” kata
Cikgu Hamdawi.
Rizqullah masih lagi terpinga-pinga dalam kehairanan.
Tidak faham apa yang terjadi. Tidak tahu sebab bapanya itu berada di balai
polis.
“Kenapa bapak ada kat sini?” soal Rizqullah. “Bapak ada
buat salah?”
Seorang pegawai polis kemudian muncul. Salam dihulurkan
buat Rizqullah. Sapaan diberikan.
“Encik ini anaknya Cikgu Hamdawi?” soal pegawai itu.
“Ya… saya anaknya. Bapak saya ada buat salah?”
“Minta maaflah kalau saya tak maklumkan di telefon
tadi...” kata pegawai polis itu. “Bapak encik tak buat apa-apa kesalahan. Cuma
saya panggil encik ke mari sebab kata bapak encik, dia tak tahu nak balik ke
rumah…”
“Tak tahu? Bagaimana pula tak tahu?” soal Rizqullah
hairan.
“Mujurlah ada orang awam hantar bapak encik ke sini,”
terangnya lagi.
Kisahnya, Cikgu Hamdawi keluar ke pekan Taiping sebaik
sahaja selesai berjemaah Subuh di masjid. Dengan menaiki bas, maka dituju terus
menuju ke restoran mamak di pekan, barangkali mahu menjamah sarapan. Khabarnya,
tujuan utama Cikgu Hamdawi keluar adalah untuk bertemu peguam hartanah di pekan.
Mahu berbincang soal pembahagian tanah dengan lebih terperinci, maka itulah
yang dinyatakan Cikgu Hamdawi kepada Rizqullah.
Namun sebaik tiba di stesen bas, Cikgu Hamdawi tiba-tiba
hilang arah. Fikirannya tiba-tiba dilanda lupa tatkala tidak dapat mengingati
kembali alamat pejabat peguam yang dicari. Cikgu Hmadawi bersarapan dahulu
mengharapkan supaya ingatannya kembali segar, namun semuanya tampak samar dan
sukar. Lantas, bapa Rizqullah itu dilihat mundar-mandir kembali di stesen bas
tidak tahu arah tujuan. Seorang lelaki cuba membantu dengan menawarkan diri
untuk menghantar Cikgu Hamdawi pulang ke rumah Rizqullah. Namun itu juga sukar,
kerana dirinya tidak tahu alamat yang tepat.
“Aku tak ingat apa. Masa mai pi rumah hang, mak hang yang
tunjuk jalan. Aku memang tak ingat…” terang Cikgu Hamdawi kepada Rizqullah.
“Kalau bapak tak ingat, kenapa bapak keluar? Kenapa tak
tunggu saja saya?” soal Rizqullah.
“Nak tunggu hang lambat sangat. Aku nak cepat…” balas
Cikgu Hamdawi.
Getus kecil di hati Rizqullah merasakan sesuatu yang
tidak kena pada bapanya itu. Hakikatnya, Cikgu Hamdawi orangnya sangat tajam
ingatannya. Setiap kali mengatur urusan, maka pasti dirancang dan sangat tersusun.
Semuanya diatur dengan baik dan menepati masa. Namun pagi itu, Cikgu Hamdawi
tidak seperti kebiasannya.
Cikgu Hamdawi dibawa pulang. Tiada bicara panjang berlaku
untuk mengetahui punca sebenar masalah yang melanda bapa Rizqullah itu. Pada
hemat Rizqullah, barangkali bapanya itu keletihan atau mungkin juga tertekan.
Itu sahajalah punca yang mungkin menyebabkan kisah di pagi itu terjadi.
Bicaranya itu tidak dipanjangkan. Sebaik tiba di rumah,
perkhabaran yang berlaku di balai polis itu tidak diceritakan kepada Mami
Radhwa. Walaupun ibu Rizqullah ibarat mendesak supaya menceritakan kisah yang
sebenar terhadap apa yang berlaku, namun Rizqullah hanya mengukir senyuman
sahaja.
