"Adina (Bicara Tiga Puluh)"
“Sebuah perjalanan baru harus dimulakan dengan langkah
yang pertama. Keberanian harus ada. Kekuatan perlu bersama. Tiap-tiap langkah itu akan dipenuhi ujian.
Maka bersabarlah dalam hati kerana lumrah hidup perlukan kesusahan. Dari
itulah, kematangan terbina. Dalam dunia yang baru, segala yang indah kadangkala
perlu dikorbankan. Tak semua mampu harungi pengorbanan itu”
Buku nota ditutup. Abyatina menamatkan bicara tulisannya.
Senyuman dikuntumkan, dan sebuah kisah baru kini sedang dicipta. Dunia berbeza
bakal dialuinya. Mungkin perubahan akan tercipta.
Maka, harinya bermula. Debaran dirasakan tatkala kaki
melangkah. Tercatatlah satu kisah, Abyatina akan bergelar seorang mahasiswa.
Setelah begitu lama impian terpendam, hari itu Abyatina dalam gembira.
Angan-angan bertukar bahagia.
“Mulakan harimu dengan keazaman kerana pasti banyak
dugaan akan menimpa”
Bicara Rizqullah dibisikkan ke telinga Abyatina.
Kata-kata semangat cuba diberikan. Rizqullah bukan sekadar menemaninya kerana
hari itu juga tercatat satu lagi kisah baru buat Rizqullah.
“Abang pun sama. Moga berjaya di akhirnya nanti.
Tiap-tiap dugaan sama-sama kita hadapi”
Abyatina membalas bicara Rizqullah itu. Sama-sama
berjalan memasuki dewan pendaftaran, maka kelihatan orang ramai mula memenhui
ruang di sekitarnya. Sesi pendaftaran dilihat dilanda kemeriahan dan
keterujaan.
“Selamat datang ke Universiti Sains Malaysia”
Bicara aluan diucapkan seorang wakil pelajar yang sedia
menanti di pintu utama dewan. Senyuman dikuntumkannya, memberikan kesenangan di
hati Abyatina dan Rizqullah. Langkah demi langkah, maka harapan demi harapan
muncul dalam fikiran.
“Jadi, bagaimana Yaqzan? Siapa yang akan jaga?” soal ibu
Abyatina sebaik mengetahui tawaran belajar Abyatina dan Rizqullah itu. Kisah
yang tercipta beberapa minggu sebelumnya.
“Sebab itu kami ke sini, mahu bertanya kalau ada
penyelesaiannya,” balas Abyatina.
“Cadangnya nak minta pertolongan dari mak. Hanya
sementara...” bicara Rizqullah pula.
“Bukan tak sudi. Tapi ayahmu pun perlukan perhatian.
Siapa lagi yang nak jaganya...” balas ibu Abyatina.
Abyatina dan Rizqullah muncul di kampung beberapa minggu
sebelumnya. Tujuannya untuk meminta pertolongan dari Mak Cik Ros untuk menjaga
anak mereka Yaqzan sewaktu mereka menyambung pengajian di universiti. Namun
hati Mak Cik Ros berat untuk menerima, kerana tatkala itulah nasib suaminya
Ustaz Man berlegar di fikiran.
“Ayahmu bukan macam dulu. Susahnya perlu ada yang
menunggu. Setiap masa perlu ada teman. Nak jaganya perlukan tumpuan,” bicara
Mak Cik Ros. “Bukan tak mahu, tapi takut nanti tak terjaga Yaqzan...”
Abyatina dan Rizqullah tunduk tanda faham. Kisah
tahun-tahun sebelumnya kembali segar di ingatan. Hampir dua tahun sebelumnya,
kisahnya berbeza. Tatkala kesibukan dalam kemeriahan majlis perkahwinan Absyar
dan Tasha berlangsung, maka pada detik itu jugalah Ustaz Man tiba-tiba dilanda
kesakitan. Angin ahmar menyerang dan dengan pantas itu jugalah, Ustaz Man
dihantar ke hospital. Harapan diletakkan, moga Ustaz Man pulih kembali. Namun
semuanya hanya ketentuan Ilahi. Tatkala itu, kisah baru telah tercipta.
“Ustaz Man takkan sama seperti dulu lagi...”
