Pagi Khamis: Gambaran salah yang digambarkan dalam drama dan novel
Agak lama juga slot Pagi Khamis tidak mengambil tempat di
blog dan kali ini kesempatan itu diberikan. Maka, saat itu tercetus fikiran
untuk mencari tajuk dan isu yang sesuai yang boleh diulas. Tatkala itu, timbul
idea untuk memberikan pendapat barangkali mengenai trend yang telah menjadi
kegilaan oleh kebanyakan anak muda pada hari ini terutamanya golongan remaja
perempuan. Apakah trend itu? Ya, itulah obsesi untuk menonton drama televisyen
adaptasi novel dan juga kegilaan untuk membaca novel-novel cinta. Namun apabila
melihat trend ini, sedikit kerisauan timbul. Hakikatnya, banyak pandangan salah
ditonjolkan dalam drama dan novel yang menjadi kegilaan itu. Entri ini diulas
berkenaan pandangan salah yang dilihat betul oleh penonton.
Pertama, naik
kereta berdua tidak menjadi masalah. Sesuatu yang normal.
Terutamanya dalam drama televisyen, babak menaiki kereta
berdua dengan bukan mahram dilihat suatu kebiasaan dan normal. Situasi yang
digambarkan dilihat tidak menjadi masalah, asalkan masing-masing tidak membuat
perkara-perkara yang tak senonoh. Seringkali digambarkan dalam drama, lelaki
itu bersikap ‘gentlemen’; tidak akan mengusik hatta sedikit pun si wanita itu. Hakikatnya,
secara dasar agamanya, adalah haram sama sekali untuk si perempuan mengikut si
lelaki berdua-duaan menaiki kereta. Sebolehnya, dielakkan situasi sedemikian
kerana perkara itu boleh mendatangkan fitnah. Malah, hakikatnya sikap
‘gentlemen’ lelaki bukanlah ada pada semua. Pasti akan ada lelaki yang
mempunyai niat terselindung, dalam erti kata lain; lelaki walau setinggi mana
pun imannya, nafsunya mungkin tertewas tatkala berdua-duaan dengan wanita.
Kedua, berbual dan
bergayut di telefon di antara lelaki dan perempuan suatu kebiasaan.
Trend berbual dan bersms tanpa had di antara lelaki dan
perempuan yang bukan mahram telah menjadi kebiasaan dan digambarkan dalam
kebanyakan drama Melayu hari ini. Agak pelik pula tatkala watak yang digambarkan
cukup Muslimah, bertudung litup bak ustazah, namun boleh pula bergayutan dan
bersms dengan lelaki bukan mahram menerusi telefon. Hakikatnya, situasi
sedemikian amatlah tidak digalakkan, kerana tiap-tiap perbualan dan sms yang
dihantar itu, adalah punca-punca kepada tercetusnya zina di hati. Bukanlah
menyatakan bahawa bersms dan berbual di telefon di antara lelaki dan perempuan
itu salah, namun kadangkala apa yang digambarkan di TV dan novel itu dilihat
agak keterlaluan dan menampakkan betapa batas pergaulan itu tidak dijaga.
Contoh yang terdekat ialah menerusi drama yang sedang popular ketika ini,
Kerana Terpaksa Aku Relakan. Menerusi drama ini, watak Indah dilihat begitu
mudah berbual menerusi telefon dengan Zin, sehingga kadangkala dilihat agak
keterlaluan perkara yang dibualkan, walhal Indah itu gadis bertudung.
Ketiga, pegang
tangan itu tanda romantis, tanda ambil berat.
Memang sejak dari dulu lagi, babak pegang tangan itu
menjadi satu kebiasaan dalam drama mahupun filem. Sehingga kini, babak itu
ibarat satu perkara wajib yang mesti muncul dalam sesebuah drama; seperti
filem-filem Hollywood yang ‘wajib’ ada babak bercium dalam filemnya. Pandangan
salah seringkali tercetus tatkala babak-babak pasangan kekasih itu berpegang
tangan dan digambarkan bahawa berpegangan tangan itulah menunjukkan nilai-nilai
romantis. Situasi ini mencetuskan pandangan bahawa kalau nak bercinta mesti
kena bersentuh-sentuhan, wajib untuk berpegangan tangan. Hakikatnya, selagi
tidak ada ikatan yang sah, maka adalah haram sama sekali untuk menyentuh hatta
sedikit pun tubuh yang bukan mahram. Situasi ini lebih tak enak tatkala babak
berpegangan tangan itu melibatkan watak wanita bertudung dengan lelaki bukan
mahramnya. Agak jelik tatkala watak bertudung itu digambarkan sangat kuat
pegangan agamanya, namun pada masa yang sama boleh pula dengan mudah
berpegangan tangan dengan lelaki bukan mahram dalam drama itu.
Keempat, wataknya
bertudung tetapi bila tetamu datang ke
rumah tudung tidak dipakai.
Mungkin salah faham atau kurang memahami dari sudut konsep
menutup aurat, ada ketikanya drama yang mengetengahkan watak wanita bertudung
itu dilihat tidak benar-benar memahami konsep sebenar menutup aurat. Sebagai
contoh, dalam drama Love You Mr. Arrogant, watak Zara yang ternyata bertudung
di luar, namun tatkala berada di rumah dan tetamu muncul, Zara dilihat membiarkan
sahaja rambutnya itu dilihat tetamu tersebut tanpa diusahakan untuk ditutup
rambut tersebut. Situasi ini mungkin akan mewujudkan salah faham bagi mereka
yang kurang arif tentang soal menutup aurat yang memungkinkan wujud pandangan
bahawa; “orang luar tak mengapa lihat aurat wanita kalau berada dalam rumah”
Sebagai pengarah atau penerbit sesebuah drama, malah yang
lebih penting buat si penulis skrip, seharusnya mereka perlu lebih peka dalam
soal menonjolkan watak wanita bertudung. Mereka perlu memahami garis panduan
dan tatacara yang sebenar dalam soal menutup aurat supaya tidak menimbulkan
salah faham hingga mewujudkan pandangan salah yang menyebabkan penonton di luar
sana terikut ‘mazhab’ baru bersumberkan televisyen.
