Sekadar satu catatan sahaja


Jarang saya cuba memperkatakan mengenai diri saya sendiri. Namun untuk kali ini, terasa pula untuk dibentukkan dalam bentuk tulisan.

Kadang-kadang saya terfikir, apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa yang akan terjadi pada masa depan. Saya tertanya-tanya, apakah yang saya harapkan akan berlaku dan terjadi pada masa depan? Sesungguhnya tiada sesiapa yang tahu apa yang akan berlaku. Itu jugalah kadang kala membuatkan diri menjadi takut. Risau jika apa yang diharapkan tidak kesampaian, takut jika segala yang diimpikan tidak jadi kenyataan. Kerana pengalaman pernah merasai kekecewaan satu masa dulu, maka itu jugalah yang membuatkan diri menjadi takut, mungkin sekali lagi akan merasa kecewa itu.

Memang pedih rasa kecewa dan sebab itulah saya tak mahu lagi sekali lagi menjadi kecewa. Tapi, apa yang termampu yang saya dapat lakukan? Kerana semua yang akan berlaku pada masa akan datang tidak diketahui sesiapa. Hanya Allah penentu dan mengetahui segala perkara yang tidak kita ketahui.

Saya juga insan biasa. Hati dan perasaan memang ada. Semua yang diberikan itu datang dari Allah. Perasaan suka pada seseorang memang akan wujud dalam diri. Tapi kadang-kadang, diri menjadi risau, mungkin apa yang dirasai itu tidak akan mampu dicapai.

Bila mempunyai satu niat yang ikhlas, mahu melakukan satu perkara yang mendatangkan baiknya, perkara itu bukanlah datang dengan paksaan. Rasa itu muncul sedikit demi sedikit dalam jangka waktu yang cukup lama. Kita tak dapat rasakan kehadiran niat hati itu secara tiba-tiba, kerana niat itu terbina perlahan-lahan di dalam hati. Itulah kuasa Allah yang menciptakan dan mewujudkan satu perasaan kepada seseorang.

Perasaan yang didorong rasa nafsu dan perasaan atas keikhlasan hati adalah dua perkara yang berbeza. Jika nafsu, saya yakin itu hanya sekadar rasa sementara dan jika kerana ikhlas hati, maka mungkin rasa itu adalah kekal.

Saya tak tahu bagaimana untuk katakan. Saya tahu mungkin apa yang saya rasa sukar untuk dipersembahkan. Tapi pada waktu ini, hanya Allah yang diharapkan. Kepada Allah dipohon pertolongan supaya segala harapan itu akhirnya nanti akan dapat menjadi kenyataan.

Saya baru berusia 21 tahun. Mungkin terlalu awal memikirkan perkara itu. Namun saya sedar, rasa itu telah terbina sejak 7 tahun lalu. Perlahan-lahan tanpa disedari, sedikit demi sedikit tanpa saya tahu, akhirnya hasilnya itulah yang saya lihat kini. Saya takut, jika diluahkan, mungkin nanti apa yang diharapkan mengecewakan saya. Saya takut bila diketahuinya, saya hanya bermain dengan diri sendiri. Tapi saya tahu, seperti kata mak, bila seseorang itu dah menyukai seseorang, sukar untuk diri sendiri melepaskan perasaan itu tambahan pula jika rasa itu telah mempengaruhi sebahagian dari perjalanan kehidupan. Bayangkan jika rasa itu telah menjadi daripada sebahagian daripada hidup. Bayangkan jika satu hari, rasa itu terpaksa dilepaskan. Apa yang akan terjadi terhadap perjalanan hidup selepas itu. Pasti akan merasai satu kekosongan...

Kalaulah mudah untuk saya luahkan dan kalaulah semua itu berjalan dengan mudah tanpa sebarang halangan. Hakikatnya sukar untuk tidak berhadapan dengan halangan. Saya tahu, halangan memang akan ada. Saya tahu, sepanjang masa pasti akan ada dugaan. Tapi kalaulah semua itu menjadi lebih mudah. Kalaulah apa yang dirasai di sebelah pihak yang lain itu diketahui saya. Kalaulah apa yang saya rasai sebenar diketahui sepenuhnya oleh sebelah pihak yang lain.

Saya berharap agar pihak yang satu lagi mungkin memberikan jawapan yang mampu memberikan senyuman kepada saya. Tapi saya tahu, jika terlalu berharap, dan apa yang diharap tidak kesampaian, memang pedih akan dirasai. Memang diakui kecewa pasti akan muncul. Saya takut. Saya tertanya-tanya. Ternyata mahu sahaja saya menyebut terus terang kepada pihak satu lagi supaya diketahui apa yang sebenarnya ingin saya beritahu.

Niat ini muncul dengan izin Allah. Niat ini juga datang kerana Allah. Semua yang hadir itu adalah datang dari keikhlasan hati. Saya tak pernah melihat pada tarikan wajahnya, sama ada cantik ataupun tidak. Saya tak pernah melihat pada fizikal dirinya. Saya tak peduli akan perkara itu. Apa yang saya lihat hanyalah apa yang ada pada peribadinya. Hanya perkara itu sahaja yang saya lihat.

Saya tahu, bagi sesiapa yang membaca apa yang saya tulis ini, mungkin tidak dapat difahami terhadap apa yang saya perkatakan ini kerana saya tak pernah ceritakan perkara itu kepada sesiapapun. Namun jika orang yang saya perkatakan itu membaca catatan ini, dia akan tahu dan akan faham. Namun saya tahu juga, sukar sebenarnya perkara ini untuk diperkatakan kepada pihak itu.

Cuma apa yang saya rasa kini, saya sangat berharap agar hajat dan impian saya itu akan jadi kenyataan. Memang saya sangat-sangat berharap. Saya tidak tahu apa dirasai di pihak yang satu lagi kerana saya tidak berkuasa untuk mengetahuinya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang dirasai pihak satu lagi. Saya memang mahu gembira, saya memang mahu bahagia. Tapi saya risau saya tak berjaya untuk gembira, dan gagal untuk bahagia. Saya sangat takut. Cukup takut...

Hanya ini sajalah yang dapat saya lakukan: Berdoa, meminta dan berharap, kerana Allah itu Maha Berkuasa. Saya berharap agar Allah membantu saya supaya apa yang saya harapkan itu menjadi satu kenyataan satu hari nanti. Itu sahajalah yang termampu untuk saya lakukan. Itu sajalah yang boleh menenangkan hati saya kini.

Saya akan terus cuba mengikutinya selagi saya mampu. Saya akan terus cuba berhubung dengan dia selagi saya terdaya. Selagi saya mampu mengesan dia, saya akan terus mencuba. Itulah sedikit usaha selepas saya berdoa kepada Allah. Moga-moga impian yang saya harapkan akan jadi kenyataan selepas doa dan usaha yang saya lakukan.

“Ya Allah, aku memohan pertolongan-Mu, ya Allah. Sesungguhnya, Engkaulah Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, dan Maha Mengasihani. Bantulah hamba-Mu agar apa yang diharapkan akan dapat dicapai nanti. Aku sangat mengharap pertolongan-Mu ya Allah...”

Ulasan

Catatan Popular