Tasha Rozana: Kisah perkahwinan Tasha dan Fahmi
Masihkah kalian ingat akan kisah
Tasha Rozana dan Fahmi Zahid? Kisah penantian Fahmi selama hampir dua tahun,
mengharap agar sesuatu yang diimpikan menjadi kenyataan. Sampai ke satu tahap,
Fahmi redha dengan ketentuan Ilahi, dicuba untuk melupakan hasrat hatinya untuk
menjadikan Tasha sebagai isterinya. Namun saat hampir sahaja dilupakan Tasha
itu, kisahnya menjadi berbeza. Tasha muncul semula dengan satu panggilan
telefon ke rumahnya. Di kala itu, bunga mekar kembali. Tanpa disangka Fahmi,
selama ini Tasha juga menyimpan perasaan terhadapnya. Syukurnya tak terkira
buat Fahmi. Itulah kisah yang pernah dikongsikan.
Kini, setelah hampir setahun
kisah Tasha Rozana ini tidak dikongsikan, maka kemunculan semulanya akan
menyambung kisah mereka. Kisah perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan. Sebuah
kisah kerahsiaan barangkali, menguji kesabaran dan menduga ketabahan.
Kisahnya diteruskan:
Tatkala diketahui akan hal
sebenar, apabila Fahmi menerima panggilan telefon yang tak disangkanya dari
Tasha, yang hampir dua tahun menghilang, maka pasti sesuatu perkara yang
kebiasaan akan menjadi berlainan. Memang di awalnya Fahmi dilanda kejutan,
bagai tidak percaya bahawa Tasha kembali, dan yang lebih gembira apabila
kemunculan semula Tasha itu adalah untuk menyatakan kesudiannya menerima Fahmi
sepenuhnya. Impian yang telah lama diharapkannya telah menjadi kenyataan.
Kisah pertama, setelah panggilan
telefon dari Tasha itu, maka Fahmi terus menyatakan perkhabaran itu kepada
ibunya dahulu. Dinyatakan akan kisah Tasha, satu pengkisahan yang selama ini
dirahsiakan daripada ibunya itu. Hasrat hati Fahmi untuk menjadikan Tasha
sebagai isteri itu telah lama wujud, iaitu dua tahun sebelumnya tatkala Fahmi
baru sahaja menjadi mahasiswa universiti. Namun semuanya dirahsiakan dari
pengetahuan keluarga. Mungkin masih terlalu awal walaupun telah bersedia.
Namun, perbincangan dilakukan.
Dinyatakan satu persatu siapa Tasha dan mengapa Tasha. Dinyatakan dengan jelas
niat di hatinya. Mengharap menjadi isteri, itulah Tasha namanya. Di usia 24
tahun, barangkali masih muda. Bicara perkahwinan mungkin dilihat belum
bersedia. Namun, mungkin masanya telah tiba, maka ibunya faham akan anaknya.
Lantas dinyatakan pula kepada ayahnya. Perbincangan bermula, memikirkan masa
depannya. Tiba masanya, perancangan diaturkan. Perjumpaan dengan ayah dan ibu
Tasha, itulah yang difikirkan oleh ibu dan ayah Fahmi.
Di awalnya, memang ibu Fahmi
terkejut. Tidak disangka, anaknya itu sudah memikirkan soal perkahwinan.
Walaupun masih bergelar seorang pelajar universiti, hasrat di hati tak boleh
dibiarkan. Apabila tercetus saja niat itu, maka seeloknya dipermudahkan. Moga
dipercepatkan, itulah yang dinyatakan ayahnya, tatkala ibunya masih
teragak-agak; masih tidak bersetuju dengan hasrat Fahmi untuk berkahwin.
Kata ayahnya; “Buat apa yang
termampu. Wajib itu diutamakan, selebihnya sekadar sampingan. Kalau itu dah
jodohnya, jangan dihalang. Kita tolong selagi boleh”
Beberapa hari kemudian, di satu
hari minggu, setelah alamat rumah Tasha diminta Fahmi, maka ibu dan ayah Fahmi
berkunjung ke rumah Tasha. Saat itu, Tasha tiada di rumah. Tasha berada di ibu
kota, bekerja di sana. Fahmi pula berada di universiti, terus sibuk dengan
pengajian. Kisah orang tua bertemu dengan orang tua. Maka perjumpaan yang
diatur itu disambut penuh mesra oleh kedua ibu bapa Tasha.