Bicara jururawat di hospital dua tahun yang lalu
terngiang-ngiang kembali di fikiran Mak Cik Ros. Bermula saat itu, Mak Cik Ros
hilang senyumannya. Setiap perjalanan hidupnya kini ditumpukan sepenuhnya buat
Ustaz Man. Doktor mengesahkan, Ustaz Man lumpuh separuh badan dan pertuturannya
juga mungkin tidak akan sama seperti sebelumnya.
“Kita kena sabarkan hati. Dugaan yang menimpa ni
sama-sama kita lalui...” bicara Raiqah anak sulungnya memberi semangat buat Mak
Cik Ros yang dalam kesedihan.
Pada petang dua tahun yang lalu itu, suasana di hospital dilanda
kesuraman. Mak Cik Ros terus menitiskan air matanya. Raiqah pula terus setia
berada di sisinya ibunya. Ahli keluarga lain hanya mampu membisu, tiada lagi
sebarang bicara. Segala-galanya pasti akan berbeza selepas itu.
Namun, di saat perkhabaran sedih itu disampaikan kepada
seleuruh keluarga, hakikatnya Abyatina dan Rizqullah hilang dari pandangan.
Perseteruan yang tercetus di hospital antara Rizqullah dan Zaafarani telah
mencipta satu lagi kejutan. Hilangnya Abyatina bersama suami dan anaknya
mencetuskan persoalan dalam kalangan keluarganya.
“Mengapa dan ke mana?”
Soalan tercetus di bibir Raiqah tatkala mendapat tahu
perkhabaran kehilangan Abyatina dan Rizqullah di hospital itu. Berita yang
disampaikan Marwa itu ternyata menghairankan. Namun, tidak ada seorang pun yang
tahu arah tuju Rizqullah dan Abyatina itu.
“Biarkan mereka. Mungkin itulah cara terbaik. Dalam kusut
mereka, mungkin lebih elok kalau berita ayahmu tak diketahui. Biarkan mereka
tenangkan diri dahulu,” bicara Mak Cik Ros menyatakan pendapatnya.
Ibu Abyatina ternyata tidak terguris dengan tindakan
anaknya itu. Barangkali faham, maka dia merelakan kepergiaan Abyatina sekali
lagi. Namun, dalam kalangan keluarga lain, ternyata ada suara-suara yang kurang
senang dengan tindak tanduk Abyatina dan suaminya itu.
“Lepas satu dan satu lagi? Apa hidup mereka ni berkisarkan
tentang mereka saja sampai yang lain tak dipedulikan? Memang betul penting diri
nampaknya,” bicara Zaafarani meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.
“Kalau mu nak lepaskan amarah, lebih baik mu balik saja.
Jangan kusutkan lagi apa yang ada di sini,” bicara Mak Cik Ros menempelak anak
sulung lelakinya itu. Zaafarani terkejut dan kemudian membisu.
“Kita di sini satu keluarga. Walau apa pun yang terjadi,
sama-sama kita satukan hati. Kalau ada pedih di hati, baik dilupakan saja. Ada
perkara yang lebih besar yang perlu kita hadapi. Ayah perlukan penjagaan
kita,” bicara Raiqah menenangkan
keadaan.
Absyar dan Tasha bangun lalu menghampiri Mak Cik Ros.
“Insya-Allah. Kami akan selalu ada di sisi mak. Moga ayah
pulih seperti dulu,” bicara Absyar memujuk hati ibunya itu.
Mulai saat itu, masing-masing faham bahawa kisah yang
bakal mereka lalui untuk hari-hari mendatang tidak lagi akan sama seperti
tahun-tahun sebelumnya. Mereka mengharapkan moga ketabahan senantiasa menemani
mereka. Cabaran baru bakal ditempuhi. Ustaz Man perlukan perhatian semua.
“Kita bina hidup baru...” bicara ibu Abyatina.
Perjalanan itu masih panjang. Bermula saat itu jugalah,
tanggungjawab besar dipikul Mak Cik Ros. Ustaz Man kini menjadi keutamaannya.
Walau apa pun yang terjadi, tugasnya adalah untuk berada di sisi suaminya.
“Disebabkan itu Abyatina jauh dari kita. Kerana suaminya,
itu keutamaannya,” bicara Mak Cik Ros sewaktu sesi perbincangan dengan ahli
keluarga lain. Di satu malam, setelah beberapa hari Ustaz Man dimasukkan di
hospital, Mak Cik Ros mengatur perjumpaan keluarga. Perbincangan hal keluarga
yang berkisar kepada keadaan Ustaz Man dibicarakan dengan mendalam.
