Sembang Selasa: Menyelusuri kisah 4 tahun di UPSI
Saat menulis entri ini, saya
baru sahaja tamat pengajian di UPSI dan kini hanya menanti hari konvokesyen
sebelum meneruskan siri perjalanan ke alam pekerjaan. Namun di saat ini juga,
saya kini bergelar seorang penganggur sementara, masih lagi dalam proses
mencari-cari pekerjaan yang sesuai sebelum waktu untuk posting nanti.
Dua minggu yang lalu, dalam slot
Sembang Selasa, saya telah berkongsi akan kisah dan barangkali memperkenalkan
rakan-rakan serumah sewaktu di semester 8. Minggu lalu pula, selepas selesai
menyiapkan entri untuk slot Kaca Mata di blog, maka seorang kenalan saya,
Hamidah Ainun telah mencadangkan supaya saya menulis entri yang berkaitan
dengan perjalanan sepanjang empat tahun di UPSI. Mengenang kembali kisah-kisah
lalu dan mungkin juga mengimbas kembali setiap pengalaman yang ditempuhi. Maka
untuk slot kali ini, akan dinukilkan sedikit perkongsian yang terlintas di
fikiran mengenai 4 tahun di UPSI, berkongsi sekadar apa yang termampu.
Kisah permulaan
Hakikatnya, di awal permohonan
kemasukan universiti, nama UPSI bukanlah satu pilihan dan tak terlintas langsung di fikiran. Selepas tamat
STPM, sasaran yang saya inginkan adalah untuk menyambung pengajian di UKM atau
UM dalam bidang undang-undang; satu bidang impian saya sejak kecil lagi. Namun
atas nasihat ayah, maka bidang pendidikan menjadi pilihan namun USM menjadi
sasaran. Tetapi rezeki bukan di situ kerana di akhirnya saya ditawarkan untuk
menyambung pengajian di UPSI, tempat yang bukan menjadi sasaran saya, dan
dengan bidang TESL, jurusan yang tak pernah terlintas di fikiran untuk diambil.
Bermula Julai 2010, maka perjalanan telah bermula.
Dalam lintasan fikiran, sewaktu
hari pendaftaran pelajar UPSI pada Julai 2010 itu, saya masih ingat akan
suasananya. Cuaca pada hari itu agak dingin, dengan tiupan angin dapat dirasai
ketika itu tatkala saya tiba di Kolej Za’ba UPSI. Masih diingat ketika itu,
orang pertama yang saya bersua dan berkenalan ialah Tuck Man yang berasal dari
Teluk; kebetulan pula mengambil jurusan yang sama iaitu TESL. Saya berdiri di
hadapannya ketika berbaris untuk mendaftar diri.
Sebaik naik ke dewan Kolej
Za’ba, saya bertemu pula dengan saudara Shahril Saibon. Barangkali mungkin
masing-masing punyai tarikan tersendiri, tatkala mengenali Shahril, saya terus
mudah untuk beramah mesra dengannya. Waktu itu, kebetulan pen saya habis
dakwat, dan saya meminjam pennya. Pada asalnya, sepatutnya saya dan Shahril
akan dapat tinggal serumah. Tapi nasib tak menyebelahi apabila seorang pelajar
lain memotong giliran di antara saya dan Shahril. Ya, itulah sahabat dari Parit
Buntar dengan namanya Nazrul Suhaimi. Di akhirnya, saya menetap di rumah 405,
Blok E KZ, manakala Shahril pula di blok yang sama, namun nombor rumahnya 305.
Pun begitu, walaupun tak
serumah, persahabatan dengan Shahril menjadi sangat akrab. Walaupun semasa
semester satu, memang semua kelas kami tak sama, namun kami menjadi sahabat
karib.
Menanam pokok sewaktu di semester satu; Minggu Orientasi UPSI Julai 2010 |
Senyuman tatkala memilih juadah untuk berbuka di bulan Ramadan. Gambar tahun 2010, semester 1; satu-satunya Ramadan di UPSI. |
Kisah rumah-rumah sepanjang 4 tahun di UPSI.
