Muhasabah Jumaat: Zina satu budaya moden yang biasa?









Semakin maju ke hadapan negara, maka semakin mundur jati diri dan akhlak rakyatnya. Mungkin itulah yang diluahkan oleh segelintir masyarakat yang masih peka tentang kejatuhan nilai dalam kalangan generasi hari ini.

Sewaktu cuti semester yang lalu, penulis berhadapan dengan satu situasi yang cukup menjengkelkan sewaktu sedang membeli barang di 7 Eleven. Jam menghampiri 11 malam, dan kelihatan sepasang kekasih sedang bermanja-manjaan, usik mengusik antara satu lain, bergurau senda sewaktu membeli barang. Gelagat mereka agak menjengkelkan sehingga rasa meluat wujud. Dilihat pada usia si gadis itu, mungkin dirinya masih lagi bergelar pelajar sekolah. Si lelaki pula mungkin berumur dalam ingkungan awal 20-an.

Tidak lama selepas itu, mereka ke kaunter untuk membuat pembayaran. Pada waktu itulah penulis sedikit terkejut, apabila si gadis itu dengan selamba mengambil sekotak kondom di kaunter tersebut untuk dibeli bersama barang-barang yang lain. Si lelaki hanya tersenyum, sambil tangannya merangkul pinggang si gadis itu.

Sebaik pembayaran dibuat, mereka terus meluru keluar sambil tangan berpegangan antara satu sama lain. Situasi yang dilihat terus mencetuskan tafsiran yang kurang enak. Mungkin penzinaan bakal berlaku. Itu yang terlintas.

Namun, penulis menenangkan diri dengan berfikir positif, menyatakan bahawa mungkin mereka pasangan baru berkahwin.

Sesungguhnya zina itu dilarang sama sekali. Zina itu bakal mencetuskan pelbagai kerosakan malah dikeji perbuatannya. Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, surah al-Israk, ayat 32:


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Israk, ayat 32)

Hakikatnya, zina adalah antara salah satu dosa besar. Malah, beberapa tafsiran menyatakan bahawa zina dan membunuh itu mempunyai perkaitan, bagai isi dan kuku. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas kerana ayat selepas ayat 32, surah al-Israk itu menyentuh pula soal hukum membunuh.

"Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan."
(Al-Israk: 33)

Secara logiknya, zina dan membunuh itu berkait. Andai zina tercetus, kemungkinan hamil luar nikah terjadi. Tak mustahil pengguguran bayi berlaku, dan sekiranya bayi dilahirkan, tak mustahil juga bayi itu dibuang atau dibunuh. Semuanya berlaku bagi menutup aib dan malu.

Azab akibat membunuh amatlah dahsyat, sehingga dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, surah al-Nisa, ayat 93:

“Dan siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”
(Surah al-Nisa, ayat 93)

Sesungguhnya azab yang digambarkan itu menunjukkan betapa beratnya larangan membunuh ini bagi setiap Muslim.

Berbalik kepada isu zina, sesungguhnya perkara itu mudah terjadi apabila adab dan hokum itu tidak dijaga. Soal pandangan mata, soal pergaulan antara wanita dan lelaki, soal menjaga aurat seharusnya menjadi keutamaan bagi setiap Muslim. Sekiranya perkara ini tidak dijaga, maka cetusan-cetusan hati menghampiri zina itu akan mudah terjadi.

Bagi kaum lelaki, menjaga pandangan mata dari perkara-perkara yang haram seharusnya dititik beratkan. Perkara ini dinyatakan dalam surah an-Nur, ayat 30:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(Surah an-Nur, ayat 30)

Dalam ayat ini, dinyatakan dahulu bahawa lelaki itu perlu menjaga pandangan matanya sebelum memelihara kemaluannya. Perkara ini menjelaskan bahawa pandangan mata itu lebih sukar dijaga berbanding kemaluan, dan daripada mata itulah, baru tercetus perasaan untuk berzina. Maka, jaga mata, jagalah hati.

Bagi kaum hawa, peranan mereka juga perlu dimainkan. Mereka juga seharusnya menjaga pandangan mata mereka, serta memelihara kemaluan dari perkara maksiat. Peranan mereka lebih besar, kerana mereka juga perlu menjaga tubuh mereka dari diperlihatkan aurat serta perhiasan terhadap golongan yang tidak sepatut melihatnya.

Perkara ini dijelaskan dalam ayat berikutnya dalam surah an-Nur, ayat 31:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki."
(Surah an-Nur, ayat 31)

Dalam ayat ini, dinyatakan dengan jelas perkara yang perlu dilakukan oleh kaum hawa. Malah pemakaian tudung juga turut dijelaskan, dengan menyatakan bahawa tudung itu seharusnya menutupi bahagian dada. Namun, jika dilihat pada keadaan masa kini, banyak yang bertudung, namun masih lagi mendedahkan bentuk dada mereka.

Hakikatnya, dalam soal menjaga hati dari zina, sekiranya setiap Muslim itu mengikut seruan yang dinyatakan dalam surah an-Nur itu, maka sudah pasti kes-kes zina akan berkurangan. Namun, harus diakui, dunia hari ini penuh dengan cabaran. Dosa itu dilihat begitu indah, manakala amal soleh itu dilihat sebagai pelik.

Maka, dalam soal mencegah generasi hari ini dari berzina, sesungguhnya semaian agama itulah yang perlu difokuskan. Bak kata orang mencegah itu lebih baik dari merawat.

Namun, sekiranya ada yang telah terlanjur, sesungguhnya pintu taubat itu senantiasa terbuka. Allah itu Maha Pengampun.

Bertaubatlah selagi punya kesempatan.

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
(Surah al-Furqan, ayat 70)

Wallahualam.



Ulasan

Catatan Popular