“Semuanya baik-baik saja. Tak perlulah dirisaukan
sangat…” kata Rizqullah ringkas.
Petang itu, Rizqullah pulang ke kampung Abyatina.
Tujuannya seperti biasa menziarahi bapa mertuanya namun pada masa yang sama menjemput
ibu mertuanya juga. Seperti yang telah dijanjikan, maka petang itu Mak Cik Ros
akan ke rumah baru Rizqullah. Janji diberikan untuk melihat dan menjaga
Abyatina yang masih berpantang untuk beberapa ketika.
“Siapa yang jaga ayah malam ni?” soal Rizqullah ingin
tahu.
“Mu jangan risau. Zabarjad ada… Rafiqin ada… Pak Long mu
pun ada juga malam ni di rumah. Tahulah deme nak menjaga Ustaz Man,” terang Mak
Cik Ros.
Kisah pantang Abyatina bermula di kampung, saat selamat
melahirkan anak keduanya yang kemudian diberi nama Istafa. Beberapa selepas
berada di kampung, maka Abyatina berpindah ke rumah baru, selepas dipujuk
Rizqullah. Tatkala berada di rumah baru, maka semuanya harus dilakukan sendiri.
Namun, hati seorang ibu mudah tercetus dengan risau yang mendalam. Maka sebab
itu jugalah Mak Cik Ros akan sekali sekala datang ke rumah mereka, menjenguk
dan menjaga Abyatina buat seketika. Sehari dua, maka ibu Abyatina itu akan
bermalam di rumah baru mereka.
Hakikatnya, Mak Cik Ros sangat mahir, punyai pengalaman
dalam menguruskan ibu yang sedang berpantang. Kisah dulu-dulu, anak sulungnya
Raiqah, maka itu juga dijaganya sepanjang tempoh berpantang. Tiga kali Raiqah
berpantang, maka ketiga-tiga itu jugalah Mak Cik Ros menjaganya walaupun
terpaksa menuju jauh ke Pulau Pinang.
Setiap kali detik perkhabaran kedatangan ibunya, Abyatina
sudah pasti merasai rasa gembira di hati. Rasa lega pasti dinikmati, apabila
semua kerja untuk berpantang pasti akan dibantu ibunya. Dari soal bertunku,
memakai barut, mengurut, ubat-ubatan dan jamu, penjagaan diri hinggalah kepada
soal menjaga bayi, semuanya pasti akan dibantu atas nasihat ibunya. Semuanya
dipermudahkan.
Barangkali itulah yang mendatangkan gembiira di hatinya.
Namun, untuk pertama kalinya, kunjungan ke rumah Rizqullah
itu pasti mencipta suasana berbeza apabila ibu dan bapa Rizqullah juga turut
berada di rumahnya. Besan bertemu besan, jarang sekali untuk berlaku. Sepanjang
tempoh perkahwinan Abyatina dan Rizqullah, maka inilah kali pertama ibu
Abyatina akan bermalam bersama besannya
itu.
“Tapi sayangnya, tak dapat Ustaz Man turut sama…” luah
Mak Cik Ros sebaik tiba di rumah Rizqullah. Ketibaan itu disambut Mami Radhwa.
“Tak apalah. Biar Ustaz Man berehat. Nanti kami yang pi
melawat dia,” balas Mami Radhwa. Salam dihulurkan, pelukan tercipta. Dua besan
yang jarang ketemu, akhirnya dapat bersua.
Malam itu, barangkali itulah saat paling bahagia buat
Abyatina. Tidak pernah dilihatnya akan kemeriahan sebegitu tatkala ibunya
berbual rancak dengan ibu mertuanya. Sekali-sekala, Cikgu Hamdawi akan
menyampuk, berseloroh menyakat isterinya. Memang tidak pernah terjadi selama
ini, namun itulah yang sedang disaksikannya. Yaqzan anak sulungnya, dilihat
begitu aktif sekali. Berlari-lari di dalam rumah selepas makan malam, barangkali
turut merasa suasana meriah di rumah itu. Namun, kemeriahan itu pasti masih
belum sempurna.
