Bicara Zahid buat Tasha...




Mungkin dalam perjalanan ke suatu destinasi, kita seringkali memikirkan tentang sesuatu, sama ada sedar atau mungkin dalam kawalan pemikiran kitra. Apabila kita menunggu, maka bila tiada kerjanya, seringkali kisah-kisah silam menjelma. Mungkin banyak perkara yang menyinggah, namun tak semuanya indah-indah belaka. Soal jodoh seringkali menyinggah dalam lubuk sanubari tatkala sehingga ke hari ini masih belum ada yang sudi. Untuk mencari, bunyinya seperti mudah. Namun bila dicari, semakin banyak usahanya, maka semakin mustahil dirasakannya. Mungkinkah ini dugaan yang sengaja diuji oleh-Nya?

Apabila usia semakin meningkat, banyak yang semakin berubah. Hukum masa menyatakan semakin masa itu meninggalkan kita, tak semua perkara akan kekal selamanya. Coretan ini bukanlah satu keluhan, kerana bicara ini lebih berbentuk seperti satu perluahan dalam bentuk muhasabah diri. Seringkali kita terlupa akan hakikat bahawa bukan kita yang menentukan setiap perjalanan hidup, kerana setiap perencanaan itu adalah di bawah kekuasann-Nya. Benar, kita punyai kuasa merancang, namun kuasa penentu itu terletak mutlak di bawah-Nya.

Kisah Tasha adalah perencanaan di luar dugaan. Siapa sangka, gadis cilik yang masih lagi keanak-anakan di akhirnya menjadi satu kisah yang cukup penting 10 tahun kemudian. Tidak pernah terlintas di fikiran hatta sekali pun, Tasha bakal mencipta satu jeritan hati, yang seringkali muncul tatkala hati semakin lama semakin menginginkan seorang peneman hidup. Mungkinkah Tasha itu sekadar impian? Apakah Tasha tidak akan pernah menjadi satu kisah hidup penuh keindahan?

Benar, mungkin cinta tak semuanya akan melalui detik keindahan. Adakalanya cinta itu manifestasi sebuah kepedihan, lebih lama dipendam, lebih lama pedihnya. Tak mungkin hati itu dapat bertahan lama andai rasa pedih itu terus menjelma.

Tasha mungkin kelihatan menjadi sebuah kisah yang telah berlalu pergi. Namun tak mustahil juga kisah yang berlalu pergi itu akan kembali menjadi satu angan-angan bertukar realiti. Tatkala hati itu telah berputus asa, mungkin ada benarnya, sinar itu mungkin muncul di pertengahan perjalanan. Kuasa Ilahi siapa yang tahu, kerana kuasa-Nya itu hakikatnya mengatasi segalanya.

Impiannya adalah mahu menjadikan Tasha sebagai teman hidupnya. Benar, suka dan cintanya itu berlandaskan kepada sebuah keikhlasan. Jangan dinafikan akan hakikat itu, cinta itu tak mampu ditandingi oleh mana-mana kemunculan wanita lain. Bukan mudah untuk mencari pengganti Tasha. Bukan tak pernah dicuba mencari wanita lain, namun tiap kali dicuba, maka tiap kali itulah kekecewaan dan kegagalan itu melanda. Mungkinkah itu tandanya Tasha itulah jodoh yang sebenar-benarnya? Jika benar, di manakah lorong ke arahnya? Logikkah justifikasi itu? Mampukah impian itu tercapai? Memang indah andai impian itu dapat direalisasikan.

Tasha itu punyai ciri tiada tolok bandingnya. Ciri-cirinya penarik setiap sudut. Wajahnya, tutur katanya, gaya pemakaian, semuanya penarik pada pandangan mata. Mungkin agak exaggerate tatkala membicarakan tentang keindahan Tasha, namun tak salah, kerana setiap tarikan itu adalah satu nilai abstrak, yang berbeza-beza pada sudut pandangan yang lain. Mungkin Tasha itu indah di matanya, namun tidak bagi yang lain.

Insya-Allah, andai ada jodohnya, mungkin akan tiba masanya dia akan bahagia. Andai Tasha itulah bakal isterinya, maka seharusnya hati itu tenang dan sabar menghadapi setiap dugaan dan cabaran. Tak kisahlah apa pun pengakhirannya, apa yang penting adalah kebahagiaan.

Benar, seringkali dia berdoa:

“Ya Allah, Kau kurniakanlah jodoh yang terbaik, jodoh yang akan membahagiakan aku. Yang akan membahagiakan seumur hidupku. Aku sesungguhnya mengharapkan agar Tasha menjadi sebahagian hidupku. Maka berikanlah aku lorong, supaya aku dapat mencapai impian itu. Sekiranya bukan Tasha jodohku, ku mohon agar dikurniakan akan seorang yang sebaik Tasha ciri-cirinya, atau kurniakanlah ciri-ciri yang lebih baik darinya.

Sesungguhnya, semua perkara itu adalah di bawah kekuasaan-Mu, aku hanya mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya, aku berserah pada-Mu”

Moga Tasha bakal menajadi impian bertukar menjadi realiti. Moga Tasha menjadi sebahagian hidupku. Moga Tasha bakal menjadi teman hidupku. Moga ‘Thahirah’ menjadi isteriku.

Insya-Allah. Amin, Ya rabbal alamin.

Bicara khas buat Tasha, moga impian bertukar satu kebahagiaan. Moga ‘Thahirah’ satu ketenangan.



 

Ulasan

Semoga berbahagia selamanya..
"Salam Aidil Adha Yazid!"
Insya-Allah. Terima kasih. "Salam Aidiladha juga!"

Catatan Popular