Muhasabah Jumaat: Isu onani dalam kalangan remaja
Fitrah sebagai manusia, nikmat berkasih sayang itu
sememangnya wujud dalam sanubari setiap insan. Hakikatnya, kasih sayang itu
terjalin dengan ikatan hati yang ditarik antara satu sama lain, dan jika ingin
dihuraikan kasih sayang itu, maka kadangkala perkara tersebut tidak boleh
digambarkan menerusi kata-kata.
Soal kasih sayang itu jika dapat dijalin menerusi
perkahwinan, maka indahnya tak terkata. Segala perkara yang ditahan, akhirnya
dapat dilepaskan secara halal. Itu jika dapat berkahwin, maka jeritan batin
yang mungkin dipendam tidak lagi kedengaran. Soalnya, jika berkahwin, maka
nafsu syahwat dapat dilepaskan, dan dilepaskan dalam cara yang halal malah
menjadi sebuah ibadah.
Namun, hakikatnya tak semua punyai kemampuan untuk
berkahwin. Jika dulu, usia awal 20-an menjadi satu kebiasaan untuk muda mudi
mendirikan rumah tangga, kini angka tersebut meningkat sedikit. Majoriti anak
muda kini hanya akan berkahwin di lewat usia 20-an. Semuanya disebabkan tanggungjawab
menjadi seorang pelajar, kerana rata-rata generasi hari ini menghabiskan usia
20-an untuk melanjutkan pengajian mereka.
Kedengaran pada hari ini, masalah dalam soal nafsu
syahwat semakin kuat diperkatakan. Makanya, timbul isu perlakuan onani dalam
kalangan muda-mudi. Hakikatnya, onani dikatakan telah menjadi satu amalan biasa
bagi golongan muda sebagai penyelesaian mudah bagi mengurangkan gelora jiwa
dalam soal syahwat. Soalnya, apakah onani itu dibolehkan di sisi agama?
Konteks perbincangan adalah tertumpu pada permasalahan
amalan onani dalam kalangan lelaki.
Apakah hukum
beronani dalam Islam?
Dalam soal ini, kebanyakan pendapat ulama telah bersetuju
bahawa hukum beronani itu adalah haram berdasarkan ayat di dalam al-Quran:
"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya
kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak
tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu
adalah orang-orang yang melewati batas."
(Al-Mu'minun: 5-7)
Dalam soal onani,
perlakuan ini adalah perbuatan yang melewati batas seperti yang disebut dalam
ayat tersebut.
Mazhab Maliki dan
mazhab Syafie menyatakan bahawa onani itu adalah haram secara mutlak berdasarkan
ayat tersebut, manakala bagi mazhab Hanafi, onani itu adalah haram bagi
sesetengah keadaan dan wajib bagi pada sesetengah keadaan. Menurut mazhab
Hanafi, onani itu dibolehkan sekiranya takut terjerumus ke dalam zina.
Begitu juga dengan
mazhab Hanbali, yang menyatakan bahawa onani itu dibolehkan sekiranya takut
terjerumus ke lembah zina atau memudaratkan kesihatan ketika isteri tiada di
sisi atau tidak berkemampuan untuk berkahwin lagi. Menurut mazhab Hanbali lagi,
air mani adalah benda lebihan dari tubuh, dan dibolehkan untuk dibuang dengan
syarat-syarat tertentu.
Namun begitu, secara
keseluruhannya, melakukan onani itu adalah diharamkan berdasarkan dalam ayat
yang dinyatakan tersebut, dan diperkukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah S.A.W.
“Wahai sekalian pemuda yang mampu untuk mengeluarkan mahar
maka kahwinlah. Maka sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan pandangan dan
menjaga kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu (untuk berkahwin) maka
berpuasalah. Maka sesungguhnya (puasa) adalah perisai.”
(Riwayat al-Bukhari,
Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie, Ibnu Majah, al-Darimi, Ahmad)
Jelas, Rasulullah
menganjurkan berpuasa sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin.
Tidak langsung disebut akan perihal onani sekiranya kemampuan untuk berkahwin
itu tiada, dan seterusnya menyatakan bahawa dalam soal gelora syahwat, andai
tidak mampu berkahwin lagi, maka cara terbaik ialah dengan melakukan puasa, dan
bukannya dengan cara beronani.
Kesimpulannya,
perbuatan onani itu adalah haram.
Jika dibolehkan pun ,
hanya tangan si isteri sahaja yang dibolehkan untuk melakukan perbuatan
tersebut pada si suaminya.
Sebab perlakuan onani
Dalam soal onani
(baik lelaki mahupun perempuan), perlakuan ini adalah disebabkan keinginan
syahwat yang memuncak yang tidak dapat dikawal oleh hati. Maka jalan mudah yang
dipilih adalah dengan melakukan zina tangan.
Harus diakui, keinginan
untuk melakukan onani ini adalah sesuatu yang normal bagi seorang remaja
tatkala pada waktu ini mereka mengenal potensi seksual mereka. Namun itu bukanlah satu bentuk alasan untuk
menghalalkan perbuatan onani ini kerana pada dasarnya, perkara yang haram
tetaplah haram walau apa jua alasannya.
