Pagi Khamis: Komentar mengenai video Datuk Seri Najib tak tahu najis Mughallazah.
Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai isu video yang
dipaparkan di Youtube memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib ‘diajar’ oleh
para pelajar sekolah rendah mengenai contoh najis Mughallazah. Umum mengetahui,
najis Mughallazah itu adalah najis paling berat, dan cara menyucikannya ialah
dengan membersihkan najis tersebut pada bahagian yang terkena, diikuti dengan
membasuh bahagian yang terkena najis sebanyak tujuh kali. Sekali daripadanya
mesti menggunakan tanah bersih yang dicampurkan dengan air. Air mutlak
digunakan untuk basuhan seterusnya (sebanyak enam kali) sehingga hilang bau,
warna dan rasa.
Perkara ini dinyatakan di dalam hadis yang membawa
maksud:
“Dari Abu Hurairah
r.a katanya:Bersabda
Rasulullah s.a.w;Membersihkan bejana yang dijilat anjing, adalah dengan
membasuhnya tujuh kali dan basuhan yang pertama dicampur dengan tanah."
Soal najis itu adalah perkara asas yang wajib diketahui
bagi setiap Muslim, namun andai tidak tahu, maka seharusnya seseorang itu belajar
mengenainya.
Kembali kepada isu tersebut, video tersebut dikatakan
memaparkan kekeluan Najib yang tidak dapat menjawab pertanyaan seorang pelajar
mengenai contoh najis Mughallazah. Dakwaan banyak pihak menyatakan bahawa Najib
dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat menjawab pertanyaan itu
kerana mereka tidak tahu dan jahil mengenai soal najis itu. Namun persoalannya,
benarkah mereka tidak tahu? Apakah justifikasi yang mengesahkan dakwaan
tersebut? Dari sumber manakah menyatakan bahawa mereka jahil tentang soal najis
itu?
Melihat video tersebut, tidak dapat dipastikan tentang dakwaan
tersebut. Memang benar Najib mahupun Muhyiddin tidak menjawab pertanyaan
tersebut, namun itu tidak menggambarkan bahawa mereka jahil tentang soal najis
itu. Ada kemungkinan mereka sengaja mendiamkan diri memberi peluang para pelajar
tersebut meneruskan pembentangan mereka. Ada kemungkinan juga mereka kaget
seketika kerena tidak menjangka palajar secilik itu tiba-tiba menyoal soalan
kepada mereka. Kelihatan mereka bukan tidak tahu menjawab, namun lebih kepada
sengaja untuk tidak menjawab.
Sesungguhnya, walau apa pun latar belakang seseorang
pemimpin itu, memandang negatif dan bersikap prejudis terhadapnya adalah satu
amalan yang cukup tidak beretika. Menuduh tanpa bukti ibarat menembak sasaran
secara membuta tuli. Amat tidak adil untuk menghukum pemimpin dengan dakwaan
kesalahan tanpa bukti yang kukuh.
Sekiranya perkara ini terus menjadi mainan pihak
tertentu, baik pembangkang mahupun pihak kerajaan, maka sesungguhnya nagara ini
tidak akan dapat menikmati atmosfera politik yang sihat.
Dakwaan dan andaian tanpa bukti yang sah amatlah
berbahaya. Andai silap langkah, mungkin fitnah tercetus.
Walaupun bermusuh dalam soal politik, namun nilai hormat
antara satu sama lain perlulah ada. Mungkin pihak di sana tidak menghormati
pihak di sini, namun dengan membalas dengan rasa tidak hormat kepada pihak di
sana adalah sesuatu yang tidak patut diterima. Tuba tidak semestinya dibalas
dengan racun. Kadangkala racun perlu dibalas dengan manisnya gula.
Moga isu-isu sebegini tidak diperbesarkan lagi pada masa
akan datang.
p/s: mungkin situasi dalam video tersebut agak lucu,
apabila hadirin yang hadir ketawa apabila Datuk Seri Najib disoal sebegitu, dan
secara tiba-tiba seorang pelajar membantu dengan berkata: “Datuk Seri, bolehkah
saya beri cadangan iaitu babi?” Agak lucu apabila istilah ‘babi’ dengan selamba
dinyatakan kepada Perdana Menteri Malaysia.
*Pagi Khamis merupakan komentar bebas mengenai isu-isu
semasa.
Ulasan