Sepanjang 4 tahun di UPSI, saya
telah menetap di 4 buah rumah yang berbeza. Semester 1 dan 2, saya menetap di
rumah 405, blok E, Kolej Za’ba. Bermula
semester 3 hingga semester 5, saya menetap pula di rumah 103, blok E, Kolej
Za’ba. Apabila memasuki semester 6, saya berpindah ke Kolej Ungku Omar, blok 7,
rumah 7-1-9. Semester tujuh, saya berpraktikum di Taiping dan menetap di rumah
sendiri dan kembali semula di semester 8, saya sekali lagi menetap di Kolej
Ungku Omar, kali ini di blok 8, rumah 8-G-3.
Kolej Za'ba UPSI yang bercirikan kediaman apartment |
Kolej Ungku Omar UPSI, yang juga bericirikan kediaman apartment dengan bilik yang lebih luas |
Kalau nak dibicarakan ahli
rumah, memanglah ramai. Antara yang memang tak akan dilupakan ialah:
1. Mahgfur
(Bahasa Arab)
2. Izzat
(TESL)
3. Romie
(TESL)
4. Ilyas
(BM)
5. Firdaus
(BM)
6. Fuad
(PJK)
7. Mad
(PJK
8. Lokman
(Pendidikan Islam)
9. Syed
(PJK)
10. Jasmi
(Sejarah)
11. Kamarul
(Ekonomi)
12. Jal
(Kaunseling)
13. Zul
(Kaunseling)
14. Amirul
(Matematik)
15. Khirrudin
(Sejarah)
16. Sheqal
(Moral)
17. Azrul
(Pendidikan Awal Kanak-kanak)
18. Irwan
(Pendidikan Awal Kanak-kanak)
19. Faiz
(IT)
Setiap semester, saya pasti akan
ketemu dengan rakan sebilik yang baru. Maka sepanjang lapan semester di UPSI,
saya mempunyai 7 rakan sebilik iaitu; Maghfur, Izzat, Lokman, Jasmi, Fuad,
Amirul, dan Azrul. Ya, semuanya baik-baik belaka, tak pernah menyusahkan rakan
sebiliknya.
Kisah bas UPSI
Barangkali bagi kebanyakan pelajar
baru di UPSI pasca tahun 2013 terutamanya pasti tidak akan tahu kisah lama bagi
perkhidmatan bas UPSI. Itulah yang terlintas di fikiran saya tatkala melihat
perkhidmatan bas Kiffah yang kini disediakan di UPSI. Jika dulu, kami terpaksa
menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan syarikat Suasana Edaran yang
ternyata sangat teruk.
Pertama, keadaan bas yang
disediakan sangatlah uzur. Saya masih ingat, pernah menaiki bas dari Pintu
Timur ke Kolej Za’ba dan sepanjang perjalanan itu, pengdingin hawa tidak
berfungsi manakala bau minyak petrol dapat dirasakan tatkala berada dalam bas
itu. Itu belum masuk perkhidmatan yang ternyata langsung tidak memuaskan. Waktu
ketibaan bas tidak pernah tepat dan ada waktunya bas yang disediakan tidak
mencukupi.
Kalau nak ke Pintu Timur, jumlah
basnya tidak menentu. Ada kalanya terpaksa menunggu berjam-jam lamanya sebelum
dapat bertolak. Malah keadaan lebih menyeksakan andai kelas dari Taman Bernam
kerana untuk mendapatkan perkhidmatan bas dari situ, memang sangat susah. Mungkin
disebabkan faktor kesusahan itulah, maka di semester 3, saya menggunakan
motosikal untuk bergerak. Mudah dan lebih menjimatkan masa walaupun terpaksa
memperuntukkan sejumlah wang untuk penggunaan minyak petrol.
Perkhidmatan bas Suasan Edaran (2010-2013) memang sangat mengecewakan |
Ya, kini semuanya berubah.
Syarikat bas Kiffah ternyata memberikan perkhidmatan yang cukup baik dan
menyelesakan. Saya pernah mencuba sekali menaiki bas ini di minggu-minggu
terakhir di UPSI. Ternyata memang beruntung pelajar UPSI kini.
