Muhasabah Jumaat: Kisah mencari kebenaran Salman al-Farisi






Tahukah anda mengenai Perang Khandaq? Apakah maksud Khandaq itu sendiri? Peperangan yang cukup dikenali dengan strategi perang yang cukup bijak ini tercetus di kota Madinah, berlaku pada 31 Mac 627 dan berterusan selama hampir 27 hari. Strategi dan taktikal dalam peperangan ini adalah sesuatu yang baru, dan pihak musuh yang cuba menyerang kota Madinah iaitu tentera Quraisy tidak pernah sama sekali bersedia untuk menghadapi taktikal sedemikian.

Apakah taktikal itu?

Peperangan yang dikenali sebagai Battle of the Trench menjadi titik tolak kepada bermulanya kemaraan Islam ke kota Mekah dan menjadi titik permulaan kejatuhan tentera Quraisy. Secara istilahnya khandaq membawa maksud parit besar. Dalam peperangan ini, taktikal yang digunakan bagi mempertahankan kota Madinah adalah dengan menggali parit di sekitar kota Madinah sebagai benteng pertahanan dari serangan tentera musuh. Mengikut sejarah, walaupun tentera musuh mengepung kota Madinah selama berminggu-minggu, namun mereka tidak sama sekali berjaya untuk memasuki kota tersebut. Akhirnya, pihak musuh berundur setelah kekurangan bekalan makanan dan pada masa yang sama berlaku ribut besar yang membadai musuh.

Hakikatnya, strategi menggali parit bukanlah sesuatu yang biasa bagi orang Arab. Taktikal ini begitu asing dan sebenarnya datang dari taktikal perang bangsa lain. Maka di sebalik strategi itu, muncul nama salah seorang sahabat Radulullah yang mencadangkan idea taktikal perang itu. Salman al-Farisi atau Salman The Persian adalah individu yang bertanggungjawab merencanakan strategi menggali parit itu. Berasal dari Parsi, taktikal perang ini diambil dari taktikal perang bangsa Parsi.

Jadi, siapakah Salman al-Farisi ini?

Kisah mencari kebenaran Salman al-Farisi
Salman merupakan seorang pemuda berketurunan Parsi. Dilahirkan dalam keluarga yang menganuti agama Zoroastrianism atau agama Majusi, agama yang menyembah api dan menganggap api itu sesuatu yang suci. Menurut catatan, Salman dilahirkan di Parsi di bandar Isfahan atau Kazerun (tidak dapat dipastikan tempat lahir sebenar beliau). Beliau dibesarkan dalam keluarga paderi Majusi, yang mengamalkan dengan kuat ajaran Majusi dalam kehidupan sehariannya.

Namun tatkala Salman meningkat usianya, menjadi seorang remaja, maka fikiran dan hati beliau dilihat mula tidak tenteram. Salman mula merasakan suatu kekosongan dalam dirinya tatkala terus menjadi penganut agama Majusi. Sebagai anak kepada paderi Majusi, Salman telah ditugaskan untuk menjaga api suci dalam rumah ibadat Majusi. Tugasnya adalah untuk memastikan supaya api suci itu menyala dan tidak terpadam hatta sesaat. Disebabkan itu, Salman tidak pernah melihat dunia luar yang sebenar, dan terus terkepung dan seperti dikurung di rumah ibadat tersebut.

Suatu hari, bapa Salman yang memilki tanah perladangan telah meminta beliau untuk menjaga tanah kebunnya itu. Maka, Salman berpeluang untuk keluar dan melihat dunia luar tatkala dalam perjalanan menuju ke kebun itu. Dalam perjalanan itu, Salman melewati sebuah kawasan gereja. Di saat melalui kawasan itu, maka Salman terdengar suara orang sedang sembahyang. Lantas Salman tertarik dan terus memasuki gereja itu. Barulah Salman tahu bahawa itu ialah gereja Nasrani (Kristian). Di akhirnya, Salman menghabiskan seluruh harinya di gereja itu dan tidak pergi ke kebun bapanya.

Disebabkan telah tertarik dengan agama Nasrani, lantas Salman bertanya kepada paderi gereja itu akan asal usul agama Nasrani. Dinyatakan kepada Salman bahawa agama Nasrani itu berasal dari bumi Syam (Syria). Bermula di saat itu Salman berazam untuk pergi ke bumi Syam. Tatkala itu juga, Salman memberitahu bapanya bahawa dirinya telah tertarik dengan agama Nasrani. Risau dengan perkembangan itu, maka bapa Salman telah mengurung dan merantai Salman.

Dalam kurungan itu, Salman menulis sepucuk surat yang dikirimkan kepada orang Nasrani. Lantas tidak lama selepas itu, Salman berjaya melepaskan diri dengan bantuan orang-orang Nasrani dan seterusnya telah mengikut satu rombongan Nasrani ke bumi Syam. Setibanya di bumi Syam, Salman telah menetap bersama seorang ketua paderi di sana yang bernama Uskup. Pada waktu itulah, Salman mendalami dan mempelajari agama Nasrani.