“Kita kena sama-sama fikir masa depan ayah. Sama-sama
kena ada tanggungjawab nak jaga ayah,” bicara Raiqah.
“Tapi, di mana Abyatina sekarang?” soal Absyar.
“Mungkin Abyatina pergi jauh...” celah Mak Cik Ros.
Sejauh itulah maka Abyatina menghilangkan diri. Bersama
suami dan anaknya, tiada siapa yang tahu arah tuju mereka. Malah, Abyatina
sendiri tidak tahu destinasi yang bakal dikunjunginya. Persoalan terwujud namun
dibiarkan saja saat suaminya itu membawanya pergi jauh meninggalkan hospital
itu.
“Ke mana abang nak bawa Ina?” soal Abyatina dalam
perjalanan itu.
“Kita menuju ke masa hadapan. Kita melihat cita-cita kita...”
balas Rizqullah tersenyum saja, terus memandu tanpa banyak bicara.
Abyatina masih kurang mengerti namun tiada lagi soalan
diajukannya. Perjalanan itu berterusan dan Abyatina menanti dalam debaran.
Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Rizqullah pula bermain politik dengan
Abyatina. Setelah hampir dua jam, maka tibalah mereka di sebuah destinasi.
“Inilah masa depan kita...” bicara Rizqullah sebaik tiba.
Mata Abyatina terpegun melihat pandangan di luarnya.
Destinasi yang dituju ternyata sesuatu sangat bermakna. Abyatina hanya mampu
tersenyum. Saat itu, mereka berada di Universiti Sains Malaysia. Rizqullah
membawa Abyatina dalam kerahsiaan.
“Insya-Allah. Moga-moga termakbul hasratnya,” bicara
Abyatina.
“Abang berhajat nak sambung belajar di sini. Abyatina pun
kena temankan abang di sini. Sama-sama kita sambung belajar,” kata Rizqullah
meluahkan harapannya.
“Tapi... Ina mana layak lagi nak ambil ijazah. Setakat
SPM saja...” balas Abyatina.
“Kita ambil STPM sama-sama,” bicara Rizqullah penuh semangat.
Abyatina dan Rizqullah kemudian menghabiskan masa mereka
di Pulau Pinang selama seminggu. Dalam tempoh itu, pelbagai tempat mereka
kunjungi. Jika dahulu kunjungan mereka hanya berdua, kini angkanya bertambah
menjadi tiga. Walaupun di usia kecil, Yaqzan seakan mengerti bahawa ibu dan
ayahnya itu perlukan ketenangan. Tidak banyak ragam dan kelihatan ceria sahaja.
Itulah Yaqzan, bayi kecil Rizqullah dan Abyatina.
Kisah seterusnya, maka bermulalah perjalanan baru Abyatina
dan Rizqullah. Mereka mengatur masa depan. Namun sebelum itu, Abyatina dan
Rizqullah kembali semula ke hospital untuk melihat keadaan Ustaz Man. Ketibaan
itu disambut dengan senyuman manis Mak Cik Ros. Tiada sebarang kedukaan
tergambar di wajahnya. Mungkin disembunyikan dari pandangan anaknya itu.
“Macam mana mak tahu Ina akan pulang semula?” soal Raiqah
kepada Mak Cik Ros tatkala Abyatina dan Rizqullah masuk ke bilik wad untuk
melihat keadaan Ustaz Man yang masih tidak sedarkan diri. Raiqah dan Mak Cik
Ros hanya berada di luar bilik tersebut.
“Sebab Abyatina sempurna didikannya. Takkan sama sekali
akan mengguris perasaan ibu dan ayahnya,” balas Mak Cik Ros tersenyum.
Tatkala melihat keadaan ayahnya, maka rasa sebak muncul
di hatinya. Rasa bersalah wujud secara tiba-tiba. Namun Rizqullah dengan pantas
memujuk Abyatina.
“Bukan salah Ina ayah jadi begini. Semuanya dah
ditentukan Allah,” bicara Rizqullah.
Maka, kisah berikutnya diatur satu persatu. Ustaz Man
terlantar di hospital selama lebih sebulan. Sepanjang tempoh itu, anak-anak
Ustaz Man bergilir-gilir menjaganya. Mak Cik Ros terus setia menemani suaminya
itu tanpa mengira masa. Abyatina juga turut membantu sama. Sepanjang tempoh
itu, tatkala Rizqullah bertembung dengan Zaafarani, hanya kebisuan melanda.
