Memori sebuah Queen

Lagu ternyata akan mencipta dan mencetuskan pelbagai memori. Setiap rentak lagu, bait-bait lirik yang kita dengar dan hayati, pasti akan mencipta sensasi memori baik indah atau barangkali suram. Tindak balas kimia di dalam otak, akan mengembalikan setiap memori itu, tatkala mendengar lagu tersebut.

Aku masih ingat beberapa tahun yang lalu, atau lebih tepat 8 tahun yang lalu. waktu itu aku masih lagi menuntut di UPSI. Zaman sebagai mahasiswa pendidikan, mewarnai kehidupan ketika itu. Zaman duit tak banyak, tapi kaya dengan memori dan pengalaman.

Zaman itu, aku memang banyak menghabiskan masa dengan menikmati dan mendengar pelbagai lagu. Pengaruh muzik cukup kuat, menjadi teman dan pembakar semangat di zaman universiti. Genre lagu yang aku minati lebih ke arah rock alternatif dan kebanyakannya bukan muzik arus perdana. Dari Hujan, Bunkface, Yuna dan pelbagai artis yang mewarnaik zamanku itu.

Namun aku masih ingat. Di suatu masa, sahabat baikku ini memperkenalkanku dengan sebuah band rock lama tahun 80-an. Aku bukanlah tidak tahu langsung mengenai band ini, namun disebabkan sahabatku inilah, aku meneroka dan mendalami setiap lagu yang pernah band ini hasilkan.

Queen, sebuah band dari UK yang pernah menjadi band rock paling popular dunia suatu masa dahulu menjadi fokus aku pada waktu itu. Sahabatku inilah yang membawaku kembali mengeksplorasi lagu-lagu kumpulan ini. Pada waktu itu, aku berada di semester 6, beberapa bulan sahaja sebelum masuk ke semester 7, iaitu semester untukku berpratikal.

Sahabatku ini memperkenalkanku dengan lagu yang belum pernah ku dengar. Lagu Bohemian Rhapsody. Lagu berdurasi 6 minit ini ternyata satu singkapan arkib yang didedahkan kepadaku; mencipta satu persepsi kekaguman yang sangat unik. Buat pertama kalinya; aku tertarik dengan lagu sedemikian rupa.

Bagi mereka yang mengenali band Queen ini, lagu Bohemian Rhapsody ini adalah sebuah lagu yang sangat berbeza dan bersifat esentrik di zamannya. Bukan lagu itu sahaja, malah video muziknya juga sangat unik. Tambah menarik perhatian, tatkala lirik dalam itu juga turut diselitkan frasa Bismillah dalam lagu tersebut. Lagunya memang pelik, malah kisah perjalanan lirik itu juga memang pelik; namu ia menarik! Suatu nilai esentrik yang menarik perhatian aku.

Disebabkan sahabatku inilah, aku mula meneroka lagu-lagu dan band ini. Terlalu banyak sebenarnya, puluhan lagu akan dengar. Setiap lagu itu, aku hayati dan amati liriknya. Seperti lagu-lagu yang biasa kita dengar; setiap penciptaan lagu itu pasti ada pengkisahan di sebaliknya. Maka, di setiap lagu Queen yang aku dengar, aku juga mendalami kisah-kisah di sebalik pembikinan lagu itu.

Antara lagu yang menjadi kegemaranku ialah; Love of My Life, Radio Ga Ga, We're The Champions, Don't Stop Me Now, Somebody To Love, Under Pressure, Those Were The Days of Our Lives, dan senarai itu berterusan untuk puluhan lagu yang lain. Tahun itu, lagu-lagu Queen menguasai senarai muzik yang aku dengar. Agak janggal tatkala lagu muzik rock 80-an tiba-tiba menjadi kegemaranku pada tahun 2013. Namun itulah hakikat yang berlaku.

Lagu Queen hakikatnya mencipta memori kuat terhadap sahabat baikku ini. Tatkala aku mendengar lagu Queen ini, maka fikiran aku terus terkenangkan sahabatku ini. Pengaruhnya besar terhadap 4 tahun perjalanan aku sebagai mahasiswa di UPSI. Orang yang paling banyak mengajar dan merubah aku untuk menjadi diriku pada hari ini.

Aku masih ingat, aku dan sahabat ini sentiasa menghabiskan masa berjumpa dan berdiskusi baik di rumah sewa atau barangkali di kedai mamak atau restoran. Setiap kali perjumpaan, pasti akan ada perbincangan dan diskusi panjang, baik soal peribadi, keluarga, malah sehingga isu-isu politik dan akademik, semuanya kami bincangkan panjang lebar. Inilah satu-satunya sahabatku yang mempunyai aliran fikiran yang sama denganku, maka tidak hairanlah aku sentiasa menghabiskan masa dengannya di zaman universiti.

Masa berlalu dengan pantas; dan pasti ada perkara yang turut diambil serta. Memori dan kenangan itulah yang diambil masa.

Kini, 8 tahun berlalu; aku menjalani kehidupan alam dewasa. Menetap di Taiping, telah berkeluarga; punyai isteri dan juga anak perempuan yang sentiasa comel dengan keletahnya. Mempunyai rumah sendiri, dan kereta serba sederhana; kehidupan aku kini lebih bertumpu terhadap komitmen dan tanggungjawab terhadap insan-insan yang ku sayangi ini.

Aku dan sahabatku ini telah lama tidak berhubung. Namun aku tahu, pasti dia menjalani kehidupan alam dewasa yang bahagia sepertiku juga. Mungkin aku tak dapat berhubung lagi dengannya; namun satu perkara yang aku harus akui adalah setiap perkara yang pernah sahabatku ajar dan kongsikan terhadapku suatu masa dahulu telah banyak mempengaruhi perjalanan hidupku kini.

Persahabatan mempunyai harga yang cukup bernilai. Memori persahabatan adalah suatu yang infiniti. Ia ibarat hablur oniks, walaupun semakin hilang dari pandangan; namun sinar dan kerlipannya pasti akan dapat dilihat lagi.

Itulah sebuah memori Queen.

Tamat di sini sahaja. Alhamdulillah.

Tahun 2014, beberapa hari sebelum pulang ke Taiping selepas tamat pengajian di UPSI



Ulasan

Catatan Popular