"Khusyuk Cintaku"
Kesegaran wuduk memberi ketenangan jiwa. Perlahan-lahan
nafas tenang saat kaki sedikit demi sedikit melangkah masuk ke dewan solat.
Fardhu Zuhur akan dilengkapkan. Maka tanggungjawab yang lima cuba dilaksanakan.
Agak panjang nafasnya ditarik, dan saat itu juga debaran dirasakan. Kemampuan
akan diuji, saat diri bersedia untuk mengadap Ilahi. Bukan mudah tatkala hati
itu cuba diserahkan sepenuhnya pada ibadah.
Satu sudut diambilnya. Setelah selasa dengan tempat
solatnya, maka dengan tenang dia berdiri dengan tegak. Matanya dipejam, cuba
mendapatkan tumpuan sepenuhnya. Hatinya cuba dikosongkan, dicuba untuk
melupakan segala hal duniawi. Maka tak lama kemudian, lafaz Bismillah
diungkapkan dan serentak dengan itu hatinya berbicara. Bicara menyatakan niat
untuk menunaikan solat fardhu Zuhur.
Namun, langkahnya sumbang. Niatnya melayang. Sekelip mata
fokusnya hilang. Serta merta permulaan solatnya terkandas. Matanya ibarat
berpinar-pinar, hilang tumpuan untuk mendirikan solat. Dengan tenang, dia
menarik nafas panjang. Mulutnya mula beristighfar, cuba mendapatkan kembali
momentum yang hilang. Solatnya cuba didirikan sekali lagi.
Beberapa detik kemudian, lafaz Bismillah sekali lagi
diucapkan. Saat itu niat dimulakan serentak dengan lafaz takbir. Hati berbicara
dengan solat yang sama, mengharapkan moga percubaan kedua itu tidak menghadapi
kesukaran.
Namun, kegagalan kedua muncul juga. Solatnya tak dapat
dimulakan. Sekali lagi hatinya terganggu. Maka, langkah ketiga dimulakan dengan
cara yang sama. Dicuba dan terus dicuba, hingga di akhirnya, barulah kejayaan
dicapai.
“Moga Allah pelihara kamu dengan hati yang tenang,” bisik
seorang lelaki tua tak jauh darinya.
Namun, cabaran solatnya tidak terhenti di situ. Satu lagi
kesukaran harus dilepasinya. Al-Fatihah pula menjadi dugaan seterusnya. Saat dimulakan,
maka kepayahan dialami. Berkali-kali diulang bacaannya dek hati tidak yakin
pada lafaz yang diungkapkan. Dirasakan bahawa Fatihah yang dibaca tidak
sempurna. Benar, dia tahu, andai tak sempurna Fatihah itu, maka sia-sia sahaja
seluruh solatnya. Fatihah itu rukun dalam solat.
“Tenangkanlah hati hamba ini ya Allah,” bisik sekali lagi
lelaki tua tersebut.
Perjalanan solatnya ternyata bukan semudah seperti yang
lain. Kepayahan terpancar di wajahnya saat menjalankan setiap rukun dalam solat
itu. Ternyata nilai was-was menguasai dirinya, hinggakan sampai ke rukun
terakhir bacaan tahiyat akhir, dia merasakan sukar yang teramat sangat.
Bacaannya senantiasa tersangkut, ada kalanya diulang-ulang beberapa kali. Namun
digagahkan juga, kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang harus
dilaksanakan.
Akhirnya, salam diberikan. Maka selesailah solatnya.
Lima belas minit lamanya, dan ternyata solatnya itu satu
kesukaran. Itulah yang dilalui setiap kali solat didirikan. Fahmi bagai
berjuang di medan tempur, melawan rasa was-wasnya. Memang benar, ada saatnya,
mahu sahaja dibiarkan sahaja amanah solatnya. Namun dia sedar, walau sesukar
mana pun solat itu, tanggungjawab melaksanakannya adalah satu kewajipan.
Setelah doa ditadah, Fahmi bangun melangkah meninggalkan
dewan solat. Saat itu jugalah lelaki tua yang duduk tidak jauh darinya itu
memanggil Fahmi.
“Boleh kita berbicara?”