Maka, dinyatakan tujuan
kunjungan itu. Nama Fahmi disebut, dan hasrat hatinya itu dinyatakan. Ibu dan
ayah Tasha tidak dilanda kejutan, kerana masing-masing telah tahu niat murni
Fahmi itu. Tasha telah memaklumkan dahulu sebelum kunjungan ibu bapa Fahmi itu.
Lantas dengan mudah, hasrat hati itu diterima orang tua Tasha. Persetujuan
dicipta dan perbincangan seterusnya bermula.
Perkara pertama yang bermain di
fikiran, bilakah akan dilangsungkan majlisnya? Tatkala itu, perbincangan rancak
kedengaran. Di sebelah pihak Fahmi, ayahnya ternyata tidak kisah tarikhnya
namun ibunya ternyata lebih teliti. Ibunya berharap, walau bila pun tarikhnya,
biarlah Fahmi bersedia fikiran dan lahiriahnya. Biarlah Fahmi kukuh
kewangannya, barulah boleh dilangsungkan majlisnya.
“Soal wang, kita boleh sama-sama
tolong. Mana yang tak cukup, kita sama-sama ringankan”
Itulah kata bapa Tasha.
Bagi ayah Fahmi pula, kalau
itulah kehendak Fahmi mahu beristerikan Tasha, maka seharusnya dipercepatkan.
Kalau dah jodoh tak ke mana, namun kalau dibiarkan tak diikat dengan adatnya,
maka tak mustahil juga jodohnya itu pergi begitu sahaja. Itulah fikiran ayah
Fahmi. Wajib itu diutamakan, dan yang sampingan itu andai ada kemampuan, maka
laksanakanlah.
“Apa yang penting, Tasha dan
Fahmi berkahwin di akhirnya,” kata ayah
Tasha.
Persetujuan ternyata dicapai.
Fahmi dan Tasha akan disatukan. Langkah seterusnya adalah menetapkan tarikh
pertemuan berikutnya. Pertemuan bagi meletakkan tanda kepada Tasha. Cincin
tanda akan disarungkan, sebagai bukti Tasha telah berpunya. Semuanya
dibincangkan pada pertemuan pertama dan persetujuan dicapai, sebulan tarikhnya,
maka kunjungan kedua cincin tanda akan diaturkan.
Perkhabaran itu ternyata memberi
keterujaan buat Fahmi. Sekelip mata rezekinya murah, menghilangkan resah dan
masalah. Persoalan jodoh bukan lagi pertanyaan, tidak lagi tergantung meliar
tanpa jawapan. Pertemuan orang tuanya bertemu orang tua Tasha menjadi satu tanda,
jodohnya itu semakin dekat dengan Tasha.
Maka, sewaktu cuti pertengahan
semester bermula, Fahmi pulang dengan hati girang. Di saat itu juga Tasha
bercuti seminggu lamanya, meninggalkan sebentar kerjanya di ibu kota.
Masing-masing pulang dengan tujuan yang sama. Itulah detik tatkala Tasha dan
Fahmi akan dipertunangkan. Kisahnya, setelah pertemuan cincin tanda itu
diselesaikan, maka diputuskan supaya ikatan pertunangan dipercepatkan. Dua
minggu sahaja selepas tempohnya, maka tarikh pertunangan akan dilangsungkan.
Di hari pertunangan, seluruh
keluarga Fahmi berombongan menuju ke rumah Tasha. Namun kisah pertunangan hanya
berlegar dalam keluarganya kerana kerahsiaan menjadi keutamaan. Tiada siapa
yang tahu hatta rakan karibnya tidak dikhabarkan. Tasha dan Fahmi sepakat untuk
tidak menghebahkan kisah pertunangan mereka. Kata mereka, biarlah rahsia
menjadi pemanisnya, supaya menjaga batas hubungan. Moga pertunangan itu tidak
mengurangkan batas pergaulan yang masih lagi perlu dijaga. Perjanjian di antara
Tasha dan Fami, dan masing-masing bersetuju.
Di hari pertunangan yang serba
ringkas, rombongan keluarga Fahmi hadir diketuai bapa saudaranya. Cincin
pertunangan akan disarungkan ibu Fahmi dan Tasha hanya menanti saat itu sahaja.