“Kalau ayah ada, mesti lagi kecohnya…” luah Abyatina.
“Kalaulah…”
Malam itu, Abyatina ditemani ibunya. Rizqullah tidur di
bilik lain bersama anaknya Yaqzan. Di kala itulah maka perbualan tercipta. Mak
Cik Ros mengurut-ngurut anaknya itu. Sudah lama Abyatina tidak merasai belaian seorang
ibu. Walaupun telah meningkat dewasa, rasa ingin dibelai itu pasti akan terus
ada.
“Bila Kak Raiqah nak bersalin?” soal Abyatina memulakan
perbualan saat ibunya itu terus mengurut badannya yang lenguh.
“Khabaranya bulan depan. Dia lewat sikit dari Ina…” balas
ibu Abyatina ringkas.
“Makin bertambah cucu mak…”
“Jangan dilupa juga, anak sulung Abang Absyar mu pun dah
menanti masa saja,” kata Mak Cik Ros.
“Mak ada melawat Kak Tasha?” soal Abyatina menduga
ibunya. Hakikatnya, kisah Tasha isteri Absyar sehingga ke detik itu masih
mencipta sisi terasa di hati Mak Cik Ros.
Kisah beberapa bulan yang lalu, berita kehamilan Tasha diketahui
sewaktu majlis konvokesyen Abyatina dan Rizqullah di USM satu masa dahulu.
Tasha pengsan sewaktu di majlis itu, dan terus dibawa ke hospital. Saat itulah,
barulah diketahui bahawa isteri Absyar itu hamil. Namun, belum sempat Mak Cik
Ros bertandang ke hospital untuk melawatnya, Tasha terlebih dahulu telah pulang
ke kampung. Semua yang melihat situasi itu yakin bahawa Tasha hakikatnya mahu
mengelak dari ibu mertuanya itu. Seolah-olah perseteruan telah tercipta.
“Tapi apa puncanya?” soal Abyatina.
“Hati manusia susah nak difahami. Kadang-kadang, lagi
kita cuba nak faham, lagi jauh kita tersasar. Lagi sukar nak selaminya,” balas
Mak Cik Ros. Tenang sahaja tanpa barang sedikit pun wujud rasa amarah.
“Ina cuma takut, kalau satu hari nanti Abang Syar makin
jauh dengan kita…” luah Abyatina.
“Kalau takdirnya begitu, kita kena terima. Apa yang
penting, biarlah Absyar bahagia. Tanggungjawab seorang suami, adalah untuk
menjaga seorang isteri”
“Tapi, seorang suami perlu membimbing isteri. Bukan
dikawal isteri…”
“Kita tak tahu apa yang berlaku. Kita tak boleh menuduh…”
balas ibu Abyatina. Fikirannya masih lagi positif.
Malam itu, perbualan berlanjutan sangat panjang sementara
menanti lena yang tak kunjung tiba. Telah lama Abyatina dan Mak Cik Ros tidak berbual-bual
sedemikian lama. Kali terakhir perbualan sebegitu berlaku adalah sewaktu
Abyatina dalam tempoh pantang ketika melahirkan Yaqzan anak sulungnya.
Mungkin sesuatu yang harus dihargai detik seperti itu.
Fikiran Abyatina berlegar-legar sedemikian. Barangkali emosi dirasakan
Abyatina.
“Mak, kenapa ayah masih tak sembuh?” soal Abyatina
tiba-tiba.
Soalan spontan terkeluar dari Abyatina. Perihal Ustaz Man
pula mengambil tempat. Ternyata Abyatina hanyut dalam emosi kenangan lalu.
Terkenangkan ayahnya yang sihat sewaktu dulu-dulu.
