Sembang-sembang Selasa: Kisah Thahirah dan Cinta Thahirah
Pengalaman mengajar banyak tentang kehidupan. Itulah ayat
‘skema’ yang seringkali diulang-ulang. Mungkin bunyinya agak skeptikal, namun
memang ada benarnya, sebab manusia itu belajar dari kesilapan.
Kali ini slot Sembang-sembang Selasa yang dah lama tak muncul
di blog ini sekadar berkongsi kisah mengenai pengalaman lalu sewaktu
menghasilkan novel yang tak pernah diterbitkan berjudul Cinta Thahirah. Novel
ini dihasilkan sekitar tahun 2008 hingga 2009, mengambil masa hampir 12 bulan
untuk dihasilkan.
Tujuan utama novel ini dihasilkan adalah sekadar untuk
mengisi masa lapang ketika itu. Pada waktu itu saya terpaksa bercuti selama setahun
disebabkan masalah kesihatan. Bagi mengelakkan masa terbiar begitu sahaja, maka
aktiviti penulisan dipilih. Itulah bermula idea untuk menghasilkan novel ini.
Sebelum ini saya pernah menghasilkan siri novel
Kumajipakat (2008),dan Warisan (2007). Namun dua siri novel ini tidaklah mantap
dari sudut penulisannya, tetapi dijadikan sebagai platform bagi melatih diri
untuk menulis dengan lebih baik. Benar, nak jadi penulis yang baik perlu
bermula dengan hasilan yang kurang baik. Dari situ akan berlaku proses
pembaikan dan peningkatan.
Judul Cinta Thahirah (CT) dipilih bagi novel tersebut
kerana keunikan pada namanya. Thahirah itu sendiri membawa maksud Suci, dan apabila
digabungkan istilah “Cinta” tersebut, maksud judul novel ini ialah “Cinta Suci”.
Soalnya, mengapa Thahirah dipilih?
Saya akui, dalam entri sebelum ini saya pernah menafikan
bahawa Cinta Thahirah itu tercetus bukan kerana seorang sahabat lama bernama
Thahirah Kamarulail. Namun, dalam bicara kali ini, saya tak nafikan bahawa
saudari Thahirah itu adalah antara pencetus awal untuk saya hasilkan novel
Cinta Thahirah. Saya akui, seluruh novel ini didedikasikan khas buatnya. Namun,
dedikasi itu tidaklah membawa apa-apa makna tersirat, sekadar membawa maksud
menghargai erti persahabatan.
Saya akui juga, watak dan perwatakan Khadijah yang
merupakan watak utama dalam novel CT ini adalah didasarkan kepada perwatakan
Thahirah itu sendiri. Malah, gambaran fizikal Khadijah itu juga hampir sama
seperti Thahirah. Hakikatnya, dalam erti
kata yang mudah, setiap kali menggerakkan cerita dalam novel CT ini, saya
hakikatnya sedang menggambarkan Thahirah itu sendiri di dalam novel ini.
Maka timbul persoalan, apakah waktak Zahid itu adalah
cerminan diri saya sendiri?
Hakikatnya, watak Zahid adalah rekaan semata-mata. Watak
itu adalah satu ciptaan dan rekaan yang dihasilkan bagi disesuaikan dengan watak
Khadijah itu sendiri. Zahid adalah lambing kekuatan Khadijah dalam novel ini.
Harus diakui, inspirasi sewaktu menulis novel CT adalah
berdasarkan pengalaman sebenar. Saya sekadar mengolah sedikit pengalaman itu
supaya bersesuaian dengan jalan ceritanya. Novel ini adalah sebagai penghormatan
buat arwah Pak Lang yang meninggal pada tahun 2002.
Ramai yang mencadangkan agar novel ini diterbitkan di
pasaran. Namun, saya masih belum bersedia untuk ke arah itu. Banyak kekurangan
dalam novel tersebut yang perlu diperbaiki. Hakikatnya novel tersebut masih
lagi di tahap amatur dan tak sesuai untuk diterbitkan.
Buat kalian yang ingin membaca novel Cinta Thahirah,
novel ini boleh dibaca secara online di www.cintathahirah.blogspot.com.
Kisahnya mungkin agak menarik kerana
novel ini mengisahkan perjalanan Zahid dalam mencari cinta yang sebenar, dan
bagaimana Zahid mengatur langkahnya untuk melamar jodohnya itu.
Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini. Ketemu lagi di
lain bicara Selasa.
Ulasan