Pagi Khamis: Tips untuk berpraktikum di sekolah
Agak lama juga slot entri Pagi Khamis ini tidak diposkan
di blog ini. Kali ini, saya berkesempatan untuk menulis sedikit bingkisan untuk
mengisi slot ini. Di kala sedang bercuti selepas empat bulan berpraktikum di
SMK Dr Burhanuddin, Taiping, maka tercetus di fikiran untuk menulis sedikit
entri berkaitan pengalaman berpraktikum di sana. Dalam slot ini, saya sekadar
berkongsi mengenai tips ketika berpraktikum di sekolah. Namun tips ini
berdasarkan pengalaman peribadi saya sepanjang bergelar guru praktikum di
sekolah. Barangkali ada yang sesuai dan mungkin juga ada yang tak sesuai untuk
yang lain.
1.
Pastikan
segala dokumen yang berkaitan dengan praktikum telah lengkap dan tersedia
sebelum hari pertama praktikum.
Perkara ini penting kerana
kadangkala terdapat sesetengah sekolah agak cerewet terhadap kedatangan para
guru pelatih. Maka untuk mengelakkan masalah yang mungkin akan timbul, pastikan
dokumen pengenalan diri, surat-surat berkaitan telah disusun baik di dalam
fail. Ada juga sesetengah sekolah tak kisah pasal perkara ini, namun sebagai
langkah persediaan, lebih baik semua dokumen itu ada.
2. Maklumkan kepada pihak sekolah mengenai
kehadiran anda nanti untuk berpraktikum.
Seeloknya, pastikan anda
memaklumkan pihak sekolah supaya pihak sekolah bersedia menerima anda. Walaupun
sekolah telah meluluskan permohonan anda untuk berpraktikum, anda seharusnya
memaklumkan juga kehadiran anda nanti sebagai pengesahan kepada permohonan
praktikum anda itu. Telefon pihak pejabat dan seeloknya maklumkan beberapa hari
sebelum anda melapor diri di sekolah. Setidaknya pihak sekolah akan lebih
bersedia dan mereka boleh terus mengatur dan menguruskan jadual kelas anda
nanti sebelum hari pertama anda nanti. Kalau sewaktu lapor diri baru nak
maklumkan kehadiran anda, maka kelam kabutlah hari pertama nanti.
3. Pastikan anda kemas pada hari pertama
melapor diri di sekolah
Pakaian haruslah kemas dan
lengkap seperti seorang guru. Pastikan rambut anda pendek dan disikat dengan
rapi (bagi lelaki), dan pastikan tudung (hanya tudung bawal sahaja dibenarkan
di sekolah) dipakai dengan kemas (bagi perempuan). Pakai tali leher dan
pastikan anda punyai tanda nama. Kasut juga haruslah kemas dan berkilat. Jangan
lupa pakai tali pinggang. Baju yang dipakai pula jangan berkedut, Pastikan anda
menggosok dulu sebelum pakai. Ingat, pandangan pertama amat penting untuk
menentukan peribadi anda. Kalau buruk pandangan pertama, maka buruklah tafsiran
pihak sekolah. Maka, pastikan diri anda terbaik pada hari pertama melapor diri
di sekolah.
4. Jumpa semua pihak atasan sekolah pada hari
pertama
Kata orang, bila bertandang ke
tempat orang perlulah berjumpa dahulu tuannya. Begitu juga dengan perihal
praktikum di sekolah. Pada hari pertama, seharusnya anda bertemu kesemua pihak
pengurusan sekolah merangkumi Pengetua, Penolong Kanan 1, Penolong Kanan HEM,
Penolong Kanan Kokurikulum, dan Penolong Kanan Petang. Hari pertama seharusnya
diisi dengan perjumpaan-perjumpaan ini sebagai sesi suai kenal dan sesi
mendapatkan maklumat terperinci sekolah. Jangan lupa juga untuk bertemu guru
pembimbung anda untuk mengetahui suasana kelas yang bakal diajar dan perwatakan
setiap pelajar di kelas. Jangan lupa untuk bertanya bab yang telah diajar guru
yang akan anda ambil alih nanti. Apa yang penting, jangan sombong. Senantiasa
tersenyum dan rendah diri sewaktu berjumpa mereka.
5. Terima apa saja tugas yang diberikan oleh
pihak sekolah tanpa sebarang bantahan
Sebagai guru praktikum, jangan
sama sekali menolak sebarang tugas yang diberikan pihak sekolah. Jangan beri
alasan dan jangan menolak. Kata orang, masa inilah nak cari pengalaman. Apa
yang penting, terimalah tugas yang diberikan itu dengan hati yang terbuka
walaupun mungkin agak sukar. Namun sekiranya tugas yang diminta itu di luar
bidang tugas sebagai guru atau melanggar peraturan praktikum pihak universiti,
anda perlu memaklumkan kepada pihak sekolah. Mungkin ada yang cakap guru
praktikum ini dibuli, namun apalah sangat kerana tempoh praktikum hanya sekadar
4 bulan.