“Tiap-tiap sakit ada hikmahnya. Tiap-tiap perkara yang
terjadi pasti Allah Maha Mengetahui. Mungkin Allah sayangkan ayahmu. Mungkin
sebab itu dia terus diuji,” balas Mak Cik Ros. “Kita juga diuji. Ujian sabar,
ujian kita untuk lagi dekat dengan Allah…”
“Kalaulah ayah sihat….”
“Jangan sekadar kalau…” kata Mak Cik Ros. “Setiap kalau
tapi tak diiringi usaha, semuanya hanya angan-angan. Doakanlah sebanyaknya.
Moga Allah kurniakan sihat untuk ayahmu…”
Abyatina terlelap tidak lama selepas itu. Perbualan
terhenti dan Mak Cik Ros masih terus segar, sukar untuk memejamkan matanya.
Hakikatnya, kisah seorang ibu bukanlah satu perjalanan yang mudah dan
menyenangkan. Perjalanan itu penuh ceritanya, menduga setiap detik kesabaran.
Bagi Mak Cik Ros, pelbagai kisah menduga dirinya.
Pelbagai masalah sedang menyelubungi setiap perjalanan hidupnya kini.
Hakikatnya, masa rehat tidak banyak dimiliki Mak Cik Ros. Setiap detik waktu,
maka keseluruhannya digunakan buat suami dan anak-anaknya. Perihal kesihatan
Ustaz Man, kisah Abyatina berpantang, penantian Raiqah untuk anak keempatnya,
kisah Tasha yang bakal melahirkan anak sulungnya semuanya bermain di fikiran
ibu Abyatina itu. Malah, ditambah pula dengan kisah sikap dingin menantunya
Tasha terhadap dirinya sedikit sebanyak seringkali mengundang rasa resah di
hati.
Seorang ibu, punyai banyak kisahnya.
Pagi esoknya, Abyatina bangun agak lewat. Perbualan
panjang malam sebelumnya ternyata satu kepuasan buatnya namun pada masa yang
sama mendatangkan sedikit rasa keletihan di pagi itu. Ibu Abyatina telah bangun
seawal empat pagi. Sarapan disediakan ibunya bersama-sama Mami Radhwa ibu
mertuanya. Satu lagi situasi yang tidak
pernah berlaku sebelum ini.
Di kala itu, banyak perbualan tercipta di antara Mami
Radhwa dan Mak Cik Ros. Hakikatnya, bukan selalu mereka bersua. Apabila bertemu,
pasti banyak biacra yang dikongsikan.
“Bercucu lagilah kita ya…” kata Mami Radhwa.
“Cucu saya tak sebanyak cucu mami…” balas Mak Cik Ros.
“Banyak sikit semua tu tak ada beza. Kita ni yang dah
makin tua…” kata Mami Radhwa. “Dengar cerita nak menyambut dua lagi cucu?”
“Ya… sikit masa lagi. Anak sulung dengan menantu tunggu
masa saja nak bersalin. Tahun ni tiga cucu dapat,” balas Mak Cik Ros.
“Semua tu rezeki….” kata Mami Radhwa. “Apa khabar Ustaz
Man?” soalnya mengubah tajuk perbualan.
“Khabarnya macam tulah. Nak dikata sihat pun tak sihat.
Nak dikata sakit pun tak sakit. Usia makin lanjut, nikmat cergas pun makin lama
makin hilang…” luah Mak Cik Ros. “Taklah sama dengan Cikgu Hamdawi. Umur dah
masuk tujuh puluh, tapi sihat sampai sekarang”
“Cikgu Hamdawi memang dok sihat. Tapi dok kalut
memanjang. Pencen dah lama, tapi cara macam bekerja. Tak lekat dok rumah,” kata
Mami Radhwa.
Mak Cik Ros hanya tersenyum. Di hatinya, rasa untung
pasti dimiliki besannya itu. Suami Mami Radhwa masih lagi sihat tidak sama
seperti suaminya. Kadangkala, rasa cemburu menyelubungi. Namun di saat itu
jugalah, hanya kepada Allah dia berserah.