Lelaki separuh abad, berpakaian kemas. Berkopiah putih
lengkap pula dengan jubahnya yang bersih. Wajahnya cukup tenang di sebalik jambangnya
yang dijaga dengan kemas. Senyuman senantiasa terukir di wajahnya.
“Itu pun kalau kamu punyai masa,” bicara lelaki tua itu.
“Insya-Allah, ada kelapangannya,” balas Fahmi sebelum
duduk di hadapan lelaki itu. Tertanya-tanya Fahmi di dalam hatinya. “Kenapa nak
bicara denganku?” bisik Fahmi sendirian. Namun dia hanya tersenyum memandang
wajah lelaki tua itu.
“Minta maaf sekadar bertanya. Bukanlah mahu menjaga tepi
kain orang, tapi kelihatan solat kamu seperti sukar. Ada masalah?” soal lelaki
itu.
Fahmi tertunduk. Ternyata pertanyaan itu agak sukar
dijawab. Rasa malu menyelubungi hati. Masalah solatnya pertama kali mendapat
perhatian yang lain. Lelaki tua itu menyedari masalah yang dihadapi.
“Sukarnya wujud mungkin disebabkan was-was yang kuat.
Memang saya susah nak solat, tapi digagahkan juga sebab itu adalah satu
amanah,” balas Fahmi tenang.
“Alhamdulilah. Memang betul. Tiap-tiap manusia diberikan
amanah, dan lima waktu itulah satu kewajipan buat semua. Baguslah kalau kamu
tahu hakikat itu, dan syukurlah sebab kamu masih ada kekuatan untuk
laksanakannya,” bicara lelaki tua itu.
“Tapi, kadang-kadang terlintas juga di hati, mahu saja
dibiarkan amanah itu,” luah Fahmi.
“Jangan berfikiran begitu. Tiap-tiap sukar itu ada nikmat
manisnya di masa depan. Hati kena kuat, kena banyak sabar. Itu semua dugaan
Allah,” balas lelaki tua itu.
“Entahlah. Kadang-kadang saya terfikir sendiri. Kenapa
sukar solat saya? Walhal ramai lagi di luar sana dalam keadaan alpa dengan
amanah Allah ni...”
“Nah, itulah silap kamu. Jangan dibandingkan dengan
mereka yang lain. Tiap-tiap manusia itu, hanya Allah sahaja berhak menentukan
darjatnya. Jangan fikir, kita yang solat ini dah sempurna hidupnya, sebab
kadang-kadang manusia yang alpa di luar sana itulah Allah berikan kesenangan.
Hidayah itu milik Allah, dan tak adil kalau kita bandingkan”
“Tapi, kenapa disusahkan solat saya? Hatta sekali pun
saya tak pernah tinggal solat, tapi susah pula yang saya rasa,” luah Fahmi.
“Solat itu adalah hati. Bukan bergantung pada perbuatan
luaran, tapi apa yang wujud di dalamnya,” balas lelaki tua itu.
Fahmi termenung panjang. Hakikat sukar solatnya itu
memang tidak dapat dinafikan. Fikiran melayang saat mengenangkan perjalanan
solatnya. Mungkinkah ada pencerahannya? Persoalan itu bermain di fikirannya.
“Mungkin saya ada silapnya?” soal Fahmi tak lama
kemudian.
“Itulah sebaik-baiknya. Kadangkala, muhasabah diri adalah
jalan terbaik dalam membersihkan hati,” balas lelaki tua itu. Zahid tunduk
mengakui kata-kata itu.
“Saya buntu...” keluh Fahmi. “Dah lama saya alami masalah
ni. Solat dirasakan macam satu beban. Sukarnya memang tak terkata. Saya memang
buntu... sangat buntu. Saya tak tahu penyelesaian kepada masalah solat saya”
Lelaki tua itu tersenyum.
Setiap tutur bicara Fahmi didengar dengan baik. Lelaki itu memahami
masalah yang dialami Fahmi. Lama dia mendiamkan diri sebelum kembali bersuara.
“Hubungan dengan Allah, maka hubungan dengan manusia...”
kata lelaki tua itu. “Maksudnya, hidup ini bukan sekadar untuk Allah, sebab
hidup ini juga perlukan hubungan sesama manusia. Apakah kamu menjaga hubungan
dengan manusia? Renungkan sebentar akan perkara tersebut,” terang lelaki itu.
