Rahsia sebuah rahsia
Kehidupan hakikatnya penuh dengan rahsia. Tiap-tiap rahsia itu, pasti ada pengkisahan tersendiri. Pasti mempunyai sebab dan alasan untuk dirahsiakan. Rahsia barangkali adalah untuk menyembunyikan sesuatu; memastikan kebaikan terus harmoni, atau barangkali juga mengukuhkan lagi kejahatan. Rahsia adalah kunci kejayaan. Namun rahsia juga boleh menjadi punca kejatuhan.
Berahsia mungkin dapat menjaga aib seseorang. Namun, ada juga rahsia yang menyembunyikan kejahatan dan noda yang dilakukan. Rahsia mampu menjamin keamanan. Namun rahsia juga mampu mencetuskan perbalahan. Dengan rahsia, maruah mungkin terjaga dek kesilapan masa silam. Namun harus juga hati-hati, kerana rahsia kalau bukan rahsia, maka maruah tergadai. Perilaku sumbang dan noda dosa silam, didedahkan orang; meranapkan harga diri dek terhanyut dengan nafsu. Malu bagi si empunya diri; namun barangkali menjadi hiburan bagi mereka yang mengetahui rahsia itu.
Hati-hati kaum wanita; jagalah kegadisanmu; peliharalah maruah dan harga dirimu. Zaman moden serba ICT, rahsia bukan lagi mudah untuk dirahsiakan. Tatkala enak menikmati cinta; jangan mudahkan dirimu telanjang di hadapan kamera telefonmu; hanya untuk memuaskan nafsu si teman lelaki. Jangan hanyut dengan perbuatan sumbang atas nama cinta bersulamkan nafsu. Percayalah, lelaki yang memintamu untuk berpakaian tanpa seurat benang; menhasutmu untuk beraksi sundal bak pelacur kelas atasan; itu namanya syaitan termakan hasutan syaitan. Kononnya demi bukti cinta dan dijanjikan RAHSIA....
Jangan percaya janji rahsia itu.
Akhirnya, kejayaan membogelkan seorang gadis diraikan dengan sorak gembira; malah barangkali lebih jalang tatkala aksi berjimak zina si gadis itu dirakam dan dikongsikan di laman-laman porno untuk tatapan dan pemuas nafsu lelaki-lelaki lain. Si lelaki jalang ini terus menikmati nikmat nafsu; si wanita? Maka malu dan gugurlah maruah dan harga diri. Zina tetap zina. Zina bukannya rahsia.
"Abang janji abang delete..."
Ah, inilah rahsia yang bukan rahsia. Rahsia yang akan menjerat diri.
Tubuhmu wahai gadis, hanya layak ditatap oleh suamimu. Maka simpankan maruah itu, dan pertontonkanlah kepada yang halal bagimu. Itu lebih indah dan nikmat yang halal.
Ada juga satu kisah rahsia. Kelicikan penipuan; semata-mata mahu menjadikan diri hebat di mata khalayak. Rahsia penipuan dan pembelitan. Ditutup rapi dan direka-reka sebuah cerita. Hakikatnya, hidup dengan penipuan; keseronokan memang infiniti. Semakin banyak rahsia menipu disembunyikan, semakin hanyut seseorang itu menjadi sang tembelang. Rahsia itu menjadikannya hebat; namun tatkala terbongkar; maka tersungkur jatuh parah dilanda amarah. SATU MALAYSIA mencemuh dan menghinanya kemudian.
Berahsia harus berhati-hati. Kena pastikan rahsia itu dosa atau pahala. Rahsia di atas kejahatan; maka jahatlah jadinya. Rahsia di atas kebaikan; maka kebaikan jugalah akhirnya.
Kisah silam seseorang; hanya orang itu sahaja yang layak untuk membuka rahsia. Orang lain walaupun tahu rahsia dan aib itu; sesungguhnya kalian tidak layak untuk mencanang rahsia itu. Aib andai ditutup; maka rahmat bakal disambut. Aib apabila didedah; maka rosaklah kehidupan seseorang.
Andai orang itu telah insaf, maka sebaiknya rahsia aib itu kekal rahsia. Andai orang itu masih terus hanyut bergelumang dengan dosa; maka janganlah dicanang seluas-luasnya aibnya itu. Kita sendiri tidak tahu apakah aib kita? Barangkali aib kita juga akan terdedah dek kita tidak menjaga aib orang lain.
Kita adalah manusia lemah sentiasa melakukan kesilapan. Maka fitrah itu jugalah; kita dicipta untuk mempunyaI akal; dikurniakan fikiran untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Manusia sejak azali memang mempunyai kemampuan untuk mencipta dan menyimpan rahsia. Maka gunakanlah kelebihan itu untuk kebaikan.
Aku juga punyai rahsia; begitu juga kalian yang membaca bingkisan ini. Sama-sama berahsia agar rahsia tetap rahsia. Sama-sama berahsia; supaya kisah rahsia itu akan disimpan untuk diri kita sahaja. Rahsia harus rahsia. Disimpan di dalam sanubari. Selagi rahsia itu untuk kebaikan, makan simpankanlah dan terus kekal sebagai rahsia.
Marilah kita menuju ke hadapan untuk sebuah masa depan yang masih kekal RAHSIA.....
Alhamdulillah. Allah Maha Mengetahui.
Ulasan