Semester 3 (2011), saya mulai menunggang motosikal di UPSI disebabkan masalah bas yang sangat teruk ketika itu. |
Kelas di Taman Bernam dan Proton City
Masih teringat di kotak fikiran
tatkala kampus baru UPSI masih lagi dalam pembinaan sekitar tahun 2010 dan
2011. Pada waktu itu, kelas dan kuliah UPSI dibahagikan kepada tiga tempat.
Pertama, di kampus induk; kedua, di Taman Bernam; dan ketiga, di Proton City. Seingat
saya, semasa di semester 1 dahulu, kelas banyak di Proton City. Dah harus
diakui, kelas dan kuliah di bangunan Proton ini ternyata cukup menyeronokkan.
Memang terasa kecanggihan bangunannya sepanjang berkuliah di sana.
Kuliah di Proton City adalah antara kenangan terindah di UPSI |
Suasana tempat menunggu bas di Proton City. Kesemua perkhidmatan bas ke PC dari KZ dan KAB adalah di bawah pengurusan bas UPSI, bukannya Suasana Edaran. |
Bagi kelas di Taman Bernam, saya harus akui memang tidak selesa di sana. Sederet lot rumah kedai di Taman Bernam disewa UPSI dan dijadikan sebagai bilik-bilik kuliah. Kelasnya agak sempit dan andai kapasiti pelajarnya ramai, maka keadaannya ternyata kurang selesa. Kelas di Taman bernam terus kekal sehinggalah kampus baru UPSI dibuka pada pertengahan tahun 2011.
Kelas di Taman Bernam memang sangat tidak selesa disebabkan ruangnya yang sempit |
Di kampus induk, tahun 2010
menyaksikan bangunan E-Learning dibuka kepada umum. Bangunan setinggi 6 tingkat
ini (kalau tak salah) merupakan kompleks bangunan kuliah yang tercanggih dan
terbesar di UPSI. Malah bangunan ini juga merupakan bangunan tertinggi di
Tanjung Malim, menjadi lambang kebanggaan warga UPSI. Harus diakui, saya memang
sangat kagum dengan reka bentuk bangunan ini, tak terlintas di fikiran akan
kecanggihannya. Banyak kelas saya diadakan di sini, dan suasana kuliah di sini
memang sangat menyelesakan.
Bangunan E-Learning, kebanggaan warga UPSI |
Ruang legar aras 1, bangunan E-Learning |
Bahagian timur bangunan E-Learning |
Kelas-kelas yang tidak dapat dilupakan di UPSI.
Saya masih ingat, kuliah pertama
saya di UPSI ialah kuliah bagi subjek Pembangunan Sahsiah yang diajar oleh Dr
Muzaffar. Kelas tersebut berlangsung di Taman Bernam dengan kapasiti kelas
seramai lebih 50 orang. Kelas tersebut adalah pada hari Isnin, dari jam 8
hingga 10 pagi dan pada hari Rabu, dari jam 8 hingga jam 9 pagi. Subjek
Pembangunan Sahsiah ialah subjek universiti yang wajib diambil oleh semua
pelajar tidak mengira bidang kursus.
Kalau nak dikenang kembali,
kelas kegemaran sudah semestinya kelas yang dikendalikan oleh Mr. Sidek dan Dr
Lajiman. Dua pensyarah ini ialah pensyarah kegemaran saya, malah mungkin juga
menjadi pensyarah kegemaran bagi kebanyakan pelajar TESL di UPSI.
Saya mula mengenali Dr. Lajiman
apabila beliau mengajar saya subjek Introduction to English Literature sewaktu
di semester 2. Pada waktu itu, gaya penyampaian kuliah beliau agak kaku
disebabkan beliau masih baru di UPSI. Semester berikutnya, beliau mengajar saya
lagi dan kali ini untuk subjek Critical Apreciation of Drama. Kemudian, sewaktu
di semester 5 pula, beliau sekali lagi mengajar untuk subjek Selected Novels
and Short Stories di pertengahan semester setelah pensyarah asal bagi subjek
ini telah dikenakan tindakan tatatertib. Kemudian, apabila saya di semester
akhir, beliau sekali lagi mengajar saya untuk subjek Post Colonial Literature.