6. Fahami spesifikasi kurikulum mata pelajaran
yang diajar.
Perkara ini sebenarnya adalah
asas bagi seorang guru. Sebelum mula berpraktikum, seeloknya bacalah setiap
spesifikasi kurikulum bagi setiap tingkatan. Setidak-tidaknya fahami
kandungannya supaya anda tak kekok apabila memulakan latihan mengajar nanti.
Ingat, spesifikasi kurikulum adalah asas kepada setiap pengajaran anda di
kelas. Kalau gagal anda memahaminya, maka sukarlah anda untuk mengajar di
sekolah. Dokumen spesifikasi ini boleh dimuat turun dari laman web KPM dan
menjadi panduan anda untuk mengajar di kelas dengan lebih mudah.
7. Pastikan ‘lesson plan’ senantiasa siap
sebelum anda memulakan pengajaran di kelas
Buku RPH merupakan nyawa anda.
Makanya, anda harus utamakan RPH mengatasi segala-galanya. Untuk itu, pastikan
RPH anda siap sebelum anda memulakan pengajaran. Andai kelas dimulakan dan pada
masa yang sama RPH masih belum disiapkan, maka itu bolehlah disifatkan sebagai
‘suicidal behaviour’ (perlakuan membunuh diri).
Tanpa RPH, perjalanan kelas akan menjadi tak terurus dan kemungkinan
besar anda hanya membuang masa di kelas kerana tiada penetapan objektif dibuat
disebabkan ketiadaan RPH. Jadikan hari hujung minggu anda untuk menyiapkan RPH
mingguan anda, dan pastikan anda benar-benar bersedia sebelum ke kelas.
8. Senantiasa merujuk guru pembimbing anda
Sebagai orang baru dalam dunia
pendidikan, seharusnya pelbagai pertanyaan perlu diajukan kepada guru
pembimbing. Sekiranya anda punyai masalah, teruslah merujuk kepada guru
pembimbing anda. Jangan rasa malu, kerana anda masih lagi dalam proses
pembelajaran. Seperkara lagi, pastikan guru pembimbing anda menyemak RPH anda
untuk memastikan supaya perancangan anda itu betul dan mengikut kehendak
spesifikasi kurikulum. Jangan jauhkan diri anda dari guru pembimbing, kerana
anda pasti melakukan kesalahan tanpa sedar ketika mengajar. Merekalah yang akan
menegur kita kalau melakukan kesilapan. Maka, pastikan hubungan dengan guru
pembimbing berada dalam keadaan yang baik.
9. Hantar buku RPH kepada pihak pentadbir
setiap minggu
Pihak sekolah perlu tahu apa
yang anda lakukan di kelas setiap minggu. Jika guru biasa pun perlu menghantar
buku rekod pengajaran mereka kepada pihak pentadbir setiap minggu, anda apatah
lagi. Maka, pastikan anda menghantar buku RPH kepada pihak berkenaan untuk
semakan. Andai terdapat teguran berkenaan RPH anda, terima dengan positif dan
cuba perbaiki diri anda. Jangan peram buku RPH anda berminggu-minggu tidak
disemak, kerana itu akan memberi persepsi negatif pihak sekolah terhadap anda.
10. Aktifkan diri dalam setiap aktiviti di
sekolah
Sebagai guru pelatih, anda
membawa nama universiti. Maka, seharusnya anda perlu melakukan sumbangan buat
pihak sekolah bagi mengharumkan nama universiti. Tak kira acara apa pun yang diadakan
di sekolah, pastikan anda telibat secara aktif. Setiap tugas yang diberi
walaupun mungkin kadangkala membebankan haruslah dilakukan dengan sebaiknya.
Ingatlah, anda adalah cerminan universiti. Baik buruk anda menentukan tanggapan
sekolah terhadap universiti.
11. Pastikan tegas di kelas di awal praktikum
(2 ke 3 minggu pertama)
Kelas pertama yang anda masuk,
ketegasan perlulah anda. Perkenalkan diri dan nyatakan peraturan yang anda
inginkan semasa anda mengajar di kelas kepada pelajar. Jangan beri peluang
untuk pelajar memijak kepala anda. Pastikan anda berterusan untuk tegas dalam
beberapa minggu. Perkara ini penting untuk membina nilai hormat dalam kalangan
pelajar terhadap anda.