“Saya tak faham...” luah Fahmi.
“Memang benar, solat lima waktu satu amanah. Wajib dijaga
walau sesusah mana. Namun, jangan dilupa, andai hubungan sesama manusia itu
terbiar tak terjaga, maka jangan bermimpi solat yang wajib itu akan ada
nikmatnya,” balas lelaki itu.
“Adakah saya menjaga dalam soal hubungan manusia itu?”
soal Fahmi ingin tahu.
“Hanya kamu sahaja yang tahu jawapannya,” balas lelaki
itu. “Ingatlah, andai hubungan sesama manusia itu terbiar, maka wujudlah
sarang-sarang penyakit di dalam hati. Akan wujud hasad dengki, akan wujud riak,
akan wujud takbur. Akan wujud sifat busuk hati,” terang lelaki itu.
Fahmi bagai disentak. Fikirannya bagai dirempuh dengan
satu kuasa yang kuat sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Lantas Fahmi
terkenang kembali kisah-kisah lamanya. Sebuah kisah panjang yang mungkin
berkaitan dengan soal hubungan sesama manusia.
Benar, Fahmi orangnya dihormati. Seringkali dirujuk
sebagai si lelaki alim, senantiasa dilihat melakukan perkara baik. Setiap
permasalahan akan dirujuk kepadanya. Fahmi ringan ke surau dan masjid.
Seringkali andai punyai kesempatan, maka wajah Fahmi pasti akan ada di sana.
Hakikatnya, secara luaran Fahmi sempurna sifatnya sebagai seorang Muslim.
“Mungkin banyak kurangnya dalam soal hati saya,” luah
Fahmi kepada lelaki itu. “Banyak yang harus diperbaiki.
Seringkali Fahmi berfikiran buruk kepada yang lain.
Seringkali Fahmi mencemuh mereka yang hanyut dengan dosa dan kemasiatan.
Kebencian ditaburkan buat mereka yang jauh dari Ilahi. Mungkin kerana kebencian
dan buruk sangka itulah, maka sedikit demi sedikit hatinya menjadi keras.
“Hati yang bermasalah adalah hati yang seringkali
disuburkan dengan kebencian dan prasangka buruk,” terang lelaki tua itu.
Masih terngiang-ngiang di fikiran Fahmi saat dirinya
mencemuh sahabat serumahnya yang tidak pernah solat. Katanya di dalam hati,
sahabatnya itu tak ubah seperti binatang, hanya tahu makan dan tidur. Betapa
bodohnya sahabat itu apabila solat diabaikan. Rugi dan sia-sia.
Ungkapan itu seringkali wujud di dalam hatinya saat
mendirikan solat Subuh setiap hari. Benar, hanya Fahmi sahaja yang akan bangun
untuk solat Subuh di pagi hari, dan setiap kali itulah hatinya mencemuh sahabat
serumahnya itu.
“Betapa jahilnya saya tentang soal menjaga hati dan
hubungan sesama manusia....” luah Fahmi.
“Jahil hanya akan hilang bila kesedaran itu wujud,” balas
lelaki tua itu. Fahmi sekali lagi tertunduk.
Benar, mungkin pada hakikatnya Fahmi bukan jahil. Namun
pada dalaman hati, banyak lagi yang perlu diperbaiki. Sesungguhnya, hati yang
kotor itu wujud bila ada rasa iri hati pada mereka yang lain. Itulah yang
seringkali dirasai Fahmi. Andai ada yang lebih hebat darinya, rasa cemburu dan
iri hati itu wujud dalam dirinya. Memang benar Fahmi tidak pernah menunjukkan
rasa iri hati itu secara luaran, namun secara dalaman rasa itu cukup menebal.
“Tak salah untuk bencikan maksiat, namun jangan sama sekali
mencemuh si pelaku maksiat. Siapalah kita untuk mencemuh mereka. Kita juga
manusia yang banyak kelemahannya,” terang lelaki tua itu.
Sekali lagi tertunduk Fahmi. Kata-kata lelaki itu sangat
tepat, seolah-olah memahami dirinya. Hakikatnya, Fahmi tidak langsung berkongsi
kisah dirinya pada lelaki tua itu.