Walaupun perseteruan masih wujud, mereka hanya pendamkan saja. Itulah
sebaik-baiknya tatkala Ustaz Man masih terlantar di atas katil.
“Ada hikmahnya bila ayahmu sakit. Tiada lagi
persengketaan dalam keluarga kita,” bicara Mak Cik Ros di suatu petang berbual
bersama Raiqah anak sulungnya menikmati hidangan teh di kantin hospital.
“Tapi penamatnya belum ada. Tak mustahil tercetus semula
kalau ada api-api kecil yang muncul,” balas Raiqah. “Tak mustahil Rizqullah dan
Zaafarani boleh bergaduh semula”
“Biarkan dulu. Kita fikir apa yang berlaku sekarang. Apa
yang nak jadi akan datang, kita lupakan dulu. Tak perlulah disusahkan hati kita
dengan perkara-perkara yang tak pasti,” bicara Mak Cik Ros.
“Jadi, apa benar Rizqullah akan sambung belajar?” soal
Raiqah menukar taju perbualan.
“Bukan Rizqullah saja. Abyatina pun sama,” balas Mak Cik
Ros.
Kisah beberapa hari sebelumnya mengambil tempat. Di awal
pagi sewaktu Abyatina dan Rizqullah baru saja tiba di hospital, kelibat Mak Cik
Ros dilihat sedang berjalan meninggalkan kawasan hospital. Saat itu, Raiqah
mengambil giliran untuk menjaga Ustaz Man, dan Mak Cik Ros pulang sebentar
untuk berehat. Lantas Rizqullah menjemput ibu mertuanya itu menaiki keretanya.
Mereka menuju ke suatu tempat untuk bersarapan. Pada waktu itulah perbualan
tercipta. Kisah harapan untuk mencapai cita-cita.
“Semuanya untuk masa depan kami dan anak-anak,” bicara
Rizqullah. “Cadangnya dah lama. Baru sekarang rasanya paling sesuai”
“Kalau mak izinkan, kami akan teruskan niat kami nak
sambung belajar,” bicara pula Abyatina.
“Sebaik-baik niatmu, maka eloklah diteruskan saja. Apa
pun yang mu rancangkan, pastikan untuk masa senangmu kemudian,” balas Mak Cik
Ros. “Insya-Allah, mak restukan”
Maka, Abyatina dan Rizqullah tersenyum dalam kelegaan.
Restu telah diberikan.
Kisah berikutnya, Abyatina dan Rizqullah memasuki fasa
baru hidup mereka. Aturan perjalanan hidup disusun satu persatu. Selepas restu
diberikan, maka Rizqullah dan Abyatina memulakan hidup mereka sebagai pasangan
dalam belajar. Cita-cita mereka adalah untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.
Namun sebelum semua itu tercapai, mereka perlu menyambung pengajian di
peringkat STPM dahulu.
“Kalau dulu, mungkin Ina lepaskan peluang nak sambung
belajar. Tapi, bila kali kedua muncul peluang yang sama, mustahil Ina lepaskan
lagi,” bicara Abyatina.
“Rezeki Allah ada di mana-mana. Kalau dulu banyak
halangannya. Tapi sekarang semuanya dipermudahkan,” balas Rizqullah.
“Tapi kenapa abang tiba-tiba nak sambung belajar?” soal
Abyatina.
“Hidup kita perlu bermatlamat. Perlu ada perubahan. Perlu
ada peningkatan. Yaqzan akan membesar. Dia perlukan hidup yang lebih baik,”
balas Rizqullah.
Perbualan itu tercipta di petang hari. Abyatina dan
Rizqullah berjalan-jalan di tepi pantai tidak jauh dari rumah mereka. Yaqzan
anak kecil mereka ditinggalkan sebentar bersama ibu Rizqullah. Mungkin mereka
mahu menghabiskan masa berdua yang telah lama tidak dirasakan.
Keesokannya, Abyatina dan Rizqullah menuju ke pejabat
pendidikan daerah. Di situ mereka mendapatkan maklumat mengenai perkara-perkara
berkaitan STPM. Dari soal sukatan pelajaran sehinggalah ke perkara-perkara
berkaitan pendaftaran peperiksaan, maka satu demi satu persoalan diajukan dan
dijawab dengan baik. Apabila segala perkara difahami, barulah satu keputusan
dibuat.
“Kita belajar sendiri. Itu lebih jimat berbanding sambung
belajar di sekolah persendirian,” kata Rizqullah membuat keputusan.
