Sembang-sembang Selasa: Kisah rakan-rakan E103, Kolej Za'ba, UPSI




Sembang-sembang Selasa kali ini mengimbau kembali kenangan di Kolej Za’ba yang telah menjadi tempat kediaman saya di Tanjung Malim sejak tahun 2010. Kini tahun 2014, Kolej Za’ba UPSI menjadi kenangan, kerana saya telah berpindah ke Kolej Ungku Omar.

Pada tahun 2010 hingga tahun 2011, saya menetap di E405/3 bagi dua semester. Waktu itu rakan-rakan rumah saya ialah Maghfur (rakan sebilik semester 1), Izzat (rakan seblik semester 2), Romie, Firdaus, dan Ilyas. Itu kisah sewaktu di semester satu dan semester dua.

Kolej Za'ba UPSI yang berkonsepkan rumah apartment

Bagi semester berikutnya, saya berpindah ke aras bawah di rumah E103. Bagi semester tiga dan empat, saya menetap di bilik nombor tiga, dan di semester 5, saya berpindah ke bilik nombor dua.

Maka, inilah tema utama bicara Selasa ini. Saya akan perihalkan kisah dan komentar saya mengenai rakan-rakan serumah saya sepanjang 1 tahun 6 bulan di rumah E103, Kolej Za’ba.


Fuad





Sahabat sebilik saya di semester 5 Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, berasal dari Ampang, maka bolehlah disimpulkan bahawa Fuad merupakan seorang yang sangat ceria. Harus diakui, ketiadaan Fuad di rumah akan menyebabkan suasana di rumah akan menjadi sedikit sunyi. Fuad orangnya cukup bersahaja, mudah untuk diminta pertolongan, dan tak kekok untuk bergaul dengan orang yang baru dikenalinya. Orangnya cukup mesra, dan apabila berbual dengannya walaupun masih baru kenal, situasi kekok pasti tidak akan berlaku. Kelebihan Fuad adalah pada keramahannya. Mudah diajak berbual dan mudah untuk berkongsi cerita dengannya.

Fuad seorang yang sangat bertanggungjawab. Seorang yang sangat teliti terutama dalam soal penampilan dirinya, maka memang tak dinafikan tatkala bersiap-siap untuk kelas, maka Fuad antara yang paling lama menghabiskan masa. Maklumlah, nak siap-siap rambutnya saja dah makan masa 10 minit. Tapi, itulah ketelitian. Nampak kemas saja sepanjang masa.

Pengalaman saya menjadi rakan biliknya ternyata suatu pengalaman yang cukup menarik. Tak pernah rasa bosan, sebab Fuad seorang yang suka bercerita.

Oh ya, kalau bab ketawa, Fuadlah juara. Riuh jadinya bila Fuad ketawa.


Mad




Mad (mengikut bunyi Arab ya, jangan disebut ikut bunyi Bahasa Inggeris), ialah rakan sebilik Fuad sewaktu semester 3 dan semester 4. Orangnya punyai karakter tersendiri, berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Pelajar jurusan Pendidikan Jasmani dan kesihatan, Mad kelihatan seperti pendiam di awal saya mengenalinya, dan seringkali menghabiskan masa mengadap komputer ribanya. Namun, apabila lama mengenalinya, seronok sebenarnya apabila berbual dengannya.

Mad banyak menghabiskan masanya menonton siri anime dan siri-siri Jepun. Maka tak hairanlah jika Mad jarang berada di ruang tamu, lebih banyak habiskan masa di bilik. Mad adalah sahabat rapat Fuad. Maklumlah, sama kursus pengajian dan banyak pula kelas yang sama, maka mereka memang kelihatan sangat akrab.

Mad seorang yang ‘low profile’. Tak pernah hatta sekali Mad ‘mengangkat dirinya’ walaupun hakikatnya Mad punyai latar belakang keluarga yang bukan calang-calang orangnya. Senantiasa selamba dan tak pernah menggelabah, dan apabila berhadapan sesuatu masalah, Mad cukup tenang dan tak pernah resah.

Oh ya, Mad walaupun buat kerja ‘last minute’ kerja yang dihasilkannya kelihatan agak kemas. Walaupun buat di saat akhir, Mad memang tak pernah nampak menggelabah. ‘Cool’ saja sepanjang masa.

Apabila bercakap mengenai Mad dan Fuad, mereka ni senantiasa menyakat antara satu sama lain. Gurauan mereka kadangkala melucukan dan menciut hati saya.

Lokman




Rakan sebilik saya sewaktu di semester 3, Lokman merupakan pelajar jurusan Pendidikan Islam dan berasal dari Pahang. Orangnya sangat ramah, dan mudah diajak berbual. Lokman seringkali akan berkongsi cerita dengan saya, kisahnya di kelas, kisahnya sewaktu di zaman sekolah, malah kisah-kisah keluarganya juga turut dikongsikan. Lokman tak kekok berbual dengan saya walaupun baru dikenalinya.