Namun, di sebalik jawatannya sebagai ketua agama, hakikatnya Uskup bukanlah orang yang jujur. Uskup menganjurkan orang ramai menderma dan memberi sumbangan kepada gereja, namun hasil kutipan itu digunakan Uskup untuk kepentingan dirinya. Di akhirnya, Uskup meninggal dunia dan Salman menceritkan perihal sebenar perangai paderi itu. Orang ramai marah dan menyalib mayat Uskup.

Selepas itu, paderi lain diangkat sebagai ketua agama dan Salman mengabdikan dirinya pula bersama paderi itu. Paderi itu sangat zuhud san senantiasa beribadat tak kira siang dan malam. Salman sangat suka kepada paderi itu dan terus tinggal lama dengannya. Di akhir hayat paderi itu, Salman bertanya akan kepada siapakah lagi yang harus dipercayai untuk meneruskan pengajiannya? Lantas paderi itu menyatakan bahawa Salman perlu ke Mosul untuk menemui seorang pendeta di sana. Lantas, selepas kematian paderi itu, Salman berhijrah ke Mosul untuk bertemu dengan pendeta di sana.  Di Mosul, Salman mengabdikan dirinya terhadap pendeta itu sehinggalah pendeta itu meninggal dunia.

Pencarian kebenaran Salman diteruskan lagi. Sebelum ajal pendeta Mosul itu tiba, pendeta itu pernah berpesan supaya Salman berjumpa pendeta di Nasibin untuk menyambung pencarian kebenarannya.  Maka, Salman menuju pula ke Nasibin. Setelah beberapa ketika bersama pendeta itu, maka pendeta itu berpesan supaya Salman menuju pula ke Amuria sebelum pendeta itu meninggal dunia. Selepas itu, Salman menuju  ke Amuria untuk bertemu dengan pendeta di sana.

Di Amuria, Salman membantu pendeta itu mengembala kambing dan sapi. Seperti sebelumnya, Salman mengabdikan dirinya kepada pendeta itu dalam proses pencarian kebenaran. Sepanjang tempoh itulah, Salman setia mengembala kambing sampailah ke akhir hayat pendeta itu. Sebelum pendeta itu menghembuskan nafasnya yang terakhir, Salman sempat bertanya akan arah tujunya selepas itu dalam pencarian kebenaran.

Menurut pendeta Amuria itu, tidak akan ada lagi manusia di muka bumi ini yang mengamalkan ajaran yang benar. Namun menurut pendeta itu, akan muncul seorang nabi dari keturunan Arab yang akan berhijrah ke sebuah kota yang dipenuhi dengan pohon-pohon tamar. Kota itu terletak di antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu tidak akan menerima sedekah, tetapi boleh menerima hadiah. Di antara bahu nabi itu terdapat tanda kenabian padanya. Kota itu ialah kota Yathrib atau Madinah.

Setelah pendeta itu meninggal dunia, Salman terus menetap di Amuria. Dia terus mengembala kambing dan sapi. Suatu hari, satu kabilah dari Arab singgah ke Amuria. Lantas Salman bertemu dengan kabilah itu dan telah menyatakan hasratnya untuk mengikut kabilah itu menuju ke bumi Arab. Salman telah menawarkan kesemua kambing dan sapi yang dijaganya sebagai ganti untuk mengikuti kabilah itu. Maka, bermulalah perjalanan Salman bersama kabilah itu menuju ke bumi Arab.

Namun malang menimpa Salman. Kabilah yang diharapkannya itu telah berpaling tadah dan menipunya. Salman ditipu dan di akhirnya dijual sebagai hamba. Salman dibeli oleh seorang lelaki Yahudi dan terpaksa berkhidmat di bawah lelaki itu. Namun tidak lama selepas itu, Salman dibeli pula oleh seorang lelaki Yahudi Bani Quraizhah dari Yathrib. Dengan izin Allah, maka Salman dapat juga pergi ke Yathrib walaupun menjadi seorang hamba. Saat tiba di Yathrib, maka Salman dapat melihat dengan jelas pepohon kurma yang banyak di kota itu. Maka tahulah Salman bahawa inilah kota yang dimaksudkan pendeta Amuria itu.

Di Yathrib, Salman terus menjadi hamba kepada lelaki Yahudi tersebut. Ada kalanya, tugas Salman adalah memanjat pepohon kurma untuk mengambil buahnya.  Setiap hari, Salman senantiasa ternanti-nanti akan kemunculan nabi yang dimaksudkan pedeta Amuria itu. Walaupun dalam kesusahan sebagai seorang hamba, namun semangat Salman untuk mencari jalan kebenaran langsung tidak pernah terpadam.