“Tapi mampukah kita?” soal Abyatina.
“Sama-sama kita belajar, sama-sama kita tolong. Mana yang
kurang, sama-sama kita perbaiki. Insya-Allah, kalau ada sabarnya, adalah
hasilnya. Kalau ada usahanya, akan ada kesenangannya nanti,” balas Rizqullah
penuh yakin.
Bukan mudah untuk belajar dan pada masa yang sama sibuk
menguruskan rumah tangganya. Bukan mudah juga belajar sambil meneruskan tugas
sebagai guru di sekolah. Namun bagi Abyatina dan Rizqullah, tiap-tiap kesukaran
itu didatangkan dengan kesabaran. Walaupun mungkin penat dan sukar, mereka
tetap bertekad untuk mencapai cita-cita mereka.
Di pagi hari, Rizqullah akan ke sekolah dan Abyatina akan
sibuk menguruskan hal rumah tangganya. Ada kalanya, ibu mertuanya muncul
membantu Abyatina. Yaqzan pula hari demi hari semakin membesar. Maka kepantasan
waktu tanpa sedar berlalu, Abyatina dan Rizqullah masih terus gigih dalam usaha
mereka.
“Siapa pula yang akan jadi cikgu hari ini?” soal
Rizqullah di suatu petang. Saat itu, mereka bersiap-siap untuk memulakan
pembelajaran.
“Kalau Sejarah, lebih baik Cikgu Rizqullah yang ajarkan.
Tak begitu?” usik Abyatina.
“Kalau hari ini kita belajar Bahasa Malaysia bagaimana?
Bukan begitu Cikgu Ina?” balas Rizqullah.
“Nak bermain tarik talik ya...”
“Apa kata kita baling duit syiling. Siapa yang kalah,
dialah cikgunya...” seloroh Rizqullah.
Lantas syiling diambil dan masing-masing memilih bahagian
syiling itu. Rizqullah memilih ekor dan Abyatina memilih kepala. Syiling
dilambung dan keputusan dilihat. Lantas bahagian ekor syiling yang kelihatan. Maka,
Abyatina menggelengkan kepala.
“Assalamualaikum Cikgu Ina!” usik Rizqullah sambil berdiri
tegak persis seorang ketua kelas memberi salam kepada gurunya.
“Apa khabar anak muridku?” balas Abyatina berseloroh.
“Hari ini kita belajar Bahasa Malaysia ya...”
Maka, bermulalah sesi pembelajaran mereka. Hakikatnya,
memang Abyatina sangat mahir dalam Bahasa Malaysia. Setiap aspek tatabahasa
dikuasainya. Maka tidak hairanlah Abyatina cukup mahir dalam subjek itu. Bagi
Rizqullah pula, subjek Sejarah menjadi kegemarannya. Walaupun seorang guru
Geografi di sekolah, Rizqullah ternyata cukup mahir dalam subjek Sejarah itu. Mungkin
mengikut jejak ayahnya, seorang guru Sejarah satu masa dahulu. Lantas, tatkala
mengulangkaji mata pelajaran, maka mereka pasti akan saling melengkapi,
membantu antara satu sama lain.
“Lagipun, Ina kan pandai menulis...” bicara Rizqullah.
Kisah itu berterusan selama setahun. Dengan tekun,
Abyatina dan Rizqullah sama-sama menuntut ilmu secara persendirian. Hanya
buku-buku menjadi rujukan. Tidak ada sebarang kelas dihadiri mereka.
Tanggungjawab mereka dalam berkeluarga membataskan mereka untuk menghadiri
sebarang kelas.
“Mungkin kalau kita belajar sendiri, dapat juga kita bagi
tumpuan pada Yaqzan. Kalau kita sibuk ke kelas, mungkin kita terlepas detik-detik
penting Yaqzan. Dalam usianya sebegini, kita perlu ada selalu dengannya. Waktu
inilah Yaqzan akan membesar dengan cepat,” bicara Rizqullah selepas tamat sesi
pembelajaran mereka.
Abyatina tersenyum. Dalam tempoh setahun itu, maka hari
demi hari Yaqzan membesar. Detik-detik indah ternyata tidak terlepas dari
pandangan mereka. Masih teringat di fikiran Abyatina tatkala pertama kali dapat
melihat senyuman dan ketawa yang dijelmakan Yaqzan buat pertama kalinya sewaktu
usianya mencecah tiga bulan.
