Muhasabah Jumaat: Isu onani dalam kalangan remaja









Fitrah sebagai manusia, nikmat berkasih sayang itu sememangnya wujud dalam sanubari setiap insan. Hakikatnya, kasih sayang itu terjalin dengan ikatan hati yang ditarik antara satu sama lain, dan jika ingin dihuraikan kasih sayang itu, maka kadangkala perkara tersebut tidak boleh digambarkan menerusi kata-kata.

Soal kasih sayang itu jika dapat dijalin menerusi perkahwinan, maka indahnya tak terkata. Segala perkara yang ditahan, akhirnya dapat dilepaskan secara halal. Itu jika dapat berkahwin, maka jeritan batin yang mungkin dipendam tidak lagi kedengaran. Soalnya, jika berkahwin, maka nafsu syahwat dapat dilepaskan, dan dilepaskan dalam cara yang halal malah menjadi sebuah ibadah.

Namun, hakikatnya tak semua punyai kemampuan untuk berkahwin. Jika dulu, usia awal 20-an menjadi satu kebiasaan untuk muda mudi mendirikan rumah tangga, kini angka tersebut meningkat sedikit. Majoriti anak muda kini hanya akan berkahwin di lewat usia 20-an. Semuanya disebabkan tanggungjawab menjadi seorang pelajar, kerana rata-rata generasi hari ini menghabiskan usia 20-an untuk melanjutkan pengajian mereka.

Kedengaran pada hari ini, masalah dalam soal nafsu syahwat semakin kuat diperkatakan. Makanya, timbul isu perlakuan onani dalam kalangan muda-mudi. Hakikatnya, onani dikatakan telah menjadi satu amalan biasa bagi golongan muda sebagai penyelesaian mudah bagi mengurangkan gelora jiwa dalam soal syahwat. Soalnya, apakah onani itu dibolehkan di sisi agama?

Konteks perbincangan adalah tertumpu pada permasalahan amalan onani dalam kalangan lelaki.


Apakah hukum beronani dalam Islam?

Dalam soal ini, kebanyakan pendapat ulama telah bersetuju bahawa hukum beronani itu adalah haram berdasarkan ayat di dalam al-Quran:

"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas."
(Al-Mu'minun: 5-7)

Dalam soal onani, perlakuan ini adalah perbuatan yang melewati batas seperti yang disebut dalam ayat tersebut.

Mazhab Maliki dan mazhab Syafie menyatakan bahawa onani itu adalah haram secara mutlak berdasarkan ayat tersebut, manakala bagi mazhab Hanafi, onani itu adalah haram bagi sesetengah keadaan dan wajib bagi pada sesetengah keadaan. Menurut mazhab Hanafi, onani itu dibolehkan sekiranya takut terjerumus ke dalam zina.

Begitu juga dengan mazhab Hanbali, yang menyatakan bahawa onani itu dibolehkan sekiranya takut terjerumus ke lembah zina atau memudaratkan kesihatan ketika isteri tiada di sisi atau tidak berkemampuan untuk berkahwin lagi. Menurut mazhab Hanbali lagi, air mani adalah benda lebihan dari tubuh, dan dibolehkan untuk dibuang dengan syarat-syarat tertentu.

Namun begitu, secara keseluruhannya, melakukan onani itu adalah diharamkan berdasarkan dalam ayat yang dinyatakan tersebut, dan diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah S.A.W.

“Wahai sekalian pemuda yang mampu untuk mengeluarkan mahar maka kahwinlah. Maka sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan pandangan dan menjaga kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu (untuk berkahwin) maka berpuasalah. Maka sesungguhnya (puasa) adalah perisai.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie, Ibnu Majah, al-Darimi, Ahmad)


Jelas, Rasulullah menganjurkan berpuasa sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin. Tidak langsung disebut akan perihal onani sekiranya kemampuan untuk berkahwin itu tiada, dan seterusnya menyatakan bahawa dalam soal gelora syahwat, andai tidak mampu berkahwin lagi, maka cara terbaik ialah dengan melakukan puasa, dan bukannya dengan cara beronani.

Kesimpulannya, perbuatan onani itu adalah haram.

Jika dibolehkan pun , hanya tangan si isteri sahaja yang dibolehkan untuk melakukan perbuatan tersebut pada si suaminya.


Sebab perlakuan onani

Dalam soal onani (baik lelaki mahupun perempuan), perlakuan ini adalah disebabkan keinginan syahwat yang memuncak yang tidak dapat dikawal oleh hati. Maka jalan mudah yang dipilih adalah dengan melakukan zina tangan.

Harus diakui, keinginan untuk melakukan onani ini adalah sesuatu yang normal bagi seorang remaja tatkala pada waktu ini mereka mengenal potensi seksual mereka.  Namun itu bukanlah satu bentuk alasan untuk menghalalkan perbuatan onani ini kerana pada dasarnya, perkara yang haram tetaplah haram walau apa jua alasannya.