Oh ya, saya harus akui, Dr Lajiman mempunyai pemikiran yang unik dan kritis.
Seringkali beliau membincangkan isu-isu semasa dan pendapat dan pandangannya
ternyata cukup berbeza. Oh ya, seperkara lagi, sepanjang beliau menjadi
pensyarah saya untuk 4 subjek, markah assignment yang diberikannya memang tak
pernah mengecewakan. Pasti tersenyum tatkala melihat carry mark di UPSI Portal.
Seorang lagi pensyarah kegemaran
saya ialah Mr Sidek yang mengajar saya subjek Literary Criticism sewaktu saya
di semester 3. Kemudian pada semester 4, beliau mengajar saya lagi untuk subjek
Selected Poems in English. Mr Sidek orangnya memang agak santai dan barangkali
juga sempoi dalam penyampaian kuliahnya. Seringkali ketawa dan senyum tatkala
berkuliah dan tatkala berada dalam kelasnya, memang rasa sangat seronok dan
selesa. Sama seperti Dr Lajiman, Mr Sidek juga agak kritis dan kritikal dalam
memberikan pendapatnya. Ya, di bawah Mr Sidek juga, carry mark bagi setiap assignment
memang tak pernah mengecewakan.
Bersama Mr Sidek pada kelas terakhir dengannya di semester 4 |
Selain itu, saya juga masih
teringat akan kelas Computer-assisted Language Learning atau CALL yang diajar
oleh Madam Leela. Kelas yang berlangsung selama 3 jam, bermula 10 pagi hingga 1
tengah hari pada hari Rabu ini ternyata sangat menyeronokkan. Pertama, kerana
kelas ini melibatkan penggunaan komputer. Kedua, kelas ini diajar oleh Madam
Leela seorang pensyarah yang paling sporting
yang pernah mengajar saya. Caranya mengajar tak ubah seperti seorang ibu
mengajar anaknya, penuh dengan ciri-ciri keibuan. Beliau juga merupakan
pensyarah kegemaran saya sepanjang belajar di UPSI.
Oh ya, juga tidak dilupakan
pensyarah-pensyarah yang ‘menggerunkan’ sepanjang berada di UPSI ini. Di
semester 1, Dr Hasimah Ja’far ialah pensyarah yang seringkali mencetuskan
debaran setiap kali hendak ke kelasnya. Dr Hasimah mengajar subjek Linguistics
for ESL Teachers, dan cara pengajarannya bukanlah tipikal pengajaran orang
Malaysia. Dalam setiap kuliahnya beliau pasti akan memberikan kata-kata dan
nasihat inspirasi untuk menjadi guru yang baik apabila mengajar nanti.
Semasa di semester 3, Dr
Maizatul menjadi satu debaran. Beliau mengajar subjek Second Language
Acquisition. Saya masih ingat, kelasnya ketika itu di Taman Bernam, bilik
kuliah 1. Bermula jam 10 pagi hingga 1 petang, hari Rabu, kelasnya memang
menguji mental. Bayangkan dalam tempoh tiga jam itu, akan mendengar kuliahnya
tanpa henti. Mata kena fokus dan hatta nak bercakap sedikit pun susah. Kalau
bercakap, mungkin akan kena marah. Dr Maizatul mungkin antara pensyarah yang
agak tegas ketika mengajar namun beliau mempunyai pengetahuan yang cukup
tinggi.
Tidak dilupakan ialah Dr
Hashimah Isa yang ternyata mencipta satu kisah yang tak akan dilupakan oleh
kesemua pelajar TESL ambilan Julai 2010. Gara-gara dikatakan tidak professional
ketika mengajar, maka beliau dikenakan tindakan tatatertib yang menyebabkan
tempat beliau kemudian diganti oleh Dr Lajiman dan Mr Sidek. Namun harus
diakui, Dr Hashimah memang sangat tegas dan sangat garang di kelas. Barangkali
kelas paling menakutkan sepanjang berada di UPSI.
