Pasca 901 Anwar Ibrahim
Umum memang mengetahui cerita yang sudah berlaku pada
Januari 9 yang lalu dan umum juga telah mendengar kisah yang berlaku di UPSI
pada tarikh yang sama. Kisah 2A, Anwar dan Adam Adli, tarikhnya sama, nasibnya
berbeza. Anwar bebas, Adam Adli tergantung selama tiga semester.
Banyak teka-teki mula ditimbulkan saat sabitan pertuduhan
liwat terhadap Anwar diputuskan tidak bersalah di mahkamah. Memang rata-rata
pihak mengakui bahawa keputusan itu adalah suatu yang mengejutkan, kerana jika
dilihat dari atmosfera politik negara,
rata-rata merasakan bahawa Anwar bakal dipenjarakan sekali lagi.
Soalnya kini, apakah kesan selepas keputusan mahkamah itu
dibuat?
Di pihak Barisan Nasional, keputusan ini mungkin menjadi
satu ‘bonus’ buat mereka, untuk
dijadikan modal menyatakan bahawa proses transformasi dalam sistem pentadbiran
eksekutif dari mempengaruhi sistem kehakiman negara dilihat telah berjaya.
Badan kehakiman kini dilihat telah bebas dan mampu membuat sebarang keputusan
tanpa pengaruh badan eksekutif. Imej Najib mungkin akan naik selepas keputusan
kes Anwar ini.
Kedua, keputusan makamah ini mungkin akan mengelakkan
berlakunya gelombang kuat rakyat untuk menyokong Anwar. Jika dilihat sewaktu
kes Anwar tahun 1999, keputusan memenjarakan Anwar oleh mahkamah telah
mencetuskan gelombang besar simpati rakyat untuk menyokong Anwar . Kesannya,
tsunami politik 1999 berlaku, menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan Pas.
Makanya, BN dilihat beruntung, kerana mereka tidak perlu berhadapan dengan
gelombang kedua seperti tahun 1999.
Ketiga, keputusan mahkamah ini juga bakal menyaksikan peluang
BN untuk menang dalam pilihanraya akan cerah jika pilihanraya itu dibuat dalam
masa terdekat. Beberapa tinjauan yang dibuat memperlihatkan bahawa sokongan dan
populariti Najib semakin meningkat jika dibandingkan pada tahun 2008. Dengan
ketiadaan gelombang sokongan terhadap Anwar, selepas Anwar telah dibebaskan
dari pertuduhan, maka BN tidak lagi perlu risau memikirkan soal mengembalikan
sokongan terhadap mereka. Apa yang perlu dilakukan mereka kini hanyalah
mengatur strategi untuk meraih sokongan rakyat sahaja.
Itu analisis di pihak Barisan Nasional. Di pihak Pakatan
Rakyat pula, keputusan kes Anwar juga turut beri signifikannya yang tersendiri.
Pertama, keputusan Anwar ini bakal menyaksikan satu
lonjakan sokongan kepada mereka, kerana segala tohmahan dan tuduhan oleh media
perdana sebelum ini akan dilihat sebagai tidak benar dan tidak tepat. Segala
macam tuduhan terhadap Anwar di media perdana, baik di akhbar mahupun di
televisyen kini boleh dipertikaikan. Malah pihak-pihak yang terus menghukum
Anwar dengan melabelkan beliau sebagai ‘Anwar al-Juburi’, si gila seks di luar
tabii’ juga mungkin menjadi terkelu seketika.
Hakikatnya, media perdana seolah-olah telah menghukum Anwar bahawa
beliau telah bersalah, walhal mahkamah belum pun membuat keputusan.
Kedua, keputusan ini juga bakal menyaksikan imej Anwar
akan dibersihkan, dan ini akan menjadi bonus buat Pakatan Rakyat. Kini, apa
yang perlu dilakukan oleh Anwar ialah memberi fokus pada PRU 13, dengan
menyusun strategi terbaik buat PR bagi memenangi hati rakyat. Bagi rakyat pula,
ketakutan untuk memilih pemimpin yang ‘tidak bersih’ akan hilang dengan
keputusan mahkamah tersebut. Situasi ini membolehkan PR dengan mudah dapat memancing
hati rakyat tanpa perlu berhadapan dengan isu moral pemimpinnya.
Ketiga, keputusan tersebut juga bakal menyaksikan
kebolehpercayaan rakyat terhadap media
arus perdana akan merosot. Rakyat akan mula mempersoalkan kredibiliti dan
kebenaran berita yang disampaikan oleh media perdana. Keputusan kes Anwar ini
ibarat satu ‘impak’ besar buat media perdana, dan satu tamparan hebat buat
mereka yang selama ini kelihatan telah menghukum Anwar sebagai bersalah.
Situasi ini kemudiannya akan melemahkan BN apabila media perdana yang menjadi
medium bagi mereka dalam meraih sokongan rakyat mungkin tidak akan dipedulikan
lagi. Itulah yang terjadi terhadap akhbar Utusan Malaysia apabila mengalami
kemorosotan mendadak dalam penjualan akhbar mereka. Itu jugalah yang terjadi
pada slot berita Buletin Utama di TV3 apabila sesetengah penonton seperti kelihatan mula hilang tarikan untuk menontonnya.
Namun, persoalan akan masih terus muncul. Soalnya, sejauh
manakah keputusan kes Anwar ini akan memberikan impak politik terhadap BN dan
PR. Pihak manakah yang akan lebih mendapat untung dari keputusan ini? Apakah
Anwar akan terus relevan? Apakah Najib akan terus menerima peningkatan sokongan
rakyat? Apakah PR akan lebih berkuasa atau BN akan kembali mendapatkan
maruahnya yang tercalar pada tahun 2008?
Hakikatnya, keputusan kes Anwar pada 901 hanya akan
mencetuskan persoalan tentang masa depan politik negara. Akhirnya, rakyatlah
yang akan menunjukkan kuasa mereka yang sebenar.
*Entri ini bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti.
Ulasan