Muhasabah Jumaat: Barah anak muda, solat yang lima dilupakan.





Zaman kini, dunia makin canggih dek kepesatan teknologi. Semuanya dilihat serba hebat, maju ke hadapan kononnya. Ya, kesenangan beri kenikmatan, namun apakah kenikmatan itu diikuti dengan kesyukuran?

Menerusi pemerhatian dan pengamatan sendiri, kelihatan ramai kini yang alpa dalam menjalankan tanggujawab utama dalam agama, menunaikan solat lima waktu. Tidaklah melampau andai dinyatakan bahawa generasi hari ini dilanda barah yang cukup parah.  Inilah penyakit yang tanpa sedar telah melemahkan masyarakat pada hari ini.

Hakikatnya, azab yang bakal diterima buat mereka yang meninggalkan solat sangatlah dahsyat. Perkara ini dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatan oleh Ahmad, at-Tabarani, dan Ibnu Hibban yang membawa maksud:

“Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat. Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan. Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.”

Berdasarkan hadis ini, azab meninggalkan solat cukup besar, hingga dinyatakan akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling panas.

Dalam surah al-Maidah, ayat 58, digambarkan bahawa orang yang meninggalkan solat itu adalah sebagai orang yang tidak berakal.

“Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal”
(al-Maidah, ayat 58)

Sesungguhnya, apabila seseorang itu tidak solat, maka pintu hatinya akan ditutup. Cahaya iman akan semakin malap, dan di akhirnya fikiran menjadi buntu. Maka tak mustahil sedikit demi sedikit akalnya semakin berkurang, dan tak mustahil boleh menjadi kurang bijak perlahan-lahan.

Apabila dilihat terhadap gejala sosial yang semakin teruk melanda ketika itu, semestinya salah satu punca yang menyebabkan situasi ini terjadi adalah disebabkan generasi kini yang semakin alpa meninggalkan solat. Perkara ini dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah Maryam ayat 59:

 Kemudian mereka (para rasul) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)”
(Maryam, ayat 59)

Dinyatakan bahawa apabila seseorang itu meninggalkan solat, maka dia akan mudah terjerumus ke kancah kemaksiatan.

Sesungguhnya solat itu adalah bukti penghambaan dan kesyukuran kita kepada Allah yang menciptakan manusia. Perkara ini dinyatakan dalam surah Taha, ayat 14:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku”
(surah Taha, ayat 14)

Maka, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat, sesungguhnya itu adalah tanda ketidaksyukurannya terhadap nikmat hidup yang diberikan Allah kepadanya. Amatlah buruk azabnya sekiranya manusia itu lupa pada nikmat yang diberikan Allah itu.

Melihat pada konteks sebagai mahasiswa, sesungguhnya amatlah menyedihkan. Ramai kini alpa untuk menjalankan tanggungjawab lima waktu ini. Jika dilaksanakan pula, ramai yang masih tidak dapat mencukupkan angka 5 waktu itu.

Rata-rata kini seringkali ramai yang terlepas untuk mendirikan solat Subuh. Ramai yang masih lagi dibuai mimpi tatkala waktu Subuh telah pun masuk. Gara-gara berjaga tengah malam melayan teknologi ,baik bersms mahupun berFacebook, semua ini menjadi penyumbang kepada kurangnya anak mudah pada hari ini untuk bangun menunaikan tanggungjawab mendirikan solat Subuh.

Itu baru menyentuh tentang tanggungjawab mendirikan solat. Andai disentuh tentang galakan mendirikan solat secara berjemaah di masjid dan surau, maka angkanya pasti lebih parah.

Sekiranya telah mampu mendirikan solat, soal lain perlu dilihat. Rata-rata yang mendirikan solat pada hari ini banyak yang tidak sah dek kealpaan dalam menjaga rukun solat. Banyak yang alpa dengan kesilapan bacaan Fatihahnya. Ada pula yang lupa rukun solat, hingga menyebabkan solatnya itu menjadi sia-sia.

Menyentuh soal wuduk pula, ramai juga yang masih belum sempurna wuduknya. Wuduk yang tidak sempurna akhirnya akan menyebabkan solat itu secara automatik tidak sah.

Penulis bukanlah mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Tidak juga mahu memerli mana-mana individu. Namun, sepanjang 3 tahun berada di UPSI, penulis harus mengakui ramai mahasiswa hari ini leka dan alpa dalam menjaga solat lima waktunya. Baik si lelaki mahupun perempuan, tak kira latar belakangnya, baik yang kursusnya Bahasa Arab mahupun kursus seperti Tesl, masih terdapat dalam kalangan mereka ini memandang ringan terhadap tanggungjawab solat ini.

Andai inilah generasi pelapis yang bakal menjadi guru dan pendidik buat generasi pada masa akan datang, maka percayalah akan rosaklah negara ini. Apakah rakyat mahu pendidik itu terdiri daripada mereka yang lupa akan tanggungjawab agamanya? Semestinya mereka tidak mahu merisikokan diri membiarkan anak-anak mereka dididik oleh golongan ini.

Menurut Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, pakar motivasi yang cukup dikenali, menerusi kajian yang dibuatnya mengenai solat dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau menyatakan bahawa:

"80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Hanya sekitar 17%-20% yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15% sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari."

Kajian yang dibuat ini ternyata sangat mengejutkan. Data ini menjadi bukti betapa parahnya generasi hari ini. Andai tiada tindakan konkrit dan holistik dilakukan bagi memperbaiki masalah ini, maka akan parahlah masa depan negara.

Negara yang kukuh akan terlahir dari generasinya yang patuh pada agamanya. Andai tiada pedoman agama, akan mudahlah negara itu melalui kemusnahan.

Sama-sama bermuhasabah dan melihat kembali pada diri masing-masing. Andai ada yang teralpa, sama-sama kita ingat dan mengingati. Andai ada yang tertinggal solat itu, sama-sama kita perbaiki. Insya-Allah, kerana sesungguhnya solat itu kunci kepada kekuatan ummah.

Wallahualam.


 “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”
(Ibrahim, ayat 40)






Ulasan

Catatan Popular