12. Senantiasa bersedia dengan aktiviti yang
menarik untuk kelas ganti (relief)
Sebagai guru pelatih, memang
lumrah untuk mendapat banyak kelas relief. Makanya, pastikan anda bersedia
dengan beberapa aktiviti di kelas supaya para pelajar tak membuat bising di
kelas. Pastikan aktiviti tersebut menarik dan menyeronokkan.
13. Jangan ‘bias’ pada mana-mana pelajar
Layan setiap pelajar di kelas
secara sama rata. Jangan lebihkan mana-mana pelajar. Walaupun mungkin anda
punyai pelajar ‘favourite’ di kelas, jangan tonjolkannya sewaktu anda mengajar.
Perkara ini penting supaya tidak akan ada pelajar yang terasa tersisih sewaktu
di kelas.
14. Pastikan anda ke kantin setiap kali waktu
rehat
Untuk mudah bergaul dengan
para guru di sekolah, waktu rehat di kantin adalah waktu yang paling sesuai.
Buangkan sifat malu walaupun anda orang baru. Biasakan diri untuk pergi ke
kantin setiap kali waktu rehat. Berbuallah dengan guru-guru supaya dapat
manjalinkan hubungan baik dan mesra dengan mereka. Hubungan sosial paling mudah
terjalin sewaktu di kantin.
15. Senantiasa peka dengan perkembangan sekolah
Pastikan anda senantiasa
mengikuti perkembangan terkini sekolah. Rujuk papan kenyataan untuk mendapatkan
maklumat. Sekiranya terdapat mensyuarat, anda wajib hadir. Ketidakhadiran anda
boleh mencetuskan pandangan negatif terhadap anda.
16. Pastikan anda senantiasa manis dengan
senyuman
Walau di mana anda berada,
pastikan anda selalu tersenyum. Senyuman ini mampu mencetuskan kemesraan dengan
para guru, mampu juga membuatkan para pelajar rasa selesa untuk belajar di
kelas.
17. Ingat, anda adalah seorang guru bukannya
pensyarah bertaraf professor
Pastikan metodologi pengajaran
anda menarik dan menyeronokkan. Jangan jadi seperti seorang pensyarah yang
hanya memberi penerangan di depan tanpa sebarang respon dari pelajar. Jangan
terlalu serius di kelas. Pastikan pada waktu tertentu anda bergurau senda
dengan pelajar. Apabila mengajar di depan, pastikan anda menggunakan intonasi
suara yang jelas dan menggunakan bahasa yang ringkas. Ingat, pelajar lebih suka
guru memberi penerangan yang ringkas namun mudah difahami. Kalau penerangan
panjang lebar, fokus pelajar mudah hilang.
18. Jaga tingkah laku di luar sekolah
Ingat, anda bukan sekadar guru
di sekolah. Anda akan menjadi guru sepanjang masa. Oleh itu, pastikan tingkah
laku anda di luar sekolah juga bersesuaian dengan imej anda sebagai seorang
guru. Jangan nanti, ada pelajar ternampak anda merempit di tengah malam di
jalan raya. Andai itu terjadi, nilai hormat pelajar terhadap anda akan hilang.
19. Hadkan perkongsian maklumat peribadi anda
kepada pelajar
Jangan terlalu terbuka dengan
para pelajar. Hadkan perkongsian mengenai diri anda. Tak salah untuk memberi
Facebook dan Twitter anda, namun tegaskan kepada pelajar bahawa para pelajar
perlu menghormati anda sebagai guru ketika bersosial di laman sosial.
Sebaiknya, beri nama Facebook anda selepas beberapa bulan berpraktikum.
Pastikan nilai hormat pelajar itu wujud dahulu, barulah anda boleh berkongsi
maklumat Facebook anda.
20. Pastikan anda tahu bahawa anda seorang guru
Jangan bermain cinta dengan
para pelajar. Sekiranya perkara ini diketahui pihak sekolah, anda boleh
dikenakan tindakan. Ingat, anda harus meletakkan batasan dengan para pelajar.
Pelajar tetap pelajar dan guru tetap seorang guru. Anda harus tahu kedudukan
anda yang sebenar. Elakkan diri dari ditimpa masalah.
Ingatlah, pengalaman sebagai guru praktikum amatlah
menyeronokkan. Namun ingat juga pelbagai cabaran pasti akan ditempuhi nanti.
Apa yang penting, pastikan diri bersiap sedia supaya tidak ditimpa masalah
nanti.
Setakat ini sahaja perkongsian kali ini. Sekadar
bingkisan berdasarkan pengalaman. Selamat berpraktikum buat semua. Insya-Allah,
moga anda dipermudahkan.
Ulasan