“Ingatlah, dalam soal solat yang khusyuk, bukan sekadar
perbuatan mendirikan rukun itu sahaja yang penting. Ingatlah, menjaga hati agar
sentiasa bersih itu juga amatlah penting. Hati yang bersih itu akan melahirkan
solat yang tenang dan mudah. Hati yang kotor hanya akan mengkucar kacirkan
solat itu,” terang lelaki tua itu.
Lantas fikiran Fahmi melayang pula pada soal hati dan
perasaannya. Pertanyaan muncul tiba-tiba dalam fikirannya. Mungkinkah kesukaran
untuk mencari jodoh itu berpunca dari hatinya yang kotor? Apakah sukar itu
disebabkan solatnya itu hilang nikmatnya?
“Dan ingatlah juga, andai kita dekat pada Allah, pasti
akan ada kesenangan yang akan dikurniakan pada kita. Andai kita jaga hubungan
dengan Allah, tak perlu lagi bersusah-susah mencari, kerana kelak jodoh itu
sendiri akan datang kepada kita,” kata lelaki tua itu tersenyum.
Sekali lagi Fahmi kehairanan. Lelaki tua itu seolah-olah
dapat membaca fikirannya.
“Mungkin... selagi mana hubungan dengan Allah itu tak
dapat saya perbaiki, selagi itu jugalah saya akan lupakan soal mencari jodoh.
Tak layak untuk difikirkan lagi,” luah Fahmi.
“Jangan cuba dielak, kerana jodoh itu hak Allah.
Kadang-kadang muncul tak diduga,” balas lelaki tua itu. “Yang penting,
bersihkan hatimu andai mahu perbaiki solatmu yang sukar itu”
“Apakah caranya?”
“Bertaubatlah dengan zikir-zikir dan kalimah-kalimah yang
memuji-Nya. Dirikanlah solat Tasbih dan Taubat kerana di dalam solat itu, hati
akan dibersihkan”
“Insya-Allah...”
“Jadilah insan yang rendah diri dan tawaduk. Jadilah
manusia yang senantiasa bersih hatinya. Insya-Allah, akan hilang segala
kesukaran dalam solatmu,” terang lelaki tua itu. “Insya-Allah... Insya-Allah...
Insya-Allah”
“Insya-Allah. Moga dipermudahkan solat nanti,” kata
Fahmi.
Lelaki tua itu bangun perlahan-lahan. Walaupun kelihatan
agak lemah, lutunya itu digagahkan juga untuk berdiri. Sebaik berdiri, maka
lelaki tua meraba-raba dinding di tepinya. Dia kemudian mencapai tongkat kecil
berwarna putih diletakkan di tepi dinding itu. Sebaik mencapai tongkat itu,
lelaki tua itu mula berjalan dan tongkat yang dipegangnya itu menjadi panduan
untuknya bergerak.
Fahmi terkejut. Lelaki tua itu rupa-rupanya seorang buta.
Namun sepanjang perbualan di antara dirinya dan lelaki tua itu, tidak kelihatan
hatta sedikit pun bahawa lelaki itu hakikatnya buta. Anak mata lelaki tua itu
seolah-olah seperti melihat tepat pada Fahmi sewaktu mereka berbicara.
“Assalamualaikum,” salam dihulur lelaki tua itu sebelum
dia berjalan keluar dari masjid.
“Waalaikumussalam”
Bermula dengan perbualan itulah, maka sedikit demi
sedikit Fahmi melakukan perubahan. Perjalanan untuk membersihkan hati mula dilakukan.
Fahmi cuba sedaya upaya untuk mendapatkan hati yang bersih. Solat Taubat dan
solat Tasbih mula menjadi kelazimannya. Zikir dan tasbih menjadi peneman setiap
malamnya. Di siang hari, Fahmi banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakannya.
Fahmi bukan lagi manusia seorang diri. Fahmi cuba membiasakan diri dengan
mereka yang lain.
“Aku mahu hatiku bersih, membenci maksiat, namun merasa
kasihan kepada pelakunya. Moga mereka yang tersesat akan kembali ke jalan-Nya”
luah Fahmi di suatu malam sebaik selesai sahaja solat Isyak di rumah.
Melahirkan hati yang bersih bukanlah sukar, kerana
tiap-tiap kebaikan bermula dengan niat. Bagi Fahmi, andai niat itu ikhlas,
setiap perubahan yang ingin dilakukan akan menjadi mudah dan menyenangkan.