Banyak faktor yang boleh dinilai dalam mengenalpasti punca tercetusnya perbuatan onani ini. Namun faktor utama pastilah disebabkan oleh keinginan seksual yang tak terkawal. Dalam perkara ini pula, keinginan tak terkawal  itu adalah didorong oleh faktor-faktor lain.

Pengenalan dunia tanpa sepadan menerusi jaringan internet sememangnya menjadi  pemangkin penting akan bebasnya dalam pencarian maklumat tanpa sebarang tapisan. Makanya, apa yang kelihatan kini adalah ketagihan mendapatkan bahan-bahan berunsur pornografi menerusi internet dilihat semakin bercambah bagi sesetengah golongan remaja hari ini. Harus diakui, saat budaya ini menjadi amalan, makanya rangsangan berlebihan terhadap keinginan syahwat itu akan semakin bertambah. Sedar atau tidak, bagi melepaskan keinginan itu dalam cara paling mudah adalah dengan menggunakan medium tangan sebagai perantaraan untuk mencapai kepuasan syahwat yang memuncak itu.

Pandangan mata yang tak dijaga, maka cetusan untuk beronani akan muncul di dalam hati. Dalam soal ini, andai pandangan mata itu dibiarkan liar, melihat segala macam perkara tanpa ada batasan, maka apa yang akan timbul ialah rangsangan berlebihan dalam soal syahwat. Melihat aurat wanita tanpa batasan, maka cetusan hati kecil boleh tercetus, merangsang apa yang sepatutnya ditahan. Harus diakui, tubuh wanita itu andai diperlihatkan auratnya, maka bisikan-bisikan syaitan memungkinkan zina tangan berlaku. Malah, golongan wanita yang mendedahkan aurat ini mungkin dijadikan ‘fantasi seks’ buat si pelaku onani sewaktu perlakuan onani tersebut.

Itu baru melihat aurat wanita. Bayangkan jika melihat tubuh wanita tanpa seurat benang pun, maka mungkin kesannya lebih dahsyat.

Hakikatnya pada dasarnya perlakuan onani terjadi andai nilai agama itu diketepikan, dan hidup lebih berlandaskan hawa nafsu semata-mata.

Kesan melakukan onani

Walaupun terdapat pakar menyatakan bahawa perlakuan onani ini tidak memberikan kesan sampingan pada kesihatan tubuh - malah menyatakan bahawa onani itu memberikan kebaikan kerana dikatakan mampu mengurangkan tekanan, hakikatnya perlakuan onani itu ternyata mempunyai kesan sampingan.

Menurut beberapa pendapat pakar, perbuatan onani ini akan melemahkan daya tahan seseorang ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan apabila telah berkahwin kelak. Malah, kebarangkalian untuk tidak merasa puas ketika melakukan hubungan mungkin akan terjadi dek ketagihan perbuatan onani tersebut. Malah ada pada satu tahap, si pelaku onani ini akan merasakan bahawa kepuasan syahwatnya itu adalah lebih puas dinikmati menerusi perbuatan onani berbanding dengan hubungan intim dengan pasangannya. Perkara ini mungkin akan menyebabkan hubungan antara suami isteri akan terjejas dalam jangka masa panjang.

Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa perlakuan onani ini juga mungkin akan menyebabkan masalah kencing yang tidak lawas. Penyakit ini selalu terjadi pada golongan lelaki berusia 50-an ke atas, namun boleh terjadi kepada golongan muda andai onani ini dijadikan amalan. Masalah ini pastilah sangat rumit, kerana apabila kencing tidak lawas, maka soal penjagaan diri dari najis pasti akan sukar. Malah, masalah ini pasti akan menyukarkan seseorang untuk berada dalam keadaan wuduk dan sampai ke satu tahap akan menganggu solat.

Dari sudut psikologi pula, onani boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kehidupan seharian. Akan tiba satu waktunya, apabila amalan onani ini telah menjadi kebiasaan, mungkin seseorang akan menghadapi gangguan emosi dari sudut syahwat. Pemikiran seseorang itu mungkin akan senantiasa terganggu dengan keinginan untuk melakukan perbuatan onani, dan perkara ini pasti akan menjejaskan produktiviti kerja seseorang. Malah, akan sampai ke satu tahap, si pelaku ini akan cepat terangsang nafsu syahwatnya acap kali melihat wanita. Akhirnya rangsangan tak terkawal ini akan mendorong keinginan melakukan zina tangan.

Dalam sudut agama pula, onani hakikatnya akan melemahkan hati seseorang. Perbuatan onani akan menyebabkan solat dan ibadah-ibdah lain akan terganggu. Malah, kekusyukan solat juga akan terganggu, dan pasti akan menyebabkan kualiti solat juga akan berkurangan. Apabila tiada kualiti dalam solat, maka ketenangan hati tidak dalam diperolehi. Akhirnya, apabila tenang tiada di hati, mereka akan mencari alternatif bagi menghilangkan rasa celaru.