Satu hari, kota Yathrib dilanda kemeriahan tatkala kedengaran perkhabaran mengenai kedatangan nabi dari kota Mekah itu yang telah tiba di Quba, tidak jauh dari kota Yathrib. Di sana, sebuah masjid pertama umat Islam telah dibina. Maka, saat mendengar perkhabaran itu, Salman semakin tidak sabar untuk melihat sendiri nabi yang dimaksudkan itu. Setiap hari, Salman terus menanti dengan sabar.

Hari dinanti akhirnya tiba. Maka nabi yang diutus itu telah sampai di kota Yathrib. Lantas Salman memutuskan untuk melihat sendiri nabi itu. Seperti yang telah dinyatakan oleh pendeta Amuria, nabi itu mempunyai beberapa tanda kenabiannya. Disebabkan itu, Salman telah memtuskan untuk berjumpa sendiri nabi itu untuk mencari dan melihat tanda kenabian seperti yang telah diceritakan oleh pendeta di Amuria itu.

Lantas Salman mengumpul buah tamar dari ladang tuannya. Di suatu malam, Salman terus pergi berjumpa nabi tersebut. Itulah baginda nabi akhir zaman, Rasulullah S.A.W. Lantas Salman terus menghulurkan kurma yang dikumpulkannya itu untuk diberikan kepada Rasulullah. Salman menyatakan bahawa kurma itu adalah sedekah darinya untuk baginda. Selepas menerima buah tamar itu, Rasulullah tidak sedikit pun menjamahnya, sebaliknya diserahkan kepada sahabat-sahabatnya.

Tahulah Salman, bahawa tanda pertama kenabian itu dapat dilihat pada Rasulullah. Baginda tidak menerima sedekah daripada orang lain. Kemudian, di pertemuan yang lain, Salman sekali lagi membawa buah kurma untuk diberikan kepada baginda Rasulullah. Namun kali ini, Salman menyatakan kepada Rasulullah bahawa tamar itu adalah hadiah buat baginda. Selepas itu, dilihat Rasulullah terus menjamah kurma itu dan dikongsikan juga buat sahabat-sahabatnya yang lain.

Tahulah Salman, bahawa tanda kedua kenabian Rasulullah dapat dilihatnya. Baginda menerima hadiah yang diberikan Salman dan menjamah tamar itu. Pencarian kebenaran Salman dilihat semakin menghampiri penghujungnya. Di satu hari, seorang sahabat baginda meninggal dunia, dan baginda Rasulullah menguruskan jenazahnya untuk disemadikan. Tatkala waktu itu, Salman dengan jelas dapat melihat satu tanda di belakang bahu Rasulullah. Itulah tanda kenabian yang ada pada baginda.

Setelah melihat tanda itu, maka serta merta Salman menghampiri Rasulullah. Salman terus memeluk baginda. Selepas melihat tanda ketiga kenabian itu, maka tahulah Salman bahawa dirinya telah bertemu dengan orang yang dicarinya selama ini. Rasulullah kemudian bertanya kepada Salman; ingin tahu siapakah Salman yang sebenarnya. Lantas Salman menceritakan keseluruhan kisah perjalanannya dalam mencari kebenaran, bermula dari tanah asalnya Parsi hinggalah dirinya menjadi hamba di kota Yathrib.

Di akhirnya, seorang sahabat Rasulullah telah membebaskan Salman daripada terus menjadi seorang hamba. Maka, selepas itu Salman terus setia bersama Rasulullah, menuntut ilmu dan mendekatkan diri dengan Allah. Pencarian kebenaran Salman akhirnya menemui kejayaan. Walaupun Salman bukan berketurunan Arab, namun beliau diiktiraf menjadi sebagai salah seorang sahabat Rasulullah. Sumbangan yang diberikannya ternyata harus dihargai, kerana beliau telah banyak membantu dalam mengembangkan syiar Islam.

Kesimpulan
Sesungguhnya kisah perjalanan Salman al-Farisi mencari kebenaran itu penuh dengan liku-liku. Keazaman dalam dirinya harus menjadi contoh dan ikutan buat umat Islam hari ini. Hakikatnya, dalam setiap usaha ke arah kebaikan, pasti akan ada rintangan dan cabaran. Hanya dengan ketabahan hati sahaja yang mampu menangani semua cabaran yang datang. Salman al-Farisi juga mengajar kita bahawa untuk mencari hidayah, seseorang itu seharusnya berusaha dan bukannya hanya menanti sahaja. Kebenaran dan hidayah tidak akan datang dengan mudah. Ia harus bersama dengan usaha yang berterusan.

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami
(Surah al-Ankabut, ayat 69)

Berusahalah mencari hidayah-Nya. Moga Allah akan mengurniakannya kepada kita. Sama-sama kita bermuhasabah diri. Insya-Allah.

Wallahuaklam.

 
Makam Salman al-Farisi, sahabat Rasulullah.











Ulasan

Catatan Popular