Benar, mungkin kesusahan untuk mendirikan solat itu adalah petunjuk ke arah
pembikinan hati yang lebih bersih. Sebuah kesusahan yang dihadapinya hanya
semata-mata mahu menguji sejauh mana kesabaran hambanya, dan sekuat mana diri
itu mahu berubah. Fahmi sedar akan hakikat itu.
Maka, hari demi hari Fahmi tanpa jemu memperbaiki diri.
Solatnya pula sedikit demi sedikit diperbetulkan, diperkemaskan supaya tiada
lagi rasa sangsi dan was-was. Zikir-zikir senantiasa meniti di bibir, dan
ucapan-ucapan baik senantiasa diungkapkannya. Fahmi tanpa jemu berubah.
Satu hari, Fahmi berkunjung semula ke masjid yang sama.
Setelah dua bulan berlalu, hatinya tergerak untuk berkunjung ke masjid
tersebut. Tiada siapa yang mneyuruh, hanya gerak hati berbicara padanya.
Wuduknya ternyata satu keajaiban. Tenang dalam
kekhusyukan. Tiada kesukaran, tiada kepayahan. Was-was tinggal kenangan.
Dadanya terasa tenang saat selesai berwuduk. Kelapangan
itu mengiringi setiap langkahnya menuju ke dewan solat. Ibarat satu magis,
Fahmi merasa satu nikmat yang tak tergambar dengan kata-kata. Dewan solat
seolah-olah sedang memanggil-manggil dirinya, seperti sedang menyambut
kedatangannya.
“Allahuakhbar. Subhanallah...” ungkap Fahmi melahirkan
rasa syukur yang tak terkata saat merasai ketenangan itu.
Fahmi berdiri betul-betul di hadapan mimbar masjid.
Sebaik berdiri dengan betul dan tegak, dengan tenang takbiratulihram
dilafazkan. Hanya sekali, dan solatnya berjaya didirikan. Setiap rukunnya
tertib, dan setiap lafaz bacaannya tepat dan mudah. Tidak wujud lagi was-was
dalam niat solatnya, dan tidak ada lagi kesukaran Fatihah. Segalanya terlalu
mudah dan sangat tenang. Nikmat itulah yang telah lama dicari Fahmi.
“Alhamdulillah...” syukur terungkap di wajah Fahmi. Kelegaan
saat selesai mendirikan solat. Ketenangan berjaya dinikmatinya.
Selepas selesai tangan menadah doa, maka Fahmi bingkas
bangun. Tersenyum saja wajahnya, mungkin kuntuman senyuman tanda kelegaan.
Lantas saat itu juga Fahmi cuba mencari kelibat lelaki tua yang pernah berbual
dengannya beberapa ketika yang lalu. Fahmi bertekad mahu berjumpa lelaki tua
itu. Benar, dari bicara lelaki tua itulah, maka Fahmi telah melalui satu proses
perubahan. Ungkapan terima kasih akan diucapkan Fahmi buat lelaki tua itu.
Namun, kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan.
Berkali-kali Fahmi cuba mencari namun, usahanya gagal. Maka tak lama selepas
itu, seorang lelaki berkopiah putih menghampirinya.
“Cari siapa anak?” soal lelaki separuh abad itu.
Barangkali lelaki itu siak di masjid tersebut kerana kelihatan dirinya begitu
sibuk menyapu lantai masjid sebelum menegur Fahmi.
“Saya cari seorang lelaki tua ni. Dia selalu duduk di
sini setiap kali waktu Zuhur. Tapi hari ni tak ada pula...” balas Fahmi. “Ke
mana perginya ya? Pak cik tahu tak?”
“Lelaki tua? Siapa?” soal lelaki tersebut hairan. “Seingat
saya, sepanjang tahun ni, tak pernah nampak lelaki yang anak cakap tu.
Barangkali mungkin anak salah masjid kot...” balas lelaki itu.
“Tapi saya rasa betul. Dua bulan lepas saya berbual
dengan lelaki tua tu...” balas Fahmi.
“Oh begitu... Tapi saya tiap-tiap hari di masjid. Memang
tak pernah nampak mana-mana lelaki ada di sini,” balas lelaki itu.