Seorang lagi pensyarah yang
pasti mendebarkan tatkala kelas bermula ialah kelas Dr Noraini. Pada semester
6, saya mengambil kelas Reflections in Classroom Practice yang diajar beliau.
Dr Noraini memang cukup tegas dan pentingkan disiplin di kelas. Kalau lambat ke
kelas, maka memang takkan ada peluang untuk masuk disebabkan kelas dikunci
beliau.
Seorang lagi pensyarah yang agak
tegas di kelas ialah Dr Mazura yang mengajar saya untuk subjek Language Test
sewaktu di semester 5. Apa yang mendebarkan di kelasnya ialah cara pengajarannya
tidak dapat dijangka oleh pelajar. Ada waktunya bukan beliau yang memberi
kuliah, tetapi para pelajar yang akan memberikan pendapat dan pemahaman mereka
di kelas. Ya, assignment subjek ini
antara yang cukup sukar untuk disiapkan.
Oh ya, selain itu tidak
dilupakan juga buat pensyarah-pensyarah lain seperti Dr Ghani yang mengajar
subjek Malaysian Literature in English dan subjek Literature for Young Adults,
Dr Intan (Reading Skills dan Material Development for the Language Classroom),
Dr Azizah (Wrting Skills dan Seminar Refleksi Latihan Mengajar), Dr. Napisah
(English Grammar dan Syntax and Morphology), Dr Che Ton (English Phonetics and
Phonology), Dr Mahendran (English for Science and Technology dan penyelia
praktikum), dan paling tidak akan dilupakan, Dr Raja Safinas yang mengajar saya
untuk subjek Discourse Analysis dan subjek KPD. Kalau nak disenaraikan kesemua
pensyarah, memang banyak.
Rakan-rakan di UPSI
Kalau nak dibicarakan soal
kenalan dan rakan di UPSI memang sangat banyak. Namun rakan yang pasti disebut
dahulu ialah Shahril Saibon yang merupakan kawan karib saya. Seperti yang telah
dijelaskan sebelum ini, saya mengenali Shahril sejak hari pertama lagi di UPSI.
Sejak dari semester 1 sehinggalah ke semester akhir, saya dan Shahril memang
menjadi sahabat rapat. Malah sewaktu berpraktikum di semester 7, Shahril
berpraktikum bersama dengan saya di SMK Dr Burhanuddin, Taiping. Apabila menjadi sahabat rapat, maka banyaklah
rahsia dan kisah-kisah yang tak diceritakan pada orang lain menjadi perkongsian
hati. Kalau ada masalah, kami akan kongsikan, dan kadangkala menyelesaikan
masalah itu. Shahril banyak berkongsi kisah keluargnya dan begitu juga saya.
Saya mengenali dengan baik ahli keluarga Shahril, malah pernah pergi ke
Seremban beberapa kali bermalam beberapa hari di rumahnya. Dalam soal rahsia,
banyak yang kami kongsikan. Soal cinta, soal masalah hati dan perasaan, soal
kemusykilan agama, malah bicara politik; semuanya dikongsikan. Shahril orangnya
bersifat selektif dalam memilih rakannya, dan hanya saya sahaja yang mampu
memahami sikap dan caranya. Harus sayu akui, sepanjang 4 tahun di UPSI, Shahril
banyak membantu saya. Tak terhitung jasanya, dan saya harus akui saya
sangat-sangat berterima kasih dengannya. Seperkara yang menarik mengenai
Shahril ialah caranya berfikir yang dilihat agak kritis dan berbeza dengan
orang lain. Ditambah pula dengan kemampuannya untuk berbicara dengan petah,
maka itu menjadi tarikan untuk rakan-rakan lain. Seperkara lagi, Shahril
mempunyai satu nilai keyakinan diri yang tinggi. Maka, apabila melakukan
sesuatu perkara dan tindakan , Shahril memang berani melakukannya.