Harus diingat juga, onani hakikatnya merupakan satu bentuk perbuatan yang menghampiri zina. Tidak mustahil, lama kelamaan apabila perbuatan onani itu dilakukan, akan timbul pula cetusan di hati untuk melakukan ‘level’ syahwat yang lebih tinggi. Maka, mungkin seseorang itu akan terdorong untuk melakukan zina.

Onani hakikatnya akan mendorong seseorang untuk mencari segala macam bahan untuk dijadikan ‘modal’ rangsangan syahwat mereka itu. Maka tak mustahil bahan-bahan lucah akan dicari, dan perkara ini semestinya haram dalam Islam. Maka, akhirnya, si pelaku onani hanya akan mengumpul dosa sedikit demi sedikit.

Hakikatnya, perbuatan onani itu adalah satu bentuk amalan yang mendatangkan ketagihan, malah mungkin ketagihan itu lebih teruk dari ketagihan untuk merokok.


Langkah mengatasi perilaku onani

Agama haruslah dimantapkan bagi mencegah diri dari perilaku ini. Salah satu langkah terbaik untuk mencegah diri ialah dengan banyak melakukan puasa sunat. Hakikatnya, melalui ibadah puasa, hati akan dapat dikawal. Pandangan mata, dan keinginan syahwat akan dapat dikurangkan. Malah, inilah langkah terbaik bagi menangani ketagihan melakukan onani. Puasa hakikatnya akan mendamaikan hati.

Pandangan mata juga perlulah dikawal. Jangan menggunakan nikmat mata yang diberi untuk melihat perkara-perkara dosa. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan mata untuk kepuasan melihat aurat wanita yang ditayangkan secara ‘percuma’. Walaupun ditayangkan secara ‘percuma’ di dunia, hakikatnya akan ada harga yang perlu ‘dibayar’ di akhirat nanti. Maka, andai ada si wanita berpakaian separuh telanjang di hadapan mata, maka tundukkanlah pandangan, moga tak tergugat iman.

Bagi kaum hawa pula, seharusnya mereka tidak sewenang-wenang menayangkan tubuh mereka. Harus diakui, kerana tubuh wanitalah, maka rangsangan untuk melakukan onani akan meningkat. Tubuh wanita itu sememangnya diciptakan Allah untuk menjadi tarikan, dan seharusnya perlu dilindungi dari pandangan mata mereka yang tak sepatutnya melihatnya. Ingatlah, mungkin secara tidak langsung, andai seorang lelaki itu melakukan onani disebabkan terlihat aurat seorang wanita, maka mungkin secara tidak langsung si wanita itu juga akan berkongsi dosa dengan si lelaki yang melihat auratnya. Maka, hati-hati dalam soal berpakaian.

Kajian juga mendapati bahawa perbuatan onani ini akan lebih mudah tercetus andai seseorang itu bersendirian dan mempunyai kelapangan masa yang sangat banyak. Maka, sibukkanlah diri dengan pelbagai aktiviti, dan bergaullah dengan lebih kerap bersama rakan-rakan. Elakkan diri dari bersendirian. Kerapkanlah diri supaya bersenam, kerana aktiviti ini juga akan mengurangkan keinginan tersebut. Apa yang penting, jangan selalu bersendirian.

Jangan lupa juga, elakkan dari menonton atau melayari laman web lucah. Hakikatnya, inilah faktor utama yang melonjakkan gelodak nafsu terhadap syahwat. Berdosa hukumnya, maka semestinya akan merosakkan hati.

Kesimpulan

Gejala onani ini adalah sesuatu yang harus dipandang dengan serius, kerana perkara ini mampu mencetuskan masalah dalaman anak-anak muda pada hari ini. Harus diakui, ramai anak-anak muda kini terjebak dalam perlakuan ini. Malah kajian dilakukan mendapati bahawa 70 peratus dari lelaki mengakui melakukan onani, manakala 40 peratus pula bagi wanita.

Dalam soal syahwat ini, seharusnya kawalan diri yang mantap perlu ada dalam diri seseorang. Haruslah diingat, bahawa kepuasan syahwat bukanlah segala-galanya di dunia ini, kerana itu adalah sekadar pelengkap kepada kenikmatan hidup. Maka, sama-samalah muhasabah diri, perbetulkan mana yang salah, moga kelak di hari muka tidak menjadi orang –orang yang rugi dek di dunia tak tahu mensyukuri nikmat yang diberi.

Namun, langkah paling mudah dalam menangani masalah gelodak syahwat ini pastilah dengan penyelesaian yang terbaik, iaitu mendirikan rumah tangga.

Wallahualam.






*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut. 



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
satu kupasan isu yang menarik...banyak intipatinya =)
Sekadar meneroka permasalahan yang berlaku.
Unknown berkata…
bagus maklumat ni....terutama buat remaja
Info yang sangat menarik. Terima kasih YazidRosly...

Catatan Popular