Fahmi pula, hanya menunggu di rumah, sekadar mendengar perkhabaran yang
disampaikan menerusi sms kiriman Tasha. Saat itu, bahagia tak tergambar
dirasakan Fahmi. Tasha akhirnya akan menjadi tunangnya.
Cuti pertengahan semester telah
berlalu, maka Fahmi kembali semula ke universiti. Tasha juga begitu, pulang
semula ke ibu kota kembali bekerja. Tasha dan Fahmi hakikatnya belum bersua,
setelah diikat dengan tali pertunangan. Maka, di saat masing-masing dilanda
kesibukan, detik hati mula menyatakan apa yang terpendam. Bagai satu magnet,
maka masing-masing mula semakin menghampiri jalinan yang lebih erat. Telefon
menjadi penghubung dan sekali-sekala tatkala terdetik rasa rindu, Fahmi
menelefon Tasha atau kadangkala Tasha membuat panggilan.
Semuanya berterusan sepanjang
baki semesternya. Universiti Fahmi tidak jauh dari ibu kota dan Tasha pula
seringkali menuju ke pekan kecil berhampiran universiti itu. Kampung neneknya
tidak jauh dari univeriti Fahmi, dan mungkin juga pendorong kekerapan Tasha
untuk pulang ke kampungnya. Tatkala pulang, maka Fahmi akan berjumpa dengannya.
Ada waktunya, dijemputnya Fahmi datang ke kampung neneknya, menjamu selera dan
kadangkala sekadar berbual-bual biasa. Ada waktunya juga, andai ada pasar malam
di pekan, di hujung minggu mereka keluar bersama-sama. Sepetang dihabiskan di
pekan dan kisah itu membimbangkan kedua orang tua mereka.
Mungkin di awalnya bersama-sama
ke pasar malam, namun di masa depan tiada siapa yang menduga. Tatkala lelaki
dan wanita dan hubungannya itu bukan mahram, maka bahayanya senantiasa ada. Kerisauan
juga timbul tatkala hampir setiap hujung minggu Fahmi akan ke kampung Tasha dan
Tasha pula pasti akan pulang ke kampung walaupun jauh dari ibu kota. Disebabkan
resah itu maka, keputusan sepakat dibuat.
“Fahmi perlu berkahwin cepat”
Akad dan nikah
Kerisauan yang timbul
mencetuskan satu langkah. Kedua-dua orang tua, maka diaturkan gerak. Fahmi dan
Tasha harus diikatkan dengan sah, moga tak terjadi suatu yang salah. Secepat
masa, perancangan disusun. Satu persatu pebincangan berlangsung. Menetapkan
tarikh, menetapkan masa. Merancangkan tempat, merencanakan perjalanan majlis.
Satu demi satu diputuskan dengan teliti. Masjlis perkahwinan Tasha dan Fahmi,
itulah matlamatnya.
Semester lima Fahmi tamat, maka
cuti semester pun bermula. Tatkala itu, satu sisi perjalanan baru akan
tercipta. Segalanya telah diaturkan, hanya kaki sahaja yang perlu melangkah.
Berkat ibu dan ayahnya, maka majlis yang asalnya dalam kemustahilan kini
bertukar kenyataan. Walaupun Fahmi tiada kemampuan kewangan, namun semua itu
dipermudahkan. Rezekinya menjadi murah dengan huluran bantuan ahli keluarga
yang lain.
Bagi Tasha, kisahnya mungkin
berbeza. Persiapan majlis lebih mudah kerana Tasha telah bekerjaya. Dengan
sedikit bantuan dari ibu dan ayahnya, maka perjalanan majlis dapat
direalitikan. Keluarga Tasha hidupnya senang. Bicara soal wang bukan keperluan.
Harinya telah tiba. Debaran
terasa. Fahmi bersiap sedia, menanti dalam kesabaran. Saat seluruh ahli
keluarganya bersedia, maka rombongan bergerak ke rumah Tasha. Suasana berbeza,
Fahmi menenangkan diri. Sepanjang perjalanan, hatinya ditenangkan. Zikir di
mulut pelengkap ketenteraman jiwa.
Tatkala tiba, maka terus
disambut dengan penuh mesra. Lantas Fahmi berjalan menuju ke dalam rumah. Semua
hadirin telah bersedia, hanya menanti perjalanan akad dan nikahnya. Tatkala
Fahmi duduk di hadapan kadi, maka serentak itu Tasha keluar menyertai hadirin.
