Hidup dengan Positiviti

Dalam hidup, kita punyai pilihan untuk rasa bahagia atau derita. Ada waktunya, bahagia itu mudah dinikmati. Ada masanya, sengsara itu sentiasa menghampiri. Hidup ini berlandaskan apa yang kita fikirkan. Pemikiran itulah yang akan menentukan bahagia atau derita seseorang itu.

Kadangkala kesenangan wang dan kekayaan masih belum cukup puas untuk menggembirakan hati. Ada juga, yang hidupnya serba sederhana, makan minum sekadar cukup untuk meneruskan hidup; namun sentiasa tenang dan bahagia. Soal hati, ia tidak boleh dijual beli. Hati bahagia, wang ringgit sebanyak mana pun, tidak mampu membelinya.

Sebab itu dalam hidup, kita perlu membentuk pemikiran yang positif. Segalanya bermula dengan bagaimana kita melihat dunia kita. Hanya kita sahaja yang mampu mengawal pemikiran dan pandangan kita. Andai pemikiran itu senantiasa positif, maka sudah pasti ia akan akan mencipta kesenangan hati. Semuanya bermula dengan hati.

Kita tidak boleh mengubah persekitaran kita. Namun kita boleh mengubah pemikiran kita untuk diadaptasi dengan persekitaran tersebut. Pemikiran itu haruslah bersifat internal, iaitu setiap yang berlaku di sekeliling kita bermula dengan setiap tindakan dan pemikiran kita.

Kurangkan pemikiran eksternal; yang hanya melihat orang sekeliling menjadi punca terhadap apa yang berlaku pada diri sendiri. Sering menyalahkan orang lain atas sesuatu perkara dan masalah yang berlaku. Sampai bila kita harus bersikap sedemikian?

Hakikatnya, mungkin itulah sikap segelintir kita. Nilai integriti mungkin agak rendah; tidak pernah melihat kelemahan diri sendiri; hanya tahu menyalahkan orang lain. Naik kerajaan mana pun, masih berterusan menyalahkan itu dan ini.

Untuk mencapai nilai positif yang tinggi, kita harus menepis setiap faktor dan aura negatif. Jangan biarkan negativiti itu melebihi positif. Nikmatnya akan hilang begitu sahaja.

Kenal pasti perkara-perkara yang mencetuskan nilai negatif. Barangkali berita-berita politik negara, atau mungkin juga pos-pos di media sosial; baik Facebook mahupun Instagram. Andai banyak aura negatif itu berpunca dari media sosial; maka jauhkanlah diri dari medium tersebut. Elakkan diri daripada selalu skrol dan menjenguk setiap hantaran di laman sosial.

Hidup bukanlah untuk perbandingan. Kita hidup untuk bahagia dengan cara tersendiri. Barangkali kebahagiaan yang dipaparkan oleh mereka yang lain bukanlah kebahagiaan yang kita cari. Barangkali bahagia mereka bukanlah sesempurna yang digambarkan. Hakikatnya, media sosial mencipta topeng kepalsuan. Nampak indah di luaran, namun barangkali hodoh dan rabak di dalamnya.

Hidup dalam masyarakat, maka sudah pasti akan ada perbezaan pendapat. Maka kita raikan perbezaan itu; jangan sampai mencetuskan kebencian. Hormati mereka yang lain, hormat pandangan mereka yang berbeza. Perli dan cerca seharusnya tidak ada. Dalam group Whatsapp; maka andai dirasakan terlalu negatif dan toksik, maka tinggalkanlah kumpulan perbincangan media sosial. Jika sukar untuk ditinggalkan, maka sembunyikan sahaja daripada kelihatan di Whatsapp kita.

Tepis setiap aura negatif. Andai ada rakan yang sentiasa mencetuskan impuls negatif dalam setiap saraf kita, maka jauhkanlah sahaja. Abaikan pemikiran mereka. Tolak ke tepi aura negatif yang dibawa mereka.

Ada masa, terdapat manusia yang sentiasa miliki perasaan iri hati. Manusia yang sentiasa bongkak dan membangga diri walaupun hakikatnya dirinya tidaklah hebat mana pun. Kerjanya biasa sahaja, tapi berlagaknya ibarat seorang Perdana Menteri. Bongkak dan sombong ini sukar untuk ditepis kita. Maka cara terbaik adalah dengan mengabaikan orang sebegini. Lagi dilayan, maka lagi serabut pemikiran kita nanti.

Namun, sebaik-baik nilai positif adalah dengan mendekatkan diri pada Ilahi. Kedamaian jiwa dan hati; ditemani rasa rindu kepada pencipta; itulah sebaik-baik perkara. Perkukuhkan rohani kita dengan amal ibadah. Basahkanlah lidah kita dengan zikirullah. Hati yang tenang adalah datang dari zikir-zikir yang tidak henti. Maka jangan biarkan kosong hati itu, kelak kekosongan itu akan diisi dengan bisikan syaitan; menyeru dan menghasut untuk menikmati kelazatan maksiat.

Apa yang penting, suburkan wajahmu dengan senyuman. Positiviti boleh disebarkan. Jangkitan virus bahagia ini mampu mencipta bahagia orang lain.

Maka jangan lupa untuk sentiasa senyum. Sebarkan positiviti untuk membahagiakan orang lain. Senyum itu satu sedekah. Senyumlah seindah suria pagi.

Alhamdulillah.


Senyuman yang sentiasa mencairkan hatiku. Senyuman seorang isteri

 

Ulasan

Catatan Popular