Kelima, terlanjur
itu tak apa kerana nanti boleh bertaubat dan akan muncul ‘hero’
menyelamatkannya.
Entah di mana silapnya, sama ada memang mahu memberi
pengajaran kepada penonton atau mungkin disebabkan penonton suka akan subjek
sedemikian, setiap drama kebanyakannya pasti akan mengangkat tema gadis terlanjur
dan kemudian akan insaf di penghujung jalannya. Perbuatan zina dipaparkan
sebagai normal dan tidak ada apa-apa, dan sekiranya telanjur; masing-masing
buat seperti biasa; tidak ada apa yang perlu disesalkan. Jika tidak pun, si
gadis yang telanjur itu akan menemui bahagia juga di akhirnya. Dalam erti kata yang
mudah, drama-drama Melayu yang diadaptasi dari novel cinta ini kelihatan
menyatakan bahawa maruah yang dirobek tidak menjadi masalah, kerana di akhirnya
bahagia akan dirasai. Situasi akan memberi persepsi bahawa maruah diri itu
bukanlah sesuatu yang penting untuk dijaga. Bahaya, andai mesej inilah yang
difahami terutama golongan remaja perempuan.
Keenam, kekayaan
itu bahagia abadi
Bukan bersifat anti-feminis, namun kebanyakan novel cinta
yang hangat di pasaran ditulis oleh penulis wanita dan majoritinya terdiri
daripada mereka yang belum berkahwin. Maka, secara umumnya, kebanyakan
penulisan mereka adalah lebih kepada fikiran fantasi sahaja, bukannya
berdasarkan pengalaman dan realiti. Hasilnya, maka terjadilah jalan cerita yang
sangat tipikal; si gadis miskin di kampung kemudian jatuh cinta dengan anak
Datuk dan Tan Sri yang semuanya ahli korporat syarikat-syarikat besar di Kuala
Lumpur. Dalam hubungan cinta yang terjalin di antara mereka ini, maka muncullah
orang ketiga yang sangat-sangat jahat (walaupun hakikatnya perwatakannya tidak
logik dalam dunia realiti).
Tak cukup dengan itu, dunia korporat yang ditonjolkan
pula sangatlah tipikal; wajib berkot dan bertali leher ke hulu dan ke hilir
walaupun di tengah terik mentari, dan menjadi kewajipan memandu
kenderaan-kenderaan mewah; dalam senarainya seperti BMW, Mercedes, Audi dan
sebagainya. Realitinya, dunia korporat bukanlah diuliti dengan kemewahan
semata-mata, bukan bercirikan kosmetik yang dilihat indah dipandang secara
luarannya. Hakikatnya, kebanyakan penulis novel tidak pernah pun melalui dunia
korporat yang sebenar; hanya membayangkannya sahaja menerusi imaginasi.
Dari penulisan mereka ini, maka diadaptasikannya ke
bentuk drama televisyen. Di akhirnya akan terwujudlah dunia kekayaan yang lebih
bersifat angan-angan, menyaksikan bahawa banglo, kereta mewah, syarikat besar
menjulang tinggi di pencakar langit, dengan golongan Datuk, Tan Sri, dan Datin
menguasai jalan cerita. Pandangan salah akan terwujud tatkala penonton akan
merasakan bahawa kebahagiaan dapat dicipta sekiranya berjumpa dengan si kaya
anak Datuk yang menetap di ibu kota.
Soalnya bahagiakah cinta dengan kekayaan?
Di alam realiti, cinta itu bukanlah kesenangan dalam
kekayaan. Cinta itu adalah pengorbanan yang dicurahkan dan di akhirnya
mewujudkan ketenangan hakiki di dalam hati.
Pagi Khamis sekadar melontarkan pandangan terhadap trend
terkini di televisyen. Tak salah untuk menyiarkan drama-drama sedemikian, namun
pihak penerbit haruslah melihat pula dari sudut kelogikannya di dunia realiti
supaya tidak wujud pandangan salah masyarakat terhadap sesuatu perkara. Ya,
melihat kepada situasi budaya membaca di Malaysia, tatkala best seller buku dikuasai oleh buku fiksyen berjudul novel cinta,
maka seharusnya kita boleh mengukur tahap dan pemikiran rakyat Malaysia.
Tatkala rakyat lain terkejar-kejar dengan ilmu pengetahuan, masyarakat di
negara kita alpa dengan terkejar-kejar kisah cinta dan angan-angan yang pada
hakikatnya tak mungkin wujud di alam realiti. Itulah hakikatnya.
Sekadar itu sahaja perkongsian. Mohon mengundur diri.
p/s: Teringin nak lihat karya-karya sasterawan seperti
Usman Awang, Pak Samad diangkat menjadi filem mahupun drama TV. Terbayang juga
kalau karya-karya Ramlee Awang Murshid diangkat menjadi sebuah drama mahupun
filem. Namun soalnya, apakah mendapat sambutan? Fikirkanlah.
Ulasan