“Dia selalu duduk di sini masa waktu Zohor,” terang
Fahmi. “Oh ya, lelaki tua tu buta orangnya. Jalannya bertongkat,” kata Fahmi.
“Hmm, orangnya berjambang ke? Pakai kopiah putih dengan
jubah?” soal lelaki itu.
“Ya... ya. Begitulah orangnya...” balas Fahmi. Lelaki
tersebut terdiam agak lama. Kelihatan seperti termenung panjang.
“Kalau itulah yang anak katakan, maknanya lelaki tua tu
mungkin ustaz Kamarul,” balas lelaki itu.
“Oh, namanya ustaz Kamarul...”
“Tapi, dia dah meninggal 3 tahun sudah...” terang lelaki
itu.
Fahmi mengalami kejutan. Kehairanan mula dirasai. Andai
benar bahawa lelaki tua bernama ustaz Kamarul itu telah meninggal 3 tahun yang
lalu, maka bagaimana Fahmi boleh berbual dengannya dua bulan yang lalu?
“Siapakah yang aku bualkan itu? Apakah sekadar satu
imaginasi?” monolog Fahmi yang sangat hairan.
“Ustaz Kamarul meninggal sewaktu solat Zohor di masjid
ni. Mungkin anak antara manusia yang diberikan peluang untuk berjumpanya
lagi...” terang lelaki itu sedikit tersenyum.
Dalam kehairanan itu, Fahmi melangkah keluar dari masjid
itu. Fikirannya masih terganggu dengan perkhabaran dari lelaki itu. Fahmi cuba
mencari kelogikan yang berlaku. Namun setiap kali cuba mencari kewarasan
kisahnya, setiap kali itu juga Fahmi tidak menemui jawapannya.
“Mungkinkah kemunculan lelaki tua itu satu kuasa dari
Allah? Mungkinkah itu satu tanda kebesaran Allah buatku?” bisik Fahmi.
Namun, walaupun buntu dan hairan, Fahmi melahirkan
kesyukuran. Diketepikan setiap kemustahilan yang berlaku, Fahmi bersyukur
kerana perbualan dengan ustaz Kamarul itulah yang merubah secara keseluruhan
hidupnya. Benar, hidupnya berubah tatkala solatnya mula menemui nikmat khusyuk.
“Biarlah ia kekal misteri, kerana misteri itulah yang
merubah diriku...”
Perjalanan pulang diiringi hujan yang sangat lebat. Setelah
hampir dua minggu panas terik menjadi teman setiap kali petang, hari itu hujan yang turun melepaskan
kerinduannya. Petir kadangkala kedengaran menandakan betapa lebatnya hujan
petang itu.
Saat itu, Fahmi sekadar tersenyum. Fikirannya masih lagi
berlegar-legar memikirkan tentang ustaz Kamarul. Benar, lelaki tua itu adalah
titik kepada perubahan. Namun pada hakikatnya, lelaki tua itu tidak pernah
wujud. Hakikatnya, Fahmi tidak pernah berbual dengan ustaz Kamarul.
“Perubahan kadangkala datang dari keajaiban...” luah
Fahmi.
Secara tiba-tiba, sebuah skuter bergerak di sisi kereta
yang dipandu Fahmi. Agak pelik situasi itu tatkala hujan yang lebat turun,
masih ada yang menunggang motosikal dalam keadaan cuaca sebegitu. Fahmi sekadar
tersenyum. Namun senyuman terhenti apabila melihat skuter tersebut terbabas di
tepi jalan.
Serta merta Fahmi memberhentikan keretanya. Dengan pantas
Fahmi keluar dan menghampiri skuter yang terbabas itu. Tanpa payung dan tanpa
sebarang perlindungan, hujan yang lebat dengan pantas menyebabkan Fahmi basah
kuyup. Namun Fahmi tidak pedulikan semua itu. Dia terus menghampiri penunggang
skuter tersebut.
Fahmi terkejut. Penunggang skuter itu seorang wanita.
Berbaju hujan berwarna hitam, berbaju kurung kebiru-biruan. Tudungnya biru di
sebalik topi keledar berwarna putih, maka Fahmi terpaku seketika. Tidak
disangka, si penunggang skuter itu seorang wanita.
“Cik tak apa-apa?” soal Fahmi.