Banyak faktor yang
boleh dinilai dalam mengenalpasti punca tercetusnya perbuatan onani ini. Namun
faktor utama pastilah disebabkan oleh keinginan seksual yang tak terkawal.
Dalam perkara ini pula, keinginan tak terkawal
itu adalah didorong oleh faktor-faktor lain.
Pengenalan dunia
tanpa sepadan menerusi jaringan internet sememangnya menjadi pemangkin penting akan bebasnya dalam
pencarian maklumat tanpa sebarang tapisan. Makanya, apa yang kelihatan kini
adalah ketagihan mendapatkan bahan-bahan berunsur pornografi menerusi internet
dilihat semakin bercambah bagi sesetengah golongan remaja hari ini. Harus
diakui, saat budaya ini menjadi amalan, makanya rangsangan berlebihan terhadap
keinginan syahwat itu akan semakin bertambah. Sedar atau tidak, bagi melepaskan
keinginan itu dalam cara paling mudah adalah dengan menggunakan medium tangan
sebagai perantaraan untuk mencapai kepuasan syahwat yang memuncak itu.
Pandangan mata yang
tak dijaga, maka cetusan untuk beronani akan muncul di dalam hati. Dalam soal
ini, andai pandangan mata itu dibiarkan liar, melihat segala macam perkara
tanpa ada batasan, maka apa yang akan timbul ialah rangsangan berlebihan dalam
soal syahwat. Melihat aurat wanita tanpa batasan, maka cetusan hati kecil boleh
tercetus, merangsang apa yang sepatutnya ditahan. Harus diakui, tubuh wanita
itu andai diperlihatkan auratnya, maka bisikan-bisikan syaitan memungkinkan
zina tangan berlaku. Malah, golongan wanita yang mendedahkan aurat ini mungkin
dijadikan ‘fantasi seks’ buat si pelaku onani sewaktu perlakuan onani tersebut.
Itu baru melihat
aurat wanita. Bayangkan jika melihat tubuh wanita tanpa seurat benang pun, maka
mungkin kesannya lebih dahsyat.
Hakikatnya pada
dasarnya perlakuan onani terjadi andai nilai agama itu diketepikan, dan hidup
lebih berlandaskan hawa nafsu semata-mata.
Kesan melakukan onani
Walaupun terdapat pakar
menyatakan bahawa perlakuan onani ini tidak memberikan kesan sampingan pada
kesihatan tubuh - malah menyatakan bahawa onani itu memberikan kebaikan kerana
dikatakan mampu mengurangkan tekanan, hakikatnya perlakuan onani itu ternyata
mempunyai kesan sampingan.
Menurut beberapa
pendapat pakar, perbuatan onani ini akan melemahkan daya tahan seseorang ketika
melakukan hubungan intim dengan pasangan apabila telah berkahwin kelak. Malah,
kebarangkalian untuk tidak merasa puas ketika melakukan hubungan mungkin akan
terjadi dek ketagihan perbuatan onani tersebut. Malah ada pada satu tahap, si
pelaku onani ini akan merasakan bahawa kepuasan syahwatnya itu adalah lebih
puas dinikmati menerusi perbuatan onani berbanding dengan hubungan intim dengan
pasangannya. Perkara ini mungkin akan menyebabkan hubungan antara suami isteri
akan terjejas dalam jangka masa panjang.
Terdapat juga kajian
yang menyatakan bahawa perlakuan onani ini juga mungkin akan menyebabkan masalah
kencing yang tidak lawas. Penyakit ini selalu terjadi pada golongan lelaki berusia
50-an ke atas, namun boleh terjadi kepada golongan muda andai onani ini
dijadikan amalan. Masalah ini pastilah sangat rumit, kerana apabila kencing
tidak lawas, maka soal penjagaan diri dari najis pasti akan sukar. Malah,
masalah ini pasti akan menyukarkan seseorang untuk berada dalam keadaan wuduk
dan sampai ke satu tahap akan menganggu solat.
Dari sudut psikologi
pula, onani boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kehidupan seharian. Akan
tiba satu waktunya, apabila amalan onani ini telah menjadi kebiasaan, mungkin seseorang
akan menghadapi gangguan emosi dari sudut syahwat. Pemikiran seseorang itu
mungkin akan senantiasa terganggu dengan keinginan untuk melakukan perbuatan
onani, dan perkara ini pasti akan menjejaskan produktiviti kerja seseorang.
Malah, akan sampai ke satu tahap, si pelaku ini akan cepat terangsang nafsu
syahwatnya acap kali melihat wanita. Akhirnya rangsangan tak terkawal ini akan
mendorong keinginan melakukan zina tangan.