Seri terpapar di wajah Tasha, menyatakan gembira terwujud dalam hatinya. Fahmi
menjeling seketika sebelum melirik sedikit senyuman. Gembira di hati sukar
dibicarakan.
Lantas semuanya bermula. Sejuk
tangannya memang terasa, namun tenang pada wajahnya. Tatkala kadi melafazkan
akadnya, maka dengan tenang Fahmi menyatakan lafaz nikahnya.
“Aku terima nikahnya Tasha
Rozana binti Razali dengan maskawinnya seutas rantai emas”
Maka, sejarah tercipta. Selepas
saat itu, Tasha ialah isteri Fahmi.
Majlis diteruskan dengan sarungan cincin sebelum dikucup dahi Tasha.
Tatkala itu, Tasha mencium pula tangan Fahmi, yang kini suaminya. Semudah itu
urusan berjalan, itu buktinya Allah mempermudahkannya.
Kisah rahsia perkahwinan Tasha dan Fahmi
Tidak ramai yang tahu.
Perkahwinan di antara Tasha dan Fahmi hanya dihebahkan sesama keluarga sahaja.
Hatta seorang kenalan pun tidak diberitahu. Bukan disengajakan, namun
disebabkan tiada kesempatan. Fahmi langsung tidak memberi perkhabaran
perkahwinan kepada sesiapa pun. Rakan-rakan di universiti langsung tidak tahu
majlisnya. Menjadi rahsia barangkali, dan terus disimpan walaupun Tasha telah
menjadi isterinya.
Cuti semester dihabiskan dengan
bulan madu mereka. Tatkala semester dibuka kembali. Fahmi kembali ke universiti
dan Tasha ke tempat kerjanya di ibu kota. Masing-masing menjalani hidup seperti
sebelumnya namun ikatan mereka telah berbeza. Di universiti, Fahmi terus
berahsia akan statusnya. Semester enam sebagai suami, namun tiada siapa yang
mengetahui. Di tempat kerja Tasha pula, ceritanya sama. Rakan-rakan sekerja
masih menggelarkannya Cik, bukti tiada siapa yang tahu status terbarunya.
Semuanya berterusan sepanjang
Fahmi di semester enam. Di hujung minggu, Fahmi akan ke ibu kota menemui
isterinya di sana. Kadangkala Tasha pulang ke kampung neneknya, menemui Fahmi
di sana. Ada ketikanya pula, Tasha bercuti dari kerja, bertemu Fahmi di
universiti tatkala Fahmi kelapangan tiada kuliah dan kerja. Tatkala rindu dan
jarak terpisah, maka menerusi telefon mereka berbual. Ada masanya berlaman
sosial, webcam menjadi pengikat mesra. Setiap malam Tasha pasti akan
menelefonnya, menceritakan segala kisah pengalaman kerja hariannya. Fahmi terus
menjadi pendengar setia, sentiasa tersenyum dengan celoteh isterinya.
Masa depan Tasha dan Fahmi
Kini Fahmi telah tamat
pengajiannya. Tasha pula sudah dua tahun bekerjaya. Saat ini, Fahmi menanti
untuk tawaran mengajar, bakal menjadi pendidik sebagai kerjaya. Saat ini juga,
Tasha masih bekerja di ibu kota, berjauhan lagi dengan Fahmi suaminya. Namun,
perancangan diaturkan; tatkala Fahmi diketahui tempat mengajarnya, maka barulah
mereka akan tinggal bersama.
Kini telah setahun usia
perkahwinan mereka. Di masa depan, maka pastinya zuriat menjadi harapan. Mereka
berusaha walaupun belum diberikan rezekinya. Insya-Allah, andai diizinkan-Nya,
moga dikurniakan bayi comel buat mereka.
Itulah kisah Fahmi dan Tasha.
Sebuah perjalanan akad dan nikah. Satu kisah realiti yang mungkin sangat hampir
dengan kalian. Hanya yang memahami akan tahu siapakah Fahmi yang sebenar dan
siapa pula Tasha dalam dunia realiti. Fahmi dan Tasha itu sekadar nama
sandaran, kerana andai dinyatakan nama sebenarnya, maka pasti rahsianya bukan
lagi rahsia.
Cukuplah sekadar bicara. Mungkin
akan ada lagi kisahnya.
*Kisah Tasha Rozana sebelum ini:
Ulasan