Sembang-sembang Selasa: Kisah sekolah dulu-dulu, budaya adik angkat
Saya terkenang kembali momen lama sewaktu berada di alam
persekolahan. Mungkin ramai yang terkenang kembali zaman awal remajanya, dan
apabila berbicara mengenai dunia awal remaja di alam persekolahan menengah, maka
isu yang tak dapat dipisahkan pastilah kisah budaya bercinta, atau istilah yang
lebih selesa digunakan bagi golongan muda mudi ini ialah ber’couple’.
Saya juga pernah melalui zaman itu. Baru mengenal erti
dunia sebenar, maka kisah jatuh hati bukanlah sesuatu yang pelik. Masih
teringat kembali sewaktu di tingkatan satu, mata tertarik kepada seorang
pelajar perempuan. Pada waktu itu, saya merupakan seorang pengawas, dan pelajar
perempuan itu juga seorang pengawas. Entah, sehingga kini saya tak pasti bagaimana
dan bilakah saya jatuh hati padanya, namun hubungan kami terjalin selama
setahun. Namun kisah ‘puppy love’, walau seserius mana pun hubungan itu,
hakikatnya kisah cinta itu hanyalah berbentuk satu eksperimen yang tidak akan
kekal sehingga ke alam dewasa.
Itu kisah cinta monyet yang biasa kedengaran di zaman
awal remaja. Namun terdapat satu lagi budaya yang turut menjadi ikut-ikutan
sewaktu di zaman persekolahan dulu. Budaya mengambil ‘adik angkat’ dilihat menjadi
satu trend ketika itu. Saya tak pasti
sama ada budaya ini masih lagi berlaku di sekolah pada hari ini.
Istilah ‘adik angkat’ ini bukanlah seperti istilah ‘adik
angkat’ yang biasa kedengaran. Istilah ini didefinasikan oleh para pelajar
ketika itu sebagai seorang pelajar senior (baik lelaki atau perempuan), memilih
dan menjadikan seorang pelajar junior yang berlainan jantina dengannya sebagai
adik angkat. Secara mudahnya, istilah ‘adik angkat’ ini bolehlah diterjemahkan
sebagai hubungan ‘cinta’ dengan versi yang berbeza.
Saya tidak terkecuali terikut dengan budaya adik angkat
ini. Sewaktu di tingkatan dua dahulu (tahun 2003), saya mengenali seorang
pelajar perempuan yang muda setahun dari saya. Rumahnya hanya selang beberapa
blok sahaja, dan kami menaiki bas yang sama untuk ke sekolah. Di akhirnya hati
tergerak untuk mengenalinya, dan dimulakan dengan kiriman sepucuk surat
kepadanya. Surat itu adalah tanda perkenalan dengannya.
Hubungan kemudian terjalin dengan istilah adik dan abang
angkat itu digunakan. Harus diakui,
dirinya punyai sepasang mata yang cukup memikat. Namun tarikan utama padanya
sudah semestinya warna kulitnya yang cukup mulus. Kami seringkali berutus surat
menggunakan orang tengah, dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah sekali pun
saya cuba berbual dengannya menerusi perbualan telefon. Jika mahu berbicara,
maka kami akan berjumpa, selalunya sewaktu tamat sesi sekolah iaitu ketika
menunggu bas.
Orangnya agak ceria. Apabila berbicara, kepetahannya
cukup memikat. Hakikatnya, dia seorang yang kelihatan cukup berdikari. Mungkin
disebabkan latar belakang keluargnya, maka itulah sifat semula jadinya.
Memang benar kami punyai hubungan ‘angkat’. Namun dalam
soal batas pergaulan, alhamdulillah kami tidak pernah melebihi dari yang
sepatutnya. Memang kami menjalinkan hubungan, namun tidak pernah hatta satu
perkara haram pun yang pernah kami lakukan. Walaupun pada hakikatnya hubungan
antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa ikatan perkahwinan itu adalah
sesuatu yang tidak digalakkan, namun saya sedar pada waktu itu, zaman yang
dilalui ialah zaman awal remaja, waktu seoarang manusia itu mengenal erti
sebenar kehidupan.
Hubungan kami terus kekal walaupun saya telah berpindah
ke MRSM Taiping pada tahun 2005. Saya masih lagi berhubungan dengannya. Paling
tidak dilupakan adalah saat saya berkunjung semula ke sekolah lama pada
Disember 2005. Kunjungan itu adalah untuk mengetahui keputusan PMRnya. Alhamdulillah, keputusan PMRnya cemerlang,
dan saya bersyukur dan menumpang
gembira.
Tahun demi tahun, saya masih berhubungan dengannya. Kami tidak
pernah ‘lost contact’. Medium yang digunakan hanyalah menggunakan telefon. Itu
pun sekadar perbualan satu dua minit sekadar bertanya khabar dan cerita.
Kini, gadis itu telah berusia 22 tahun. Saya masih lagi
berhubungan dengannya walaupun mungkin kini semakin jauh dek kesibukan kerja
masing-masing. Kini, saya tidak menganggap dirinya sebagai adik angkat, namun
lebih selesa menyatakan bahawa dia sebagai sahabat. Kisah adik angkat sewaktu
di zaman persekolahan hanya sekadar satu kenangan. Hakikatnya, tiada istilah
itu apabila menyatakan hubungan di antara kami berdua. Memang dari zaman
sekolah lagi kami bersahabat.
Budaya ini hakikatnya perlu dielakkan. Andai kurang benteng
dalaman iaitu agama, maka akan hanyutlah jiwa bersama-sama. Tak mustahil andai terleka,
akan sampai ke satu tahap pasangan ‘angkat’ ini akan terjerumus ke lembah
maksiat. Tak mustahil juga zina boleh terjadi.
Mengenangkan kembali kisah adik angkat ini, saya akui itu
adalah satu pengalaman yang tidak sepatutnya dilalui. Hakikatnya, dalam Islam
tiada istilah itu.
Konteks ‘adik angkat’ mempunyai pelbagai tafsiaran. Jika
adik angkat itu ialah hubungan yang tua dan sama jantina, maka itu tidak
menjadi masalah. Namun jika hubungan itu berlainan jantina, maka seeloknya
dielakkan.
Kisah adik angkat mencipta satu sisi pengalaman saya.
Memang indah, namun di akhirnya mencipta satu kesedaran tentang kepentingan
menjaga batas pergaulan.
Buat si gadis itu, ingin diucapkan salam kejayaan
buatnya. Walau di mana dia berada, sahabat ini akan senantiasa mendoakan
kebahagiaannya. Insya-Allah.
*Sembang-sembang Selasa ialah slot bicara perkongsian
peribadi mengenai pengalaman dan kisah hidup.
Ulasan