“Waktu itulah yang paling menggembirakan hati. Segala
penat boleh hilang,” luah Abyatina.
Tak lama selepas itu, Yaqzan mula pandai untuk menggolekkan
badannya. Lantas perlahan-lahan selepas itu, anak kecil Abyatina itu mula
mengatur diri untuk meniarap. Detik-detik itu ternyata cukup penting
sehinggakan Rizqullah sanggup membeli kamera untuk mengambil gambar anak
sulungnya itu. Setiap detik indah yang berlaku pada Yaqzan akan dirakam Rizqullah
dengan baik.
“Biar terakam dengan baik, supaya menjadi kenangan manis
di hari tua...” bicara Yaqzan.
Apabila telah pandai meniarap, maka perlahan-lahan Yaqzan
belajar untuk menyulur. Maka, bermula dari saat itulah, Yaqzan tidak akan
dibiarkan di atas katil berseorangan. Hamparan tilam kecil diletakkan di ruang
tamu. Di situlah Yaqzan bermain-main sendirian tatkala pandai menyulur. Namun,
tempoh itu tidak lama kerana selepas itu Yaqzan mula berjinak-jinak untuk
merangkak.
“Hadang pintu rumah. Jangan sampai Yaqzan merangkak ke
pintu dan jatuh tangga ke bawah,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina sebaik
mendapat tahu cucunya itu sudah mula pandai merangkak.
Yaqzan ternyata cukup ligat. Walaupun hanya merangkak,
serata tempat di dalam rumah telah diterokainya. Kadangkala Abyatina merasai
kepenatan untuk melayan keligatan anaknya itu. Namun mujurlah setiap pintu
telah dihadang. Keselamatan Yaqzan terjamin.
“Kalau dah pandai berjalan, makin jauhlah pengembaraan si
Yaqzan ni...” keluh Abyatina.
“Biarkan. Lagipun Yaqzan bukan ada kawan di sini. Dia
seorang saja. Biar dia main sepuasnya,” balas Rizqullah.
Yaqzan ternyata pantas dalam proses perkembangannya.
Namun, apabila Yaqzan sudah lama merangkak, proses situ dilihat menjadi sedikit
perlahan. Agak lama juga Yaqzan merangkak sebelum dirinya mula mencuba untuk
berdiri. Itupun setelah diajar Abyatina. Perjalanan itu tidak sepantas proses
Yaqzan belajar untuk bercakap.
“Dan apa kata pertama dari mulut Yaqzan?” soal ibu
Rizqullah.
“Sudah semestinya perkataan ‘mak’,” balas Abyatina
tersenyum.
Pada usia tujuh bulan, Yaqzan mula menunjukkan
perkembangan untuk bercakap. Perkataan pertama yang dituturkan itu memberi
semangat buat Abyatina mengajar anaknya itu untuk bercakap. Usaha gigih
Abyatina ternyata berbaloi kerana dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Yaqzan
sudah pandai menuturkan beberapa perkataan ringkas untuk berkomunikasi
dengannya.
“Hebat cikgu BM kita ni ya...” usik Rizqullah.
Sehinggalah di satu petang setelah masa berlalu dengan
pantas, hampir dua tahun lamanya, Abyatina menerima surat dari posmen. Dua
pucuk surat diterimanya. Satu surat untuknya dan satu surat untuk suaminya.
Lantas dibuka surat miliknya. Sepantas itu dibaca isi kandungannya. Tak lama
kemudian Abyatina melonjak kegembiraan. Sebuah cita-cita akhirnya tercapai.
“Syukurlah. Termakbul juga akhirnya,” luah Rizqullah
melahirkan kegembiraan yang dirasai isterinya itu.
Lantas, Rizqullah membuka pula surat untuknya. Setelah
dibaca isi kandungan surat itu, kegembiraan tercipta sekali lagi. Abyatina dan
Rizqullah melalui detik paling gembira pada hari itu. Kisah masa hadapan kini
semakin menghampiri. Pada hari itu, surat tawaran untuk menyambung pengajian
diterima mereka. Setelah bersusah payah selama lebih setahun, kini usaha mereka
berbaloi.
“Syukurlah, akhirnya tercapai juga cita-cita kita,” luah
Abyatina.