Dalam sudut agama
pula, onani hakikatnya akan melemahkan hati seseorang. Perbuatan onani akan
menyebabkan solat dan ibadah-ibdah lain akan terganggu. Malah, kekusyukan solat
juga akan terganggu, dan pasti akan menyebabkan kualiti solat juga akan
berkurangan. Apabila tiada kualiti dalam solat, maka ketenangan hati tidak
dalam diperolehi. Akhirnya, apabila tenang tiada di hati, mereka akan mencari
alternatif bagi menghilangkan rasa celaru.
Harus diingat juga, onani
hakikatnya merupakan satu bentuk perbuatan yang menghampiri zina. Tidak
mustahil, lama kelamaan apabila perbuatan onani itu dilakukan, akan timbul pula
cetusan di hati untuk melakukan ‘level’ syahwat yang lebih tinggi. Maka,
mungkin seseorang itu akan terdorong untuk melakukan zina.
Onani hakikatnya akan
mendorong seseorang untuk mencari segala macam bahan untuk dijadikan ‘modal’
rangsangan syahwat mereka itu. Maka tak mustahil bahan-bahan lucah akan dicari,
dan perkara ini semestinya haram dalam Islam. Maka, akhirnya, si pelaku onani
hanya akan mengumpul dosa sedikit demi sedikit.
Hakikatnya, perbuatan
onani itu adalah satu bentuk amalan yang mendatangkan ketagihan, malah mungkin
ketagihan itu lebih teruk dari ketagihan untuk merokok.
Langkah mengatasi perilaku onani
Agama haruslah
dimantapkan bagi mencegah diri dari perilaku ini. Salah satu langkah terbaik
untuk mencegah diri ialah dengan banyak melakukan puasa sunat. Hakikatnya,
melalui ibadah puasa, hati akan dapat dikawal. Pandangan mata, dan keinginan
syahwat akan dapat dikurangkan. Malah, inilah langkah terbaik bagi menangani
ketagihan melakukan onani. Puasa hakikatnya akan mendamaikan hati.
Pandangan mata juga
perlulah dikawal. Jangan menggunakan nikmat mata yang diberi untuk melihat
perkara-perkara dosa. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan mata untuk kepuasan
melihat aurat wanita yang ditayangkan secara ‘percuma’. Walaupun ditayangkan
secara ‘percuma’ di dunia, hakikatnya akan ada harga yang perlu ‘dibayar’ di
akhirat nanti. Maka, andai ada si wanita berpakaian separuh telanjang di
hadapan mata, maka tundukkanlah pandangan, moga tak tergugat iman.
Bagi kaum hawa pula,
seharusnya mereka tidak sewenang-wenang menayangkan tubuh mereka. Harus diakui,
kerana tubuh wanitalah, maka rangsangan untuk melakukan onani akan meningkat. Tubuh
wanita itu sememangnya diciptakan Allah untuk menjadi tarikan, dan seharusnya
perlu dilindungi dari pandangan mata mereka yang tak sepatutnya melihatnya.
Ingatlah, mungkin secara tidak langsung, andai seorang lelaki itu melakukan
onani disebabkan terlihat aurat seorang wanita, maka mungkin secara tidak
langsung si wanita itu juga akan berkongsi dosa dengan si lelaki yang melihat
auratnya. Maka, hati-hati dalam soal berpakaian.
Kajian juga mendapati
bahawa perbuatan onani ini akan lebih mudah tercetus andai seseorang itu
bersendirian dan mempunyai kelapangan masa yang sangat banyak. Maka,
sibukkanlah diri dengan pelbagai aktiviti, dan bergaullah dengan lebih kerap
bersama rakan-rakan. Elakkan diri dari bersendirian. Kerapkanlah diri supaya
bersenam, kerana aktiviti ini juga akan mengurangkan keinginan tersebut. Apa
yang penting, jangan selalu bersendirian.
Jangan lupa juga,
elakkan dari menonton atau melayari laman web lucah. Hakikatnya, inilah faktor
utama yang melonjakkan gelodak nafsu terhadap syahwat. Berdosa hukumnya, maka
semestinya akan merosakkan hati.
Kesimpulan
Gejala onani ini
adalah sesuatu yang harus dipandang dengan serius, kerana perkara ini mampu
mencetuskan masalah dalaman anak-anak muda pada hari ini. Harus diakui, ramai
anak-anak muda kini terjebak dalam perlakuan ini. Malah kajian dilakukan
mendapati bahawa 70 peratus dari lelaki mengakui melakukan onani, manakala 40
peratus pula bagi wanita.
Dalam soal syahwat
ini, seharusnya kawalan diri yang mantap perlu ada dalam diri seseorang.
Haruslah diingat, bahawa kepuasan syahwat bukanlah segala-galanya di dunia ini,
kerana itu adalah sekadar pelengkap kepada kenikmatan hidup. Maka, sama-samalah
muhasabah diri, perbetulkan mana yang salah, moga kelak di hari muka tidak
menjadi orang –orang yang rugi dek di dunia tak tahu mensyukuri nikmat yang
diberi.
Namun, langkah paling
mudah dalam menangani masalah gelodak syahwat ini pastilah dengan penyelesaian
yang terbaik, iaitu mendirikan rumah tangga.
Wallahualam.
*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut.
Ulasan