Hidangan pagi dilihat lebih meriah. Pelbagai hidangan
kuih disediakan, dan semuanya dibuat Mami Radhwa dan Mak Cik Ros. Binka ubi
kayu dan kuih gelang disediakan Mami Radhwa. Nasi lemak pula datang dari air
tangan Mak Cik Ros. Hakikatnya, kedua-dua besan ini punyai kemahiran memasak
yang tersendiri. Mami Radhwa ternyata bukan asing dalam menghasilkan kuih-muih,
kerana itulah kepakarannya. Sewaktu anak-anaknya masih kecil, Mami Radhwa
menjual kuih-muih bagi menampung perbelanjaan harian. Bagi Mak Cik Ros, memasak
adalah sebahagian dari hidupnya. Di kampung, di kala kenduri-kendara diadakan,
maka kepada Mak Cik Roslah sumber dirujuki. Kemahiran memasak Mak Cik Ros senantiasa
menjadi rujukan orang-orang kampung.
“Dan siapa nak makan semua banyak-banyak ni?” soal
Abyatina sebaik melihat hidangan yang tersedia di meja makan.
“Orang berpantang, kenalah dilayan bak permaisuri. Baru
lekas-lekas pulih dan sihat,” kata ibunya.
“Kalau Ina bak permaisuri, maknanya saya ni bak raja.
Betuk tak?” Rizqullah mencelah sebaik tiba di meja hidangan.
“Kalau hang tu, dari dulu lagi orang dok layan macam
raja. Jarang nak buat kerja…” balas Mami Radhwa ibu Rizqullah. “Betul tak
Abyatina?”
“Orang lelaki semua sama. Bila jadi suami, impi nak jadi
raja. Tapi si isteri dibiarkan tak berpemaisuri…” balas Abyatina. Kata-kata
sekadar usikan dalam gurauan.
“Siapalah raja di hati Abyatina…” usik Rizqullah. “Kerana
rajanya bukan raja. Dibiarkan sunyi dalam ketandusan panas gurun…”
Bicara dalam tersirat. Abyatina mengerti dengan usikan
itu. Lantas terus dicubit manja lengan Rizqullah.
“Gatal!”
Rizqullah sekadar tersenyum. Kisah si isteri berpantang,
maka itu juga menjadikan Rizqullah turut sama dalam tempoh berpantang. Buat
mereka yang faham, itulah kisahnya.
Mengharungi masa depan, maka ketidakpastian itu seringkali
bermain di fikiran. Mengenang kisah-kisah lalu, maka kerisauan barangkali
tercetus di hati. Namun untuk detik itu, Abyatina tenang dalam bahagia. Kisah
gembira tercipta seketika.
Mak Cik Ros berulang-alik beberapa kali dari kampung ke
rumah Abyatina sepanjang tempoh berpantang itu. Bagi Mami Radhwa dan Cikgu
Hamdawi, mereka terus berada di rumah itu sepanjang tempoh tersebut. Tiada
siapa yang tahu, namun keberadaan kedua mertua Abyatina itu sedikit sebanyak
mengurangkan rasa sunyi di rumah di kala Rizqullah berada di sekolah.
“Tapi… apa sebabnya?” monolog Abyatina sendirian. “Kenapa
mak dan bapak mertua aku masih terus tinggal di sini? Apa yang berlaku di
kampung sebenarnya?”
Pasti sesuatu terjadi di kampung yang tidak dikongsikan
mereka. Lintasan fikiran menimbulkan persoalan. Abyatina sekadar mencetuskan
soalnya, namun tidak berani diajukan untuk mendapatkan jawapannya.