Bersama Shahril sebelum solat Jumaat; Semester 8 2014 |
Tidak dilupakan juga ialah
rakan-rakan serumah saya sewaktu di semester 3 hingga semester 5 iaitu Fuad dan
Mad yang merupakan pelajar PJK. Dua sahabat ini walaupun tak sama bidang
pengajian namun mereka sangat rapat dengan saya. Kata orang, bila pemikiran
sekepala, maka dengan mudah boleh jadi akrab. Malah, Shahril sahabat karib saya
juga rapat dengan Fuad dan Mad. Fuad berasal dari Ampang manakala Mad berasal
dari Rembau, Negeri Sembilan. Saya mengenali mereka apabila tinggal serumah
sewaktu di semester 3. Fuad orangnya memang agak gila-gila juga seringkali
mengusik rakan-rakan yang lain, manakala Mad orangnya senyap, namun bila
bercakap memang mampu mengusik rakan yang lain.
Rakan-rakan serumah E103, Kolej Za'ba, blok E. Dari kiri, Mad, Jal, dan Fuad. |
Tidak dilupakan juga rakan-rakan
lain seperti Jal yang hanya dikenali selama satu semester sewaktu saya di
semester 5 dan Jal di semester 8. Namun, sehingga kini saya masih berhubung
dengan Jal yang berasal dari Baling. Selain itu, saya turut mengenali Kamarul,
pelajar jurusan Ekonomi dan kini berada di semester 4 di UPSI. Kamarul berasal
dari Pahang dan saya mengenalinya sewaktu tinggal serumah di Kolej Za’ba
dahulu. Lokman pula seorang lagi kenalan dari Pahang, merupakan pelajar
Pendidikan Islam yang menetap serumah dengan saya sewaktu di semester 3 dan 4.
Orangnya sangat pandai mengaji al-Quran dan sangat sedap mendengar alunan
bacaannya.
Bersama Lokman di Dewan Kolej Za'ba |
Saya turut mengenali rakan-rakan
perempuan. Di awal semester, saya cukup rapat dengan Syuhadah Omar yang berasal
dari Negeri Sembilan. Syu orangnya sangat ceria sewaktu di awal semester dan
agak gila-gila perwatakannya. Malah, disebabkan gila-gilanya itu saya tertarik
untuk berkawan dengannya. Kini Syu dah menjadi tunangan orang dan harus diakui
Syu kini lebih matang dan tidak dapat dinafikan, kni saya tak begitu rapat lagi
dengannya.
Turut tidak dilupakan ialah
Shahrul Adina, rakan dari Sabah. Orangnya agak garang dari sudut perwatakannya,
dan kelihatan agak petah berbicara. Saya agak rapat dengannya sewaktu di
semester 1 dan 2 kerana jadual kuliah kami 100 peratus sama. Maka, setiap kali
ada kelas, saya pasti akan mengadap mukanya. Orangnya dilihat agak urban, malah
kalau dilihat dari sudut tutur bicaranya, memang tak sangka Adina ini orang
Sabah; disebabkan Adina dapat mengubah lenggok bahasanya dengan mudah menjadi
orang Semenanjung.
Seorang lagi kenalan yang rapat
dengan saya ialah Hamidah Ainun yang saya kenali sejak semester 1 lagi. Hingga
kini, Hamidah masih seperti dulu perwatakannya; mudah dan sangat ramah dengan
orang lain. Banyak bercakap dan seringkali menceriakan suasana. Hamidah berasal
dari Kedah dan agak seronok berbual dengannya kerana loghat utaranya memat
pekat. Selama 4 tahun berada di UPSI, inilah satu-satunya rakan perempuan saya
yang masih kekal seperti dulu. Tak pernah berubah dan masih lagi rapat dengan
saya.
Rakan-rakan TESL sedang menunggu bas di Proton City. Gambar semester 1, tahun 2010. Dari kiri; Lisa, Hamidah, Adina, dan Ain Sakinah |
Nor Farhana pula saya kenali di
pertengahan semester 2, kalau tak salah saya. Orangnya kecil berasal dari
Pahang. Farhana sangat fasih berbicara Bahasa Inggeris; mungkin itu sebabnya
dia menyertai pasukan debat. Saya mengenali Farhana dengan lebih rapat apabila
sekelas dengannya untuk kelas Introduction to English Literature yang diajar Dr
Lajiman. Sewaktu tugasan berkumpulan, saya sekumpulan dengan Farhana. Kami
dikehendaki untuk membuat pameran mengenai English Literature di bangunan
E-Learning sebagai tugasan berkumpulan. Seperkara yang membuatkan saya
mengenali Farhana adalah disebabkan beliau menjadi pembaca setia blog saya, dan
menjadi pembaca setia siri novel Adina yang telah saya tulis sejak di semester
1 lagi.