Lantas fikiran mereka terkenang saat masing-masing
mengambil peperiksaan awam STPM. Setelah berbulan lamanya berhempas pulas,
akhirnya Abyatina dan Rizqullah menemui detik kemuncaknya. Peperiksaan bakal
dihadapi mereka. Dalam debaran itu, mereka memulakan hari pertama peperiksaan mereka
dengan tenang.
Selepas solat Subuh, maka Abyatina menyiapkan sarapan.
Rizqullah pula pada waktu itu menyiapkan anaknya Yaqzan. Tak lama kemudian,
mereka bersarapan dan selepas itu Yaqzan dihantar ke rumah ibu Rizqullah yang
terletak tidak jauh dari rumah mereka. Sebaik Yaqzan dihantar, maka Abyatina
dan Rizqullah bertolak menuju ke pusat peperiksaan.
“Doakan kami mak,” bicara Abyatina tatkala menyalam
tangan ibu mertuanya.
“Insya-Allah. Buat yang terbaik. Jangan lupa baca doa
sebelum jawab soalan,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina dan Rizqullah.
Setibanya di pusat peperiksaan, maka Abyatina memegang
tangan suaminya. Lantas tangan Rizqullah itu dicium.
“Ina mohon restu abang,” bicara Abyatina.
Lantas Rizqullah tersenyum. Tangan Abyatina pula dicium
Rizqullah selepas itu.
“Abang restukan. Abang pun macam tu juga. Moga sama-sama
dipermudahkan urusan hari ini,” bicara Rizqullah.
Maka, bermulalah perjalanan mereka menghadapi
peperiksaan. Dua minggu tempohnya sebelum semuanya selesai. Itulah kisah
beberapa bulan sebelum Abyatina dan Rizqullah menerima surat tawaran tersebut.
“Jadi mana universitinya?” soal ibu Rizqullah selepas
perkhabaran gembira itu disampaikan Rizqullah dan Abyatina.
“Universiti Sains Malaysia,” balas Rizqullah ringkas.
“Dua-dua tempat yang sama?” soal ibu Rizqullah.
“Ya. Tempat yang sama,” balas Abyatina pula.
“Baguslah kalau macam tu. Senang kerjanya nanti,” bicara
ibu Rizqullah.
“Tapi, macam mana dengan anak hang Yaqzan tu? Siapa yang
nak jaga nanti bila hangpa ada di sana?” soal Cikgu Hamdawi yang tiba-tiba
muncul di ruang tamu.
“Itulah yang sedang difikirkan...” balas Rizqullah.
Maka, di akhirnya Abyatina dan Rizqullah pulang ke
kampung bertemu Mak Cik Ros. Sudah menjadi rutin buat mereka untuk pulang ke
kampung setiap minggu, melawat Ustaz Man. Namun, kunjungan kali ini datangnya
dengan hajat. Mengharap pertolongan dari ibunya, maka Abyatina cuba bertanya.
“Harap mak dapat tolong Ina...” pinta Abyatina.
“Bila mu nak daftar di sana?” soal ibu Abyatina.
“Dua minggu lagi,” balas Abyatina.
“Kalau sehari dua nak jaga Yaqzan ni, tak ada masalah.
Tapi, kalau berbulan lamanya, takut tak terjaga nanti,” bicara Mak Cik Ros.
“Saya faham mak. Cuma setakat ni, kami tak tahu nak minta
tolong sesiapa,” kata Rizqullah.
“Lagipun, kami berpisah dengan Yaqzan tak lama. Bila dah
ada rumah yang sesuai nanti, kami akan berpindah. Tinggal sekali di sana,”
terang Abyatina.
“Mak mertuamu bagaimana? Tak diminta pertolongannya?”
soal ibu Abyatina.
“Belum ditanya lagi,” balas Abyatina ringkas.
“Tanya dulu. Kalau tak boleh, baru mak jaga Yaqzan ni,”
kata ibu Abyatina.
Penyudahnya, ibu mertua Abyatina bersetuju untuk menjaga
Yaqzan selama beberapa bulan saat Abyatina dan Rizqullah menyambung pengajian
mereka di universiti. Kelegaan dirasakan. Mak Cik Ros tidak diberikan beban,
dapat memberi tumpuan pada Ustaz Man yang memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Kenapa tak dicari rumah siap-siap di sana? Bolehlah tinggal
sekali,” kata ibu Rizqullah.
“Nak dicari pun, masanya dah suntuk. Untuk semester awal
ni, mungkin masing-masing tinggal dulu di kolej kediaman di USM,” balas
Rizqullah.