Kisah minggu-minggu berikutnya, maka Abyatina berada di
penghujung pantangnya. Kehidupan bakal kembali seperti kebiasaan. Anaknya
Istafa dilihat lebih mudah dijaga berbanding anak sulungnya Yaqzan. Tidak
banyak merengek, senantiasa menyenangkan. Barangkali situasi yang berlaku itu seakan
mengerti terhadap pelbagai keserabutan yang melanda Abyatina.
Namun tatkala semakin hampir di penghujung tempoh pantang
itu, maka persoalan utama terus bermain di fikiran Abyatina. Kisah kerjayanya
sebagai guru mula mengambil tempat. Tanggungjawab dan tugas yang ditinggalkan
sepanjang tempoh cuti bersalin bakal digalas kembali. Lantas mencetuskan persoalan
dalam diri Abyatina. Barangkali diselubungi kerisauan juga.
“Siapa yang nak jaga Istafa?” soal Abyatina di suatu
hari.
“Sama-sama kita cari jalannya. Kerja tetap kerja.
Tanggungjawab jangan dilupa. Walaupun banyak cabarannya, soal kerja jangan dibiarkan,”
balas Rizqullah.
“Istafa masih kecil. Rasa tak sampai hati nak
tinggalkan…” luah Abyatina.
“Memang Istafa masih kecil, tapi dia nanti semakin
membesar. Memang mula-mula susah. Tapi insya-Allah, semuanya nanti akan jadi
mudah. Ina kena kuatkan semangat, kuatkan hati”
Persoalan tersebut dibiarkan berlegar dahulu. Abyatina
tidak lagi mahu memikirkannya kerana di hari itu, menjelang tengah hari,
Abyatina mendapat perkhabaran bahawa kakaknya Raiqah telah selamat melahirkan
anak keempatnya. Bayi perempuan, selamat dilahirkan di Pulau Pinang.
Perkhabaran itu disampaikan Arfan abang ipar Abyatina menerusi satu panggilan
telefon. Bicaranya ringkas, namun kisahnya satu kegembiraan.
“Sampaikan khabar buat semua. Raiqah dan selamat
bersalin. Perempuan juga…”
Jika diikutkan hati, mahu sahaja Abyatina menuju ke Pulau
Pinang untuk melihat sendiri kakaknya itu. Namun dalam keadaan yang masih berbaki
pantang, niatnya itu terhalang. Tidak mungkin Rizqullah mengizinkannya.
“Itu satu hal…” monolog Abyatina. “Kalau nak pergi, siapa
pula nak temankan kedua-dua mertua aku? Nyonya depan rumah aku?”
Barangkali tidak mungkin. Ya, mana mungkin bukan?
Namun, tempoh lama Mami Radhwa dan Cikgu Hamdawi berada
di rumahnya itu sedikit sebanyak mencetuskan tanda tanya. Kelihatan
kedua-duanya seperti tidak mahu pulang lagi ke kampung halaman. Ingin juga
ditanya, namun takut pula menguris hati mereka.
“Disalah tafsir, silap-silap mertua aku fikir nak
menghalaunya pula…” monolog Abyatina.
Maka tercetus kembali ingatan terhadap kisah yang
diceritakan Mami Radhwa suatu masa dahulu. Kisah konflik Cikgu Hamdawi dan anak
lelaki keduanya, Ruwaidi. Kisah tanah dan tapak rumah, barangkali pasti punyai
perkaitan.
Mungkin persoalan tersebut akan terjawab juga satu hari
nanti.
“Biarkan masa yang menjawabnya….”
Lamunan berterusan.
“Nanti bila Ina habis pantang, kita ziarah Kak Raiqah.
Tak lama dah pun kan…” bicara Rizqullah menghentikan lamunan panjang
Abyatina. Tanpa sedar, hari di hujung
minggu, maka Rizqullah dilihat lebih lapang berbanding kebiasaannya.
Janji diberikan. Hanya menanti.