Gambar selfie bersama rakan-rakan TESL. Paling hadapan ialah Farhana. Hisham di sebelah kanan dan disebelahnya itu ialah Sheera |
Saya juga turut mengenali gadis
comel (barangkali) dari Selama, Perak. Itulah Cik Ju atau nama sebenarnya Nurul
Najjua yang merupakan pelajar Pendidikan Moral. Saya mengenali Ju sewaktu di semester
4, iaitu ketika sekelas dengannya untuk subjek 2P. Bermula dengan sekadar mesej
usik-mengusik di Facebook, akhirnya saya dan Ju menjadi rakan baik. Kalau nak
diikutkan banyak yang telah dibicarakan di Facebook dan di mesej-mesej di
telefon. Antara rakan yang cukup baik yang pernah saya kenali di UPSI.
Cik Ju, sahabat yang dikenali sewaktu di semester 4 |
Oh ya, lupa pula untuk
disenaraikan rakan-rakan sekursus dengan saya. Antaranya ialah Romie Abbas yang
berasal dari Tawau, Sabah. Orangnya memang gilakan anime. Kalau bab berbicara,
Romie memang mempunyai kesungguhan untuk meyakinkan orang lain. Selain itu,
saya tidak akan melupakan rakan sebilik saya iaitu Izzat yang berasal dari
Perlis. Izzat banyak membantu saya di semester 2 tatkala pada waktu itu
kesihatan saya tidak begitu baik. Saya juga tidak akan melupakan Hisham yang
jauh lebih tua dari saya. Berasal dari Tapah, Hisham memang sangat matang dari
sudut pemikiran. Saya mula rapat dengannya semasa di semester 5, apabila
sekelas dengannya dalam kelas KPD Dr Raja. Apabila bercakap mengenai Hisham, maka
pasti akan terlintas Sheera. Sama seperti Hisham, Sheera merupakan seorang yang
sangat matang dan kelihatan sangat ceria apabila bertemu dengan orang lain.
Ibarat isi dan kuku, ke mana Hisham ada, pasti Sheera akan ikut serta.
Romie memang akan senantiasa ceria dalam kelas |
Tidak dilupakan juga ialah sahabat yang saya kenali ketika menyertai Kelana Siswa di UPSI. Sauadar Syazwan yang berasal dari Baling, Kedah dengan jurusan PJK. Orangnya pendiam, namun pemikirannya sangat kritis dan kritikal. Saya suka berbual dengannya kerana perbualan yang akan tercipta memang sangat-sangat bijak dan bernas. Syazwan ini bolehlah dikategorikan sebagai orang yang bijak dari sudut cara berfikir.
Bersama Syazwan, bergambar kenangan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI |
Ya, kalau nak berbicara mengenai
rakan memang sangat banyak dan mungkin sangat panjang. Saya konklusikan
rakan-rakan saya di semester 8. Paling tidak dilupakan ialah rakan serumah saya
iaitu Khirrudin, Azrul, Syeqal, Irwan dan Faiz. Kesemua mereka merupakan
pelajar semester akhir dan sangat senang untuk serumah dengan mereka.
Bersama Khirrudin di UPSI |
Bersama Azrul di Cameron Highlands |
Oh ya, terlintas pula di fikiran
mengenai rakan-rakan dari kursus lain. Antara namanya ialah Alif, Yoe, Wadie,
Taufiq, Nazrul, Faizal yang semuanya dari kursus Bahasa Melayu. Tidak dilupakan
juga ialah rakan sewaktu dalam organisasi Rakan Surau al-Falah iaitu Abang
Amin, Abang Saifullah, Faisal, Asyikin, Saiful Islam dan ramai lagi.
