Pagi Khamis: Komentar mengenai peristiwa 10.10 UPSI



Kawasan Tadahan Selatan, UPSI dikaitkan dengan jelmaan Cik Bedah



Peristiwa 10.10 di UPSI seringkali disebut tiap kali munculnya tarikh tersebut. Kisahnya dikaitkan dengan jelmaan Cik Bedah yang dikatakan akan berkeliaran di sekitar UPSI pada setiap 10 Oktober. Pelbagai versi cerita dikongsikan dari generasi ke generasi, namun kisahnya tetap sama, setiap kali munculnya tarikh tersebut, maka UPSI dilihat seperti dilanda satu ketakutan. Aktiviti malam di kampus akan mati pada malam tersebut.

Melihat dari sudut sejarah, memang tidak dinafikan UPSI melalui satu proses yang panjang. Ditubuhkan pada tahun 1927, bermula dengan nama SITC diikuti MPSI, sebelum menjadi IPSI, sehinggalah dinaiktaraf menjadi UPSi, maka kronologi masa itu merangkumi zaman British, Perang Dunia Kedua, zaman Jepun, hinggalah ke zaman pasca merdeka.

Berbalik kepada kisah Cik Bedah yang seringkali disebarkan dari mulut ke mulut, kelihatan penyebaran kisah ini seolah-olah telah mencetuskan satu ketakutan dalam kalangan pelajar UPSI itu sendiri.

Memang benar, jelmaan-jelmaan ini muncul di UPSI, namun untuk menyatakan bahawa jelmaan ini sebagai satu ancaman adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Haruskah kisah seperti Cik Bedah ini diceritakan secara meluas dalam kalangan pelajar? Apakah tujuan sebenarnya? Sekiranya sekadar mahu memberi peringatan supaya berhati-hati agar tidak diganggu, maka perkara itu bukan satu kesalahan. Namun andai perkongsian kisah itu di akhirnya mencipta satu ketakutan dalam kalangan mahasiswa, maka seharusnya penyebaran kisah itu perlu dihentikan.

Kelihatan kini, wujud satu kepercayaan mistik bahawa tarikh 10.10 itu merupakan satu keadaan yang harus dielakkan bagi mahasiswa UPSI untuk berada di kampus. Dikatakan bahawa jelmaan-jelmaan makhluk halus ini akan bermaharaja lela pada malam tarikh tersebut. Tak kurang juga menyatakan bahawa tarikh tersebut merupakah “Hari Halloween” bagi UPSI.

Konklusinya, budaya takut kepada ‘perkara halus’ menjadis esuatu yang cukup besar, sehingga membentuk satu budaya dan kepercayaan yang menyatakan seolah-olah jelmaan-jelmaan ini cukup berkuasa.

Ingatlah, hakikatnya yang Maha Berkuasa hanyalah Dia. Dalam surah Yunus, ayat 101, dengan jelas dinyatakan bahawa kuasa Allah itu mengatasi segalanya termasuk bangsa jin.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya”
 (Surah Yunus, ayat 101)

Hakikatnya, sekiranya manusia itu meletakkan ketakutan melebihi takut kepada Allah, maka sesungguhnya perkara ini akan menyebabkan bangsa jin itu bertambah sombong dan jahat. Dalam erti yang mudah, andai kita lagi menyebut dan bercerita mengenai jin ini, ditambah pula cerita yang menyebabkan seseorang itu menjadi takut, maka jin itu akan lebih gembira dan akan lebih hebat mengganggu manusia.

Perkara ini dinyatakan dalam surah al-Jin ayat 6.

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”

(Surah al-Jin, ayat 6)

Oleh itu, bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus ini adalah dengan baik seseorang itu  bediam diri dan tidak terlalu banyak bercerita mengenainya.  

Konklusinya, tarikh 10.10 di UPSI itu seharusnya tidak dijaja secara besar-besaran dalam kalangan mahasiswa. Seharusnya perkara ini disimpan dan tidak dihebahkan. Memang benar terdapat gangguan mistik berlaku di UPSI, namun bagi mengatasi masalah tersebut, penyebaran kisah-kisah mistik ini haruslah dihentikan.

Langkah terbaik bagi meleraikan kekusutan ini adalah dengan kembali pada-Nya. Hanya Dia yang mampu mengatasi tiap-tiap permasalahan itu.

Wallahualam.


*Pagi Khamis merupakan komentar bebas mengenai isu-isu semasa.




Ulasan

Catatan Popular