Wanita itu kemudian menoleh wajahnya. Matanya kemudian
tepat melihat anak mata Fahmi. Maka, sekelip mata masing-masing terkejut.
Masing-masing berpandangan antara satu sama lain.
“Thahirah?” soal Fahmi secara spontan.
“Abang Fahmi?” soal wanita itu.
Masing-masing terkesima seketika. Tiada bicara mahupun
suara kedengaran. Mereka berterusan berpandangan antara satu sama lain. Hujan
yang turun bagaikan tidak disedari mereka. Dalam basah kuyup itu, masing-masing
tersenyum.
“Thahirah ok tak? Ada sakit kat mana-mana ke?” soal Fahmi
menghentikan babak kakunya.
“Err, sakit sikit saja. Luka-luka sikit saja kat tangan
ni...”
Fahmi ketawa kecil dan tersenyum. “Kenapalah digagahkan
juga bawak skuter masa hujan lebat macam ni?”
Thahirah sekadar tersenyum.
Fahmi memapah Thahirah yang berjalan terencot-encot. Kaki
Thahirah terseliuh sedikit. Saat itu jantung Fahmi berdegup kencang. Satu
perasaan yang cukup berbeza dirasainya. Rasa itu mula wujud saat matanya
bertentang mata dengan mata Thahirah. Saat itu, segalanya dirasakan cukup
berbeza.
Perlahan-lahan pintu kereta dibuka saat hujan masih
berterusan lebat. Dengan cermat Thahirah masuk ke dalam kereta. Fahmi kemudian
membawa Thahirah ke klinik. Saat itu, jantung Fahmi berterusan berdegup
kencang. Hatinya bagai tak keruan apabila bertemu kembali Thahirah sahabat
lamanya.
Thahirah sekadar tunduk sepanjang perjalanan. Mereka
membisu tanpa sebarang perbualan. Hakikatnya, Thahirah juga melalui fasa yang
sama. Degupan kencang jatungnya turut dirasakan. Perasaan yang sama turut
dilalui Thahirah ketika ini.
“Andai kamu mahu bertemu jodoh, jagalah solatmu agar
senantiasa khusyuk. Percayalah, andai dijaga hubungan dengan Allah sebaiknya,
Allah akan membalasnya dengan mendatangkan jodoh kepadamu tanpa disangka-sangka.
Sesungguhnya khusyuk solat adalah jaminan kepada cinta hatimu”
Kata-kata menerusi perbualan dengan ustaz Kamarul itu
terngiang-ngiang kembali di fikiran Fahmi. Ternyata ada kebenarannya kerana
mungkin Fahmi sedang mengalaminya. Secara spontan, satu soalan terkeluar dari
mulut Fahmi buat Thahirah.
“Thahirah masih solo?”
Soalan itu ternyata pertanyaan yang tak dijangka, baik
Fahmi ataupun Thahirah. Kuasa separa sedar telah membuatkan Fahmi bertanya
sedemikian. Lantas Thahirah tersenyum sebelum membalas.
“Jodohnya belum sampai serunya...”
Fahmi tersenyum panjang. Secara tiba-tiba bayangan masa
depan muncul di fikirannya.
“Alhamdulillah. Moga khusyuk cintaku...” bisik Fahmi.
Perjalanan terhenti sebaik mereka tiba di klinik. Hujan
di luar pula tidak lagi selebat sebelumnya. Mungkin meraikan kegembiraan Fahmi
yang dirasakan saat itu.
“Abang Zahid Fahmi masih solo?” soal Thahirah sebelum
keluar dari kereta.
Fahmi sekadar tersenyum tidak memberikan jawapan.
Senyuman berterusan menemani Thahirah pada petang yang cukup luar biasa itu.
Satu kisah baru bakal tercipta. Hanya menunggu bicara dari mereka berdua.
Insya-Allah.
(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly)
Ulasan
Gambar di atas tu Thahirah ke? hehee
Eh, boleh saja nak didedikasikan buat abang.
Karya yang begitu teliti, idea yang digarap dalam menghuraikan isi dilihat begitu mantap, terserlah tahap kematangan dalam penulisan...
Semoga terus maju dan cemerlang dalam bidang ini dan jangan berhenti menulis dan menghasilkan karya yang lebih baik...
Insha Allah... Bittaufiq wannajah... Aminn... ;)