Cukuplah sekadar itu bicara
mengenai rakan. Banyak lagi kalau nak ditulis.
Kenangan-kenangan di UPSI
Kalau nak dibicarakan kenangan
di UPSI memang sangat banyak. Namun antara kenangan yang tak dapat dilupakan
ialah ketika berpraktikum di SMK Dr Burhanuddin. Selama 4 bulan, saya telah
menjalankan tugas saya sebagai seorang guru pelatih bagi subjek Bahasa
Inggeris. Pada awalnya, memang sangat sukar kerana saya tidak mempunyai
sebarang pengalaman mengajar. Namun apabila telah biasa, memang menyeronokkan
untuk mengajar para pelajar.
Sewaktu di semester 2, saya
terlibat dengan program baktisiswa di sebuah perkampungan Felda di Melaka
(Felda Kemendor). Itulah satu-satunya program baktisiswa yang saya sertai, dianjurkan
oleh Kolej Za’ba. Di sana, saya tinggal dengan keluarga angkat dan kebetulan
keluarga angkat saya ialah pengurus Felda itu sendiri. Program selama 3 hari
itu memang sangat menyeronokkan dan masih segar dalam ingatan.
Namun, banyak memori indah
tercipta ketika saya terlibat dengan aktif dalam Rakan Surau al-Falah UPSI.
Sebagai Naib Pengerusi dan Bendahari, saya telah terlibat dengan banyak program
anjuran rakan surau. Paling tidak dilupakan ialah program motivasi Amin Idris,
kerana saya dapat berbual secara langsung dengannya ketika itu selaku AJK
Pelaksana. Saya banyak belajar tentang soal berorganisasi sewaktu berada dalam
Rakan Surau.
Sebagai Timbalan Pengerusi dan Bendahari Rakan Surau (2010-2012) |
Surau al-Falah UPSI |
Tidak dilupakan juga ialah Literature
Day 2014 yang berlangsung sewaktu di semester akhir. Di bawah kelas Literature
for Young Adults yang diajar oleh Dr Ghani, semua pelajar TESL yang mengambil
subjek itu diwajibkan untuk mengadakan pameran pada Literature Day. Setiap
orang akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan harus
memilih satu novel pilihan masing-masing untuk dipersembahkan dalam pameran
itu. Saya sekumpulan dengan Ann, Adina, Maizatul, Asmah, dan Adang. Kumpulan yang saya
fikir sangat unik dan ternyata seronok bekerja dengan mereka. Oh ya, hakikatnya
Literature Day merupakan program terakhir TESL semester 8, dan ternyata
masing-masing lebih banyak mengambil peluang yang ada itu untuk bergambar
kenang-kenangan; terutamanya selfie.
Bersama rakan sekumpulan untuk Literature Day 2014. Dari kiri; Maizatul, Asmah, Ann, Yazid (saya), Adina, dan Adang |
Penutup
Hakikatnya memang sangat banyak
kalau nak diceritakan mengenai kenangan-kenangan yang telah dikutip sepanjang 4
tahun berada di UPSI. Tulisan ini hanya secebis sahaja daripada
kenangan-kenangan itu. Hanya ditulis tatkala fikiran terlintas akan kenangan
itu. Namun apa yang pasti, secebis kenangan yang tertulis ini diharap akan
dapat memberikan senyuman tatkala ada yang membacanya.
Kini, semua kenangan itu akan
tersimpan sebagai memori. Masing-masing sudah meninggalkan UPSI dan akan
meneruskan pula perjalanan hidup sebagai seorang guru dalam masa terdekat.
Memang agak sedih tatkala berpisah dengan rakan-rakan, namun tiap-tiap
perpisahan itu adalah satu permulaan untuk perjalanan hidup yang baru.
Terima kasih buat semua yang
telah saya kenali di UPSI sepanjang 4 tahun berada di sana. Dengan ucapan
selamat maju jaya, maka diharapkan semuanya akan dapat mencapai impian dan
cita-cita yang diharapkan. Insya-Allah, andai ada masa, maka kita ketemu lagi.
Ulasan