Jam keenam: "Kalau kita baiki bahagian yang luar, bahagian yang dalam tidak, tudung yang dipakai dibuang sahaja..."


Menyentuh soal pemakaian tudung, mungkin perkara ini turut menyentuh sensitiviti kaum hawa. Namun, apa yang ingin dibicarakan bukanlah bertujuan untuk menghukum, tetapi lebih kepada satu bentuk muhasabah diri moga segala yang kurang itu dilengkapkan. Hakikatnya, manusia itu lemah, dan ilmu itu senantiasa perlu dipelajari sehinggalah ke liang lahad.

Memang harus diakui, kini pemakaian tudung sudah menjadi kebiasaan bagi kaum wanita yang beragama Islam. Situasi ini amat membanggakan kerana jika dibandingkan dengan zaman dahulu, memang adalah sesuatu yang sukar untuk melihat kaum hawa bertudung pada waktu itu. Zaman telah berubah, dan pemakaian tudung kini semakin banyak.

Namun, adakah mereka benar-benar bertudung disebabkan dalamannya telah mantap?

Harus diakui, walaupun ramai yang bertudung, hakikatnya ramai juga yang masih belum menutup aurat. Ramai yang lawa bertudung litup, namun bahagian tubuh yang lain masih terdedah.



Aurat wanita bukan sekadar menutup rambut dengan memakai tudung. Aurat itu dari segi pentafsirannya adalah jauh lebih luas. Pada dasarnya mudah, menutup aurat bagi kaum hawa bermaksud, menutup kesemua anggota tubuh dari dilihat oleh bukan mahram kecuali muka dan tapak tangan. Konteks ini juga bermaksud, bentuk tubuh wanita itu juga perlu ditutup dan dilindungi.

Mudah bukan pengertiannya?

Namun, perlaksanaannya ternyata bukanlah sesuatu yang mudah seperti pengertiannya. Kebanjiran pelbagai baju dengan pelbagai bentuk dan fesyen kadang kala telah menyebabkan sesetengah kaum hawa ini terlupa atau mungkin juga tidak sedar bahawa pakaian yang dipakai itu hakikatnya tidak menutup aurat.

Budaya memakai jeans dalam kalangan remaja hari ini merupakan satu bukti modenisasi kesan daripada proses asimilasi dengan budaya barat. Hakikatnya tak salah untuk berseluar jeans, namun jeans yang dipakai itu haruslah benar-benar memenuhi kriteria dalam konteks menutup aurat.

TIDAK KETAT DAN TIDAK SENDAT....

Perkara yang sama juga perlu diaplikasikan dalam aspek pemakaian baju. Pakailah apa-apa baju pun, asalkan mentup keseluruhan tubuh termasuk lengan ditutup dan baju itu tidak sendat mengikut bentuk tubuh.

Seperkara lagi, jenis kain yang digunakan bagi pakaian yang dipakai juga haruslah mengikut kritirea yang sepatutnya mengikut apa yang telah ditetapkan dalam Islam.

TIDAK JARANG DAN TIDAK BERKILAT-KILAT....

Apakah dengan memakai baju yang jarang itu boleh menutup aurat? Andai warna kulit dan tubuh itu masih lagi dapat ditembusi dengan mata kasar, maka sememangnya harus diakui aurat itu masih terdedah, walaupun baju yang dipakai longgar dan tidak ketat.

Mengapa pula kain berkilat tidak dibolehkan?

Kain jenis ini hakikatnya ditakuti apabila dipakai oleh si wanita, akan menampakkan bentuk tubuhnya walaupun pakaian yang dipakai itu tidak jarang dan tidak ketat. Maka, adalah lebih elok pakaian sebegini dielakkan.

Bagaimana pula dengan pemakaian inner?

Tak salah untuk memakai inner, tetapi seharusnya kaum hawa perlu memastikan bahawa inner yang dipakai itu longgar dan tidak mengikut bentuk tubuh. Hakikatnya, inner itu dipakai untuk dijadikan benteng kedua daripada aurat terdedah, andai benteng pertama yakni pakaian itu tanpa sengaja tiba-tiba terselak. Sekurang-kurang jika lengan baju terselak, masih ada inner di dalam untuk melindungi diri dari terdedah auratnya.

Inner itu bertujuan sebagai benteng kedua, bukannya sebagai benteng pertama. Andai inner itu dipakai untuk bertujuan menyambung lengan baju yang pendek, dan inner itu ketat mengikut bentuk lengan, maka hakikatnya aurat itu masih lagi terdedah.

Benar, artis kini banyak yang telah bertudung. Namun bagi kaum hawa, mereka seharusnya berhati-hati untuk mengikuti fesyen-fesyen bertudung mereka, kerana ditakuti nanti aurat  masih tidak ditutup dengan sempurna.

Jangan disebabkan mahu ‘up to date’, diri sendiri menjadi mangsa fesyen, sehingga tanpa sedar, aurat telah terdedah.

Jika diri masih belum cukup ilmu di dada, maka penuhkanlah dada itu dengan mengikuti majlis-majlis ilmu. Tambahkan pembacaan berilmiah di samping menanamkan sikap rajin bertanya. Insyaallah, jika semua ini dilakukan, tudung yang dipakai itu tak akan sia-sia dek aurat lain terdedah.

"Kalau kita baiki bahagian yang luar, bahagian yang dalam tidak, tudung yang dipakai dibuang sahaja..."

Itulah yang diperkatakan Adam kepada Ustaz Wahid dalam filem Nur Kasih. Benar, mantapkan dalaman, kelak tudung yang dipakai tidak akan dibuang.

Sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar:

Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” 
(Hadis Riwayat Abu Dawud)


Wallahualam.



*Jam keenam bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.









Ulasan

Catatan Popular