Seharusnya saya akui, Lokman punya perwatakan yang sesuai untuk menjadi seorang guru. Lokman sangat perihatin dan seringkali mengambil tahu perihal rakan-rakannya. Lokman selalu bertanya mengenai hari saya, seolah-olah seperti seorang bapa bertanya hari anaknya. Lantas saya menjadi ringan mulut untuk berkongsi hari-hari saya di kelas, dan perkara-perkara yang menarik terjadi pada setiap hari.

Seperkara yang cukup saya suka mengenai Lokman adalah kelebihannya untuk membaca al-Quran dengan baik. Setiap kali al-Quran dibacanya, alunan yang didengar cukup sedap didengar.


Syed



Sahabat yang cukup bersahaja, berasal dari Melaka. Syed orangnya sangat peramah dan mudah tersenyum dan ketawa. Berasal dari Melaka, sepanjang dua semester tinggal bersamanya, Syed memang seorang yang sangat sibuk. Ada saja perkara yang dilakukannya dan kelihatan jarang untuk berada di rumah. Mungkin Syed seorang yang aktif, sentiasa melakukan pelbagai perkara.

Walaupun mungkin jarang berada di rumah, tatkala punyai peluang berbual dengannya, maka keseronokan dapat dirasai. Ada saja perkara yang dibualkan, dan kadangkala perbualan itu berlanjutan dalam tempoh agak lama tanpa sedar.

Benar, dari sudut kemahiran komunikasi, Syed memang punyai skil tersebut. Harus diakui, Syed  mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin tatkala melihat dari sudut tutur katanya serta gaya bahasa badannya.


Jal





Mohamad Sazfizal merupakan rakan serumah bagi semester 5 (tahun 2012-1013). Pelajar semester 8 dan tahun akhir, maka inilah pertama kali saya punyai rakan yang sibuk dengan projek akhir tahunnya. Jal orangnya sangat peramah, berasal dari Baling, Kedah. Maka keterujaan ternyata dirasai, kerana inilah pertama kali saya punyai rakan serumah yang bercakap dalam loghat utara. Walaupun loghat Jal lebih pekat dari loghat Penang saya, namun bila berjumpa dengan orang utara, semestinya perbualan itu dirasakan lebih seronok.

Jal mudah mesra dengan rakan-rakan baru. Itulah yang terjadi sewaktu awal semester pada tahun 2012. Jal yang lebih dahulu menegur saya sebelum saya menegurnya. Mungkin tak menghairankan, kerana Jal merupakan pelajar jurusan Bimbingan dan Kaunseling. Umumnya, pelajar jurusan ini memang punyai skil komunikasi yang lebih tinggi berbanding yang lain.

Jal mudah diajak bersembang. Kalau mula berbual, maka meleret-leretlah perbualan tersebut. Ada sahaja yang akan dikongsikan, dan perbualan itu seringkali diselangi dengan usikan dan gurauan. Ya, Jal memang suka menyakat rakan-rakan yang lain. Ada saja perkara yang akan disakatnya. Maka, setiap kali Jal berada di rumah, ternyata suasana akan bertukar riuh dan meriah. Keriuhan akan lebih terasa tatkala Fuad berada di rumah, kerana Fuad dan Jal memang senantiasa menyakat antara satu sama lain.

Harus diakui, Jal adalah sahabat yang cukup baik. Saya cukup selesa bersahabat dengannya. Walaupun tempohnya cukup singkat, namun saya rasakan bahawa persahabatan saya dengan Jal telah lama terjalin. Insya-Allah, moga persahabatan ini akan terus kekal sampai bila-bila. Kalau boleh nak bersua lagi dan berbual panjang seperti sebelumnya.

Jasmi Johari


Sahabat sebilik sewaktu saya di semester 4, Jasmi merupakan pelajar semester satu pada waktu itu. Pelajar jurusan Sejarah dan berasal dari Kelantan, Jasmi kelihatan agak pendiam.  Orangnya senantiasa tersenyum dan dilihat agak terusun tatkala melakukan kerja. Harus diakui, pertuturan Jasmi kadangkala sukar untuk saya fahami kerana loghat Kelantan yang digunakannya. Namun, orangnya mesra dan tidak ada masalah kalau mahu berbual dengannya.

Walaupun hanya satu semester saya sebilik dengannya, namun saya akui Jasmi merupakan rakan sebilik yang cukup baik. Jasmi sangat menghormati saya dan dan saya juga amat menghormatinya. Orangnya dilihat agak santai, senantiasa membawa rakan-rakannya ke rumah.  Saya akui, perkenalan dengannya agak singkat namun Jasmi tercatat sebagai salah seorang rakan sebilik yang akan saya ingati.

Zul


Rakan sebilik Jal sewaktu mereka di semester akhir, Zul dilihat sangat ramah dengan yang lain. Walaupun Zul banyak menghabiskan masanya di bilik berbanding di ruang tamu, namun Zul masih ramah dengan rakan-rakan rumah yang lain. Berasal dari johor, orangnya sangat teratur dan kemas. Malah orang yang paling rajin mengemas rumah semestinya Zul. Kalau bab sapu sampah, mengemas kawasan dapur, maka Zul dilihat senantiasa melakukan tugas itu.