“Sanggup berpisah sekejap?” soal ibu Rizqullah.
“Setiap kesenangan perlu ada pengorbanan,” balas
Abyatina.
“Tapi, kenapa tak minta pertolongan abang hang Zaafarani
tu? Bukan dia menetap di Pulau Pinang?” soal ibu Rizqullah kepada Abyatina.
Rizqullah dan Abyatina hanya berpandangan antara satu
sama lain. Jawapan tidak diberi. Hanya kebisuan yang dibalas. Perihal Zaafarani
andai dibicarakan, maka rasa tidak senang mungkin dirasakan. Hakikatnya, memang
Zaafarani menetap di Pulau Pinang. Namun, untuk diminta pertolongan padanya,
Rizqullah ternyata sangat berat hati. Maka, disebabkan itu, saat mereka akan
menyambung pengajian di USM, perkhabaran itu tidak dinyatakan pada Zaafarani.
“Kecil hatinya nanti,” bicara Mak Cik Ros.
“Untuk sementara waktu saja. Nanti bila sesuai masanya,
kami akan beritahu abang Zaf,” balas Abyatina.
“Dalam keadaan sekarang, mungkin itu sebaiknya,” jelas
Rizqullah pula.
Masa berlalu dengan pantas. Maka tibalah saat Abyatina
dan Rizqullah menghadirkan diri untuk mendaftar sebagai pelajar baru Universiti
Sains Malaysia. Dalam keramaian itu, ternyata perasaan Abyatina bercampur baur.
Dalam keterujaan itu, keresahan juga dirasakannya. Itulah kali pertama Abyatina
akan berpisah dengan keluarganya. Itulah juga kali pertama Abyatina akan
berpisah dengan suaminya.
“Kenapa pula kita akan berpisah? Abang pun mendaftar juga
hari ini,” bicara Rizqullah cuba menenangkan hati Abyatina. “Tak perlu disusahkan
hati. Abyatina bukan berseorangan di USM”
“Tapi, malam ni abang tak ada dengan Ina,” bicara
Abyatina meluahkan keresahan hatinya.
“Tak apa, tempohnya bukan lama. Bila kita dapat rumah,
kita tinggal sekali semula,” balas Rizqullah.
Untuk semester pertama, Rizqullah dan Abyatina masing-masing
akan menetap di kolej kediaman yang telah ditetapkan buat mereka. Rizqullah
akan hidup membujang semula, begitu juga Abyatina. Di saat sesi pendaftaran
berlangsung, Abyatina yang pada mulanya berjalan bersama-sama Rizqullah
tiba-tiba menghentikan langkahnya.
“Kenapa pula?” soal Rizqullah.
“Ina ada cadangan,” kata Abyatina.
“Cadangan?”
“Ya...” balas Abyatina. “Kalau Ina akan terpisah seketika
dengan abang, hidup membujang kembali di kolej... Apa kata kalau kita nikmati
betul-betul kehidupan bujang tu?”
“Maksudnya?”
“Ya, semua yang ada kat sini tak tahu pun yang abang
suami Ina, dan Ina pun tak siapa yang tahu isteri abang....”
“Jadi?”
“Mungkin kita rahsiakan dulu status kita?”
“Kenapa pula?” Rizqullah terkejut dalam kehairanan.
“Abang tak teringin nak membujang?” soal Abyatina sedikit
sinis.
Maka, langkah mereka diteruskan. Abyatina lebih laju ke
hadapan meninggalkan suaminya. Rizqullah hanya berjalan perlahan di belakang
melihat isterinya itu meninggalkannya. Masih dalam kehairanan, Rizqullah hanya
meneruskan langkah dalam sedikit senyuman.
“Politik apa pula yang dimainkan si Abyatina ni?” bisik
Rizqullah.
Universiti Sains Malaysia, maka cita-cita Abyatina dan
Rizqullah kini tercipta. Dunia baru akan ditempuhi mereka. Catatan perjalanan
yang pasti ada bezanya. Kisahnya akan dilalui mereka.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh*
Abyatina dan Rizqullah kini di alam universiti. Apakah
akan ada dugaannya?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Siri Adina ke-30
ini adalah siri khas bagi meraikan ulangtahun siri Adina ke-4. Terima kasih
atas sokongan diberi untuk siri ini. (2010-2014- Adina)
Ditujukan khas
kepada pembaca setia Nor Farhana.
Sumber wajah: Thahirah Kamarulail
Ulasan