Muhasabah Jumaat: Tudung dan menutup aurat lagi?
Isunya mungkin seringkali dinyatakan, dan sehingga kini
masih ramai yang memperkatakannya. Ya, isu aurat dalam kalangan wanita hari
ini, tanpa henti masih terus dibincangkan. Mengapa tak berhenti isu ini? Apakah
disebabkan ramai wanita tidak menutup aurat?
Mungkin tidak memahami, atau mungkin sengaja buat-buat
tak tahu. Ada yang berpendapat menutup itu adalah menutup kepala dari pandangan
umum. Asal rambut tak nampak, itu dah dikira tutup aurat. Bahagian lain tak
dikisahkan sangat. Janji tak nampak kulit.
Itulah bermula teori baru dalam menutup aurat. Jangan
bagi nampak kulit. Tutup kulit itu. Teori inilah yang menyebabkan ramai wanita
dengan selamba berpakaian ketat. Legging, jeans ketat, t-shirt saiz ‘XS’, dan
segala macam mak nenek pakaian yang rata-ratanya ketat dan sendat dipakai oleh
Muslimah kini. Pakaian itu kemudian digabungkan pula dengan tudung yang
pelbagai fesyen. Tudung pula ada sesetengahnya tak ikut syarak pun. Fesyen berlebihan
hingga tudungnya dah tak kelihatan seperti tudung.
Mungkin kebanjiran fesyen yang kononnya Muslimah ini
berpunca daripada arus pemikiran sekular yang merebak dalam generasi hari ini.
Hakikatnya, kemodenan yang dicari generasi hari ini berkiblatkan Barat yang
rata-rata bukanlah berpaksikan pada syariat Islam itu sendiri. Bagi mereka,
dengan berpakaian seperti kaum wanita di Barat, berjeans dan berbaju sendat itu
adalah cerminan ‘up to date’ mereka. Dirasakan mereka mengikut arus kemodenan.
Inilah namanya kesesatan.
Agak hairan apabila kaum wanita hari ini tidak merasa
segan tatkala berpakaian sedemikian. Dengan pakaian yang sendat, maka
semestinya segala yang ‘bonjol’ itu akan kelihatan. Tidak malukah mereka
tatkala bentuk dada dan bentuk pinggul mereka menjadi bahan tontonan dan bahan
hiburan orang lain? Atau memang disengajakan ditonjolkan bahagian ini kerana
dirasakan itu adalah aset kebanggaan diri? Andai itulah pemikirannya, maka
jahillah individu itu.
Begitu juga dalam soal bertudung. Banyak yang dah lari
dari tuntutan menutup aurat yang sebenar. Ada yang bertudung, tapi tudungnya
itu singkat, langsung tidak menutupi bahagian dada. Ada pula bertudung, tapi
tudungnya itu jarang, hingga bahagian tengkuk dan rambut dapat dilihat dengan
jelas. Ada pula yang bertudung, tapi mungkin untuk kelihatan lain, bonggol di
belakang ditinggikan. Ada pula bertudung, namun dibelit-belitkan hingga tanpa
sedar dah menyamai serban ‘pak cik Sing’ yang tinggi lampai tu.
Terus terang dinyatakan artis seperti Yuna adalah contoh
buruk bagi imej bertudung. Hakikatnya Yuna bukanlah Muslimah yang perlu menjadi
ikutan generasi hari ini dalam soal pemakaiannya. Begitu dengan Shila Amzah. Walaupun
baru bertudung, seharusnya Shila berhati-hati untuk berfesyen. Kelihatan kini
fesyen Shila semakin mengarut, langsung tidak mengikut kehendak menutup aurat yang
sebenar.
Contohi Wardina. Memang diakui pada awal Wardina mula
menutup aurat, fesyen Wardina tidaklah mengikut tuntutan menutup aurat yang
sebenar. Namun perlahan-lahan Wardina belajar dan memahami erti sebenar menutup
aurat. Maka, sedikit demi sedikit pemakaian Wardina semakin diperbetulkan, dan
kini bolehlah dikatakan Wardina telah menjadi contoh yang baik buat peminatnya.
Aurat bukan sekadar kulit. Aurat itu juga bererti bentuk
tubuh. Maka, apabila menutup aurat, ertinya bentuk tubuh itu perlu dilindungi
dengan baik. Bagaimana bentuk tubuh itu dapat dilindungi andai pakaiannya itu
sendat dan ketat?
Sama-sama fahami surah an-Nur, ayat 31 yang menerangkan
dengan jelas tentang persoalan menutup aurat ini:
"Dan
katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman, hendaklah
mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang
lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka
menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan
hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah
menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau
ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka
atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau
putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba
abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan
(terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan
janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka
sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang
beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau
kebahgiaan yang hakiki."
(Surah
an-Nur, ayat 31)
Hakikatnya, masalah aurat dalam kalangan wanita hari ini
haruslah dijelaskan dan diterangkan secara berterusan. Benar, mungkin ada yang
kurang faham tentang tuntutan sebenar menutup aurat. Mungkin ada yang separuh
masak memahami tuntutan aurat ini. Oleh itu, sama-samalah kita saling ingat
mengingati dan saling menyebarkan ilmu tentang menutup aurat ini.
Insya-Allah, andai ada usaha, maka mungkin akan ramai
yang akan sedar dan memahami erti sebenar menutup aurat.
Wallahualam.
Ulasan
...................
Elok dibaca blog di bawah ini:
Supaya wanita Melayu kita sedar tentang AURAT..
http://wanitamelayuseksa.blogspot.com