Merupakan pelajar jurusan Bimbingan dan Kaunseling, perwatakan Zul ternyata amat sesuai sebagai seorang guru kaunselor.  Mudah berbicara dan sangat petah berkata-kata, saya melihat Zul mempunyai isi dan fakta tatkala mengeluarkan hujah dalam perbualan. Saya akui, di awalnya saya agak segan untuk berbual dengannya. Namun, bila lama-lama barulah rasa biasa dan rasa kekok itu akhirnya hilang.

Seperkara lagi, Zul pandai menyanyi. Alunan suaranya cukup sedap didengar jika Zul menyanyi.

Tempoh perkenalan saya dengan Zul ternyata agak singkat. Namun tempoh yang singkat itu ternyata memberi makna buat saya. Memang harus diakui, agak rindu juga untuk bertemu Zul dan Jal.

Kamarul



Kamarul merupakan rakan serumah saya sewaktu saya di semester 5. Pada waktu itu, Kamarul baru saja bergelar mahasiswa UPSI di semester1. Berasal dari Pahang, di awalnya saya melihat Kamarul ini agak malu-malu orangnya. Saya masih ingat lagi, pada hari pertama kami bersua di rumah, Kamarul bertanyakan soal perjalanan jadual kuliah yang masih kurang difahaminya. Sebagai orang lama, Fuad dan saya memberikan pendapat membantu Kamarul setakat yang termampu.

Kamarul orangnya memang sangat rajin. Setiap tugasan yang diberi pasti akan dibuat dengan bersungguh-sungguh. Selalu saya melihat Kamarul menyiapkan kerja di ruang tamu dan memang sangat berdisiplin dan tersusun tatkala melakukan tugasannya. Merupakan pelajar lelaki tunggal dalam jurusannya iaitu Ekonomi, Kamarul ternyata punyai kualiti dari sudut akademiknya.

Sewaktu kami serumah, Kamarul ternyata sangat rapat dengan Fuad. Kalau nak ke kafetaria, pasti Kamarul akan bersama Fuad. begitu juga kalau nak ke pasar malam, pasti Fuad dan Kamarul akan pergi bersama. Apabila ada Fuad, maka Mad pasti akan turut serta. Maka wujudlah tiga sahabat yang senantiasa ke mana-mana secara bersama. 

Konklusi
Sekadar sedikit bingkisan mengenai rakan-rakan serumah di E103 Kolej Za’ba. Kenangan yang tercipta di rumah itu memang sangat indah dan tidak akan dapat dilupakan. Selama satu tahun setengah saya menetap di sana, dan dirasakan saat perpisahan di awal Januari 2013 meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Sebelum berpisah pada waktu itu, kami serumah menghabiskan masa berkualiti bersama. Di malam sehari sebelum pulang, kami makan bersama-sama di sebuah restoran di Tanjung Malim. Pada pagi keesokannya pula, kami pergi ke kawasan air terjun menghabiskan masa pagi itu untuk mandi manda bersama.  Selepas itu, kami bersama-sama bersarapan. Detik itu ternyata sukar dicari ganti dan kini saya sangat merindui mereka terutama Lokman, Syed, Zul, dan Jal. Mereka semua kini telah menamatkan pengajian masing-masing. Pasti tidak lagi berkunjung ke UPSI lagi.

Kini, kenangan itu hampir setahun berlalu. Saya akan memasuki semester akhir tidak lama lagi. Begitu juga Fuad dan Mad yang akan melalui semester akhir juga. Bagi Jasmi pula, dia akan memasuki semester 4 dan khabarnya kini telah menetap di luar kolej. Selepas menghuni Kolej Za’ba selama 5 semester, saya kemudian berpindah ke Kolej Ungku Omar pada Februari 2013. Begitu juga Fuad dan Mad, namun kami tidak lagi tinggal serumah.

Menjelang semester baru ini, sekali lagi saya akan menetap di Kolej Ungku Omar dan telahpun membuat permohonan untuk tinggal serumah bersama Fuad dan Mad. Diharapkan permohonan itu diluluskan dan mengembalikan kenangan lalu tatkala serumah bersama mereka.

Oh ya, apabila saya di semester 6, saya menetap di Blok 7, rumah nombor 9 aras 1 (7.1.9). Saya sebilik dengan Amirul Khuldi pelajar semester 6 Matematik. Amirul juga merupakan rakan sebilik yang cukup disenangi. Walaupun agak pendiam, Amirul orangnya mesra dan senantiasa tersenyum.

Maka inilah sedikit perkongsian yang dapat dibicarakan. Kisah rakan-rakan yang pernah dikenali dan pasti akan terpahat di ingatan. Buat Fuad, Mad, Lokman, Jal, Zul, Kamarul, Jasmi, dan Syed moga anda semua berbahagia senantiasa walau di mana kalian berada.

Insya-Allah.









Sahabat 103 Kolej Za'ba tahun 2012. Dari kiri; Yazid (saya), Zul, Jal, Fuad, Mad, dan Kamarul










Ulasan

Aivan Zafran berkata…
saya kenal nie.. daebak..

Catatan Popular