Seperti hari-hari kebiasaan di hujung minggu, Rizqullah
akan ke pasar membeli segala keperluan barang basah di dapur. Kebiasaannya
juga, ibu Abyatina akan berkunjung ke rumahnya. Namun, untuk kali ini kunjungan
tidak terjadi kerana ibunya itu kini berada di Pulau Pinang melawat Raiqah yang
baru sahaja selamat melahirkan anaknya.
Di hujung minggu juga, Cikgu Hamdawi pasti akan hilang di
awal pagi. Setiap hujung minggu, maka bapa mertua Abyatina itu akan ke taman
tasik beriadah di sana. Menghabiskan masa untuk beberapa ketika sebelum
bersarapan di pekan. Itulah rutin mingguan berulang-ulang, tetap sama seperti
kebiasaannya.
Namun, kebiasaan yang tercipta itu bagai berubah seketika
kerana menjelang tengah hari, rumah Abyatina itu dikunjungi tetamu. Barangkali
itulah tetamu pertama yang diterima untuk rumah baru mereka.
“Assalamualaikum!”
Salam diberi. Rizqullah terus menjenguk keluar. Kejutan
diterima.
“Abang Lang?” soal Rizqullah. “Apa pula dibuatnya sampai
datang ke sini?”
Rizqullah keluar dan menyambut kehadiran abangnya itu.
Ruwaidi ternyata sangat jarang untuk menziarahinya. Malah, tidak pernah hatta
sekali pun abangnya itu pernah datang untuk menjenguknya sejak Rizqullah dan
Abyatina berkahwin.
“Cantik rumah hang,” bicara Ruwaidi. Dua beradik sudah
lama tidak ketemu. Perbualan tercipta bagai sesuatu yang luar biasa.
“Rumah teres saja…” balas Rizqullah. “Masuklah. Takkan
nak berdiri di luar saja. Mak ada kat dalam…”
Ruwaidi dengan cermat berjalan masuk ke dalam rumah. Gaya
jalannya penuh tersusun. Barangkali sudah terbiasa. Bakal pesara tentera,
Ruwaidi hadir bersendirian ke rumah Rizqullah itu. Isteri dan anak-anaknya
tidak kelihatan.
Namun belum sempat Ruwaidi masuk ke rumah, sebuah teksi
pula berhenti di hadapan. Kelibat Cikgu Hamdawi kelihatan. Ruwaidi dilanda
kejutan.
“Kalau hang mai sini nak cakap pasal hal tanah, baik hang
balik!” kata Cikgu Hamdawi dalam nada yang agak tinggi sebaik turun dari teksi
tersebut. Hampir saja dijerkah si Ruwaidi. “Hang jangan ingat aku tak tau
tujuan hang mai sini!”
Itulah kata-kata yang terluah sebaik Cikgu Hamdawi
menyedari kehadiran Ruwaidi di rumah Rizqullah itu. Amarah yang barangkali
dipendam selama ini.
Situasi itu ternyata merisaukan Rizqullah. Satu tindakan
harus diatur bagi mengelakkan situasi bertukar menjadi pergaduhan yang lebih
besar.
Namun, belum sempat Rizqullah bertindak apa-apa, sebuah
kenderaan lain berhenti pula di hadapan rumahnya. Secara tiba-tiba, situasi
panas di tengah hari menunjukkan kemeriahannya. Panas semakin hangat. Kelihatan
Absyar turun dari kenderaan tersebut. Rafiqin turut sama dengannya.
Cikgu Hamdawi dan Ruwaidi terhenti seketika perseteruan.
“Ustaz Man… Ustaz Man!” kata Absyar.
“Kenapa dengan Ustaz Man?” soal Rizqullah hairan.
Situasi tengah hari itu ternyata sesuatu di luar daripada
kebiasaan. Mencipta satu detik yang barangkali tidak dapat dilupakan.
Masing-masing terpinga-pinga di tengah hari itu.
*Tamat sudah Bicara Empat Puluh*
Ada apa dengan Ustaz Man? Bagaimana Cikgu Hamdawi dan
Ruwaidi? Apakah Rizqullah? Akan menyambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan